Oleh kerana itu, PDRM mesti memastikan semua pegawai dan anggotanya melaksanakan tugas-tugas utamanya. Antara tugas utama di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam dan mencegah serta mengesan penjenayah.

Sememangnya, masyarakat amat mengalu-alukan dan tertunggu-tunggu untuk melihat pasukan penguat kuasa seperti PDRM dibarisi oleh orang yang luar biasa ketahanan diri mereka dan kalis jenayah.

Ini termasuk kalis rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Pendek kata, harapan masyarakat adalah melihat polis persis ‘malaikat’, adiwira membanteras jenayah yang sentiasa ada apabila diperlukan.

Kerjaya polis sebenarnya mulia. Ini termasuk dalam suruhan Allah iaitu mencegah kemungkaran. Sa­yangnya perbuatan segelintir anggota PDRM merosakkan imej pasukan itu yang dikatakan sebagai kelima terbaik dunia selepas Uni­ted Kingdom, New York, Jepun dan Taiwan (menurut laporan Indeks Keselamatan Global) pada Julai 2011.

Realitinya, ramai pegawai polis yang amanah dan berkhidmat dengan dedikasi tanpa mengira masa.

Buktinya, dalam kemeriahan dan keseronokan rakyat menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara di kampung, ribuan warga PDRM bertugas memastikan kelancaran lalu lintas dalam Op Selamat 15/2019.

Demikian juga anggota yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan-kawasan perumahan. Malangnya, perbuatan segelintir anggota polis yang makan rasuah menyebabkan seluruh warga PDRM terpalit. Bak kata pepatah, ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.

Yang parahnya, mereka yang terlibat dalam rasuah dan menjadi tali barut ini adalah orang dipertanggungjawab dan diberi ‘lesen’ untuk memastikan keadilan dan menguatkuasakan undang-undang.

Kita tidak mahu nanti masyarakat hilang hormat kepada PDRM yang banyak berjasa memelihara dan menjaga keamanan negara.

Jangan sampai masyarakat menukar slogan PDRM sebagai penguat kuasa undang-undang kepada penyalahgunaan kuasa atau gila kuasa.

Masyarakat mengidamkan anggota dan pegawai PDRM yang sentiasa komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Pendek kata, kedatangan atau kehadiran polis menyebabkan umum rasa tenang kerana tahu mereka menjaga keamanan dan mencegah jenayah.

Kita bimbang akibat tidak amanah­nya polis akan mengundang kebinasaan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadisnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika amanah telah disia-siakan, tunggu sahaja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya; “bagaimana maksud amanah disia-siakan? “Nabi menjawab: Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu. (Riwayat Bukhari)

Justeru, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan, Selasa lalu disokong penuh.

Dengan cara ini diharap dapat mengurangkan risiko rasuah dan godaan-godaan melakukan kesalahan ugut orang lain untuk mendapatkan duit.

Abdul Hamid merayu agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Ini kerana gaji yang diperoleh anggota ber­kenaan iaitu daripada Sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama yang bertugas di bandar-bandar besar.

Namun, punca sebenar amalan rasuah adalah nafsu, iaitu gaya hi­dup me­­lebihi pendapatan. Mereka tidak ukur baju di badan sendiri.

Bukan semua penjawat awam begitu – hanya se­gelintir penjawat awam bergaya hidup mewah dengan buat pinjaman peribadi – bila hutang tak dapat dijelaskan, rasuah jadi pilihan.

Sedarlah, segala perbuatan yang dilakukan sama ada secara sembunyi atau di depan khalayak semuanya diketahui oleh Allah SWT.

Tidak kira siapa pun kita, waima pemimpin tertinggi negara sehinggalah pegawai tertinggi polis, di kiri dan kanan kita ada malaikat yang mencatat amalan dan segala perbuatan kita. Tiada yang terlepas waima pahala atau maksiat walau sebesar zarah.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka dan tangan-tangan mereka berkata kepada Kami dan kaki-kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang telah mereka usahakan. (Yasin: 65)