JADAM PAHIT YANG TERPAKSA DITELAN KERAJAAN PH

 

CERITA duka yang terpaksa diterima oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat kekalahan calon Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabtu lalu masih menjadi bahan perbincangan hangat orang awam, sama ada perbincangan tak rasmi di kerumunan awam, parlimen kedai kopi dan kopitiam ataupun media sosial.

Menariknya dalam media sosial, ramai juga warga maya mempersendakan banyak perkara yang ada kaitan secara jelas dengan Kerajaan PH yang baharu berusia sepuluh bulan. Mereka membicarakan soal ‘janji yang tidak ditepati’ sehingga singkatan gabungan itu semakin dikenali dengan Pakatan Hancing. Hancing, merujuk kepada kehancingan air kencing, yakni suatu alegori kepada pembohongan.

Kerajaan PH rupa-rupanya terpaksa membuat tiga pengumuman besar setelah sentiment pengundi atas pagar dan dalam kalangan pengundi muda sudah menampakkan pendirian condong kepada BN. Pengumuman pertama ialah pemberian semula BR1M kepada orang bujang yang akan mula dibayar pada penghujung Mac sebanyak RM 100. Bantuan ini tidak disebut dalam ucapan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan.

Pengumuman kedua ialah pemansuhan kutipan tol di empat lebuh raya –SMART, LDP, KESAS dan SPRINT-tetapi digantikan dengan caj kesesakan waktu puncak, diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan tanpa bayaran bagi tempoh 11 malam hingga 5 pagi. Bagaimanapun tarikh kuat kuasa sebenar belum ditetapkan, cuma diberitahu akan berlangsung dalam tempoh enam bulan lagi.

Pengumuman ketiga ialah peruntukan pembangunan akan diberikan sekiranya PH berjaya mengekalkan kerusi tersebut. Azmin membawa retorik mengugut bahawa dengan mengundi PH penduduk Semenyih akan mendapat lebih banyak pembangunan manakala Zuraida Kamarudin memberitahu kementeriannya mempunyai peruntukan yang banyak untuk diberikan.

Seorang lagi menteri terpaksa menarik balik peruntukan sebanyak RM80,000 untuk meningkatkan kemudahan sebuah dewan orang ramai di Branang setelah sedar pengumumannya bakal membawa petaka, melanggar peraturan-peraturan pilihan raya.

Ironinya, Anthony Loke yang dianggap ‘tidak berhati perut dan keras kepala’ ekoran tidak akan memberikan diskaun pesalah AES dan memperbanyakkan kamera AES, melepaskan geramnya apabila mengkritik kenapa Kerajaan PH tidak boleh mengumumkan pemberian projek ketika PRK berlangsung. Jika bukan masanya, bilakah Kerajaan PH boleh membuat pengumuman? Suatu pandangan yang kontradik dan bertentangan dengan apa yang pernah dikritiknya apabila BN mengumumkan projek segera ketika berkempen.

Setelah dua minggu mengikuti apa yang berlaku sepanjang kempen PRK DUN Semenyih, ternyata Kerajaan PH banyak melakukan kesilapan dan tersilap strategi. Dengan merasakan kedudukannya begitu kuat, menguasai kerajaan pusat dan kerajaan negeri, suara-suara menteri dan aktivis kempen PH sedikit sombong dan bongkak. Sombong dan bongkak ini adalah manifestasi sebenar kegagalan PH menunaikan janji-janjinya, yang kemudiannya membunuh harapan untuk mengekalkan kerusi DUN Semenyih.

PRU ke-14, PH menang kerusi tersebut dengan majoriti yang selesa. PRK DUN Semenyih yang berlangsung sepuluh bulan kemudiannya, PH tersungkur dan terpaksa merungut dengan kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai punca utama kekalahan, yang menjadi tamparan hebat kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi PPBM. Sebelumnya, Perdana Menteri tidak begitu terasa kerana kekalahan PH adalah dari DAP di Cameron Highlands.

Kesilapan terbesar PH ialah ‘menembak PAS’ sedangkan parti itu tidak bertanding di PRK DUN Semenyih kerana menghormati kerjasama dengan UMNO atas agenda Melayu-Islam. PH yang sedar bahawa pengundi Melayu merupakan 68 peratus di Semenyih tidak begitu membicarakan persoalan Melayu-Islam meskipun dalam ‘angan-angan PPBM’ ia adalah agenda besar, masih terkongkong dengan hasrat untuk menjaga hati dan perasaan DAP.

