JANGAN JUAL AGAMA KERANA INGINKAN KUASA

AGAMA adalah umpama pedang yang bermata dua, kedua-dua belah sama tajam. Apabila seseorang itu melaksanakan ajaran-ajaran agama dengan baik maka ia boleh menolongnya menghadapi pelbagai kesukaran dan kesulitan hidup. kalau agama itu digunakan untuk tujuan yang tidak baik maka orang itu akan dibinasakan oleh pedangnya sendiri.

Persoalannya hari ini bagaimanakah manusia itu harus menggunakan agama itu ke jalan yang betul, benar dan baik. Adakah dengan berpegang teguh kepada ajaran agama membuat seseorang harus mengorbankan akidahnya dengan banyak bertolak ansur kepada pihak lain demi mencapai matlamat keduniaan yang hanya bersifat sementara.

Sejauh mana sebenarnya sempadan agama dapat membuat seseorang itu bersikap tegas dan pada masa yang sama bertolak ansur berdepan masalah-masalah kehidupan manusia. Soalan-soalan ini timbul kerana agama banyak berkaitan dengan perasaan dan keyakinan, bukan dengan mengikut logik semata-mata.

Hari ini, orang Melayu mula memahami bahawa bukan Melayu semakin mempersoalkan nilai-nilai yang pernah diakui sebagai Hak Keistimewaan Melayu bahkan kedudukan sempadan agama. Orang Melayu yang berjiwa nasionalis dituduh sebagai rasis sedangkan bukan Melayu yang mendesak pelenturan dan kelonggaran “kontrak sosial” hanya meminta agar mereka diberikan sedikit keistimewaan.

Dalam membuat desakan sedemikianlah, adakalanya orang Melayu turut terikut-ikut sehingga sanggup mewajarkan tindakan itu selari dengan kepentingan agama. Orang Melayu menjadi lebih bersifat politik bahkan sanggup pula menggadaikan agama demi mencapai keinginan politik. Inilah perspektif yang bukan sahaja boleh merosakkan nilai kehidupan bermasyarakat, bahkan bakal menjadikan garis sempadan Islam dilanggar.

Perdana Menteri yang sudah berjaya memimpin Malaysia sejak tsunami politik sebenarnya sedar mengenai bahaya mereka yang menggunakan senjata politik untuk mengancam kerajaan. Bahkan, amaran Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengenai percubaan melanggar sempadan agama Islam di mana “bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan” kerana ia boleh “terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri”.

Peringatan itu menjadi penting kepada seluruh rakyat Malaysia, bahkan ahli politik perlu memahaminya dengan penuh keinsafan. Jika terus “melanggar sempadan agama Islam” bermakna dalam keadaan tertentu orang Islam boleh bersatu, kerana agama merupakan unsur yang paling kuat pengaruhnya ke atas manusia. Orang boleh menjadi ganas apabila agamanya dicabar. Orang boleh jadi pelupa kepada kehidupan budiman sekiranya agama mereka dicela.

Sejarah telah memberikan banyak teladan bagaimana orang sanggup mati kerana agamanya. Sejarah juga mengajar kita bahawa atas nama agama orang sanggup melakukan apa sahaja, bahkan ada parti politik sanggup “menjual agama” kerana terlalu inginkan kuasa. Parti politik yang sanggup “menjual agamanya sendiri” itulah sebenarnya menjadi kelompok yang bakal menghancurkan agamanya sendiri.

Parti politik yang menggunakan agama itulah sebenarnya sentiasa bermain dengan kata- kata, demi agama, atas nama agama kita perlu pertahankan tetapi sayangnya setiap tindakan yang diambil tidak mencerminkan nilai- nilai budiman yang dianjurkan oleh agama. Apabila berjanji, tidak kotakan janji dan apabila diberikan peluang memerintah, tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

Wakil rakyat adalah jawatan yang bersifat amanah dan tidak pula merujuk kepada kuasa untuk melakukan apa sahaja selepasnya, termasuk memperkudakan rakyat demi mencari keselesaan. Maka, dalam memenuhi tuntutan tersebut, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah berjaya melakarkan keberkesanan kepimpinannya, dan kerana itulah beliau sentiasa terdedah dengan pelbagai serangan pakatan pembangkang.

Dalam serangan memperburuk-burukkan Perdana Menteri akhirnya pakatan pembangkang malu untuk mengakui kelemahannya. Akibat malu itulah akhirnya pakatan pembangkang mengulangi semula strategi yang telah berjaya mereka lakukan untuk mengubah persepsi rakyat. Kalau tahun 2007 mereka berjaya laksanakan Bersih 1.0 sehingga mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya 2008, mereka juga lancarkan Bersih 2.0, selepas itu  Bersih 3.0 pula dibuat sebagai strategi untuk menghapuskan kelemahan pakatan pembangkang berkhidmat kepada rakyat dan menutup pelbagai konflik dalaman,

Hakikat itu sudah menjadi jelas, bahawa pakatan pembangkang semakin terdesak dan ia menggambarkan medan politik mereka semakin kehilangan arah. Angin perubahan sedang bertiup kencang menyebelahi BN, maka tiga tahun menyemai benih anak-anak bakau itu akan membolehkan persada politik negara kembali kuat dan tidak mudah dilanda tsunami sekali lagi.

Oleh Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

No Comments

    Leave a reply