Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana di dalam buku teks mata pelajaran Sejarah, Kementerian Pendidikan membahagikan antara pejuang kemerdekaan dan musuh-musuh negara secara jelas daripada waktu sebelum hingga selepas merdeka.

“Ini negara demokrasi dan yang bertanding ini parti politik serta tidak ada parti komunis yang bertanding, jadi jangan bawa unsur yang boleh disalah faham oleh orang lain.

“Kita berikan kefahaman kepada pelajar dalam negara berkaitan sejarah berasaskan buku teks matapelajaran Sejarah yang ada di sekolah, kalau yang menyimpang daripada buku tersebut maknanya kita nak bangkitkan elemen lain yang tak patut dibangkitkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dedap di sini hari ini.

DAP sebelum ini menamakan Jamaliah Jamaluddin yang merupakan cucu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh sebagai calon gabungan pembangkang PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Jamaliah dalam tulisannya yang disiarkan di portal propembangkang, Malaysiakini berkata, neneknya merupakan seorang wirawati dan pejuang bangsa yang amat penting dalam sejarah negara.

Jamaliah berkata, Shamsiah adalah pemimpin AWAS, organisasi wanita pertama dalam sejarah Malaysia, dan merupakan seorang pejuang kemerdekaan pada waktu Tanah Melayu dijajah oleh British.- UTUSAN ONLINE