“Jho Low sedangkan melarikan diri daripada undang-undang. Pihak pendakwaan akan membuktikan melalui tindakan dan arahan tertuduh (Najib), Jho Low merupakan ‘alter-ego’ dirinya.

“Kebenarannya, Jho Low adalah bayangan Najib. Jika anda letak Najib di hadapan cermin, awak akan nampak Jho Low. Kalau awak letak Jho Low di hadapan cermin, awak akan nampak Najib.

 “Pendakwaan akan membuktikan melalui fakta yang menjurus kepada inferens yang tidak boleh disangkal bahawa Jho Low dan Najib bertindak sebagai ‘satu’ pada waktu material,” ujar Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Beliau berkata demikian sewaktu membaca ucapan pembukaan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan kini sedang diteruskan dengan saksi pertama iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Farizah Ahmad.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion. – UTUSAN ONLINE