JHO LOW YANG LICIK!

 

 

Saya berjaya menamatkan pembacaan edisi bahasa Malaysia Billion Dollar Whale setebal 428 halaman dalam tempoh tiga hari sebelum menyambut kehadiran tahun 2019, tahun yang mungkin menjanjikan hidup kita  menjadi lebih baik selepas Kerajaan PH menang PRU ke-14 pada 9 Mei 2018. Saya menganggap tahun 2019 menjadi lebih baik kerana sebelum menang PRU ke-14, Kerajaan PH berjanji akan membaiki kerosakan, termasuk mengambil tindakan tegas ke atas ‘pencuri’ dana 1MDB.

Buku tulisan Tom Wright dan Bradley Hope dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada minggu terakhir bulan September 2018 di kedai buku Kinokuya, KLCC dan selepas pelancarannya, artis kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh bercadang untuk mengalihkannya ke layar perak. Kita menunggu bilakah filem itu akan selesai penggambaran dan memulakan tayangan pertamanya, yang mungkin boleh jadi filem pecah panggung saperti kisah The Wolf of Wall Street yang turut dikaitkan dengan Jho Low dan anak tiri bekas perdana menteri, Riza Aziz.

Saya tidak berniat untuk merungkaikan apa yang berlaku ke atas 1MDB, kerana isunya sedang ditangani oleh Kerajaan PH untuk diteruskan melalui proses penghakiman, sama juga dengan keinginan kita untuk mengetahui siapakah yang berjaya membida kapal mewah, Equanimity yang  dikaitkan dengan Jho Low dan wang 1MDB yang diselewengkan.

Kapal yang berharga sekitar RM 1 bilion itu telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berjaya memperolehnya. Sekarang sedang dalam proses penjualannya. Kapal tersebut disimpan di Langkawi, tetapi ia memerlukan sejumlah wang untuk  penyelenggaraan agar nilainya tidak terlalu susut.

Ketika ini dikatakan tidak ada pembida yang melepasi harga RM 543 juta. Harga itu adalah separuh dari harga yang  dibeli oleh Jho Low. Proses penjualan Equanimity sedang dalam proses kedua, rundingan secara tertutup dengan pembida yang berhajat membelinya. Rundingan itu dijangka  tamat pada 31 Mac 2019. (Rujuk:Harga jualan Equanimity tidak kurang RM 543 juta,” Berita Harian, 13.12.2018.

Saya juga tidak bercadang menjadikan kapal super mewah itu pokok persoalan dalam komentar ini. Apa yang ingin jelaskan ialah  kemungkinan-kemungkinan strategik yang berjaya dilakukan oleh Jho Low untuk menipu dan memposisikan dirinya sebagai seorang yang teramat kaya. Dan, kenapa dalam persekitaran bisness atau hubungan perniagaan atau politik, seringkali ada tokoh-tokoh berketurunan bukan Melayu berjaya meloloskan diri dan menjadi kaya hanya kerana adanya hubungan dengan elit politik yang berkuasa. Elit politik yang berkuasa di Malaysia ialah orang Melayu.

Kita mungkin boleh memulakan untuk menjengah ke persekitaran tahun 1980-an, iaitu ketika golongan korporat semakin mendominasi politik UMNO, berbanding sebelumnya diterajui  dalam kalangan guru dan bekas-bekas pegawai kerajaan. Kemasukan lebih ramai tokoh korporat ke dalam UMNO telah memungkinkan beberapa entiti perniagaan milik parti dan yang ditubuhkan untuk mengimbangi pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera  berdasarkan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertukar tangan, kepada individu atau dijadikan sebuah entiti perniagaan yang terbuka, boleh dimilik oleh sesiapa pun yang berwang.

Jika sebelumnya, setiap entityi perniagaan yang ditubuhkan berdasarkan keperluan bidang-bidang baharu, ia turut memberikan sebahagian saham kepada anak syarikat kerajaan atau individu Bumiputera, sekurang-kurangnya 30 peratus. Sebab itulah beberapa anak syarikat baharu ditubuhkan oleh agensi  kerajaan, untuk membeli saham dan turut melabur bagi menjana keuntungan.

Realitinya, semakin ramai golongan korporat dibawa masuk ke dalam parti, dan pada suatu ketika mula terbudaya pakaian korporat dalam UMNO, sehingga bersemaraklah ke lain-lain agensi bagi memperlihat imej kebersatuan. Imej itu kemudian mengalami kepudaran makna, dari positif kepada negatif selepas kemunculan proksi-proksi dalam memiliki pelbagai entiti yang ditubuhkan bagi menyahut DEB diswastakan atau diperbadankan di bawah dasar Penswastaan dan Pensyarikatan Malaysia.

Nama-nama besar peniaga bukan Melayu mula muncul. Kita mungkin teringat bagaimana seorang peniaga dari Sarawak begitu berpengaruh dalam era Dr Mahathir . Banyak projek mega diberikan kepadanya sehingga berjaya memindahkan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, di belakang Bank Rakyat di Jalan Tangsi. Ekram Berhad, menjadi suatu nama besar dan Tan Sri Ting Phek Khing dilihat begitu kuat.

Sebelumnya kita mendapat perkhabaran bahawa Tan Sri Vincent Tan juga mempunyai kaitan rapat dengan Dr Mahathir dan Daim Zainudin, bekas menteri kewangan yang digelar oleh penulis SH al-Attas, diam-diam Daim terus berisi. Vicent Tan menjadi rakan kongsi dalam InterPacific, sebuah konglomeret yang turut memiliki perniagaan judi, Sport Toto selain syarikatnya sendiri Berjaya.

Kemudian, pada zaman Dr Mahathir juga muncul Tan Sri Ananda Krishnan, yang memiliki satu lagi syarikat perjudian diberikan kepercayaan untuk memiliki satelit pertama negara. Sebelumnya, Malaysia menyewa kemudahan satelit dari Palapa, Indonesia untuk siaran televisyen, perhubungan telekomunikasi dan sebagainya. Pemberian lesen satelit itu menyebabkan Ananda Krishnan semakin kaya, dan ketika ini ada rakyat Malaysia merungut mengenai siaran televisyen berbayar ASTRO (berulang-ulang atau bahasa mereka, entah apa-apa) dan menggunakan perkhidmatan jalur lebar, internet dan telefon di bawah jenama Maxis.

Ananda Krishnan juga mempunyai kepentingan dalam pembinaan KLCC, menara berkembar yang menjadi ikonik Malaysia yang bakal tercabar apabila siapnya KL118 di TRX Exchange dalam aset dan pembangunan yang dirancang dan dimiliki oleh 1MDB. Konsep Bandar Malaysia yang dipertikaikan oleh Kerajaan PH sebelum PRU ke-14, masih menjadi sebahagian daripada siasat-dedah, fungsi yang ternyata mendebarkan Kerajaan PH menyebabkan tanggungjawab lain saperti terabai. Banyak  menghabiskan banyak masa mencari salah kerajaan terdahulu.

Pada era pentadbiran pengganti Dr Mahathir, kita menemukan seorang lagi peniaga bukan Melayu yang cukup cekap, handal dikaitkan sebagai ‘projek dari langit’. Dalam keadaan tertentu, ada situasi di mana kerajaan negeri tidak ketahuan mengenai pembangunan Bandar Pesisir, kecualilah setelah jentera berat milik Inai Kiara memasuki tapak pembinaan tersebut. Nama besar itu ialah seorang peniaga dari Singapura, Patrick Teoh. Selepas Tun Abdullah meletakkan jawatan, maka nama itu tidak lagi kedengaran.

Di zaman Najib, muncul pula seorang anak jutawan dari Pulau Pinang yang akhirnya menjadi super kaya. Kemasyhurannya mula melonjak bukan di Malaysia, tetapi juga di Amerika Syarikat. Beliau  menjadi begitu terkenal apabila dikaitkan dengan misi pelaburan 1MDB. Jho Low atau Low Thek Jho merupakan anak bongsu kepada pengasas syarikat kejuruteraan, MWE Holdings, Tan Sri Larry Low Hock Peng.

Jho Low dikatakan sebagai ‘arkitek’ pembentukan Terengganu Investment Authority (TIA) pada tahun 2008. Tujuan penubuhan TIA ialah untuk melabur wang royalti minyak Terengganu agar keuntungannya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang dan membantu Terengganu sekiranya tidak lagi  mempunyai wang dari aktiviti melombong minyak dan gas.

