JAWATANKUASA TERTINGGI INSTITUSI HAL EHWAL ISLAM – LANGKAH BIJAK MEMPERKUKUH INSTITUSI ISLAM

Sesungguhnya perkenan raja-raja bagi penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bertepatan pada masanya. Ia dilihat sebagai suatu usaha untuk mengangkat dan menzahirkan kedaulatan raja-raja Melayu berkaitan hal ehwal dan martabat Islam.

Penubuhannya tepat pada masa kerana institusi Islam kini berada dalam suasana persepsi negatif yang begitu berleluasa. Kewibawaan dan keberkesanan institusi Islam sentiasa menjadi persoalan. Bahkan, apabila diperhatikan, adakalanya apa yang dikatakan persepsi itu adalah kenyataan sebenarnya institusi Islam.

Sebelum ini belum pernah wujud initiatif formal bagi meneliti perkara ini sehingga muncul beberapa keadaan tidak selesa dalam hubungan antara istana dan institusi Islam di peringkat persekutuan.

Dari segi punca kuasa penubuhannya, Jawatankuasa Tertinggi ini adalah tindakan pentadbiran di bawah kuasa umum Majlis Raja-Raja berkaitan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja dalam Perkara 38 dan kuasa raja-raja sebagai ketua Agama Islam di negeri-negeri dan kuasa yang di-Pertuan Agong berkenaan Islam. Masing-masing berdasarkan Perkara 3(2) dan (5) Perlembagaan Persekutuan.

Terma rujukan lantikan Jawatankuasa yang disebut secara ringkas dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja termasuklah, “mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.”

Jawatankuasa Tertinggi yang diketuai oleh Tun Ahmad Sarji dan timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti dan ahli-ahli, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Datuk Nooh Gadot dan Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz diberikan tempoh lima bulan untuk menjalankan tugasnya ini.

Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi ini tidak harus dilihat sebagai persaingan antara kerajaan dan raja-raja. Ia juga tidak patut dianggap sebagai bantahan atau sekatan oleh kumpulan “konservatif” terhadap tindakan pembaharuan institusi yang sedang dibawa oleh kerajaan.

Sesungguhnya sinergi mantap antara kerajaan dan raja-raja amat diperlukan demi usaha mengamalkan kesyumulan Islam dalam kehidupan bernegara. Pelaksanaan kuasa raja berkaitan agama Islam tidak akan berkesan tanpa penglibatan kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan atau juga kerajaan di peringkat negeri. Ringkas kata, kerajaan dan raja tidak dapat dipisahkan dalam merealisasi dan memanifestasi nilai-nilai dan ajaran Islam dalam kehidupan bernegara. Kedua-duanya hendaklah memainkan peranan masing-masing. Sinergi antara kedua ini merupakan antara nilai luhur (higher values) Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada terma lantikan yang dinyatakan, perhatian Jawatankuasa Tertinggi ini hendaklah tertumpu, terutamanya, kepada penyusunan institusi-institusi Islam mengikut bidang tugas masing-masing supaya semuanya dapat memberikan sumbangan berkesan optimum.

Ketika ini terdapat pelbagai kategori institusi Islam yang telah ditubuhkan di peringkat Persekutuan. Dari segi punca kuasa, terdapat dua kategori institusi: (1) Di bawah punca kuasa Majlis Raja-Raja. Institusi yang ditubuhkan di bawah punca kuasa ini ialah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI). (2) Di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “…adalah sah bagi Persekutuan…menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

Dari sudut jenis institusi, terdapat institusi Islam yang ditubuhkan sebagai jabatan atau institut kerajaan;  Yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952; institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat; dan Badan Berkanun, ditubuhkan oleh Akta.

 Institusi Islam yang ditubuhkan sebagai jabatan kerajaan adalah JAKIM, JKSM, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) pula ditubuhkan sebagai sebuah institute di bawah Jabatan Perdana Menteri.

 Institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) dikenali sebagai Yayasan. Di bawah kategori ini terdapat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Wakaf.

 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan Tv Al-Hijrah adalah dua institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) yang mendapat dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga sebuah institusi yang dibina di bawah Akta Syarikat.

 Lembaga Tabung Haji pula sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan melalui iaitu Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),

 Kesemua institusi Islam tersebut mempunyai visi dan misi masing-masing pada mula ditubuhkan. Setelah dirangkum pewujudan institusi-institusi tersebut, aspek-aspek berkaitan Islam di peringkat persekutuan termasuklah hal-hal berkaitan ekonomi umat Islam, perundangan, pendidikan, pemikiran, pendidikan dan dakwah. Kelihatannya institusi-institusi Islam ini telah merangkum semua aspek-aspek penting Islam.

 Diharapkan agar Jawatankuasa Tertinggi ini dapat merumus dan mencadangkan formula-formula untuk menggabung jalin dan membina sinergi antara institusi-institusi Islam sedia ada supaya kesemuanya bergerak secara serentak dan bekerjasama dalam pelaksanaan fungsi sehingga memperlihatkan manifestasi ajaran Islam dalam kehidupan bernegara.

Adalah juga menjadi harapan supaya Jawatankuasa ini dapat menzahirkan kaedah yang merangkum usaha melestari kedudukan Islam dan menyantuni pelbagai dimensi kepelbagaian di negara kita dalam bingkai Perlembagaan Persekutuan. Kaedah ini penting kerana ia akan menjelmakan Islam sebagai agama syumul dan menepis tohmahan bahawa Islam adalah agama yang mendorong kepada diskriminasi atau kekerasan.

 Adalah juga menjadi harapan supaya Jawatankuasa Tertinggi ini dapat mencadangkan mekanisme-mekanisme tertentu untuk menzahirkan pemikiran Islam dalam urusan pentadbiran negara secara langsung dengan mencadangkan penubuhan institut atau jawatankuasa penyelidik dan pemikir secara khusus dan secara langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri serta diperkenan Majlis Raja-Raja.

 Semoga kedaulatan raja-raja dalam hal berkaitan agama Islam secara khusus dan peranan raja-raja sebagai payung negara secara umum dapat dizahirkan melalui formula-formula dan mekanisme yang akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Tertinggi ini.  Mungkin Jawatankuasa boleh mencadangkan penubuhan sebuah lembaga atau kumpulan professional yang tiada kepentingan politik kepartian untuk memberikan pandangan kepada raja-raja berkaitan pengurusan dan pentadbiran Islam secara langsung dari masa ke semasa bagi mengelakkan Islam dijadikan bahan batuan politik kepartian.

 Akhir sekali semoga Jawatankuasa Tertinggi dapat memberikan nafas baharu kepada perkembangan Islam dan pemantapan pentadbiran serta pelaksanaan fungsi oleh institusi Islam dan menyampaikan dakwah Islam secara lebih sistematik.

Oleh Dr. Shamrahayu A. Aziz

No Comments

    Leave a reply