JAGA LIDAH, JANGAN DEDAH AIB ORANG

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

Memalukan seseorang dengan mencari dan mendedahkan keaibannya di mata masyarakat merupakan perbuatan mazmumah (keji). Sebenarnya soal mencari dan mendedahkan keaiban orang lain ini sangat dipandang berat oleh Islam. Islam melarang umatnya daripada mencari-cari keaiban orang lain dan mendedahkannya dengan sesuka hati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur, 24:19)

Atas dasar inilah, maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup kebaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan, yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan juga masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan:

Pertama, orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran. Sekiranya terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan tetang hal mereka. Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi ghibah (umpat) yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malah tidak memperdulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu dalam melakukan kejahatan secara terbuka. Golongan ini harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap tentang kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat. Malah adakalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, agar mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya. Sebab jika didiamkan tentulah ia akan bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulamak pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu:

  1. Keaiban yang berkaitan dengan hak Allah SWT
  2. Keaiban lampau yang tidak diketahui orang.
  3. Keaiban orang yang berkedudukan dalam masyarakat.
  4. Keaiban yang dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa selama dilakukan secara bersembunyi.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir r.a. (salah seorang sabahat Nabi) berkata: “Saya pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak, dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa agar mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu. Abu al-Haisam menjawab: Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Uqabah berkata lagi: Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya.” (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Walau bagaimanapun, semua orang tetap ada keaibannya yang tertentu. Sama ada kecil atau besar keaibannya itu, tentu ia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang yang sengaja mencari-cari keaiban dan seterusnya menyebarkannya ke sana-sini, tentulah ia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umat Islam supaya saling berkasih-sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang-orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir bahawa dirinya juga tidak sepi dari aib dan cacat. Jika ia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan, maka mengapa pula ia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah ia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Rasulullah SAW menilai bahawa mencari keaiban orang lain itu termasuk dalam perbuatan orang munafik yang menyatakan beriman dengan lidah tetapi hatinya membenci. Kelak mereka akan dibebani dosa yang berat di hadapan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Kesimpulannya, segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Seandainya syariat Islam tidak diperdulikan, usaha untuk menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim dalam semangat kasih-sayang yang tulen tidak akan tercapai. Sebaliknya akan wujud pula sebuah masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.

No Comments

    Leave a reply