JAGAILAH ANAK SEBAIK – BAIKNYA.

Di samping sebagai salah satu kebanggaan manusia, anak juga merupakan suatu amanat dan anugerah daripada Allah s.w.t. Tidak dinafikan bahawa cinta ibu bapa kepada anak melebihi cinta anak kepada orang tua.

Bacalah kisah Nabi Nuh a.s yang merupakan salah seorang daripada lima nabi yang paling utama. Betapapun anaknya derhaka kepada Allah dan membangkang orang tua, cinta terhadap anaknya tidak pernah luntur. Sehingga detik-detik terakhir, baginda masih mengajak anak kandungnya untuk naik ke dalam bahtera di tengah-tengah gelombang yang menggunung tinggi. Malah setelah anaknya tenggelam pun, ketika air bah surut dan Nuh a.s bersama kaum yang beriman selamat sampai ke darat, cinta seorang ayah tetap kental.

Cinta ayah kepada anak juga dilukiskan al-Quran dalam kisah Nabi Yaakub dengan puteranya Yusuf. ”Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf,” dan kedua-dua belah matanya menjadi putih kerana akibat ratap tangis dukacitanya (maksud Surah Yusuf ayat 84).

Bagaimanapun, dengan hanya mencium bau Yusuf melalui baju yang dihantar oleh anaknya kepada ayahandanya, maka pulihlah penglihatannya. Begitu mendalam cinta ayah terhadap anak sehingga buta mata orang tuanya dan begitu hebatnya pula cinta antara mereka berdua sehingga mengembalikan semula penglihatan ayah yang dahulu gelap pandangannya terhadap alam semesta.

Tidak menghairankan jika Allah s.w.t mengingatkan bahawa anak-anak adalah perhiasan. Demikian juga apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam menyayangi anak-anak.

Daripada Abu Hurairah, ia berkata, ”Pernah Rasulullah mencium Hassan, putera Ali, di hadapan Aqra Ibnu Habs at-Tamimi. Dia kemudian berkata, ”Saya mempunyai sepuluh orang anak tetapi tidak pernah satu pun daripada mereka saya cium.” Rasulullah melihat kepadanya dan berkata, ”Siapa yang tidak menyayangi, tidak disayangi (oleh Allah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Quran juga berbicara tentang Luqman yang amat meyanyangi anaknya. Nabi Muhammad s.a.w (dan lebih-lebih umat baginda) diperintahkan meneladani sikap manusia bijaksana itu.

Allah berfirman yang bermaksud: ”Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya pada iwaktu ia menberi pelajaran kepadanya, ”Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: 13)

Perhatikan bagaimana al-Quran merestui bahkan mengabdikan ucapan-ucapan Luqman ketika mendidik anaknya. Perhatikan juga bagaimana Luqman memanggil anaknya dengan panggilan mesra, ”Ya Bunayya” (Wahai anak kecil kesayanganku) sebagai isyarat bahawa mendidik anak hendaklah didasari oleh rasa kasih sayang yang mendalam terhadap mereka.

Kita lihat bahawa pengajaran ini diabadikan al-Quran setelah dalam ayat sebelumnya (lihat Surah Luqman ayat 12). Al-Quran menegaskan bahawa sebahagian daripada hikmah yang dianugerahkan kepada Luqman itu adalah perintah untuk bersyukur atas nikmat-Nya. Sudah tentu salah satu nikmat tersebut adalah anak, dan mensyukuri kehadiran anak adalah dengan mendidiknya sebaik mungkin, berlandaskan agama.

Demikian apabila kita meneliti peringatan al-Quran dalam surah Luqman, bagaimana Luqman menghimpun empat dasar utama pendidikan anak, iaitu akidah, ibadah, akhlak terhadap orang lain dan juga ke atas diri sendiri.

Bagaimanapun, terdapat pula sesetengah ibu bapa yang terdorong oleh keinginan yang sangat tinggi, menuntut daripada anak cara kehidupan beragama atau jenis pengetahuan yang tidak sesuai dengan pertumbuhan fizikal serta perkembangan jiwanya.

Sikap ibu bapa yang seperti ini sebenarnya tidak sesuai dengan tuntutan agama. Satu peringatan kepada ibu bapa agar tidak memaksakan pengamalan agama yang berlebihan kepada anak-anaknya kerana ia akan meninggakan kesan yang tidak baik terhadap perkembangan jiwa anak-anak itu.

Pada prinsipnya, agama tidak membebani seseorang, dewasa atau anak-anak, melebihi kemampuannya (maksud Surah Al-Baqarah ayat 286)

Di sini, pentingnya memberikan perlindungan kepada anak, bukan saja daripada orang lain, tetapi juga dari keluarga sendiri, bahkan dari orang tua yang tidak pernah ingin memahami atau yang ingin mendapatkan ‘keuntungan’ secara cepat daripada pembesaran anak itu.

Dalam hal ini Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Allah merahmati orang tua yang membantu anaknya berbakti kepadanya.” Ketika baginda ditanya,” Bagaimana ia menbantunya?” Baginda menjawab, ”Menerima yang sedikit daripada mereka, tidak memaksanya, tidak menghina dan tidak memakinya.”

Demikian juga dalam konteks perlindungan dari segi agama, anak juga harus dilindungi daripada perkara yang boleh merosakan moralnya kerana agama itu sendiri tidak terlepas dari ikatan moral.

Pertumbuhan anak dari segi sikap, perilaku dan keperibadian, bukan hanya ditentukan oleh ibu bapa atau keluarga tetapi juga oleh persekitaran. Persekitaran di sekolah dan masyarakat harus seiring dan tidak bertentangan dengan apa yang dialami oleh anak disekitar keluarganya. Dalam konteks perlindungan ini juga, pemerentah perlu menetapkan peraturan perundangan yang dapat menjamin perlindungan anak dari segala kesan negatif terhadap moral dan agamanya.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply