JIKA MENANG, AKAN TUTUP MASJID

Pemimpin parti pembangkang terbesar Belanda, Geert Wilders berikrar akan menutup masjid dan mengharamkan al-Qur’an sekiranya Parti Kebebasan (PVV) menang dalam pilihan raya Belanda dan beliau dipilih sebagai Perdana Menteri.

Dalam dokumen yang menggariskan program pilihan raya tersebut, PVV menjelaskan “ semua masjid dan sekolah agama akan ditutup manakala al-Qur’an diharamkan.”

Belanda akan mengadakan pilihan raya parlimen pada bulan Mac 2017 dan Geetz Wilders berkata demikian dalam akaun twitternya yang dimuatnaikkan pada 26 Ogos lalu.

PVV akan menterbalikkan Islamisasi yang sedang berlaku di Belanda dengan pelbagai cara termasuk mengharamkan wanita Islam bertudung di khalayak ramai, mengharamkan kemasukan imigram Islam, menutup pintu sempadan dan pusat pencari perlindungan politik.

Bagi Wilders, hal itu disebabkan Eropah kini sedang dilanda kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) ekoran pergolakan yang berlaku di Timur Tengah yang menyebabkan lebih sejuta rakyat Syria menjadi pelarian.

Isnin lalu (29 Ogos 2016), Canselor Jerman, Angela Markel membidas keengganan beberapa buah negara Kesatuan Eropah yang enggan menerima pelarian Islam dari Syria,  Afghanistan dan Iraq.

Menurut Frank Jurgen Welse dari Pejabat Bagi Pendatang dan Pelarian Persekutuan (BAMF) pada tahun ini dijangka lebih 300,000 orang akan tiba untuk memohon suaka politik.

Pada tahun 2015, Jerman menerima kira-kiran sejuta pemohon suaka dan menurut Markel lagi, “tindakan sesetengah negara yang enggan menerima pendatang Islam tidak boleh diterima sama sekali.

Kebanjiran pendatang Islam menjadi semakin sensitif apabila meningkatnya serangan ganas kumpulan Islamic State atau Daesh di beberapa tempat yang mengakibatkan kematian orang awam selepas isu bencikan Islam hampir reda sebaik sahaja terbunuhnya  Muammar Gadafi (2011) dan Osama Benladin (2011).

Kebanjiran PATI telah menyebabkan beberapa buah negara Eropah mengalami krisis di mana Slovakia dan Republik Czech telah menyuarakan kebimbangan masing-masing. Krisis ini telah diberikan penekanan dalam Dasar Pendatang di mana Jerman yang memulakan dasar buka pintunya pada bulan September lalu telah menyebabkan kehadirian lebih ramai pendatang Islam  sehingga dilihat sebagai “proses jemputan kedatangan PATI.”

Geert Wilders bukanlah merupakan tokoh politik yang boleh menerima Islam kerana sebelumnya beliau turut berkempen dan menerbitkan filem pendek yang menghina agama Islam.

Ketika kebencian terhadap Islam memuncak ekoran doktrin Bush untuk memerang keganasan yang ditujukan kepada penganut Islam selepas runtuhan World Trade Center pada tahun 2001, Wilders merupakan ahli politik pembangkang yang paling lantang mengkritik dan menghina Islam.

Wilders yang menjadi anggota parlimen Belanda sejak tahun 1998, dari perkahwinan campuran antara lelaki Belanda dan wanita Indonesia generasi ketiga yang lahir di Sukabumi, memulakan kerjaya awalnya sebagai penulis ucapan Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi (VVD) yang berhaluan konservatif-liberal.

Sebelum dipilih sebagai ahli parlimen, Wilders pernah dilantik sebagai pembantu kepad ahli parlimen Frits Bolkestein selama lapan tahun dan terpilih sebagai ahli Majlis Bandaraya Untrecht pada tahun 1996.

Akibat perbezaan pendapat dengan anggota VVD mengenai kemasukan Turki dalam Kesatuan Eropah, pada tahun 2004 beliau menubuhkan Partij voor de Vrijheid (PVV) dengan memilih haluan kanan nasionalis liberal, yang anti Islam dan anti imigran.

Pada tahun 2007, Wilders dinobatkan sebagai Politikus Tahun Ini oleh sebuah stesen radio Belanda dan pada tahun 2008 menerbitkan filem pendek berjudul fitna. Filem ini memaparkan pandangan Wilders mengenai Islam dan mengkritik al-Qur’an sehingga menyebabkan beberapa negara Islam mengharamkannya daripada tayangan umum.

Filem berdurasi  16.48 minit itu turut menerima kecaman daripada Perdana Menteri Belanda,  Jan Peter dan dianggap telah menghina Islam. Fitna mula ditayangkan di internet pada 27 Mac 2008 di laman video Liveleak. Versi Belanda ditonton oleh 1.6 juta kali dalam tempoh dua jam manakala versi Inggeris lebih 1.2 juta dalam tempoh lima jam.

Berdasarkan satu tinjauan pendapat beberapa bulan lalu, PVV dilihat mampu menjadi saingan besar kepada gabungan parti memerintah (Parti Buruh dan VVD) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Mark Rutte.

Hujung tahun lalu, hasil tinjauan pendapat meramalkan PVV mampu meraih 38 daripada 150 kerusi parlimen. Bagaimanapun, dalam tinjauan yang dilakukan pada bulan Ogos lalu, PVV dijangka mampu meraih 28 kerusi, iaitu merosot sebanyak 10 kerusi. Ketika ini, PVV mempunyai 12 kerusi di Parlimen Belanda.

Kemasukan kaum imigran bukan sahaja menyebabkan Belanda yang mempunyai penduduk seramai 17 juta orang berhadapan dengan masalah politik bahkan kebanjirannya turut menjadi isu terbesar di Britain sehingga menyebabkan pungutan suara terpaksa diadakan pada 23 Jun 2016 bagi menentukan kelangsungannya dalam Kesatuan Eropah.

Hasil pungutan suara itu, 52 peratus pengundi Britain mahukan keluar dari menganggotai Kesatuan Eropah dan menyebabkan Perdana Menteri Britain, David Cameroon meletakkan jawatan, digantikan oleh Theresa May pada 13 Julai 2016.

Janji Wilders, jika partinya menang dan beliau dipilih sebagai Perdana Menteri, sekolah agama dan masjid ditutup, pintu sempadan ditutup, al-Qur’an diharamkan dan akan menghentikan semua pemberian bantuan asing.

Dana yang diberikan kepada negara asing akan disalurkan kepada dana pembiayaan untuk polis dan pasukan keselamatan.

Catatan: Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply