JANGAN TAKUT PADA PERBEZAAN PENDAPAT

Menurut  bekas Menteri Agama Republik Indonesia Prof Dr Quraish Shihab pada asasnya perbezaan pendapat merupakan perkara sunnatullah yang diakui dalam Al Quran dan Sunnah. Hal ini misalnya dapat dilihat dalam beberapa teks ayat yang dikenali sebagai ayat qath’i (pasti) dan zanni (tidak pasti). Dalam konteks ayat yang dikategorikan sebagai zanni inilah terbukanya perbezaan dan tafsiran pendapat dan pandangan. Perbezaan ini oleh Islam dibenarkan.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat dan pemikiran di dalam kalangan umat Islam dewasa ini masih merupakan perkara yang sukar diterima. Perbezaan pendapat dianggap sebagai sumber perpecahan yang perlu dielakkan. Ia juga tidak boleh dibincangkan secara terbuka dan dengan pemikiran yang sentiasa menerima pandangan yang pelbagai.

“Salah satu sumber kemunduran Islam ialah kerana umat Islam tidak didedahkan dengan kepelbagaian pandangan dan mazhab pemikiran. Sebaliknya, umat Islam hanya diberikan pandangan satu fahaman sahaja yang mengakibatkan wujudnya sikap taqlid yang berleluasa” kata pakar tafsir terkemuka Indonesia itu ketika di Kuala Lumpur.

Hakikatnya kepelbagaian pendapat atau mazhab itu membawa rahmat kepada umat Islam. Antara hikmah yang diperolehi ialah apabila umat Islam di negara ini yang majoritinya berfahaman mazhab Syafii mengerjakan haji di tanah suci, isu-isu seperti bersentuhan dengan wanita bukan mahram tidak timbul lagi. Apabila kita hanya dididik dan diajar dengan satu mazhab tertentu, sudah tentu isu-isu seperti itu sukar diatasi.

Menurut beliau lagi, umat Islam tidak perlu takut akan berlaku perpecahan dan konflik di kalangan masyarakat Islam disebabkan berbeza pendapat kerana ajaran Islam itu berkemampuan untuk menampung aneka pendapat. Selama tujuannya semata-mata kerana mencari redha Allah, perkara itu dibenarkan.

Meskipun perbezaan pendapat atau mazhab itu merupakan perkara yang lumrah, namun para ulama perlu menjelaskan kepada umat Islam bahawa pendapat atau mazhab yang sesuai ialah yang menjadi pegangan ulama di satu tempat itu. “Misalnya dalam isu Ahlu Sunnah wal Jamaah ala Asy’ariyah. Kita bagi tahu ada pendapat lain, namun yang sesuai dengan kita ialah yang ini. Kita hanya perlu menghormati pandangan mereka, tanpa perlu kita mengikuti pandangan itu.”

“Umat Islam perlu dididik dengan betul dan memberi kefahaman yang utuh terhadap agamanya. Kita harus menjelaskan bahawa beragamnya pendapat itu semua bersumber daripada Al Qur’an dan Sunnah. Bukan dengan cara menerima tanpa soal. Jangan hanya menjelaskan mazhab tertentu sahaja dan menganggapnya paling benar dan yang lain salah” tegas bekas menteri agama Republik Indonesia itu.

Namun demikian, perbezaan pendapat itu tidak boleh dilakukan secara bebas tanpa ada had sempadannya. Perbezaan pendapat dibenarkan berlaku sekiranya ia tidak mencetuskan kekacauan. Hal ini misalnya dalam masalah isu syiah atau wahabi. Sekiranya isu ini boleh menggugat keharmonian dan kesatuan ummah Islam di negara ini, maka ia perlu ditolak.

“Bagi kita, semua pendapat atau mazhab itu harus dihormati. Ini bukan bermakna kita mengikuti pendapat orang itu. Para ulama harus menjelaskan kepada semua muslim bahawa meskipun terdapat beraneka ragam pendapat dan mazhab, tetapi pendapat yang paling sesuai dengan keadaan masyarakat dan negara kita ialah pendapat yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama” kata penulis prolifik dan juga penceramah terkenal negara jiran itu.

Apabila ditanya apakah formula yang paling sesuai diterapkan di Malaysia bagi mengelakkan peperangan dan konflik sektarian sepertimana yang berlaku di kawasan Timur Tengah, beliau mengatakan cara yang berkesan ialah dengan cara belajar agama yang benar. Beri kefahaman yang menyeluruh mengenai ajaran Islam termasuk dengan beraneka ragamnya pendapat.

“Apa yang terjadi di Timur Tengah sekarang ini ialah berpunca daripada fenomena pemaksaan pendapat. Kumpulan ekstrem dan pengganas memaksakan pendapat mereka untuk diikuti oleh semua umat Islam. Pandangan dan pemikiran itu jangan dipaksakan. Tidak boleh.” Katanya lagi.

Dalam era digital ini, kita tidak boleh lagi melarang orang untuk membeli dan membaca apa-apa buku yang diminatinya. Meskipun pihak berkuasa agama mengharamkan buku atau karangan yang dianggap bertentangan dengan pegangan majoriti umat Islam di sesebuah negara, akan tetapi pada zaman ini orang dengan mudahnya mendapatkan buku itu melalui internet.

“Kita tidak boleh lagi bersikap dan bertindak seperti lima puluh tahun dahulu. Kita tidak dapat membendung orang bagi mendapatkan pengetahuan dengan peraturan dan undang-undang. Lebih baik kita bersikap terbuka dan menjelaskan ajaran agama yang sesuai dengan kita. Tindakan keras seperti dengan mengharamkan buku tertentu akan semakin membahayakan. Ia mencetuskan semangat ingin tahu. Tanpa bimbingan dan penjelasan yang betul, situasi itu akan mudah terjadi penyelewengan ajaran agama” tegasnya lagi.

Beliau menggesa agar para ulama dan pendakwah tidak hanya terkongkong dengan rutin berdakwah dengan kaedah yang lama. Tugasan dakwah pada zaman ini tidak cukup dengan kerap turun padang menemui masyarakat dengan berceramah, mengaji dan kursus. Tetapi misi dan visi pendawah dalam era yang mencabar ini sepatutnya mendidik umat Islam untuk bersikap terbuka terhadap kepelbagaian pendapat. Ia sekaligus menanamkan berfikiran kritikal terhadap ajaran Islam dan isu-isu semasa yang timbul.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply