JIHAD ITU PERANG? (bahagian 1)

Tidak ada sesuatu yang lebih menarik dan dibanggakan oleh orang Islam daripada gugur semasa berperang di jalan Allah, iaitu semasa berjihad. Mereka yang gugur adalah syahid dan mereka ini dijanjikan oleh Allah s.w.t tempat di syurga. Kesanggupan berjihad dijalan Allah dipandang mulia dan ramai orang Islam yang sedia berjihad dan menjadi syahid kerananya.

Janji syurga kepada orang yang mati syahid kerana berjihad di jalan Allah disebut dalam surah at-Taubah ayat 88 seperti berikut: Yang bermaksud:
“Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga Berjaya.”

Dan dalam surah Ali-‘Imran ayat 195: Yang bermaksud: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperanan (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh(gugur Syahid dalam perang Salib) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungghnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).”

Sama ada gugur atau tidak, berjihad dijalan Allah memang akan dibalas dengan syurga di akhirat Rasulullah sendiri tidak gugur semasa berperang untuk menegakkan agama Islam tetapi Baginda adalah antara orang yang dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak gugur di medan perang tidak bermakna Nabi tidak berhijad. Selepas Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Baginda telah berjuang dijalan Allah dan menghadapi berbagai cabaran dan dugaan serta bahaya kepada diri Baginda sendiri. Baginda telah cedera parah dalam peperangan Uhud, tetapi Baginda tidak terbunuh. Namun Baginda juga ditempatkan di syurga, tetapi sebarang perjuangan di jalan Allah termasuk sumbangan harta juga adalah jihad dan balasan jihad Allah s.w.t. ialah syurga di akhirat.

Ini jelas dalam surah As-Saff ayat 10 dan 11 seperti berikut: Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu dan yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui.”

Dalam Islam jika sesuatu yang dibuat menyumbangkan kepada amalan yang diwajibkan, maka sumbangan itu juga menjadi wajib. Demikian mengambil wuduk diwajibkan sebelum bersembahyang. Membekalkan air untuk wuduk menjadi perkara yang juga wajib dan memberi pahala kepada pembekal.

Pertahanan Islam dan umat Islam adalah satu kewajipan. Dengan itu orang Islam bukan sahaja disuruh berperang tetapi juga menyediakan peralatan perang yang bolehmenakutkan musuh kerana kesediaan dan kemampuan berperang. Ini menjadi kewajipan yang penting dengan berperang. Tanpa menunaikan kewajipan ini peperangan di jalan Allah tidak mungkin dilakukan dan tidak mungkin dijayakan. Persediaan ini menjadi sebahagian daripada perjuangan di jalan Allah, iaitu ia adalah satu jihad.

Di zaman Nabi, persediaan ini boleh dibuat oleh orang perseorangan atau oleh masyarakat atau oleh pemerintah dengan mengadakan pasukan pertahanan. Oleh kerana persediaan ini diwajibkan, maka segala-gala yang dilakukan dalam usaha mengadakan pertahanan adalah wajib. Jika persediaan tidak dibuat dengan baik, mungkin pertahanan tidak boleh dibuat atau perang tidak akan berjaya.

Mengenai persediaan ini Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60.
Yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Justeru itu di zaman nabi, menternak kuda untuk perang menjadi wajib. Pertukangan dan penempaan senjata adalah wajib. Melatih diri untuk memacu kuda perang, untuk menggunakan senjata seperti pedang dan pemanah dan senjata-senjata lain adalah wajib. Oleh kerana berperang dijalan Allah adalah jihad, persiapan untuk berjihad adalah sebahagian daripada jihad yang tidak kurang pentingnya.
Kewajipan bersiap sedia ini adalah fardu kifayah.

Seseorang anggota masyarakat Islam terlepas daripada dosa kerana tidak membuat persediaan sendiri untuk berperang mempertahankan umat Islam hanya jika sudah ada pasukan yang didirikan untuk pertahankan umat Islam. Ini bermakna jika pemerintah mendirikan pasukan pertahanan, iaitu tentera, yang dipertanggungjawabkan untuk pertahankan umat Islam, maka individu Islam dalam masyarakat itu tidak lagi akan berdosa kerana tidak menyediakan peralatan sendiri untuk pertahanan Islam dan orang Islam dalam masyarakat.

Berperang mempertahankan umat Islam dan agama Islam adalah jihad di jalan Allah. Tetapi untuk berperang dengan jayanya, bukan sahaja tentera yang diperlukan tetapi peralatan juga menjadi penting. Keupayaan membuat peralatan dan menggunakannya adalah sama penting. Seterusnya segala ilmu dan kecekapan untuk membuat peralatan dan senjata turut menjadi penting.

Ajaran Islam berkenaan fardu kifayah berkaitan dengan persediaan pertahanan wajib diketahui oleh semua orang Islam. Tanpa pengetahuan ini umat Islam mungkin bertindak liar dengan kepercayaan bahawa mereka berjihad di jalan Allah, sedangkan tindakan mereka sebenarnya mencemas dan merugikan umat Islam dan membawa malapetaka kepada mereka. Demikian apabila kumpulan-kumpulan kecil daripada orang Islam mengganas dan membunuh beberapa orang yang dianggap sebagai musuh, hasilnya bukan kemenangan bagi orang Islam. Sebaliknya orang Islam dan negara Islam ditindas dengan lebih kuat. Tidak ada tempat bagi orang yang ingin melepas geram melalui ‘jihad’. Berjihad dijalan Allah bertujuan menyelamat dan mencapai kejayaan bagi Islam. Mereka yang mengganas secara buta tuli bukan berjihad. Mereka sebenarnya mengkhianati Islam dan orang Islam.

Jihad berperang memerlukan senjata dan kenderaan perang yang standing atau lebih baik daripada yang dimiliki musuh. Di zaman Nabi tanpa dibekalkan dengan senjata (pedang,tombak dan pemanah) dan kenderaan (kuda), maka pejuang Islam yang ingin berjihad akan ditewaskan. Di zaman ini senjata dan kenderaan peperangan bukan lagi pedang dan kuda. Tanpa peralatan moden mereka yang ingin berjihad di medan perang tidak mungkin Berjaya.

Apakah agama Islam hanya berkehendakkan orang Islam bertempur dan gugur serta mati syahid semata-mata tanpa kejayaan dalam pertempuran itu? Sudah tentu agama Islam tidak menghendaki tentera Islam dikalahkan semata-mata untuk memberi peluang kepada orang Islam mati syahid. Peperangan oleh orang Islam ialah untuk kemenangan serta memaju dan menyelamatkan agama dan umat. Inilah tujuan jihad berperang oleh orang Islam. Jika tentera Islam kalah sepanjang masa maka perkembangan agama Islam tentulah akan tergendala.

Dengan pertolongan Allah s.w.t. tentera Islam yang kecil dapat menewaskan tentera musuh yang jauh lebih besar dalam Peperangan Badar (Ali ‘Imran: 123). Tetapi di Jabal Uhud tentera Islam kalah dan kekalahan ini disebabkan tidak ada disiplin dalam pasukan tentera Islam. Kedua-duanya adalah jihad di jalan Allah. Kalah atau menang, yang gugur adalah syahid. Tetapi jika tentera Islam selalunya tewas, maka perjuangan di jalan Allah tidak akan membawa apa-apa kemajuan kepada perkembangan Islam atau orang Islam.

Peperangan Badar dan Jabal Uhud memberi banyak pengajaran kepada umat Islam. Pasukan yang kecil di Badar menang dengan pertolongan Allah s.w.t. Di Jabal Uhud, tentera Islam kalah kerana ada pasukan yang tidak mengikut arahan, lalu meninggalkan tempat untuk merebut ‘anfal’, iaitu barangan yang digugurkan oleh manusia apabila berundur. Dengan itu musuh dapat menyerang dari sudut yang tidak lagi dikawal oleh pasukan berkenaan dan tentera Islam ditewaskan. Rasulullah cedera parah dan Saidina Hamzah dibunuh.

Semua telah berjihad dan Saidina Hamzah serta ramai lagi mati syahid. Tetapi kemenangan tidak dicapai kerana tidak berdisiplin. Tuhan menolong orang Islam tetapi mereka perlu bersikap baik, iaitu tidak tamak dan tetap berdisiplin. Kerana dalam Perang Uhud disiplin tidak wujud, maka tentera Islam kalah.

Tetapi masih ada orang Islam yang ingin gugur dalam peperangan tanpa mengambil kira sama ada peperangan itu diperlukan atau tidak untuk Islam dan umat Islam. Mereka ini tidak mengambil kira berjaya atau tidak peperangan mereka. Bagi mereka perang jihad akan memberi peluang kepada mereka mengorbankan nyawa mereka untuk mendapat pahala dan mati syahid. Sebenarnya mereka tidak berjuang dijalan Allah. Malah mereka mungkin merugikan perjuangan Islam dengan kegagalan mereka.

Orang Khawarij adalah antara orang yang amat suka berperang kerana ingin menjadi syahid. Jika tidak ada musuh bukan Islam mereka mengkafirkan orang Islam lain supaya mereka boleh berjihad melawan orang yang dikafirkan ini. Dalam peperangan ini mereka suka mencari maut untuk menjadi syahid. Sebenarnya mereka bukan berjihad di jalan Allah. Perbuatan mereka memecah belahkan orang Islam, kerana peperangan sesama Islam ramailah orang Islam yang terkorban. Orang Islam menjadi lemah dan terdedah kepada serangan musuh-musuh Islam.

Amatlah jelas perbuatan orang Khawarij mengkafirkan orang Islam lain dan memerangi mereka adalah jauh daripada perjuangan di jalan Allah dan bukan jihad. Kematian orang Khawarij ini dalam peperangan adalah sia-sia sahaja. Mereka bukan berjihad dan mereka tidak mati syahid.

Sejak kemunculan puak khawarij, ramailah orang Islam yang suka mendakwa orang Islam lain sebagai kafir yang perlu diperangi dan peperangan ini didakwa oleh mereka sebagai jihad dan mati mereka adalah mati syahid. Sepanjang sejarah Islam kumpulan-kumpulan seperti ini telah menyebabkan perang saudara berlaku yang melemahkan orang Islam dan mengalih tumpuan mereka daripada menangkis serangan oleh musuh bukan Islam ke atas mereka. Dengan itu sedikit demi sedikit wilayah Islam jatuh ke tangan bukan Islam.

Orang Khawarij sebenarnya mengkhianati Islam dengan berperang dan membunuh orang Islam lain. Mereka tidak berhak mendakwa bahawa orang Islam lain yang sebenarnya menjadi majoriti dalam masyarakat mereka adalah tidak Islam. Mengkafirkan orang Islam lain, orang yang mengucap dua kalimah syahadat adalah perkara yang amat berat. Ia tidak harus dibuat oleh orang yang tidak diberi mandat untuk mentadbir agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam. Perbezaan pendapat dan tafsiran berkenaan dengan agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam.

Perbezaan pendapat di antara orang yang mengucap dua kalimah syahadah tidak harus menjadikan mana-mana pihak kafir. Jika kerana perbezaan-perbezaan ini orang yang mengaku diri mereka Islam dikafirkan, maka semua orang Islam akan menjadi kafir, kerana orang Syiah akan dianggap kafir oleh orang Sunni dan orang Sunni akan dianggap kafir oleh orang Syiah. Jika diterima dakwaan kedua-dua pihak ini, maka sekaligus tidak akan ada orang Islam di dunia. Di kalangan orang Sunni dan Syiah pula terdapat ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang berbeza, dan masing-masing mungkin akan anggap orang lain kafir. Akibatnya jauh daripada bersaudara, orang Islam akan bermusuhan sesama sendiri kerana mempertikaikan KeIslaman masing-masing.

Dalam Islam pihak yang bertanggungjawab mengisytiharkan jihad ialah pemerintah seperti yang dilakukan di zaman Rasulullah s.a.w., sama ada jihad menentang pencerobohan musuh mahupun jihad menyediakan peralatan perang untuk menghadapi musuh. Tetapi apa yang berlaku dalam sejarah Islam ialah pemimpin pelbagai puak yang berbeza pendapat kerap mengambil alih peranan yang menjadi tanggungjawab pemerintah itu dan mereka menyalahgunakannya dengan mengisytiharkan jihad terhadap siapa sahaja. Dengan mendakwa orang Islam lain tidak Islam dan kafir, maka siapa sahaja boleh melancarkan perang jihad terhadap orang yang dikafirkan ini. Maka berlakulah peperangan sesama orang Islam sepanjang sejarah Islam.

Dalam perang Salib (Crusade) Paus di Rome telah mengisytiharkan “Holy War” iaitu Perang Suci ke atas orang Islam di Palestin. Semua orang Kristian dari semua negara Eropah telah menyambut seruan Paus secara serentak dan mereka memperolehi kejayaan merampas Palestin. Tetapi selepas itu orang Kristian Barat berpecah dua apabila satu pihak menolak Paus di Rome sebagai Ketua agama Kristian. (Gereja Timur Ortodoks memang pun terasing dari Gereja Barat, Namun mereka juga turut serta dalam angkatan Salib).

Perpecahan yang besar dalam Gereja Barat tidak mencetuskan peperangan di antara mereka. Sebaliknya jika ada peperangan di antara mana-mana mazhab orang Kristian dengan orang Islam, mereka memihak kepada orang Kristian tanpa mengambil kira mazhab. Walaupun beberapa kali mereka kalah dengan orang Islam, tetapi kerjasama antara mereka akhirnya memberi kemenangan secara berterusan kepada mereka.

Bersambung…..

No Comments

    Leave a reply