KAD KREDIT PUNCA BANKRAP?

Akibat hutang yang tidak terkendali dan gaya hidup yang tidak sesuai dengan pendapatan, ramai yang diisytiharkan muflis (bankrap). Satu perkara yang cukup memperihatinkan ialah kaum Melayu mencatat kebankrapan tertinggi iaitu 40.72 % berbanding dengan kaum-kaum lain.

Salah satu faktor yang menyumbangkan kepada kebankrapan ialah penggunaan kad kredit. Dalam masyarakat kita, menurut Hajah Rohani “penggunaan kad kredit tidak digunakan dan dimanfaatkan sepertimana sepatutnya. Ramai juga yang terperangkap dengan gaya hidup. Ia menjadi lambang status sosial di dalam masyarakat sehingga meskipun kurang berkemampuan, namun memaksakan diri untuk memohon kad kredit” katanya lagi.

Beliau turut mengimbas fenomena penggunaan kad kredit pada tahun 1990-an yang dianggap tidak terkawal. “Pada zaman itu, ramai orang yang mendapatkan kelulusan kad kredit meskipun bergaji 1500 ringgit. Cuba bayangkan dengan gaji itu, anda memegang kad kredit yang memberi kuasa untuk membelanjakan wang dalam jumlah hampir yang sama dengan gaji. Isu ini juga menjadi salah satu faktor yang mendorong berlakunya krisis kewangan pada tahun 1998.”

Walau bagaimanapun, situasi pada masa sekarang tidak sampai pada peringkat yang terjadi pada akhir tahun 1990-an. Hal ini disebabkan Bank Negara dewasa ini telah menetapkan syarat-syarat yang ketat dan individu yang berkelayakan sahaja yang berhak mendapatkan kad kredit.

Selain salah guna kad kredit di luar kemampuan, aspek penting yang mendapat sorotan dan keprihatinan banyak pihak ialah kemudahan pinjaman yang diberikan kad kredit. Pada masa ini, kad kredit berfungsi sebagai penghutang yang membolehkan pemegang kad kredit memperolehi wang secara pendahuluan (advance). “Pada masa ini, pemegang kad kredit tanpa perlu bersusah payah mengurus pinjaman di bank. Mereka cukup beratur di mesin ATM mengambil pinjaman duit itu sepertimana orang mengambil simpanan mereka.” kata Hajah Rohana lagi.

Berdasarkan data statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara di atas, terdapat kenaikan yang cukup ketara terhadap amalan hutang pendahuluan ini. Daripada jumlah belian pada bulan Disember 2015 yang mencecah 9,4 billion ringgit, sebanyak 198 juta merupakan dalam bentuk pendahuluan tunai. Perkara ini menurut Hajah Rohana “cukup merisaukan kerana apabila tidak ditangani dengan betul atau misalnya penghutang tidak mampu menjelaskan hutangnya dalam tempoh yang ditentukan boleh membawa keruntuhan ekonomi perbankan. Ketidakmampuan rakyat menjelaskan hutangnya membawa resiko ekonomi yang tinggi kepada negara seperti yang berlaku di Greece pada beberapa tahun lepas”.

Menurut beliau lagi, orang yang memegang kad kredit perlu dibekali ilmu ekonomi yang mantap supaya tidak terjebak dengan kemudahan yang diberikan kad kredit. Mungkin tidak menjadi isu atau masalah besar kalau yang memegang kad kredit mempunyai latar dan kemampuan kewangan yang besar. Namun bagi, yang bergaji kecil dan tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit, maka ia menjadi masalah besar.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply