JANGAN JOLOK SARANG TEBUAN

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Teruja saya membaca hasil kajian bersama badan antarabangsa yang dilaporkan oleh beberapa laman web ultra kiasu, mengkhususkan kajian dalam soal diskriminasi dan persamaan, berpusat di United Kingdom, Equal Rights Trust (ERT) bersama Tenaganita, yang mengatakan kewujudan Perkara  89 (Tanah Simpanan Melayu) dan 153 (Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera) Perlembagaan Persekutuan, adalah punca utama diskriminasi kaum dan masalah utama negara ini, dengan tajuk yang menjelekkan “Washing the Tigers: Addressing Discrimination and Inequality in Malaysia”.

Kajian ini juga turut mempersoalkan beberapa Perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan seperti 5(4), 8(2), 9, 10, 11, 12(1), 14, 15, 24, 26 dan 161. Saya mohon kita semua baca maksud perkara tersebut dalam perlembagaan. Banyak perkara menyentuh tentang kedudukan istimewa  Melayu dan Islam. Jika serangan sebegini telah dilakukan, apakah kita patut berdiam diri dan mengiyakan kajian tersebut?  

Perkara berkaitan dengan Melayu dan Islam adalah juga benteng terakhir perlindungan terhadap Melayu dan Islam. Jika benteng ini musnah, tidak ada apa lagi yang tinggal. Saat itu, tunggulah masanya umat Islam (Melayu) akan merempat di bumi sendiri seperti yang berlaku di Singapura.

Berita ini sengaja dibiarkan lama dalam laman web ultra kiasu tersebut untuk tatapan orang ramai terutama ultra kiasu memberikan komen. Semua komen negatif dibiarkan kekal untuk kita membacanya,  bagi menjustifikasikan kajian mereka. Beginilah liciknya ultra kiasu dalam usaha menghapuskan perlindungan hak dan keistimewaan Melayu dan Islam dalam perlembagaan.

Selaku ahli akademik, hasil kajian tersebut tidaklah mengejutkan kerana kita tahu latar belakang badan-badan ini. Persoalannya, kenapa tidak didedahkan metodologi, reka bentuk dan responden kajian ini?

Lebih berani lagi, mereka mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menghapuskan atau memansuhkan Perkara tersebut, bagi mengelakkan diskriminasi berasaskan etnik. Peruntukan itu juga katanya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Banyakkan undang-undang negara lain yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, kenapa tidak dipersoalan? Kenapa harus kita yang menjadi sasaran? Umat Islam perlu faham maksud tersurat dan tersirat. Jangan asyik berpolitik. Kadang kala di sini bergunanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malangnya ia telah dihapuskan.

Pelik sungguh, kenapa mereka begitu risau dengan perlindungan ini sedangkan ia langsung tidak menghalang hak bukan Melayu dan bukan Islam? Apa tujuan mereka sebenar? Kenapa fokusnya Melayu dan Islam di Malaysia? Bukannya negara-negara lain yang tidak kurang diskriminasinya. Jangan pergi jauh, lihat sahaja negara yang mana umat Islam menjadi  minoriti seperti di China, Filipina, Thailand, Singapura, Perancis, malah di Britian sendiri. Adakah tidak wujud diskriminasi terhadap minoriti?

Pendek kata, diskriminasi di kalangan minoriti adalah sesuatu perkara biasa di mana-mana negara yang bangsa majoriti yang memerintah. Tidak perlu ditonjolkan seolah-olah apa yang berlaku di negara ini terlalu tenat. Pada saya, jika perkataan ‘diskriminasi’ yang ingin digunakan, saya boleh katakan diskriminasi di Malaysia masih lagi ‘positif’, berbanding negara lain yang amat jelas mendiskriminasikan Islam dan umat Islam. Umat Islam yang menjadi minoriti tidak diberikan hak untuk mengamalkan cara hidup sendiri, seperti memakai jilbab atau tudung. Kenapa kajian tidak dibuat di negara-negara barat ini?

Jika kerana tanah rezab Melayu dan hak istimewa Melayu, menjadikan bukan Melayu miskin atau papa kedana, mungkin saya selaku bukan Melayu, tidak dapat menerima diskriminasi ini. Hakikatnya, dengan wujudnya ‘diskriminasi’ ini, bukan Melayu terus menjadi kaya raya dan kedudukan mereka tidak terancampun. Dengan kemudahan lesen yang diberikan kepada Melayu, akhirnya menjadi hak bukan Melayu kerana Melayu menjualkannya kepada bukan Melayu. Berapa banyak tanah rezab Melayu tergadai ke tangan orang bukan Melayu?

Jika ditakdirkan Kampung Baru dimajukan nanti, apakah jaminan bahawa tanah rezab dan hak istimewa tidak tergadai kepada bukan Melayu. Bukan itu sahaja, lihat betapa banyak produk menggunakan label Melayu dan Islam diperalatkan demi untuk melariskan perniagaannya. Kerajaan tidak pernah menghalang penggunaan label tersebut, termasuk manipulasi pekerja Islam. Apakah ini bukan diskriminasi?

Bolehkah kajian ini menyenaraikan apa yang menjadi milik Melayu hari ini yang tidak diperolehi oleh bukan Melayu? Hampir semua milik Melayu telah dinikmati oleh bukan Melayu dalam pelbagai aspek seperti lesen, biasiswa, tanah rezab dan sebagainya. Sehingga sampai ke peringkat tanah kepunyaan kerajaan telah banyak menjadi hak kuil, tokong dan gereja.

Diskriminasi apa lagi jika hari ini terdapat sebesar-besar patung dan gereja di merata tempat untuk memenuhi kehendak minoriti yang berpegang kepada agama, yang rata-ratanya kurang daripada 10 peratus tetapi identiti mereka telah menenggelamkan identiti Melayu dan Islam itu sendiri? Begitu juga gereja yang sudah pun tersergam indah di Bukit Jalil, yang terbesar di Asia.

Ironinya, apabila ada kajian membuktikan kelemahan institusi kaum mereka, contoh; ketidakupayaan bukan Melayu menguasai bahasa kebangsaan punca masalah punca masalah negara ini, maka semua kalangan ultra kiasu menolak. Namun, apabila ultra kiasu melakukan kajian sebegini, mereka mahu memaksa kita menerimanya, termasuk meminda perlembagaan. Lebih menyedihkan, kita terlalu berlembut.

Saya hanya ketawa beruk membaca kajian ini dan layak dibakulsampahkan. Namun, kita tidak boleh berdiam diri tanpa menjawab kajian ini terlebih dahulu. Kajian ini juga mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Perkara 153, dalam menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera  Sabah dan Sarawak termasuk kuota perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan. Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka.

Ini baharu permulaan, selepas ini saya yakin mereka akan terus mempertikaikan kedudukan  istimewa ini dari masa ke semasa. Pendek kata, mereka mahukan semua perkara tersebut yang kononnya mendiskriminasikan hak inidividu, kebebasan berpolitik, beragama, gender, bangsa, etnik dan berbagai-bagai lagi dihapuskan.

Siapakah mereka mahu campurtangan dalam hal berkaitan dalam negara? Apakah mereka tidak sedar bahawa perlembagaan adalam undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara dan ianya berdaulat. Mempertikaikan undang-undang sesebuah bermakna sudah mencabar kedaulatan sesebuah negara itu. Tindakan seperti ini seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan.

Matlamat sebenarnya adalah untuk menghapuskan perlindungan Melayu dan Islam satu-satunya masih lagi dilindungi di negara ini yang tidak ada pada negara lain. Jika perkara ini berjaya diubah, bermakna, berjayalah mereka untuk mensekularkan negara Islam sepenuhnya. Kenapa tidak mengkritik undang-undang yang menghalalkan LGBT? Begitu juga diskriminasi jelas terhadap minoriti umat Islam di negara majoriti bukan Islam?

Saya fikir lebih baik hidup dalam ‘diskriminasi’, daripada melihat manusia rosak serosak-rosaknya. Inilah bahayanya gerakan yang sedangkan dipelopori beberapa parti politik ultra kiasu, bersama NGO lain seperti Tenaganita, Majlis Peguam dan sebagainya. Sudah tentu ucapan ahli parlimen Lembah Pantai turut berkaitan.

Saya mahu kita semua sedar, bahawa semua ini adalah agenda Inter Faith Council (IFC) dan 14 perkara tuntutannya yang mahu merosakkan umat Islam dan orang Melayu. Mereka mahukan negara ini tidak ada lagi identiti Melayu dan Islam. Kepentingan bangsa dan agama majoriti tidak lagi dilindungi. Hak asasi manusia mengatasi segalanya. Jika mereka berjaya lakukan di sini, atau memecahkan tembok ini, maka tercapai hasrat mereka menundukkan Islam dan Melayu.

Saya amat mengharapkan pimpinan negara memberikan perhatian serius terhadap perkara ini. Sasaran mereka untuk menembusi negara yang kuat jati dirinya seperti Iran dan China masih gagal. Justeru, mereka sedang bertumpu di negara kita. Mereka mahu menjadikan Islam dan perlembagaan kita tunduk kepada norma-norma antarabangsa ciptaan manusia yang boleh menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam.

Antara norma-norma tersebut adalah; Pertama, Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948. Kedua, Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan Malaysia pada 5 Julai 1995). Ketiga, Konvensyen mengenai hak kanak-kanak. Keempat, Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama. Kelima, Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarganegaraan, suku kaum, agama dan bahasa minoriti. Keenam, Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.

