JANGAN PERTIKAI PERANAN JAKIM: PUM

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa seluruh masyarakat agar tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mempertikaikan peranan dan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, Jakim merupakan sebuah badan yang sangat relevan malah tindakan mempertikaikan kewujudan institusi ini dibimbangi akan menyekat perkembangan Islam di dalam negara ini.

“Semua pihak diseru supaya meneliti terlebih dahulu sejarah pengurusan hal ehwal Islam di negara ini selain melihat sumbangan Jakim kepada seluruh masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halim berkata demikian susulan daripada kenyataan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang sebelum ini mempertikaikan penubuhan Jakim sewaktu zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya tidak berperlembagaan.

Sebagai sebuah jabatan di peringkat persekutuan, Abdul Halim berkata Jakim terbukti berperanan dengan baik khususnya dalam menjalankan fungsi bagi merapatkan hubungan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (Jain) dalam menyelaraskan urusan agama Islam.

“Fungsi Jakim selama ini adalah signifikan dalam membantu Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi persekutuan dan turut bekerjasama dengan setiap sultan yang merupakan ketua agama bagi negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Halim memaklumkan bahawa Jakim juga telah berjaya menyelaraskan hal ehwal Islam di negara ini antaranya dalam bidang pendidikan Islam, penyelarasan pensijilan halal, perkembangan dasar serta program dakwah dan lain-lain bidang yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Selain itu, beliau berkata Jakim juga telah menyerlahkan lagi imej Malaysia di pentas dunia dalam bidang al-Quran seperti penganjuran Majlis Tilawah al-Quran pada setiap tahun malah turut menubuhkan institusi Darul Quran Jakim.

“Dalam konteks ini, sewajarnya kerajaan terus memberikan dan menambah peruntukan untuk Jakim bagi memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan kerana penubuhannya adalah menepati semangat Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan,”katanya.

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply