Malam tadi sebelum melelapkan mata, adakah kita telah congak berapa banyak nikmat Allah yang telah selesai digunakan? Sekadar ambil satu sahaja iaitu nikmat oksigen yang disedut, rasanya lebih daripada berbilion kali. Kita ucapkan terima kasih? Katakanlah setiap sedutan itu dikenakan bayaran satu sen dan bil akan diberikan saat mahu tidur pada waktu malam, mampukah ia dibayar dan bagaimana pula jika diberikan syarat, ‘tiada lagi nyawa keesokannya jika tidak dibayar’.

Allah hanya minta sedikit sahaja daripada manusia iaitu untuk menyembah-Nya, buat perkara baik dan tinggalkan perkara buruk. Itu sahaja dan ia sebenarnya langsung tidak memudaratkan manusia jika dipatuhi. Malah menguntungkan pula apabila dijanjikan dividen dan bonus tambahan jika mematuhinya iaitu kehidupan senang-lenang di akhirat sana. Apa yang uniknya, jika manusia itu ingkar iaitu enggan menyembah-Nya atau tekun menyembah-Nya, kekuasaan dan keagungan Allah langsung tidak terjejas.

Dalam realiti kehidupan, Allah perintahkan hamba-Nya membayar zakat. Bila sebut zakat ramai yang terlintas kepada zakat fitrah pada Ramadan. Segelintir menganggap bila bayar zakat fitrah menjelang Syawal, maka sempurnalah Rukun Islam mereka. Mereka terlupa ada lagi zakat lain antaranya zakat pendapatan.

Tidak tahu? Rasanya seperti tidak logik kerana pelbagai hebahan dan permakluman telah dilakukan oleh institusi zakat. Jika sengaja buat-buat tidak tahu, jangan bimbang kerana Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam fikiran termasuk pelbagai taktik licik yang digunakan.

Allah memberikan rezeki dan nikmat kepada kita sudah terlalu banyak, jadi janganlah pula berkira-kira dalam beribadah. Ditakdirkan Allah pula berkira-kira dengan kita, sanggupkah?

Bukannya sebulan gaji perlu dibayar untuk zakat pendapatan, kadarnya adalah amat logik iaitu hanya 2.5 peratus daripada pendapatan setelah ditolak segala ­keperluan diri dan keluarga yang dibenarkan syarak. Formulanya senang, jika lebihan pen­dapatan RM10,000, RM250 sahaja wajib dikeluarkan zakat.

Terdapat juga segelintir yang mengambil pendekatan mudah, iaitu jika ada pemulangan balik (refund) daripada pembayaran cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri barulah digunakan untuk membayar zakat pendapatan. Rendahnya nilai zakat!

Alhamdulillah pada masa ini kesedaran dalam kalangan pekerja membayar zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji semakin meningkat. Namun langkah itu dirasakan masih belum mencukupi, amat elok jika majikan dapat mewajibkannya, bukan sekadar menggalakkan sahaja pekerja berbuat demikian.

Syarikat atau organisasi perlu wujudkan dasar ‘hitam-putih’ supaya tidak timbul sebarang isu berbangkit. Perkara baik yang dapat memberikan pahala dan keberkatan adalah amat tidak logik jika ia dibantah oleh pekerja, kecuali jika pekerja itu hidup atas muka bumi ini yang langsung tidak memerlukan sebarang nikmat daripada Allah. Ada ke yang macam tu?