Kini, selepas kalah dengan majoriti 1,914 undi, Azmin mula memperkatakan mengenai keinginan untuk menjaga dan membantu Melayu-Islam walaupun sudah terlewat kerana mengharapkan ada kesan positif yang bakal diraih dalam satu lagi PRK yang bakal berlangsung sama ada akhir bulan ini atau awal April di DUN Rantau, Negeri Sembilan.

Rasa takut tentang kerjasama untuk membela kedudukan Melayu-Islam yang mula ditunjukkan secara terbuka oleh PAS dan UMNO ketika berkempen di Cameron Highlands dan dilanjutkan di PRK Semenyih menyebabkan Kerajaan PH terasa kedudukannya sedikit terancam walaupun tidak mampu menukarkan kerajaan. Ketika mengulas mengenai kerjasama tersebut, Perdana Menteri memberikan sebab utama kekalahan PH di Semenyih ialah kerana PAS dan UMNO telah berjaya mengembalikan kepercayaan pengundi-pengundi Melayu di kedua kawasan berkenaan.

Seorang wakil rakyat PH turut mengakui kehebatan itu dengan sindiran bahawa kerjasama PAS dan UMNO berjaya menimbulkan suasana ‘takut’ kepada orang Melayu berkenaan kedudukannya dalam politik negara. Menurut Charles Santiago, “PH tewas kerana orang Melayu takut kehilangan kedudukan mereka” dan kerana itulah PAS dan UMNO memanipulasikan untuk ‘mengikat orang Melayu.”

Secara umumnya orang Melayu mula merasai ‘ketakutan’ tentang kedudukannya disebabkan oleh politikus bukan Melayu yang dilihat terlalu mendesak dan ada ketikanya menjadi biadab apabila melakarkan idealisme sejarah yang condong kepada ‘kebersamaan’ dan tidak menghormati kontrak sosial.

Bukan Melayu seolah-olah lupa bahawa sejarah Malaysia, dalam apa situasi sekali pun tetap berteraskan sejarah orang Melayu. Disebabkan kelembutan budi orang Melayu, pemberian taraf warganegara secara jus soli menyebabkan bukan Melayu semakin merasai dirinya sudah cukup kuat untuk mencabar apa yang dikenali sebagai ‘ketuanan Melayu’.

Setiap tindakan afirmatif kerajaan BN untuk meningkatkan kedudukan orang Melayu yang telah diketepikan oleh penjajah beratus tahun lamanya, dilihat sebagai langkah diskriminasi walhal dalam situasi sebenar, orang Melayu tidak pernah mendesak penguasaan ekonomi bukan Melayu disamaratakan. Kerajaan BN selama enam dekad berusaha untuk meningkatkan kedudukan ekonomi tetapi sebaliknya bukan Melayu mendakwa ia adalah satu dasar yang tidak adil.

Percubaan kerajaan BN selama enam dekad walaupun tidak berjaya mencapai sasaran, ia telah berupaya memperbesarkan kelas menengah Melayu. Sekarang, kelas menengah Melayu saperti tersihir dengan ideologi liberal turut menyalahkan kerajaan BN sehingga  boleh menyokong ideology politik parti-parti bukan Melayu. Mereka bukan sahaja menyokong, bahkan dalam sesetengah keadaan ikut membantu bukan Melayu mengecam dasar-dasar yang dilaksanakan oleh BN sebagai langkah ‘mengisi tuntutan peribadi’.

Perlu diakui, walaupun ia boleh diistilahkan sebagai nepotisme, dasar tersebut telah berjaya melahirkan sebilangan kecil orang Melayu yang bergelar jutawan. Dr Mahathir turut melakukan perkara yang sama ketika beliau memimpin BN, tetapi sekarang tindakan yang diambil oleh pemimpin BN diselar sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Orang awam mula mempersoalkan kembali apa yang pernah berlaku di zaman pentadbirannya selama 22 tahun sehingga anak-anaknya mampu menikmati kemewahan dan kekayaan.

Lim Guan Eng pernah mengkritik Dr Mahathir dengan menyindir bagaimana salah seorang anaknya menjadi lebih kaya daripada Tan Sri Vincent Tan. Anwar pernah menghina kronisme Dr Mahathir sehingga anaknya mampu menguasai MISC, syarikat petroleum Kencana dan memperoleh wang yang banyak untuk membeli sebuah syarikat pembuat arak Filipina, St Miguel.

St Miguel kemudiannya membeli syarikat Exxon-Mobil di Malaysia, yang kemudiannya ditukar namanya kepada Petron. Tahun lepas, selepas PH berkuasa, Petron telah diluluskan sebagai syarikat pembekal petrol dan diesel untuk kegunaan kenderaan rasmi Kerajaan PH.

Semua isu-isu ditular kembali dalam media sosial. Hasilnya,  orang awam mula melihat bahawa pemimpin-pemimpin yang mencaci kerajaan sebelumnya dan menganggotai kabinet Kerajaan PH juga ‘tidak bersih’. Daripada membiarkan mereka terus membolot kekayaan, pengundi Cameron Highlands dan Semenyih menghantar isyarat agar penguasaan PH dilemahkan semaksimum mungkin.

Jika sentiment ini terus berkekalan, ramai pihak meramalkan Kerajaan PH hanya mampu berkuasa selama sepenggal. Ia juga mungkin kurang daripada sepenggal, kerana kemungkinan ada yang bakal mencabar kepimpinan Dr Mahathir dengan undi tidak percaya. Akibatnya, PAS diserang dengan pelbagai asakan walaupun parti itu hanya sekadar membantu BN untuk meraih undi di Semenyih dan Cameron Highlands.

PAS dikatakan ‘menunggang agama’ dan kerana itu amat lantang suaranya bila Islam dipersendakan. ICERD telah berjaya menenggelamkan hasrat PH di Cameron Highlands dan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW kerana beristerikan Aisyah menyebabkan PH terpaksa  berputih mata di Semenyih.

Bagi PRK DUN Rantau, PH akan berhadapan dengan rintangan yang lebih besar kerana calonnya adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang juga merupakan penyandang selama tiga penggal. Beliau menjadi nama besar di DUN Rantau manakala PKR yang menganggap kerusi itu adalah kerusi tradisi, terpaksa bekerja lebih kuat jika mahu menang dan memilih calon yang lebih dipercayai atau diterima oleh pengundi.

Jika PKR mengekalkan calon yang ditolak ketika hari penamaan calon, ia bakal berhadapan sabotaj daripada akar umbi dalam parti sendiri. Suara-suara tidak setuju dan kurang sedap didengar sudah mula bertiup. Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, juga Perdana Menteri menanti boleh gelisah, kekalahan kali ini akan memungkinkan dirinya juga dilihat gagal.

Dr Mahathir selaku pengerusi PPBM sudahpun disenaraikan sebagai gagal, kerana Semenyih merupakan ujian pertamanya selepas PRU ke-14. Rantau bakal menjadi ujian pertama Anwar yang sudah disahkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan juga Presiden PKR menggantikan isterinya.

Kedudukan DUN Rantau dalam parlimen Rembau yakni bersebelahan dengan Port Dickson sedikit sebanyak akan menyebabkan Anwar terpaksa berhadapan dengan Khairy Jamaludin. Khairy dilihat mempunyai sedikit kecenderungan menyokong Anwar bakal menarik minat awam untuk merentetkan semula kisah pembabitan menantu bekas perdana menteri itu,  yang ada kaitan dengan penghantaran passport antarabangsa sebaik sahaja Anwar dibebaskan pada era pertandbiran Abdullah Badawi.

Kelemahan PH yang ketara di Semenyih dan Cameron Highlands ialah kesilapan memilih calon. Calon yang bertanding di Cameron Highlands sudah dua kali ditolak oleh pengundi, dicalonkan semula hanya kerana berjaya mencabar kemenangan BN dalam PRU ke-14. Bagi Semenyih, dengan memilih menantu kepada bekas penyandang, orang ramai mula memperkatakan bahawa PPBM memangnya sebuah parti kroni.

Amalan yang sama turut berlaku dalam DAP dan PKR, manakala PAN akan terus dilabelkan pro-DAP. Bagi orang Melayu, DAP selama-lamanya akan dianggap rasis dan memperalatkan Melayu bagi mencapai perjuangan Malaysian Malaysia.

Umumnya, faktor yang terpaksa ditelan oleh Kerajaan PH ialah kegagalannya sendiri dalam menunaikan janji-janjinya. Walaupun rakyat boleh bersabar dan bersedia memberikan masa kepada Kerajaan PH melakukannya, rakyat sudah melihat bahawa Kerajaan PH semakin membuat dalih untuk tidak melaksanakannya.

Inilah jadam pahit yang terpaksa ditelan oleh Kerajaan PH, selagi rombakan kabinet tidak dilakukan untuk membuang ‘karakter’ manusia politik yang bersifat enau, selagi itulah Kerajaan PH akan didera oleh pengundi; bukan mereka tidak tahu siapa dan siapa yang banyak mempengaruhi, rakyat sudah muak dengan dalih dan kontradiksi, dulu semasa menjadi pembangkang ‘haram’ dan ‘zalim’, bila menjadi kerajaan, semuanya bukan lagi ‘haram dan zalim’.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply