Jemaah haji Malaysia paling beruntung – PM

SEPANG: Peranan besar dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) membolehkan jemaah haji Malaysia paling beruntung berbanding jemaah negara lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana layanan dan urusan haji lebih teratur kerana semuanya diuruskan dari awal hingga akhir oleh TH.

Beliau berkata, TH juga kini menjadi institusi pengurusan haji yang amat dekat dengan hati semua umat Islam di negara ini.

Katanya, sebelum adanya TH, proses mengerjakan perjalanan haji amat sukar dan panjang kerana terpaksa menaiki kapal laut selama berbulan-bulan dan tiada tempat tinggal sempurna apabila tiba di Tanah Suci.

“Tahniah di atas pencapaian TH yang sentiasa berusaha memastikan urusan haji berjalan dengan baik.

“Saya percaya ia bukan tugas mudah kerana ia memerlukan penelitian kepada semua peringkat persediaan, merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan mereka semasa di Tanah Suci sehinggalah kembali semula ke tanah air.

“Atas usaha yang diberi oleh TH, Malaysia bangga menerima pujian dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi dan negara Islam lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Ke Tanah Suci di Kompleks TH di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Pada majlis itu, Dr Mahathir mengucapkan selamat jalan kepada 483 bakal jemaah Malaysia, kumpulan terakhir musim haji kali ini yang dijadual berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT60B pada jam 6.20 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Jeddah jam 9.55 malam (waktu tempatan).

Dr Mahathir berkata, jemaah haji yang terpilih ke Tanah Suci tentu bersyukur kerana mendapat peluang menunaikan rukun Islam kelima itu kerana mereka adalah antara jutaan umat Islam di Malaysia yang menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadat haji.

“Alhamdulillah, doa tuan-tuan dan puan-puan dimakbulkan dan diberikan rezeki untuk ke sana. Saya berharap mereka dapat menunaikan ibadat dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, haji adalah ibadat memerlukan kekuatan fizikal dan emosi yang mana ketika musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara berkumpul di Tanah Suci yang keadaannya pasti sesak, di samping cuaca panas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan bergambar bersama jemaah haji di majlis Ucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Sepang. – Foto Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, jemaah perlu berulang-alik ke masjid selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat yang semua itu memerlukan tubuh badan sihat dan cergas.

“Saya ingin pesan supaya ikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan, supaya tahap kesihatan sentiasa baik supaya dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.

“Ibadat ini juga memerlukan jemaah lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya,” katanya.

Beliau juga meminta jemaah haji mendoakan Malaysia terus aman dan sejahtera kerana hanya dengan keamanan, semua rakyat dapat melaksanakan ibadat menurut syariat dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa bimbang atau takut.

Dr Mahathir juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia atas kerjasama yang diberi, terutama berkaitan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , , , , ,

No Comments

    Leave a reply