Jadikan doa, masjid benteng ketika ribut

RIBUT dan taufan yang semakin kerap melanda dunia tidak terkecuali tanah air mungkin dianggap fenomena alam yang memerlukan kita lebih berhati-hati.

Selain langkah keselamatan untuk memelihara nyawa dan harta benda, fenomena itu juga perlu ditanggap secara rohani dan berlandaskan Islam.

Ribut dan taufan juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW hingga terdapat banyak hadis Nabawi dan amalan sahabat dalam menghadapi fenomena berkenaan.

Saidatina Aishah RA pernah merakam bagaimana wajah Rasulullah SAW berubah dan berasa bimbang serta berdoa: “Ya Allah, aku memohon daripada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya serta kebaikan yang Engkau kirim dengannya; aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya serta keburukan yang Engkau kirim dengannya.”

Bagaimanapun apabila awan gelap itu menurunkan hujan, Rasulullah SAW bergembira. Justeru, Aishah bertanya yang dijawab Baginda: “Wahai Aishah, (aku bimbang) seperti yang diucapkan kaum Ad (dalam surah al-Ahqaf, ayat 2): “Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan menghala ke lembah, mereka berkata: Ini ialah awan yang akan menghujani kita! Bahkan itulah azab yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin membawa azab seksa pedih. (HR Muslim)

Perbanyakkan zikir, selawat dan doa ketika kejadian ribut serta taufan. Gambar hiasan. – Foto Rosdan Wahid

Kitab Fadilat Amal karya Maulana Muhammad Zakaria Kandhalawi menghimpunkan amalan sahabat ketika cuaca berubah kelam seperti Anas yang menjawab soalan tabi’in mengenai fenomena itu pada zaman Rasulullah SAW. Beliau menjawab: “Aku berlindung dengan Allah SWT. Pada zaman Baginda, apabila angin bertiup lebih kencang daripada biasa, kami terus berlari ke masjid kerana takut berlaku kiamat.”

Hal sama turut dilakukan Abu Darda yang berkongsi Rasulullah SAW akan masuk ke masjid dengan perasaan bimbang setiap kali berlakunya ribut.

Sesuai dengan kita berada di ambang akhir zaman, tindakan yang tepat dalam mengamati perubahan cuaca adalah dengan memperbanyakkan zikir, selawat dan doa serta menjadikan masjid sebagai antara tempat yang sering kita berlindung, iaitu dengan banyak mengunjunginya.

Malah, kita juga dapat menyaksikan banyak masjid terselamat ketika berlaku bencana meskipun ia tetap tertakluk kepada qada’ dan qadar Allah SWT.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply