JANGAN JADI PENGIKUT YANG BISU DAN BEKU

Mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan orang lain dengan menggunakan kayu pengukur pengekalan kuasa politik adalah satu bentuk sindrom resah dan kekacauan moral yang tidak selaras antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan.

Atas kejujuran orang lain untuk melihat dua kuasa politik sebangsa dan seagama kembali berkuasa, cadangan yang membawa kepada penyatuan itu akhirnya dipersoalkan sebagai sesuatu yang bohong. Bila lontaran dakwaan itu bersambut, maka moral pembawa berita itu melonjak naik manakala si penembak yang cuba membunuhnya menjadi sedikit kacau.

Banyak peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia boleh kita renungi betapa kerana takut kehilangan kuasa, mereka yang berada di tampok kekuasaan itu tidak lagi menghiraukan moral rakyat kebanyakan. Pada ketika itu, rakyat hanyalah sekelompok penyokong yang perlu mengiyakan apa yang diputuskan oleh pemimpin walaupun sedar ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Pemimpin terus menganggap dirinya yang betul, maka rakyat perlu patuh kepada apa yang dinyatakan sehingga kekuasaan itu dengan warna tirani dan kemutlakan hak peribadi. Persoalannya, kenapakah pemimpin yang sedemikian masih mahu dikekalkan berkuasa? Pernahkah kita belajar dari sejarah?

Permulaan berkuasa penuh dengan kesederhanaan dan rendah diri. Setelah lama berkuasa, kesederhanaan sifat dan tindakan sudah berubah, sehingga pendapat orang lain tidak lagi perlu walaupun orang itu mendapat sokongan padu daripada ahli yang membentuk dan mengemaskan perjalanan organisasi.

Kadangkala pemimpin tersebut terlupa, setiap kata-kata yang pernah dikeluarkan akan terus menjadi bayangan imej dan melakarkan perwatakan pemimpin itu sendiri. Para penyokong akan terus menilai, apakah berlaku paradok dan ketidaksehaluan antara kata-kata dan tindakan? Nyatalah, semakin lama semakin banyak percanggahan. Semakin lama semakin terdesak, malah sanggup bercanggah dengan pegangan sebelumnya.

Dalam setiap kata-kata penuh dengan makna, bahawa kehidupan sebagai umat yang berbudaya dan beragama amat mementingkan penyatuan semangat dan iktikad. Tetapi, telunjuk berkait membawa gambaran di sebaliknya, semangat dan iktikad hanyalah sebuah manifestasi, bukannya sebuah hakikat yang amat perlu dilaksanakan.

Untuk apa bersatu kalau hanyalah merupakan penyatuan atas nama semangat dan iktikad? Masih banyak perkara yang terselubung, yang telah membengkakkan hati dan perasaan belum diselesaikan. Proses penyatuan tidak perlu dirintis secara lebih bermaruah kerana ia akan menggadaikan seluruh perjuangan yang ditegakkan selama ini, akan membongkar kesilapan lalu yang terlalu lama digula-gulakan kepada rakyat.

Itulah realiti politik yang sedang berlaku dalam gelombang pengekalan kuasa menuju sebuah  arah yang gagal. Kegagalan bukan kerana tidak memahami keperluan, tetapi atas sikap yang semakin ego dan autokratik. Bila ada pihak yang cuba menghantar signal bagi memperbetulkan arah, maka pemimpin itu akhirnya diberikan petunjuk baru agar segera menghentikannya. Maka terjadilah suasana bisu dan beku, yang hanya boleh memberikan pandangan adalah pemimpin itu seorang.

Maka belum pun perbincangan selanjutnya dirintis, petanda awal itu bertukar menjadi geruh politik yang membingungkan orang ramai. Dolak-dalik pun bermula sebagai petanda baru pemuafakatan yang disarankan semakin tidak dipersetuju kerana takutkan pusingan kuasa beralih dan bertukar tampok. Legasi untuk kekal sepanjang hayat tidak akan menjadi kenyataan, walaupun kepimpinannya semakin terumbang-ambing bagaikan “orang mabuk kuasa.”

Ibnu Khaldun, seorang sejarahwan dan pemikir masyarakat yang terhebat pernah dilahirkan oleh Islam memberikan kita banyak penilaian bagaimana pola kehidupan sebuah masyarakat politik yang bertamadun. Analisis Ibnu Khaldun bahawa politik adalah sesuatu yang besar dan mempunyai posisi yang mulia dalam kehidupan bermasyarakat, kerana ianya menjadi pelana mempraktikkan kuasa untuk membangunkan kehidupan masyarakat.

Sebagai pelaku penting, manusia berpolitik kerana ingin memperjuangkan sebuah kehidupan yang bermoral, mendisiplin masyarakat kebanyakan dengan nilai-nilai kemasyarakatan dan mengutamakan pola hidup yang harmoni. Maka, kaedah moral dan adaptasi nilai masyarakat adalah lebih dititikberatkan berbanding nilai-nilai individu secara terpisah dan khusus.

Dalam pengertian moden, politik dihubungkan secara langsung dengan kekuasaan dan menguruskan kuasa dalam masyarakat atau sesebuah negara. Kaedah bernegara dan menguruskan kuasa mendapat lautan dan pautan langsung yang dikisahkan dalam pelbagai peristiwa di dalam al-Qur’an. Mendapat kuasa dan menguruskan kuasa itu hanyalah dalam bentuk relative bagi manusia, kerana itulah kuasa juga disamatarafkan sebagai amanah.

Kuasa mutlak milik Allah SWT. Pemimpin tidak berhak mempersoalkan kuasa yang mutlak kerana mempersoalkannya bererti cuba mengambil hak Allah Swt. Apabila pemimpin menyoalkan dan menilai seseorang itu masuk syurga misalnya, ia sudah bermakna sebagai satu percubaan mengambil kuasa yang hanya milik Allah SWT. Mempersoalkan hakikat keimanan seseorang atas kelainan fahaman politik juga merupakan percubaan mempertikai kuasa Allah SWT sedangkan antaranya masih mengucap dua kalimah syahadah, beribadat dan beriman dengan al-Qur’an, keyakinan kepada Tuhan yang sama.

Putaran turun naik dan jatuh bangun sesebuah kekuasaan bukanlah suatu peristiwa yang tidak bermakna,  dalam setiap penggiliran kuasa itulah sebenarnya Allah SWT ingin memperlihatkan bentuk pengajaran yang terbaik untuk manusia. Teladan itu akan membentuk satu falsafah moral yang bakal menjadikan panduan buat manusia bagi meneruskan kelangsungan kuasa dan membentuk sebuah peradaban yang kuat.

Beruntunglah bagi manusia yang dapat memahami dan mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang pernah dialami dan menjadikannya sebagai nilai baru sepanjang menguruskan kuasa, tetapi bukan menjadikan kuasa itu sebagai milik mutlak manusia. Kemutlakan tetap milik Allah SWT. Amanah tersebut perlu dilaksanakan secara bermoral dan bertanggungjawab.

Penghayatan dan kupasan Ibnu Khaldun tentunya bersandarkan sepotong ayat yang telah digambarkan dalam al-Qur’an. Bangun dan jatuhnya sesuatu bangsa itu adalah kerana sikap kelompok elit yang tidak mempedulikan hak rakyat yang perlu diberikan perhatian dan akhirnya keegoan kelompok elit dengan pendapatnya sahajalah yang betul, maka rakyat menjadi muak dan benci. Ketika itulah suatu kuasa lain akan muncul mengambil peranan menjatuhkan kelompok elit yang lupakan tanggungjawab dan tidak melaksanakan amanah. (al-Quran surah al-Isra ayat 16).

Kelompok elit terdahulu bukan sahaja jatuh, malah menerima jalan akhir penuh kejelikan. Kita mungkin tidak dapat melupakan bagaimana kekuatan Dinasti Pahlawi dan akhirnya terpaksa berkelana sehingga mati dalam buangan apabila rakyat Iran mula mempersoalkan bagaimana kuasa yang ada telah disalahgunakan. Kita juga memahami bagaimana suatu masa kemunculan Marcos penuh dengan sanjungan dan harapan, tetapi akhirnya dijatuhkan secara tragis sehingga menyebabkan kepulangan mayatnya menjadi konflik dan ketegangan.

Kehancuran kuasa itu akhirnya imejnya dilihat begitu fatal. Tidak ada sisi positif yang boleh diteladankan lagi, kerana kebaikan sebelum telah musnah oleh sikap rakus dan keangkuhan diri. Tidak pernah membayangkan bahawa diri mempunyai kelemahan, kerana kuasa yang ada itu telah menjadikannya kehilangan arah dan pertimbangan moral yang pernah diperjuangkan ketika mula bertapak dalam tirai kuasa.

Dalam sejarah, kaum Majusi dapat menguasai dunia empat abad lamanya. Kuasanya itu dapat bertahan lama kerana melaksanakan tanggungjawab secara adil dan menyeluruh. Dan, ini bertepatan dengan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Daud AS:   Aku mencegahmu memaki para raja bangsa Ajam (bukan Arab). Sesungguhnya mereka telah memakmurkan dunia, dan memberikan hamba-hambaku tempat tinggal di atasnya.

Dunia bukan sahaja menjadi makmur apabila penguasa bertindakan secara adil dan saksama. Jiwa rakyat menjadi tenteram, dapat mencari nafkah dan meneruskan kehidupan harian secara tenang dan mudah. Jiwa seluruh rakyat tidak dilanda kegelisahan dan ketakutan. Zaman pemerintahan  Azdasyir, Afrendun, Bahram, Kiwara dan Kaisar Anusyirwan menjadi bukti.

Apabila penguasa bertindak secara zalim, maka rosaklah dunia seperti mana berlaku pada zaman pemerintahan al-Dhahak, Afrasian, Barazdak Al-Khathi dan lainnya. Kebobrokan ini terus berpanjangan sehinggalah umat Islam berjaya menaklukinya. Keamanan terus berlangsung sehingga zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Agama dan penguasa saling melengkapi bagaikan saudara kembar yang lahir dari rahim seorang ibu yang sama. Justeru seorang penguasa harus menilai tinggi falsafah moral, menjauhkan diri dari tindakan bersifat bidaah, kemungkaran, subahat kerana itulah punca yang menjadikan agama rosak dan terhakis.

Seorang penguasa wajib menjaga kehormatan agama Islam. Dia harus tetap membangun dan memperkuatkan pertahanan dan berusaha menjunjung tinggi kebenaran dan menjaga kemurnian umat agar langkah perjalanannya terpuji di sisi Allah SWT. Pemimpin juga perlu memperlihatkan sikap dan wibawa yang terpuji, bukan hanya untuk mendapatkan sanjungan manusia, tetapi mencari keredhaan Allah SWT.

Rasulullah bersabda:” Sehari keadilan bagi seorang penguasa adalah  lebih baik dari tujuh puluh tahun beribadah.” Sabda  Nabi lagi, “Berlaku adil terhadap orang yang teraniaya, mencerdaskan akal.” Dalam sabdanya yang lain:” Barang siapa mencabut pedang untuk melakukan kezaliman, maka terlepaslah pedang kemenangan ke atasnya. Dan selamanya ia akan terjerat dengan penderitaan.”

Seorang penguasa yang baik ialah yang sentiasa berwaspada terhadap ulama-ulama suka mencuri tulang dan bermuka-muka (ulama culas/jahat),  yang hanya memerlukan pujian dan penghormatan serta kekayaan duniawi. Mereka menyanjung, memujuk dan merayu. Mereka sengaja membuat kita senang dan berusaha memperoleh sesuatu daripada kita melalui pelbagai tipu daya. Ia tidak jujur dalam memberi nasihat.

Jangan-jangan ada di kalangan cerdik pandai kita sudah menjadi Haman, yang mempersembahkan kecerdasannya untuk mengabdi kepada kezaliman. Kecerdikannya telah dipergunakan untuk memperdaya orang lain, mencari kesenangan diri. Ada kuasa, disalahgunakan untuk kepentingan diri.

Jangan-jangan para ulama kita sudah menjadi Balam bin Baura, sanggup menjual ayat-ayat Allah SWT untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu. Menggagas hasrat keduniaan, tapi tetap tidak melupakan tanggungjawab menjadi seorang hamba yang soleh.

Seharusnya kita melangkahkan kaki ke rumah orang miskin dan mengetuk pintu rumah menghulurkan bantuan. Tetapi kini, kita menghayunkan langkah ke istana para penguasa, menundukkan kepala kita di hadapan mereka, seraya mengumumkan ayat-ayat Allah SWT untuk membenarkan kezaliman mereka. Tatkala melakukan kebajikan hanya sekadar bermusim dan penuh publisiti.

Jangan-jangan kita semua sudah tidak peduli lagi dengan perintah Tuhan. Kita semua sudah menjadi hamba dalam dunia bayangan yang kita ciptakan sendiri. Semasa di masjid, kita membesarkan dan memuji kekuasaan Allah SWT ; di luar masjid kita menggunakannya untuk bermaksiat kepada-Nya. Tangan-tangan yang kita angkat sepanjang amalan doa itulah juga kita celupkannya dengan dosa.

Lidah-lidah yang kita gegarkan bersama alunan suara nyaring menyebut Asma-Nya, lidah itulah juga akhirnya kita lontarkan kata-kata kesat, umpatan dan fitnah. Lidah itulah juga akhirnya memenjarakan diri kita dalam gelombang pembohongan dan penafian yang tidak berkesudahan.

Lidah itulah juga menyekat kita dari melakukan bahasa yang indah dan penuh makna kepada sebuah kebaikan. Kitalah sebenarnya telah memenjarakan tirai kuasa dalam politik belantara yang kotor dan keji. Lidah itulah juga menjarakkan kita dengan orang yang kita pimpin, kerana mereka menilai apa yang kita ucapkan itu sama ada ianya sebuah paradok ataupun cakap tak serupa bikin.

Seharusnya seorang pemimpin mengetahui bahawa tidak seorang pun yang lebih rugi dibandingkan dengan orang yang menjual agama. Destinasi kekal diakhirat semacam terlupa terus kerana terpesona dengan kemewahan dunia.  Banyak orang yang bekerja hanya untuk memuaskan hawa nafsu syahwat, tetapi kurang yakin bahawa kehidupan seterusnya sedang menanti dengan penuh misteri. Ingatlah, kehidupan didunia tetap merupakan bekalan menuju akhirat.

Jangan kerana ingin terus berselindung di sebalik tirai kuasa, kita menjerat diri dalam tabir politik dolak-dalik dan prejudis. Itulah sebenarnya telah membunuh nilai diri dan keinsanan kita, sebagaimana dianjurkan oleh Islam. Tidak perlu kita mengamalkan apa yang pernah disyorkan oleh Meachivili, matlamat menghalalkan cara, kuasa menghalalkan tindakan dan mengetepikan prinsip moral.

Catatan: Mohd Shauki  Majid

No Comments

    Leave a reply