Jemaah Menteri baharu sandaran pacu semula negara

Pengumuman khas Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara zahirnya mengungkap beberapa persoalan baharu dan menarik arena politik serta pentadbiran negara.

Selain beberapa muka lama seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Fadilah Yusof, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Seri Nancy Shukri, penampilan menteri baharu – meskipun ada antaranya sudah lama dalam arena politik – seperti Datuk Seri Dr Adham Baba dan Tan Sri Annuar Musa – menggambarkan betapa sukarnya pembentukan Jemaah Menteri perlu diuruskan dan dimuktamadkan Perdana Menteri. Ia seolah-olah peribahasa Melayu yang menyebut: Seperti meniup api di atas air.

Kenapa sukar? Pelantikan Jemaah Menteri yang menjadi elemen politik, bertujuan membentuk barisan pentadbiran kerajaan yang dilihat sebagai elemen urus tadbir negara. Secara umum, Jemaah Menteri bertanggungjawab ke atas keberkesanan dan kecekapan agensi di bawah portfolio masing-masing. Mereka bertugas bersama ketua agensi berkaitan untuk melaksanakan komitmen agenda pembangunan mengikut peruntukan tertentu yang ditetapkan.

Dualisme ini – politik dan pentadbiran – menuntut profesionalisme tertinggi dan holistik. Jika tidak, kerajaan akan tempang sekiranya keselarasan antara kedua-dua elemen itu tidak dapat diharmonikan. Itulah antara sebabnya Muhyiddin menekankan soal integriti sebagai mukadimah pengumuman khas beliau petang semalam.

Elemen kejutan dicetuskan Perdana Menteri dengan meniadakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, memberi gambaran betapa pertimbangan berdasarkan neraca perimbangan sentimen politik mendominasi proses membuat keputusan di pihaknya.

Pelbagai kemelut, dari segi tawar-menawar dan pengharapan kepada jawatan berkenaan serta potensi risiko politik masa depan mungkin menjadi pertimbangan utama Perdana Menteri apabila membuat keputusan melantik empat Menteri Kanan yang dijangka melaksanakan tugas Timbalan Perdana Menteri, bukannya meneruskan amalan pewujudan jawatan terbabit.

Sangkaan umum untuk melihat Perdana Menteri melantik tiga Timbalan Perdana Menteri seperti dispekulasi ternyata meleset. Jawatan itu tidak diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan. Jawatan berkenaan – dimulakan amalannya oleh Tuanku Abdul Rahman – kemudian menjadi konvensyen atau kebiasaan amalan sahaja setakat amalan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, perkara berkaitan barisan Kabinet diperuntukkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Bahagian IV, Bab 3 – Badan Eksekutif, di bawah tajuk; Jemaah Menteri. Dengan kata lain, ketiadaan Timbalan Perdana Menteri bukanlah suatu isu.

Pelantikan seorang menteri kanan dan tiga menteri penuh dari Sarawak juga tidaklah mengejutkan, lebih-lebih lagi memikirkan sebelum ini tujuh menteri datangnya dari Sarawak. Rundingan dan tawar-menawar politik yang dimuktamadkan antara Sarawak dan Persekutuan sehingga saat akhir, membuahkan apa yang boleh dianggap sebagai ‘kemenangan Sarawak’ dalam perjuangan yang sudah terlalu lama untuk rakyat Sarawak.

Kini, di tangan Jemaah Menteri baharu itu tergenggam tanggungjawab dan amanah besar serta berat. Selain diharapkan menjadi sandaran kepada Perdana Menteri secara berintegriti dan berkeupayaan, harapan dan jangkaan umum terhadap mereka tentu agar negara ini dipacu semula ke arah kesejahteraan secara holistik.

Penampilan muka baharu seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kewangan); Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar) dan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamd Al Bakri (Hal Ehwal Agama) tentu bakal mewarnai barisan pentadbiran negara dengan lebih menarik.

Perimbangan yang diusahakan Perdana Menteri ini tentu tidak mudah. Namun, Jemaah Menteri inilah yang diharapkan dapat mewujudkan urus tadbir terbaik kerajaan dalam memacu Malaysia ke landasan yang bukan sahaja jelas, malah mantap dan kukuh dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik semasa yang mempengaruhi prestasi ekonomi global dan domestik.

 

Oleh Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed Profesor Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber : berita harian

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply