JIHAD ITU PERANG? (bahagian 3)

Sambungan…

Di zaman moden ini perang bukan lagi terhad kepada medan perang dan tentera. Seluruh negara dijadikan medan perang dan tiada sesiapa yang terselamat daripada serangan bom dan roket dan meriam jarak jauh yang digunakan. Oleh itu persiapan untuk berperang mempertahankan umat Islam bermula dengan pembangunan negara supaya memiliki keupayaan menyediakan pertahanan awam dan ketenteraan yang kuat yang bukan sahaja dapat menakutkan musuh Islam, tetapi benar-benar mampu mengalahkan mereka.

Untuk persiapan ini perkara yang pertama ialah memahami dan mengikuti ajaran Islam berkenaan dengan persaudaraan umat Islam. Sekurang-kurangnya dalam setiap negara Islam, orang Islam bersaudara dan bersatu. Mereka juga perlu patuh kepada ajaran Islam berkenaan dengan perlunya orang Islam setia dan taat kepada kepimpinan negara iaitu kepada Ulil Amri. Dengan ini Islam akan menjadi aman dan tenang.

Dalam negara Islam yang aman ini pembangunan yang pesat boleh diadakan. Tujuannya ialah supaya pemerintah dan rakyat mampu membiayai penguasaan semua ilmu dan kecekapan teknologi yang diperlukan untuk membebaskan negara daripada bergantung terlalu sangat, terutama dalam persenjataan, kepada orang lain yang mungkin tidak bersimpati dengan orang Islam dan agama Islam.

Mengejar ilmu memang pun disuruh oleh agama Islam. Ilmu yang dituntut bukanlah untuk hiasan, tetapi untuk memajukan orang Islam dan negara Islam. Maju bukanlah terhad kepada bidang-bidang tertentu sahaja, tetapi dalam semua bidang Kemajuan dalam bidang pertanian dan ternakan adalah sama penting dengan kemajuan dalam bidang perbuatan barangan keperluan hidup dan juga dalam bidang penciptaan dan pengeluaran senjata untuk pertahanan.

Orang Islam perlu cekap dalam perniagaan dan perusahaan supaya mereka dapat memperkayakan negara Islam dan menyumbang kepada pembangunannya. Kemajuan ekonomi mengikut cara-cara yang halal akan membolehkan orang Islam bukan sahaja membiayai tuntutan ilmu dan segala kecekapan, tetapi juga untuk mengadakan pasukan pertahanan yang terlatih dan serba lengkap. Dengan ini kehidupan orang Islam akan lebih selamat dan sempurna dan semua orang Islam akan mendapat perlindungan daripada sebarang penindasan oleh musuh-musuh Islam.
Umar bin al-Khattab menganggap kemiskinan atau kefakiran sebagai hampir kepada kekufuran.

Beliau berkata: Yang bermaksud: “Hampir kefakiran itu menjadi kekufuran.” Bukan sahaja orang Islam perlu elak kemiskinan tetapi negara Islam juga perlu elak kedaifan kemiskinan. Miskin atau kaya seseorang atau sesebuah negara bukan bergantung kepada warisan atau sumber alam tetapi kepada kebijaksanaan, kerajinan dan usaha gigihnya. Jika etika kerja orang Islam baik, bukan sahaja pendapatan mereka akan menjadi tinggi, tetapi negara mereka juga akan menjadi kaya.

Orang Islam yang berharta dan kaya dapat menyumbang melalui berbagai-bagai cara kepada pembiayaan pemerintahan negara. Dengan khazanah yang besar pemerintahan akan dapat menyediakan segala kemudahan bagi rakyat dan segala infrastruktur untuk pembangunan dagangan dan industri. Pemerintahan yang kaya juga dapat menjadipelanggan kepada industri pertahanan negara dan mendirikan tentera pertananan yang cukup besar, terlatih dan serba lengkap. Ini membebaskan rakyat biasa daripada melibatkan diri sendiri dalam persediaan untuk pertahanan negara dan umat Islam kerana pertahanan adalah satu daripada fardu kifayah.

Pendapat bahawa dunia bukan untuk orang Islam dan dengan kerana itu mereka tidak perlu menyediakan keselamatan dan mencari kebahagian di dunia adalah bertentangan denganajaran Islam. Kerana dunia ini merupakan ladang akhirat bagi orang Islam seperti kata sesetengah ulama dan melaluinya kita dapat menyediakan persiapan untuk menuju ke alam baqa nanti.

Ayat 77 daripada surah al-Qasas yang membincang tentang perlunya mencari kekayaan dunia untuk mendapatkan pahala dan kebahagian akhirat adalah jelas menunjukkan bahawa memakmur dan membangunkan dunia menjadi tuntutan dalam Islam. Allah berfirman dalam surah al-Qasas dan ayat 77 yang bermaksud: “Dan tuntulah dengan kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmay-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Begitu juga tiap kali kita berdoa, tidakkah berdoa kita meminta kebahagiaan di dunia dan di akhirat? Percubaan untuk mentafsirkan kebahagiaan di dunia adalah terhad kepada kemampuan membuat fardu ‘ain sahaja juga tidak berasa. Kita lihat bagaimana orang Islam dihina dan diseksa , dihalau dari negara mereka kerana mereka daif dan tidak mampu melindungi diri mereka. Mereka juga tidak dapat membuat fardu ‘ain dengan sempurna kerana diganggu oleh musuh-musuh mereka. Sudah tentu mereka tidak dapat menolong saudara seagamamereka yang ditindas di seluruh dunia.

Mendakwa bahawa ini adalah maksud kebahagiaan yang dituntut daripada Allah s.w.t. semasa kita berdoa adalah satu kejahilan. Maksud hidup bahagia ialah apabila orang Islam tidak kekurangan nikmat yang disediakan oleh Allah s.w.t. bagi umat manusia yang sanggup berusaha. Jika kerana tidak ada usaha oleh orang Islam mencari nikmat ini, maka mereka hidup sengsara, mereka tidak boleh berkata inilah kebahagiaan hidup yang dijanjikan kepada orang Islam. Allah menurunkan hujan dari langit supaya tanah menjadi subur, tetapi nikmat hanya dapat diperolehi jika manusia berusaha bercucuk tanam.

Jika tiada usaha dilakukan, maka orang Islam kelaparan, ini bukanlah kurniaan Tuhan. Allah melengkapkan umat manusia dengan akal fikiran, pancaindera dan tenaga supaya mereka dapat mengeluarkan hasil dari bumi Allah ini. Tidak mungkin Allah menyediakan makanan bagi orang yang tidak sanggup menyuap mulut mereka sendiri.
Jika demikian dengan makanan untuk kebahagiaan hidup, demikian juga dengan keperluan lain untuk kebahagiaan hidup umat Islam. Tidak mungkin kita hanya berdoa sahaja tanpa membuat apa-apa untuk menjayakan doa itu. Menyatakan bahawa rezeki bagi orang Islam adalah terhad sedangkan orang Islam tidak berusaha untuk mendapatkan lebih adalah sama dengan menyalahkan nasib buruk umat Islam kepada Allah s.w.t.

Ingatlah, segala yang salah dan buruk datangnya daripada kita, segala yang baik daripada Allah s.w.t. Jika hari ini orang Islam ditindas, diseksa dan dibunuh, yang salah adalah orang Islam sendiri, kerana keburukan adalah daripada kita. Ini jelas dalam surah An-Nisaa’ Ayat 79: Yang bermaksud: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apajua bencana yang menimpamu maka ini adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”

Mengejar kebahagiaan di dunia tidak bermakna mengabaikan akhirat. Sebenarnya mereka yang miskin, daif dan ditindas tidak pun dapat menunaikan apa-apa ibadat yang terangkum dalam fardu ‘ain dengan sempurna. Sebaliknya kita lihat bagaimana mereka yang hidup bahagia di dunia dapat menunaikan ibadah yang diwajibkan termasuk mengeluarkan zakat, bersedekah dan berbuat amal jariah. Sudah tentu jika mereka dapat menyumbangkan kepada pembangunan dan keselamatan negara Islam, maka mereka juga menolong menunaikan fardu kifayah. Dan ini membebaskan orang Islam lain daripada menanggung dosa. Sumbangan mereka yang berharta kekayaan kepada kesejahteraan dan keselamatan umat Islam dan negara Islam tetap lebih daripada yang disumbangkan oleh orang miskin. Saidina Othman adalah sahabat Nabi yang kaya yang banyak menyumbang kekayaannya bagi menjayakan perjuangan Islam. Dan beliau adalah antara orang yang dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.

Sebuah negara yang ingin maju dan bangun, perlu mempunyai aneka jenis perniagaan dan perusahaan yang halal. Memiliki hanya sumber alam semula jadi seperti minyak petrol tidak menjadikan negara itu maju. Kekayaan semata-mata bukan bermakna kemajuan. Untuk menjadikan negara maju dan berwibawa, perniagaan dan perusahaan yang besar dan canggih mestilah diadakan. Untuk ini modal dan kecekapan teknikal dan pengurusan diperlukan. Modal mestilah datang daripada keuntungan perniagaan dan perusahaan. Setelah membayar cukai dan mengeluarkan zakat serta sedekah, modal perlu dilaburkan untuk membesar dan mempermodenkan perniagaan dan perusahaan.

Pemerintah boleh mengadakan industri yang penting bagi ketahanan negara tetapi untuk ini Pemerintah perlu mendapat kutipan cukai yang banyak. Dan ini hanya boleh dikutip daripada rakyat yang berpendapatan tinggi. Perniagaan, perusahaan swasta dan kerajinan serta kecekapan pengurusan dan pekerjaan merupakan punca yang penting bagi hasil mahsul Pemerintah.

Kemajuan negara dalam bidang ekonomi amat penting dalam menentukan kekuatan sesuatu negara. Adalah menjadi tanggungjawab Pemerintah dan pihak swasta mengurus segala kerja dengan baik dan cekap supaya negara menjadi maju dan ekonomi tumbuh dengan pesatnya.

Sekali lagi perlu ditegaskan akan pentingnya keamanan dalam negara untuk memaju dan meningkatkan ketahanan negara. Mereka yang sengaja mencetuskan huru-hara dan mencuba untuk menjatuhkan Kerajaan kerana ingin merebut kuasa bagi diri sendiri dan dengan itu menjejaskan keamanan, sebenarnya mengkhianati usaha pertahanan negara dan orang Islam. Allah s.w.t. melarang perbuatan merosakkan seperti dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, “Janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Negara Islam yang ingin memperjuangkan suruhan agama perlu ditadbirkan dengan baik supaya aman dan ekonominya dapat dibangunkan tanpa gangguan. Pengurusan kewangan perlu dibuat dengan cekap supaya negara tidak bergantung kepada hutang dari luar yang mana ini akan menyebabkan Kerajaan disekat dengan syarat-syarat tertentu pihak yang memberi pinjaman.

Kemajuan ekonomi dan kewangan sesebuah negara dengan sendirinya memberi kekuatan kepadanya. Negara yang maju dalam bidang-bidang ini akan menjadi lebih bebas daripada tekanan kuasa asing dan juga dalam menguruskan hubungan dan dasar-dasar luar negara. Walaupun negara belum maju tetapi kebebasan ini memaksa negara-negara asing, bahkan kuasa asing juga menghormatinya.

Sebab inilah negara-negara Islam perlu berusaha membangunkan ekonominya dan menguruskan kewangannya dengan bijak dan cekap. Kedua-dua ini akan menyumbang kepada perjuangan di jalan Allah iaitu dengan kemampuan mempertahan dan menyelamatkan rakyatnya yang beragama Islam dan juga umat Islam yang tertindas di tempat-tempat lain. Dengan perkataan lain semua yang dilakukan untuk keamanan, kemajuan dan kesejahteraan negara Islam adalah jihad.

Untuk mendirikan sebuah negara yang kukuh dan berwibawa serta mendapat mempertahankan diri daripada segala ancaman dari dalam dan luar, kecekapan pengurusan dan pentadbiran diperlukan. Di zaman ini negara-negara Islam lebih kerap ditadbir secara feudal dan autokratik. Jika pemerintahan autokratik betul-betul bertanggungjawab, dengan kuasa mutlak yang ada pada pemerintah, pembangunan negara boleh dibuat dengan lebih cekap dan lebih berkesan.

Malangnya pemerintah autokratik biasanya lebih mengutamakan kemewahan hidup bagi yang berkuasa daripada pembangunan negara untuk memperkuat dan mempertahankan umat Islam. Oleh kerana dalam sistem autokratik pemerintahan yang gagal tidak dapat ditukar, maka biasanya pemerintahan yang tidak cekap akan berterusan dan kemajuan tidak tercapai.

Sebaliknya sistem demokrasi memudahkan penukaran pemerintah jika didapati ianya tidak cekap dan tidak dapat memajukan negara. Malangnya kerana sistem demokrasi memberi peluang untuk menukar Kerajaan, maka percubaan dibuat sepanjang masa untuk menukar pemerintahan oleh pihak-pihak yang tamak dan bercita-cita besar untuk merebut kuasa dan menjadi pemerintah. Dengan itu negara Islam yang memilih sistem demokrasi hampir semuanya tidak stabil. Kerajaan terpaksa menumpukan sepenuh masa untuk mempertahankan kedudukannya kerana bukan sahaja semasa pemilihan umum, tetapi sepanjang masa demonstrasi dan mogok dilancar untuk menjatuhkan Kerajaan sebelum pun tamat edahnya.

Ketidakstabilan yang berlaku menghalang pembangunan dan pertahanan negara. Sudah tentu negara Islam yang demokratik dan tidak stabil seperti ini tidak dapat memberi tumpuan kepada kemajuan dan pembangunan negara. Ada juga orang Islam yang mencuba revolusi bersenjata yang menyebabkan negara Islam berada dalam keadaan huru-hara tidak stabil dapat dimajukan sama sekali. Dengan ini negara Islam akan terus lemah dan tidak dapat mengejar negara bukan Islam dari segi kemajuan.

Kewibawaan dan kemajuan sesebuah negara mudah dilihat. Berbagai jenis ukuran sudah diadakan untuk menilai prestasi dan pencapaian sesebuah negara. Pegangan kepada agama juga mudah dilihat. Percubaan untuk mengabui mata berkenaan yang benar, baik daripada segi material atau rohaniah, mudah diketahui oleh rakyat yang bijak yang bersikap prihatin terhadap negara sendiri dan masyarakat Islamnya.

Jika rakyat bersikap sederhana dan menolak hasutan yang tidak berasas, jika rakyat memberi sokongan kepada Pemerintahan Kerajaan yang cekap, maka keadaan dalam negara Islam akan menjadi stabil dan proses membangun dan memperkuatkan ketahanan negara boleh berjalan dengan baik.

Di sini tafsiran berkenaandengan Kerajaan Islam perlu ditentukan. Terdapat hari ini lima puluh enam negara yang menjadi OIC atau Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam. Penduduk negara-negara ini bukan semuanya Islam. Mungkin hanya satu dua sahaja yang penduduknya seratus peratus orang Islam. Ini bermakna jika tafsiran negara Islam diasakan kepada penduduknya seratus peratus Islam maka terdapat hanya dua buah negara Islam sahaja di dunia. Jumlah penduduk dua negara ini tidak pun sampai dua puluh juta. Jumlah orang Islam di dunia melebihi seribu juta dan penduduk dunia enam ribu juta. Jika kriteria penduduk seratus peratus Islam digunakan, maka terdapat hanya dua buah sahaja negara daripada 183 buah negara di dunia yang boleh ditakrif sebagai negara Islam. Ini bermakna tidak ada negara Islam yang boleh bersaing dan dibangunkan sehingga dapat mengembalikan zaman kecemerlangan Islam.

Jika pengalaman semua hukum Islam pula dijadikan kriteria untuk mentakrifkan sesebuah negara sebagai negara Islam, maka tidak ada satu pun negara di dunia yang boleh ditakrif dan diiktiraf sebagai negara Islam. Ini adalah oleh kerana tidak ada satu pun negara di dunia yang melaksanakan hukum-hukum Islamsepenuhnya. Bukanlah mereka tidak melaksanakan atau mengamalkan hukum Islam kerana mereka menolak atau tidak percaya kepada ajaran Islam, tetapi sebabnya ialah kerana keadaan dan budaya orang Islam di zaman ini tidak mengizinkannya.

Islam memberi banyak kelonggaran supaya pengamalan ajarannya tidak menjadi beban kepada orang Islam. Yang mesti diamalkan hanyalah pengakuan akan Allah sebagai Tuhan yang satu yang disembah dan Nabi Muhammad sebagai RasulNya. Sembayang, puasa, zakat dan mengerjakan haji walaupun wajib, tetapi amalannya mengikut keadaan. Jika kerana sebab-sebab tertentu amalan yang wajib ini tidak dapat ditunaikan, maka ia tidak menyebabkan orang Islam menjadi murtad atau tidak Islam.

Demikian juga dengan hukum-hukum lain yang diwajibkan. Jika kerana sebab-sebab yang munasabah pengamalannya tidak boleh ditunaikan, maka ia tidak akan menjadikan orang Islam atau negara Islam tidak Islam. Memang ada orang Islam yang berpendapat walaupun malapetaka akan menimpa orang Islam dan negara Islam, apa yang diwajibkan oleh Islam mestilah ditunaikan juga. Pendapat ini tidak secocok dengan dakwaan bahawa Tuhan tidak menjadikan agama Islam sebagai beban kepada penganutnya. Sebaliknya Islam dibawa oleh Rasulullah sebagai berita gembira untuk membebaskan manusia daripada kejahilan dan menjadikan mereka yang menerima agama Tuhan orang yang bahagia dan bebas daripada penindasan dan huru-hara.

Demikian jika orang Islam tinggal sebagai kaum pendatang di negara bukan Islam, mereka tidak dipaksa untuk menguatkuasakan hukum-hukum Islam yang bertentangan dengan undang-undang negara berkenaan. Hanya kerana orang Islam tidak dapat menguatkuasakan hukum-hukum Islam tidak bermakna mereka sudah tidak Islam atau menjadi murtad.

Mengkafirkan orang Islam dan negara Islam kerana tidak dapat melaksanakan hukum-hukum Islam sepenuhnya akan menyebabkan bilangan orang Islam berkurangan dan mungkin juga tidak ada langsung negara Islam. Selain daripada itu orang Islam yang dikafirkan kerana sebab-sebab yang tidak dapat mereka elak, akan memusuhi orang Islam yang mengkafirkan mereka dan pecah-belah yang ketara dan mendalam akan berlaku di kalangan umat yang mana ini tetap akan melemahkan lagi mereka dan negara-negara Islam. Sudah tentu musuh-musuh Islam akan gembira kerana merekaakan dapat menekan orang Islam dan negara Islam dengan lebih mudah.

Orang Islam perlu ingat, tiga daripada khalifah dalam pemerintahan Khulafa Rasyidun, iaitu Umar bin Khattab, Othman bin Affan dan Ali bin Abi Talib yang telah dijanji syurga oleh Tuhan dan ramai daripada pemimpin-pemimpin Islam yang lain telah dibunuh oleh orang Islam sendiri kerana tuduhan-tuduhan bahawa mereka ini menyalahi hukum Islam atau tidak Islam. Yang pertama membuat tuduhan ini ialah orang Khawarij yang mendakwa bahawa mereka sahaja yang Islam dan orang lain semuanya tidak Islam. Dakwaan seperti ini kerap diubah oleh kumpulan-kumpulan kecil dalam masyarakat Islam sepanjang zaman untuk menghalalkan darah orang Islam lain ditumpahkan oleh mereka.

Tindakan mengkafirkan adalah satu musibah yang sering dilakukan oleh puak-puak tertentu untuk merebut kuasa. Sebab itulah Islam melarang tindakan mengkafir dengan sewenangnya-wenanagnya. Ia tetap akan menjadikan dan masyarakat dan negara Islam tidak stabil, dan tidak dapat dimajukan untuk kesejahteraan dan keselamatan umat Islam.

Negara Islam yang stabil dan kuat perlu menguasai segala ilmu yang dimiliki oleh bangsa-bangsa yang maju di dunia. Dengan ilmu-ilmu ini segala kecanggihan perindustrian dan perdagangan dapat diadakan oleh negara Islam. Ciptaan barangan dan peralatan yang lebih baik daripada yang dimiliki oleh kuasa-kuasa asing juga boleh dibuat supaya negara menjadi lebih kuat dan berupaya dalam mempertahankan negara dan umat Islam di mana-mana sahaja. Dengan cara ini negara Islam akan mendahului semula negara-negara utama di dunia, tidak ada sebab kenapa negara Islam harus kolot, lemah dan ketinggalan zaman. Sebenarnya di zaman kegemilangan Islam, orang Islam dan negara Islam memang pun mendahului bangsa-bangsa Eropah dalam semua ilmu, dalam perdagangan, industri dan ketenteraan.

Orang Islam tidak kurang pandai dan cekap daripada orang bukan Islam di zaman dahulu dan di zaman sekarang. Sebenarnya jika mereka mengikuti ajaran Islam tentang menutut ilmu mereka tetap akan mengusai semua ilmu. Dalam sejarah Islam di zaman kegemilangannya, orang Islam memang pun menguasai semua ilmu, termasuk yang lama yang diterokai oleh tamadun-tamadun sebelum Islam dan yang dicipta dan diterokai oleh orang Islam sendiri.

Sampai ke hari ini asas-asas ilmu sains, matematik, perbuatan, pelayaran, falak dan lain-lain adalah hasil kajian yang diterokai oleh pakar-pakar Islam. Tidak ada sebab kenapa orang Islam di zaman ini tidak dapat menguasai semua ilmu yang penting bagi pembangunan dan pertahanan negara Islam dan umat Islam. Proses ini sudah tentu akan mengambil masa 23 tahun untuk mengembangkan Islam dan mendirikan pemerintahan Islam di Madinah. Penegakan tamadun dan empayar Islam mengambil masa ratusan tahun.

Jika usaha untuk membangunkan sebuah negara Islam akan mengambil masa yang panjang ini tidak harus mengecewakan kita. Kita orang Islam perlu bersabar dan meneruskan proses pembangunan walaupun masa yang panjang diperlukan. Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Sudah tentu jika usaha ini menghasilkan negara Islam yang sama setanding dalam semua bidang dengan negara-negara maju di dunia, maka maruah orang Islam dan kehormatan terhadap agama Islam akan dipulihkan semula. Kekuatan dan ketahanan negara Islam akan meningkat. Keupayaan mempertahankan negara Islam dan orang Islam di mana-mana juga mereka berada akan menghentikan penganiayaan ke atas umat Islam yang berlaku sekarang ini. Orang Islam akan terselamat walaupun berada di negara bukan Islam. Sebenarnya sebelum pun negara Islam dapat dipulihkan sehingga setanding dengan negara maju, dunia sudah mula menghormati negara Islam yang mencapai sedikit kejayaan. Oleh itu orang Islam tidak harus jemu atau kecewa.

Pemulihan negara Islam sepenuhnya menjadi lebih penting di zaman globalisasi ini. Tanda-tanda menunjukkan dengan jelas bahawa kuasa-kuasa bukan Islam di dunia sedang merancang dan berusaha untuk menakluki semula dunia dengan teknologi dan sistem ekonomi baru ciptaan mereka. Globalisasi akan meruntuh dan membuka luas sempadan yang menjadi benteng pertahanan negara-negara Islam. Dengan kuasa ekonomi yang kuat dan teknologi yang canggih yang berubah dan maju sepanjang masa, kuasa-kuasa asing akan menakluki semula semua negara Islam.

Sekarang ini pun beberapa negara, Islam dan bukan Islam, telah secara efektif ditakluki oleh neo-imperialis barat. Tidak syak lagi bahawa mereka bercita-cita menakluki seluruh dunia melalui cara ini. Tidaklah hairan jika mereka berjaya menakluk semula negara-negara Islam kerana kewangan dan ekonomi negara-negara ini sekarang amat lemah.

Kebanyakan orang Islam dan negara Islam ternampak tidak sedar akan kemungkinan mereka ditakluk semula. Ada juga yang percaya bahawa ini memang sudah ditakdirkan Tuhan dan tidak ada apa-apa yang boleh mereka buat. Mereka masih sibuk dengan perselisihan faham sesama mereka berkenaan perbezaan dalam tafsiran-tafsiran agama yang mereka tidak pula anggap telah ditakdirkan atau dengan keasyikan merebut kuasa. Sekejap-sekejap mereka berperang sesama sendiri dan mereka ‘berjihad’ kononnya untuk membetulkan agama Islam orang Islam lain. Mengkafirkan orang Islam lain memberi alasan kepada kumpulan-kumpulan tertentu untuk mengisytiharkan jihad, menentang kerajaan negara-negara mereka dan mencetuskan huru-hara dalam negara. Sekaligus kegiatan ini mengalihkan tumpuan Kerajaan negara-negara Islam daripada pembangunan dan kewibawaan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan usaha penaklukan oleh kuasa-kuasa dunia di zaman globalisasi ini kepada mempertahankan diri daripada serangan pelampau Islam dalam negeri.

Gangguan oleh puak Islam yang berpandangan sempit dan penyalahgunaan ‘jihad’ oleh kumpulan ekstrimis yang hanya ingin merebut kuasa dalam negara-negara Islam adalah sebab utama negara Islam tidak dapat dibangunkan sehingga mampu mempertahankan umat Islam dan negara-negara Islam sejak runtuhnya Kesultanan Turki. Apabila sahaja ternampak kejayaan dalam memajukan negara Islam, maka akan ada kelompok-kelompok tertentu di kalangan orang Islam yang akan menuduh kerajaan adalah sekular dan kafir dan akan cuba menjatuhkan Kerajaan. Ada antara meraka ini yang mendakwa mereka berjihad untuk menegakkan Islam. Malangnya ‘jihad’ mereka ini hanya berjaya memecah-belah dan melemahkan negara Islam sedang dibangunkan. Mereka ini sebenarnya mengkhianati perjuangan Islam.

Orang Islam disuruh berjihad di jalan Allah. Tetapi orang Islam tidak disuruh berjihad secara buta-tuli atau kerana ingin melepas geram terhadap musuh yang menindas atau untuk menghalalkan rebutan kuasa dari orang Islam lain. Jihad juga bukan bermakna berperang semata-mata, kerana al-Quran jelas menyebut tentang berjihad dengan harta kekayaan.

Jika untuk menjayakan agama Allah, maka orang Islam perlu berperang, maka mereka berperang. Jika semasa berperang di jalan Allah mereka gugur, maka mereka mati syahid. Jika mereka tidak gugur, tetapi peperangan mereka adalah sebenarnya di jalan Allah, penyertaan mereka tidak menjadi sia-sia. Mereka juga akan ditempatkan di syurga apabila meninggal dunia. Demikian juga bagi mereka yang berjihad dengan harta kekayaan mereka dan lain-lain sumbangan kepada kejayaan Islam dan umat Islam.

Jika peperangan tidak diperlukan untuk memajukan agama Islam, untuk menyelamat dan mengembangkan agama Islam, persiapan yang dibuat untuk tujuan ini adalah juga jihad. Perjuangan Nabi dalam membawa dan mengembangkan agama Islam selama dua puluh tiga tahun adalah jihad. Pembangunan Madinah sebagai negara Islam yang pertama, penegakan kekuatan Madinah untuk mempertahankan agama Islam dan orang Islam supaya Islam menjadi agama sebilangan besar umat manusia; semua ini yang diusahakan oleh Nabi Muhammad adalah jihad di jalan Allah. Sudah tentu kerana inilah Baginda ditempatkan di syurga.

Selepas Baginda, sahabat-sahabat Baginda yang meneruskan perjuangan di jalan Allah telah dijanjikan syurga. Bahawa mereka tidak gugur dalam peperangan tidak bermakna mereka tidak berjihad. Sama ada mereka meninggal dunia kerana sebab-sebab biasa atau mereka dibunuh oleh orang Islam lain, termasuk orang yang mengkafirkan mereka, perjuangan mereka sebagai khalifah atau Amirul Mukminin atau pemimpin di lain peringkat, masih menjadi jihad dan mereka juga ditempatkan di syurga.

Dalam sejarah pembangunan empayar Islam, pemimpin-pemimpin Islam telah mendirikan bala tentera yang kuat, dilatih dan dilengkapi dengan senjata. Untuk maksud ini umat Islam membayar zakat dan cukai daripada pendapatan mereka untuk digunakan oleh pemerintah bagi membiayai perbelanjaan pertahanan.

Semua usaha membangunkan negara supaya mampu membiayai pertahanan orang Islam adalah sebahagian daripada jihad kerana tanpa pembiayaan ini tidak kurang pentingnya daripada pertempuran di medan perang. Tanpa pembiayaan yang mencukupi, tentera yang gagah tidak boleh diadakan dan pertahanan negara Islam dan agama Islam akan gagal. Ini bermakna perjuangan di jalan Allah gagal. Dengan itu negara Islam dan orang Islam boleh dikuasai oleh musuh-musuh Islam.

Jihad bukan bermula di medan perang dan bukan taman di medan perang. Jihad bermula dengan usaha membangunkan ekonomi negara Islam supaya sebahagian daripada kekayaan negara dapat membiayai persiapan pertahanan negara dan umat Islam. Hanya dengan persiapan yang cukup baik barulah pertempuran di medan perang akan berjaya dan perjuangan di jalan Allah mempunyai makna dan berhasil.

Orang Islam diwajib menunaikan fardu ‘ain dan fardu kifayah. Fardu ‘ain adalah untuk diri sendiri. Menunaikannya memberi pahala dan ganjaran di akhirat untuk diri sendiri sahaja. Menunaikan fardu kifayah bukan sahaja memberi pahala kepada orang yang menunaikannya tetapi juga membebaskan anggota masyarakat Islam yang lain daripada dosa. Oleh itu perlu ada dalam masyarakat Islam orang yang menunaikan fardu kifayah supaya mereka yang menunaikan fardu ‘ain juga tidak menanggung dosa.

Segala-gala yang dilakukan oleh sesiapa dalam masyarakat Islam untuk kepentingan dan kesejahteraan hidup masyarakat Islam sebenarnya menunaikan fardu kifayah. Demikian mereka yang berperang mempertahankan umat Islam, agama Islam dan negara Islam adalah menunaikan fardu kifayah. Demikian mereka yang berperang mempertahankan masyarakat tersebut daripada musuh-musuh Islam.

Oleh itu, jika tidak ada persediaan berperang oleh tiap seorang daripada masyarakat Islam, tetapi terdapat pasukan tentera yang ditugaskan untuk mempertahankan masyarakat Islam, maka anggota tentera sebenarnya menunaikan fardu kifayah.

Sebelum tentera dapat menunaikan fardu kifayah ini bermacam-macam lagi usaha perlu dilakukan untuk membiayai dan melengkapkan tentera ini. Untuk ini Kerajaan yang cekap dan berwibawa perlu diadakan, perniagaan dan perindustrian yang maju yang dapat menyumbang kepada khazanah negara turut diperlukan, berbagai-bagai jenis kepakaran yang penting tidak boleh diabaikan. Semua ini menyumbang kepada kesejahteraan hidup dan keselamatan umat Islam dan menjadi sebahagian daripada fardu kifayah.

Semua yang terlibat dalam usaha ini sebenarnya menunaikan fardu kifayah dan berjihad di jalan Allah seperti Saidina Othman ibn Affan berjihad dengan menyumbang hartanya. Jika berlaku peperangan di antara orang Islam dengan musuh Islam tentulah ada mereka yang terkorban dan mati syahid. Tetapi mereka yang tidak gugur pun berjihad juga dan dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T.

Sebaliknya jika tidak ada apa-apa persiapan, jika tidak ada tentera yang terlatih yang dilengkapkan dengan segala alatan yang perlu maka dengan kerana itu orang Islam terkorban, seluruh masyarakat Islam yang terlibat akan menanggung dosa, termasuk mereka yang tidak lupa menunaikan fardu ain.

Peluang untuk berjihad tidak hanya terdapat semasa perang atau melalui peperangan. Orang Islam boleh berjihad sepanjang masa dengan menentukan masyarakat Islam dan negara Islam aman, makmur, berkebolehan dalam semua bidang yang boleh menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Islam, dan dapat menggerunkan musuh, bahkan menewas segala serangan oleh mereka.

Sebaliknya mereka yang memecah-belah dan melemahkan negara Islam dan orang Islam bukan sahaja tidak berjihad di jalan Allah tetapi mereka mengkhianat perjuangan Islam dan mereka menanggung dosa kerana membelakangkan fardu kifayah. Tidak ada syurga bagi mereka ini kerana pengkhianatan terhadap agama Islam dikutuk oleh Allah S.W.T.

Oleh: Dr.Hamdi Irfan

No Comments

    Leave a reply