TIA kemudiannya dikembangkan menjadi 1 Malaysian Development Berhad oleh Najib sebaik sahaja beliau mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.  Pada 31 Julai 2009, Menteri Kewangan yang diperbadankan (MoF Inc.) mula mengambilalih TIA. Kalau TIA misinya untuk kepentingan negeri Terengganu, 1MDB pula untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin Najib tertarik dengan konsep badan pelaburan yang ditubuhkan oleh kerajaan Singapura, Temasik Holdings. . Temasik berjaya membantu negara itu mengembangkan sayap pelaburan di dalam Singapura dan di luar Singapura.

Model pelaburan 1MDB ialah melabur dalam pelbagai sektor yang boleh menguntungkan negara termasuk perkongsian perniagaan dengan PetroSaudi Holdings (Cayman), SRC International Group, pembangunan Bandar Malaysia di Sungai Besi, pemilikan stesen-stesen janakuasa swasta dalam negara (yang pernah menjadi isu besar pada zaman Perdana Menteri ke-4, setelah Lembaga Letrik Negara diswastakan menjadi Tenaga Nasional Berhad), dan dalam pelbagai portfolio lain (segrated portfolio company—SPC).

Jho tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif dalam pengurusan 1MDB, tetapi beliau mempunyai peranan yang besar dalam pelaburan di dalam dan di luar negara. Jho Low merupakan graduan dalam bidang kewangan dari Wharton Business School, Universiti Pensylvania. Ketika menuntut di Amerika Syarikat (2000-2005) itulah Jho Low yang oportunis berkawan dengan pelajar-pelajar dari Timur Tengah yang datang daripada keluarga kaya dan bangsawan.

Ketika masih belum menamatkan pengajiannya, Jho Low telah menubuhkan sebuah syarikat bernama Wynton Group dengan modal sebanyak US $25 juta, modal pelaburan keluarga dan rakan-rakan dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.  Pada tahun 2008, Jho Low menjadi salah seorang lembaga pengarah UBG Berhad, sebuah syarikat milik penuh Tan Sri Taib Mahmud, YDP Negeri Sarawak. UBG Berhad adalah pemilik Bank Utama dan pada tahun 2003 bergabung dengan Kwong Yik (Sime Bank) dan RHB Bank membentuk RHB Bank.

***

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6  pada 3 April 2009.  Jho Low  pernah memujuk Sultan Mizan untuk menerbitkan bon Islam berjumlah US $ 1.4 bilion berdasarkan rezab masa depan minyak dan gas, saperti mendapat semangat semula apabila  Najib dilantik sebagai Perdana Menteri. Menurut Tom Wright dan Bradley Hope: Dalam sekelip mata, pemuda yang bercita-cita tinggi menjadi orang yang sangat akrab dengan tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia. Najib, sebaliknya, memerlukan wang yang banyak untuk membolehkan partinya meningkat naik semula. Low segera menggunakan kesempatan ini untuk menyelamatkan dana pelaburannya yang sudah berkubur itu.” (hal.83).

Kita mungkin ingat, pada tahun 2008, BN hanya menang 140 kerusi manakala pakatan pembangkang begitu galak untuk menukarkan kerajaan. Hampir setiap hari diadakan desakan, percubaan dan seterusnya menguji kekuatan kepimpinan Najib.

Bulan Ogos 2009, Low mula memancing Najib, mengajaknya untuk menikmati  keindahan pantai Monaco, Frech Reveira di atas kapal Alfa Nero yang sepanjang 269 kaki dan berharga US $190 juta. Ketibaan Najib disambut oleh Putera Turki bin Abdullah Abdul Aziz as-Saud. Selepas itu, Jho Low dan Najib dilaporkan sentiasa berhubung. Kemudiannya Jho Low bertindak sebagai pembantu peribadi tidak rasmi Najib dalam menguruskan lawatan ke Timur Tengah.

Setelah perhubungan itu menjadi saling percaya, Jho Low mempengaruhi Najib untuk mengambil alih TIA , yang baharu mengeluarkan bon Islam bernilai USD $1.4 bilion. Jho Low berjaya meyakinkan Najib,  dia akan mengambil alih dana itu dan memperluaskan remitnya dengan sokongan pelabur Timur Tengah. Hubungannya dengan Yusef al-Otaiba, duta UEA di Amerika Syarikat dipergunakan untuk meyakinkan Najib, dan satu pertemuan diatur bagi mendapat jaminan pelaburan dari Abu Dhabi.

Dalam fikiran Jho Low terawang-awang satu lagi umpan, iaitu menjadikan jaminan itu sebagai alat  pembiayaan politik: “Keuntungan daripada 1MDB akan dapat mengisi tabung yang boleh digunakan oleh Najib untuk membayar penyokong dan pengundi politik dan seterusnya UMNO akan menjadi popular semula”. (hal. 86).

Menurut kedua pengarang buku tersebut, tanpa pengetahuan Najib dan Rosmah “semuanya ini adalah suatu sandiwara belaka, yang diatur supaya kelihatan rasmi, agar perdana menteri dan isterinya berasa mereka semakin akrab dengan kerabat di raja Arab Saudi. Low bernasib baik kerana Najib bukan jenis orang yang banyak bertanya. Kerana sudah terbiasa dengan kemewahan sebagai ahli politik yang penting di Malaysia – yang sudah lali dengan limosin VIP, bilik hotel mewah, dan kapal pesiar, maka dia tidak banyak bertanya.” (hal.87)

Alfa Nero bukanlah kapal kepunyaan Putera Turki, tetapi disewa dengan bayaran US $500,000 seminggu. Bagi Jho Low,  tujuannya ialah “membolehkan Najib dan keluarganya bergaul dengan Putera, seolah-olah dia cukup berpengaruh sehingga boleh mengarahkan kerabat diraja sesuka hatinya.

September 2009, Jho Low bertemu dengan Patrick Mahony, seorang pegawai bank yang bekerja dengan Ashmore, sebuah dana pelaburan milik Britain di Hotel Mandarin Oriental, Columbus Circle, New York. Mahony mempunyai hubungan rapat dengan Tarek Obaid, pengasas PetroSaudi International. Mahony merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan  akhirnya menerima pelawaan Obaid untuk merancang pelan untuk meningkatkan urusniaga PetroSaudi.

Tahun 2008, PetroSaudi mendapat hak operasi lapangan minyak di Argentina dan bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Kanada untuk membina sebuah lapangan lepas pantai terbesar di Turkmenistan. Jho Low berjanji akan menguruskan dana sejumlah US $ 1 bilion bagi urusniaga tersebut. PetroSaudi akan menggunakan aset minyak, manakala Jho Low akan menggunakan dana 1MDB.

Jho Low semakin licik, berusaha mempedayakan pegawai-pegawai yang mensyaki usahasama pelik tersebut. BSI tidak dapat menerima permohonan membuka akaun. Mahony berusaha mendapat JP Morgan. Akhirnya mereka boleh membuka akaun dengan bantuan sebuah bank di Switzerland. Dengan usaha keras mereka berjaya ‘mempastikan tonggak kapitalisme – peguam, banker pelaburan, juruaudit dan pakar penilai—turut terlibat. Tujuannya supaya urusniaga antara PetroSaudi dan 1MDB kelihatan berprestij. Kerana dibayar, mereka sanggup bekerjasama.” (hal. 95).

Mahony meminta agar urus niaga dinilai US $2.5 bilion, tetapi Edward Morse pegawai kanan Jabatan Negeri Amerika Syarikat meningkatkan nilai kepada US $3.6 bilion. Morse dibayar US $100,000 untuk tujuan itu.

Pada 26 September 2009, 1MDB meluluskan pemindahan dana berjumlah US $1 bilion ke sebuah akaun di Switzerland. Empat hari kemudian, Jacqueline Ho, kakitangan Deutsche Bank di Malaysia berasa curiga setelah diminta dipercepatkan pemindahan dana dari 1MDB. Setelah diberitahu dan diyakini oleh Casey Tang, pengurus dana 1MDB, Ho menghubungi Bank Negara memohon kebenaran untuk memindahkan sejumlah US $700 juta ke akaun misteri di Zurich dan US $ 300 juta  ke JP Morgan.

Akhirnya terbongkar bahawa US $ 700 juta sebenarnya milik Good Star Ltd, syarikat  yang dimiliki oleh Jho Low. Syarikat itu berpengakalan di Seychelles. Jho Low kemudiannya mengagih-agihkan wang itu kepada kumpulannya.

Bulan Oktober, Jho Low mengagihkan US $85 juta kepada Obaid dan tiga bulan kemudian, satu bayaran lagi dibuat dengan jumlah US$68 juta. Beberapa bulan kemudian, Obaid membayar US$33 juta kepada Patrick Mahony. Itu merupakan ‘rompakan besar’ pertama yang berjaya dilakukan oleh Jho Low (hal.102).

Permulaan ‘rompakan besar’ itu menjadikan Jho Low semakin haloba dan licik untuk menipu 1MDB. Akhirnya semakin ramai orang mensyaki kisah super mewah Jho Low, termasuk kegilaannya menghadiahkan lukisan mahal, perhiasan mewah dan arak berjenama kepada artis-artis Hollywood.

Kegilaannya berparti dan membelanjakan jutaa dolar semalaman mula menjadi ‘langkah sumbang’. Kisahnya menjadi semakin menarik sehingga mengakibatkan ada yang bertanya, dari manakah kekayaan yang dimiliki itu terhasil.

Kini, kelicikan penipuannya menyebabkan beliau terpaksa menyembunyikan diri. 1MDB  kemudiannya disahkan mempunyai masalah, akhirnya meletus sebagai ‘senjata terbuka’ yang menikam UMNO/BN . Kerana 1MDB juga berlakunya perubahan kerajaan dalam PRU ke-14 lalu.

Hasil penyiasatan dua orang wartawan ini kita mungkin menyumpah dengan ketamakan Jho Low. Tetapi, dari perspektif yang lain kita mungkin takjub bagaimana seorang yang begitu muda terlalu cekap menipu, mempunyai jaringan yang besar dan begitu ramai pakar kewangan, pelaburan, pengurus dana dan manusia boleh percayakan setiap gerak lakunya. Jho Low akan memastikan sesiapa sahaja yang boleh membawa masalah ‘kelicikan strategi’ dijinakkan dan bersedia mengikuti setiap perancangannya.

Sama ada benar atau tidak  pemimpin-pemimpin UMNO terbabit dalam salah pengurusan 1MDB itu, ia akan ditentukan oleh proses perbicaraan yang masih belum dimulakan. Setakat ini, Najib hanya dikaitkan dengan penggubahan wang haram, dan terbaharu dakwaan bahawa PAS menerima dana RM 90 juta dari 1MDB, belum terbukti.

Kehadiran buku ini mengingatkan kita kepada sebuah buku lagi yang berjaya menimbulkan situasi ‘marah’ dan ‘meluat’ terhadap elit politik. Mendiang Barry Wain juga adalah wartawan Wall Street Journal saperti Tom Wright dan Bradley Hope, menyelongkar kisah kehilangan jumlah wang jauh lebih besar daripada jumlah hutang 1MDB, iaiti di era pentadbiran Dr Mahathir.

Sayangnya, buku itu, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times (2009) tidak diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagaimana Billion Dollar Whale, yang amat cepat oleh Zi Publications, milik ahli politik yang semakin diketepikan, Zahid Ibrahim.

Tentunya, jika buku tulisan Barry Wain ini diterjemahkan, walaupun terlewat 10 tahun, ia membolehkan orang ramai membuat perbandingan apakah Era Mahathir tidak boleh dinamakan kleptokrasi?

Bukan semua ahli PPBM boleh memahami bahasa Inggeris dan bukan semua ahli UMNO mengetahui sisi-sisi negatif pentadbiran Perdana Menteri ke-4 dan kini kembali sebagai Perdana Menteri ke-7.

Salah atau tidak faktanya, Dr Mahathir berhak untuk membersihkan diri. Ia belum dilakukan walaupun sudah 10 tahun ia diterbitkan.

Selesai membaca buku ini, saya tertanya-tanya: Siapa sebenarnya yang amat licik menipu dan Kenapa elit politik Melayu begitu mudah tertipu? Jawapannya, mungkin boleh kita selidiki dalam perspektif budaya dan kelemahan iman. Wallahuaklam.

Kamarun KH

 

 

 

No Comments

    Leave a reply