JANGAN PERBODOH-BODOHKAN PENGIKUT

Kepercayaan terhadap parti tertentu tanpa rasional menyebabkan berlakunya pembohongan dan manipulasi. Agama diperalatkan lalu dijadikan bantuan kempen sehingga berjaya memproklamasikan bahawa parti itulah sahaja yang mampu membawa seseorang ke syurga. Sesiapa yang tidak menyokong perjuangan parti tersebut dianggap berdosa dan akan dimasukkan ke dalam neraka saat berpindah ke alam barzah.

Hakikat dan kebenaran ajaran Islam dijadikan dagangan politik, dan dikaitkan dengan janji pahala yang besar, sedangkan Allah SWT lah yang berhak menentukan tempat hamba-Nya,  sama ada di syurga ataupun di neraka. Ironinya kempen sedemikian berlaku di kalangan sesama Islam. Manakala di kalangan bukan bukan Islam isu dosa dan pahala tidak timbul, dan dengan demikian mereka boleh menghina siapa dan apa sahaja;  termasuk konsep tauhid dan akidah Islam. Kalangan bukan Islam dibolehkan mengguna kalimah Allah bagi menggantikan perkataan Tuhan.

Inilah bentuk politik yang berlandaskan rumusan Machiavelli; matlamat menghalalkan cara. Sebenarnya, teras konsep politik ini adalah lanjutan daripada pandangan klasik yang mendefinasikan manusia sebagai haiwan politik. Pandangan klasik itu sebenarnya cuba menolak nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipelopori oleh Islam.

Unsur-unsur fitnah tidak dianggap fitnah kerana fitnah baginya ia dikira sebagai salah satu strategi berpolitik. Pemimpin tersebut akan berusaha menindas sesiapa sahaja yang dilihat mengekang perjalanan politiknya, walaupun pernah berada dalam barisan perjuangan yang sama, dan sanggup menggunakan agama dan sebagainya, asalkan maksudnya tercapai

Islam menpunyai prinsip dan nilai-nilai tertentu dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Justeru, Islam tidak membenarkan prinsip dan nilai tersebut dikorbankan untuk mencapai matlamat demi  kepentingan peribadi atau parti-parti politik tertentu. Lantaran itu dalam mempertahankan prinsip ini, konsep ‘qulil haq walauka namurran’, yakni berkatalah benar (kebenaran) walaupun pahit, perlu dipertahankan.

Malaysia memerlukan pemimpin dari kalangan mereka yang berjiwa transformasi. Pemimpin jenis ini tidak memperbodoh-bodohkan pengikut, tetapi sentiasa mencari jalan memberi ilmu agar budaya intelektual berkembang dengan bijaksana. Jika bercakap, percakapannya menawarkan input agar audiens berfikir dan bukannya menyogokkan sebuah keputusan hebat secara serta merta. Pemimpin transformasi mahu melihat pengikutnya menjadi bijak oleh kerana kebijaksanaanlah yang diperlukan untuk memenuhi tujuan bermasyarakat dan bernegara.

Pemimpin karismatik banyak bercakap tentang dirinya sendiri kerana pemimpin sedemikian mahu memegang kejap perasaan taksub para pengikutnya. Apabila pengikut menjadi terlalu taksub, maka apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka itulah sahaja yang betul dan benar secara mutlaknya, sedangkan sebagai orang Islam, kita meyakini bahawa kebenaran mutlak itu adalah milik Allah SWT. Ini ditegaskan dalam  firman-Nya yang bermaksud:  “Kebenaran itu dari Tuhanmu, maka janganlah kamu menjadi orang yang ragu” (Surah al-Baqarah ayat 147). Kebenaran yang ada di tangan manusia adalah kebenaran bersifat subjektif, kebenaran yang bersandarkan kepada peraturan, nilai-nilai yang dipersetujui bersama dan norma kehidupan yang diwarisi.

Setiap kebaikan yang cuba dipaparkan oleh orang lain akan tetap dianggap sebagai sesuatu yang buruk secara sinis, oleh sebab ia boleh menjejaskan imej dan pembawaan seseorang pemimpin karismatik. Apabila diperkenalkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, mereka mula mencari persamaan bagi menenggelamkan kepopularan gagasan tersebut.

Malaysian Malaysia adalah percubaan menghapuskan status quo sehingga setiap orang “sama rata dan sama rasa”, dan semua orang boleh jadi raja.  Hal yang tidak pernah wujud di dunia, dan tidak akan berjaya diaplikasikan sejak diperkenalkan oleh Karl Marx selama-lamanya, sama ada melalui sistem komunisme ataupun sosialisme. Sosialisme pernah dikelasifikasikan sebagai sepupu komunisme, namun kini, pemimpin yang melabelkannya sedemikian tetap menyokong perjuangan “sama rata, sama rasa” disebabkan kepentingan politik yang sempit.

Prinsip “sama rata dan sama rata” jelas mengetepikan konsep dan hakikat keadilan, kerana setiap orang secara alamiah mempunyai perbezaan. Struktur tersebut perlu menjadi panduan dalam menentukan konsep keadilan, memandangkan setiap orang memerlukan fokus dan matlamat yang berlainan, tidak terkecuali dari segi keperluan asas.

Perbezaan nilai dan budaya perlu menjadi perkiraan di samping faktor sejarah dan geografi sesebuah kumpulan. Adalah silap jika prinsip “sama rata sama rasa” dipakaikan kepada penduduk luar bandar yang memerlukan kemudahan agar pengeluaran hasil pertanian ditingkatkan dengan membina sebuah hotel bertaraf lima bintang di kawasan pertanian mereka. Adalah lebih adil sekiranya peruntukan membina hotel tersebut digunakan untuk membina saliran dan membangunkan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi memudahkan para petani memasarkannya.

Ini berlainan dengan 1Malaysia, di mana tidak terdapat elemen penghapusan etnik dan kebencian terhadap mana-mana kumpulan etnik.  Yang dipentingkan ialah kerukunan antara kumpulan etnik yang berbeza supaya hidup secara harmoni dan saling bekerjasama di bawah satu kepimpinan, perpaduan dalam kepelbagaian budaya, bahasa, bangsa, agama dan kepercayaan.

Catatan:Abu Fattah

No Comments

    Leave a reply