Isu Yadim: Zamihan sedia beri 50 sebab pada Jakim

Pendakwah bebas, Dr Zamihan Mat Zin hari ini memaklumkan kesediaannya untuk memberi 50 sebab kepada jawatankuasa tatatertib Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung kritikkannya terhadap lantikan politik dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu berkata, ia sebagai respons terhadap surat tunjuk sebab yang dikenakan terhadapnya.

“Saya akan sediakan 50 sebab kepada Jawatankuasa Tatatertib Jakim.

“Saya redha dengan apa juga tindakan yang dikenakan memandangkan teguran kepada menteri agama dibuat atas niat kerana Allah dan demi penambahbaikkan agensi Islam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Zamihan menerima surat tunjuk sebab daripada Jakim kerana mengkritik lantikan politik dalam Yadim.

Menurut sumber, Zamihan yang juga kakitangan Jakim yang sebelum ini dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pentadbiran BN diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tujuk sebab berkenaan.

Ia dipercayai susulan “amaran” yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof terhadap mana-mana pihak mengkritik pelantikan itu.

Zamihan pada 30 Jan lalu mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak “melacurkan” institusi agama Islam demi kepentingan politik.

“Apa sudah jadi dengan Malaysia Baru? Malaysia baru atau Malaysia celaru. Tak habis-habis institusi agama Islam dimangsakan oleh pentadbiran kerajaan Malaysia Baru.

“Kali ini giliran Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) pula menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik PH.

“Amat malang apabila Yadim sebagai agensi dakwah dijadikan alat politik parti tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Zamihan berkata, teguran beliau terhadap perkara itu demi kepentingan agama Islam dan tidak mempunyai sebarang motif tersembunyi.

Jelas Zamihan lagi, beliau tidak mahu Yadim sebagai agensi agama yang berpengaruh dikuasai oleh orang politik sehingga melunturkan kredibiliti badan itu.

Zamihan turut menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah ataupun berdialog dengan Mujahid berhubung isu berkenaan.

“Saya juga bersedia untuk bermuzakarah atau berdialog secara ilmiah dengan menteri tentang isu ini atas kapasiti saya beliau Presiden Aswaja,” katanya lagi.

Sumber : Malaysiakini.com

No Comments

    Leave a reply