JANGAN PERLEKEH ULAMA SUNNI

Satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan bahawa perselisihan dan perbezaan pendapat terhadap kefahaman keagamaan telah mengakibatkan munculnya puak dan konflik sosial-keagamaan di tengah-tengah masyarakat Islam. Perkembangan ini akan terus mendatangkan perpecahan dan permusuhan antara mereka. Bagi kebanyakan orang, perselisihan antara puak Sunni dan Syiah dianggap sebagai sesuatu wajar dalam kerangka wilayatul ikhtilaf.

Sebenarnya sejarah memperlihatkan bahawa hubungan Sunni-Syiah sentiasa dipenuhi konflik dan peperangan berpanjangan. Kalaupun ada dialog, ia hanya bersifat sementara dan pinggiran. Jika situasi politik berubah, akan berubah pula sikap untuk berdialog yang cuba dipraktikkan itu.

Dalam konteks negara kita, isu Sunni-Syiah turut menjadi perhatian utama golongan ulama kita. Secara umumnya, kaum ulama kita sudah membuat rumusan jelas bahawa aliran syiah tidak boleh diterima di bumi Malaysia.

Pada hakikatnya para ulama kita telah membuat pendekatan dan kaedah yang bijaksana bagi mengekang dan membanteras fahaman syiah daripada menular ke dalam masyarakat. Selain menghasilkan enakmen dan undang-undang di peringkat negeri bagi memperjelas dan menerangkan penyelewengan ajaran ini, para ulama dan tokoh agama kita menggunakan kaedah ceramah, halaqah dan diskusi bagi memberi kefahaman dan penerangan kepada umat Islam mengenai bahayanya ajaran syiah. Selain itu, penerangan juga dilaksanakan melalui media cetak, risalah dan buku-buku yang diterbitkan secara khusus bagi menangani isu berkenaan.

Pendekatan sebegini ini sudah pun dilakukan sejak lama dan ia dianggap sebagai kaedah yang baik dalam menghadapi kerencaman fikrah dan aliran agama di Malaysia. Ulama kita menekankan pendekatan harmoni dan tawasut sebagai asas mendepani cabaran keagamaan. Tidak timbul persoalan adakah ulama kita hanya bersikap membisu dan tidak berbuat apa-apa dalam menghadapi isu ini.

Justeru, kita sepatutnya bertindak waspada dan hati-hati kepada usaha pihak-pihak tertentu yang mahu manhaj Ahli Sunnah Waljamaah ditukar kepada manhaj lainnya yang bertentangan dengan konsep yang dirumuskan ulama kita. Kejayaan golongan ini masuk ke dalam lingkaran pusat kekuasaan, menjadi petanda aras bahawa golongan ini sentiasa bersiap sedia menjadikan negara kita terdedah dengan fahaman yang mempunyai asas kepada sikap melampau dan seterusnya boleh menggugat keharmonian Islam sebagai agama yang damai, toleran, sejuk dan bertolak ansur.

Khususnya dalam bidang agama, perlulah dipertahankan keamanan rantau ini dan memelihara akidah Ahli Sunah Wal Jamaah yang berpegang pada mazhab Shafie dalam masalah fikah dan berpegang kepada Asyari dan Maturidi dalam bidang akidah. Kedua tokoh ini yang berjasa besar membangun fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah. Kedua- duanya berusaha menampung aspirasi umat Islam yang berpegang pada sunah Nabi SAW dan tradisi sahabat.

Fahaman yang dikembangkan Asyari (Asyariah) dianut para pengikut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali di Iraq. Pada waktu berikutnya, tokoh yang paling berjasa mengembangkan fahaman ini adalah Imam al-Ghazali. Berkat usaha beliaulah fahaman ini tersebar luas di seluruh dunia Islam.

Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya Aqliah silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah Nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunah Waljamaah yang sejati. Bukan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang cuba dikembangkan oleh pihak-pihak yang mempertikai dan menolak aliran Asyari dan Maturidi. Salah satu contoh penolakan mereka adalah menolak 20 sifat Allah, tafsiran Allah duduk di atas kerusi dan Allah mempunyai tempat.

Golongan inilah kita perlu bersikap hati-hati kerana dikhuatiri akan menggugat amalan umat Islam di negara ini yang sudah terbina sejak ratusan silam dengan harmoni dan aman sejahtera. Sebab dengan pendekatan yang harmoni sebagaimana yang kita saksikan hari ini, Malaysia dikenali sebagai negara yang stabil dan kukuh asas politik dan sosio-keagamaannya.

Kita tidak dapat membayangkan seandainya puak-puak ini yang menguasai gelanggang keagamaan di Malaysia, mungkin negara ini sudah menjadi negara teokrasi yang bersifat kuku besi. Menjadi sebuah negara dengan barisan ulama-ulamanya yang mudah menjatuhkan hukuman kafir, syirik dan bidaah kepada golongan umat Islam yang mengamalkan tahlil, ziarah kubur dan perayaan maulidur rasul.

Adalah penting seluruh ulama di rantau Nusantara melakukan ijmak, mengisytiharkan bahawa Nusantara sebagai wilayah sunni. Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh di kalangan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja.

Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah. Justeru, roh dan konsep Ahli Sunah Waljamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini.

Catatan: Ibnu Baitar

No Comments

    Leave a reply