Kesemua norma antarabangsa tersebut masih belum disahkan di Malaysia kecuali yang telah disebut. IFC mahukan semua agama mesti mengikut norma antarabangsa tersebut. Norma antarabangsa itu tidak membezakan antara penganut Islam dan bukan Islam. Untuk orang Islam, cara hidup mereka bukan lagi cara hidup Islam tetapi norma-normat antarabangsa tersebut.

Apa jua ajaran Islam yang bertentangan dengan norma tersebut mesti dihapuskan. Pendek kata, agama Islam mesti tunduk norma mereka. Mereka berpegang kepada asas bahawa manusia adalah bebas.  Manusia bebas melakukan apa sahaja, termasuk menukar agama. Walaupun namanya orang Islam atau masih mengakui Islam, mereka boleh beramal dengan ajaran agama lain.  Maka, tidak hairan pertubuhan Sister in Islam begitu bersungguh-sungguh menyokong ahli parlimen ini. Pertubuhan ini jarang bersuara jika sesuatu itu tidak berpihak kepada mereka.

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia turut mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, bersuara, beragama dan sebagainya. Bermakna, status kita sebagai umat Islam bukan lagi tertakluk kepada perintah Allah s.w.t tetapi kepada perintah manusia yakni norma tersebut. Kita tidak berhak lagi ke atas urusan sesama Islam. Selepas ini Jabatan Perdaftaran negara tidak ada hak lagi untuk menolak permohonan seseorang untuk menukar agama daripada Islam kepada bukan Islam atas alasan jika permohonan ini tidak diluluskan ia akan merosakkan keharmonian dan kebebasan beragama.

Justeru apa peranan kita hari ini? Apakah kita perlu mengiyakan kajian ini dan pandangan ahli parlimen tersebut tanpa melakukan sesuatu untuk membantahnya. Umat Islam mesti bersatu hati menolak perancangan jahat dan licik ini. Selepas ini, pasti ada kajian yang sengaja ditonjolkan dan melobi untuk memusnahkan dan memansuhkan kedudukan Islam dan Melayu dalam perlembagaan.

Sedarlah umatku, badan ini sebenarnya bersatu. Maka tidak hairan jika mereka sedia memberikan khidmat guaman secara percuma untuk menyaman kerajaan dan membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi. Umat Islam harus berwaspada dan jangan terpedaya dengan semua diayah dan perancangan licik mereka. Mereka akan menggunakan pelbagai cara jika gagal dengan satu cara yang lain.

Justeru, elakkan diri menyertai dialog atau forum di mana mereka lebih ramai dan mendominasi seperti dialog yang disertai oleh ahli parlimen PKR dan PAS yang ingin menunjuk pandai anjuran gereja di Subang Jaya baru-baru ini. Jangan terperangkap. Pastikan kesucian Islam (Melayu) tidak tunduk kepada norma antarabangsa dan kajian picisan ini.

Begitulah juga jemputan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Taoism dan Sikh untuk kita menyertai mereka. Bayangkan jika wakil agama Islam menyertai, berhadapan dengan lebih 5 wakil agama yang sedia ada, mampukah kita berhadapan dengan mereka? Dengan kekuatan agama Islam, kita mampu berhadapan dan berhujah dengan mereka meskipun 1 nisbah 5. Tetapi apabila mereka sudah tidak mampu bertahan, maka undian akan dijalankan atas alasan sistem demokrasi. Ketika itulah kita akan kalah. Sebab itulah kita tidak boleh berpegang sepenuhnya kepada sistem demokrasi.

Sistem Islam adalah yang terbaik kerana ada gabungan nilai demokrasi, autokrasi dan apa jua idea ciptaan manusia. Hebatnya Islam, apabila sesuatu isme bercanggah dengan peraturan Allah, maka isme-isme ini mesti tunduk kepada hukum Allah, bukannya hukum Allah tunduk kepada mereka. Begitu juga dalam kehidupan bernegara, setiap warganegara dan bukan warganegara yang berada di negara ini, mesti patuh kepada segala undang-undang yang ada. Jika tidak suka atau tidak selesa, silalah keluar daripada bumi bertuah ini. Carilah atau berhijrahlah ke negara lain boleh memberikan keselesaan dan kebebasan yang memenuhi cita rasa mereka. Saya amat yakin, mereka yang sengaja menimbulkan isu ini sudah menikmati keseronokan berada di sini. Kenapa isu ini diperbesar-besarkan? Jawapannya, kerana umat Islam tidak pernah bersatu dan terus menonjolkan kelemahan dari semasa ke semasa. Maka peluang ini digunakan sepenuhnya untuk menambah apa yang telah didapati. Tambahan yang mereka perolehi itu, adalah penghakisan kepada hak istimewa Melayu dan Islam. Wahai umatku, bukalah mata, bukalah minta. Jangan sampai kita terus dibutakan dengan perpecahan yang tidak berkesudahan.

No Comments

    Leave a reply