KAEDAH PINDA RUU 355 DIPERSOAL BUKANNYA MENENTANG ISLAM

Apabila rencana saya “PAS cuba bermain politik meminda RUU 355” yang tersiar pada 14 Februari lalu telah mengheret ke persepsi salah terhadap apa yang dimaksudkan. Saya tidak membuat sebarang pendirian untuk menolaknya sebaliknya apa yang cuba disusurgalurkan ialah keinginan PAS untuk menjadikan pindaan itu sebagai ‘agenda politik’.

Saya berpendirian sedemikian ialah kerana PAS mengambil inisiatif untuk melakukannya selepas parti yang dilihat gemar menggunakan agama sebagai “senjata politik’ pernah gagal dalam dua pindaan undang-undang berkaitan jenayah selepas ‘tergesa-gesa’ melakukannya di Terengganu (2003) dan Kelantan (1993). Sayangnya, ketika memerintah Kedah, PAS tidak pula berbuat demikian, bahkan tiada cadangan langsung.

Dua pindaan undang-undang itu, sebelumnya menjadi ‘suatu keinginan besar’ PAS untuk mewajahkan dirinya sebagai pentadbiran yang berjiwa dan berjuang bagi menegakkan syiar Islam kerana sebelumnya melihat undang-undang yang ada di Malaysia sebagai ‘taghut’ dan warisan penjajah.

Kali ini PAS berusaha melakukan pindaan berdasarkan ruang peraturan yang terdapat di Dewan Rakyat, iaitu menggunakan Undang-Undang Peribadi. Seorang pengamal undang-undang berhujah, pindaan yang dicadangkan itu adalah penting untuk ‘memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah’ yang dalam banyak kes ia adalah lebih rendah daripada Mahkamah Sesyen, terutama yang membabitkan had maksimum denda dan hukuman.

Saya bersetuju dengan aspek tersebut. Sekurang-kurangnya ia membawa kepada ‘rasa hormat’ kepada keputusan Mahkamah Syariah dan menjadikan ianya sebagai suatu saluran undang-undang yang berwibawa. Tetapi, yang saya persoalkan kenapa PAS melakukan perkara ini, bukannya kerajaan?

Benar bahawa pindaan kali ini mendapat sokongan UMNO yang menjadi tulang belakang pentadbiran politik di Malaysia. Tetapi hakikatnya, amalan yang dilakukan selama ini ialah pihak kerajaan mengemukakan cadangan tersebut untuk dibincangkan di Dewan Rakyat, dan kemudiannya dibuat keputusan berdasarkan sokongan dua pertiga keahlian.

PAS yang hanya mempunyai 23 wakil rakyat dilihat bersungguh-sungguh untuk membawanya ke Dewan Rakyat dan akhirnya meminta ‘sokongan UMNO’. Tetapi, perincian pindaan tersebut belum dijelaskan sebaik mungkin pada bulan November lalu, hanya pada Sidang Dewan Rakyat pada bulan Mac nanti akan diperincikan. Ini bererti PAS juga tergesa-gesa untuk menyelamatkan imejnya setelah sedikit tercalar dengan kemunculan PAN dan pemecatannya dari Pakatan Rakyat.

Situasi inilah yang mencetuskan kesimpulan saya bahawa PAS sebenarnya menggunakan pindaan RUU untuk tujuan politik, yakni mengembalikan keyakinan penyokong dan orang Melayu terhadap peraturan Islam selepas ‘tempo kempen’ diredakan dengan ‘negara berkebajikan’.

Saya bersetuju dengan pandangan seorang lagi pengamal undang-undang bahawa Akta 355 sudah beberapa kali mengalami pindaan (1965, 1984 dan 1988). Pada ketika pindaan itu dibuat, ianya diusulkan oleh seorang menteri yang menjaga hal ehwal Islam bukannya seorang ahli parlimen yang mewakili hanya sebuah parti pembangkang. Saya melihat PAS menjadi begitu terdesak sebagaimana parti itu pernah mengalami situasi yang sama ketika dua Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) mengisytiharkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam (PNI) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari (IH).

Sebelum PNI diperkenalkan, PAS pernah membuat beberapa fatwa yang merosakkan nilai masyarakat Islam sehingga tercetusnya pelbagai insiden—sembahyang dua imam, pemulauan komuniti atas perpuakan politik, kafir mengkafir sesama Islam, penceraian apabila berbeza parti politik dan sebagainya—sehingga membawa kepada ektremisme agama dan ketaksuban kepada pemimpin. Keadaan yang dilihat meruncing sekitar tahun 1980-an kemudiannya diperparahkan lagi apabila PAS menuduh bahawa kerajaan yang memerintah ‘wajib dijatuhkan’ kerana mengamalkan budaya ‘taghut’ dan bercanggah dengan syiar Islam.

Fatwanya yang terkenal, ‘darah orang UMNO dihalalkan’ kerana berkawan dengan parti-parti bukan Islam walhal dalam konteks Islam, perkongsian kuasa dalam pemerintahan tidak mengehadkan kesemuanya adalah dalam kalangan  muslim. Misalnya, ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda turut menjadikan seorang keturunan Yahudi sebagai ‘penunjuk arah’ berdasarkan kecekapan dan kemahirannya. Ertinya, Islam turut memberikan peluang kepada bukan Islam untuk memimpin sekiranya calon berkenaan merupakan mereka yang boleh dipercayai dan diyakini membawa kepada kebaikan rakyat keseluruhannya.

Doktrin yang pernah dimulakan oleh PAS semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Pasir Mas pada tahun 1960-an dihidupkan kembali dengan penegasan baharu oleh pemimpin PAS di Banggul Peradong, Kuala Terengganu (7 April 1981) dan seterusnya di Kg Kerinci (1985) hanya kerana melihat kedudukan pengaruhnya semakin mengecil. Pada tahun 1982, PAS menang lima (5) kerusi. Dengan menggunakan doktrin tersebut PAS telah menggelonsorkan kedudukannya hanya menang satu kerusi daripada 98 kerusi yang ditandinginya pada tahun 1986.

Sebab itulah dalam period tersebut PAS menjadi begitu ‘penasaran’ dan memerlukan hujah-hujah baharu untuk kembali meraih sokongan. Pada tahun 1990, PAS mampu meningkatkan sedikit kedudukan apabila dibantu oleh Semangat 46 yang berpecah daripada UMNO kesan perebutan jawatan pada tahun 1987. Tahun 1986, kerajaan terpaksa mengeluarkan Kertas Putih bagi ‘membendung ancaman ekstremisme agama’ akibat Tragedi Memali (1985).

Selepas terkuburnya ‘Angkatan Perpaduan Ummah’, PAS terpaksa bergerak secara solo untuk memenangi sebarang kerusi dalam beberapa siri pilihan raya sehinggalah berjaya membentuk Pakatan Rakyat, walaupun sebelumnya memperoleh sedikit ‘kemenangan’ kesan pemecatan Anwar Ibrahim (1997) sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Semangat 46 dibubarkan pada bulan Mei 1996 dan sebahagian besar ahlinya pulang ke pangkuan UMNO. Pilihan raya umum 1999, PAS menang di Terengganu dan menguasai 27 kerusi Dewan Rakyat. Tahun 2004, PAS hampir ketandusan hanya menang tujuh kerusi kerana ‘kekuatan aura’ Tun Abdullah Ahmad Badawi terhadap Islam. Dilema itu akhirnya membawa perubahan kepada sikap PAS, boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik ‘bukan Melayu dan Islam’ dan sanggup mengetepikan fatwa ‘kafir’ dengan mengadakan ‘tahaluf siyasi’ bersama PKR-DAP dan PSM.

Situasi ini menjadikan PAS melupakan sementara konsep ‘Negara Islam’ dan seterusnya salah seorang pemimpin PAS yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Perak membuat kenyataan bahawa PAS tidak pernah berjuang untuk menubuhkan ‘Negara Islam’ di Malaysia. Sandiwara inilah yang akhirnya ‘memakan diri’ sehingga PAS terbelah kepada dua kepuakan, iaitu kumpulan yang berusaha mempertahankan kepimpinan ulamak dan kumpulan yang mempertahankan nilai-nilai profesionalisma.

Akhirnya, kumpulan yang mempertahankan nilai-nilai profesionalisma tewas dalam pemilihan PAS pada tahun 2015 sehingga menyebabkan parti itu berpecah dan tertubuhnya Parti Amanah Nasional (PAN). PAN mengambil pendekatan ‘menjadi alternatif’ dan terus bertahan dalam Pakatan Rakyat manakala PAS seperti ‘tertikam dari dalam’ membuat penataran semula prinsip perjuangannya, kembali memperlihatkan kesungguhannya untuk kembali kepada ideologi politik Islam.

Rentang sejarah ini menjadikan saya tetap berpendirian bahawa PAS memerlukan ‘seruan Islam’ semula bagi meraih sokongan orang Melayu dan Islam selepas gerak kerjanya dipersoalkan oleh bekas pemimpinnya yang menyertai PAN. Ertinya, peluang yang terbuka ialah membuat usul bagi memperkatakan undang-undang Islam walaupun sebelumnya PAS telah gagal dalam melaksanakan dua undang-undang yang diluluskan ketika pemerintahannya di Kelantan dan Terengganu.

Enakmen Jenayah Syariah II di Kelantan mempunyai banyak kelemahan termasuklah ‘penerimaan rakyat’ dan kemudahan infrastruktur pelaksanaan. Pelbagai kelemahan didedahkan tetapi PAS tidak pernah membuat pengakuan secara terbuka, sebaliknya, bila terjerat akan menyalahkan pihak lain yang tidak menyokongnya, termasuklah dakwaan bahawa ‘UMNO menolaknya’. UMNO hanya memerhatikan kelemahan itu kerana ia adalah suatu peluang untuk ‘mendera PAS’ termasuklah ‘keserasiannya dengan perlembagaan.’

PAS menjadi semakin ‘terdesak’ apabila Brunei Darussalam berusaha menggantikan undang-undang sedia ada kepada undang-undang Islam pada tahun 2014. Perubahan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia ‘memulangkannya kepada PAS’ secara sinis menyebabkan ia terpanggil untuk menggunakan Undang-Undang Peribadi bagi meminda RUU 355.

Saya melihat perkembangan tersebut sebagai tindakan PAS walaupun mendapat sokongan UMNO dan beberapa buah NGO Islam. Tidak hairanlah ada pihak yang berpendapat, jika pindaan RUU 355 menemui kegagalan di Dewan Rakyat nanti, PAS akan tersungkur teruk dan ia memberikan kemenangan moral kepada UMNO. Hujahnya adalah jelas, UMNO tidak mengagendakannya, UMNO hanya menyokong agenda PAS. UMNO sedar, untuk meminda sesuatu undang-undang yang melibatkan orang Islam, ia memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat. UMNO tidak mempunyai kelebihan itu walaupun masih merupakan parti yang dominan.

UMNO hanya mempunyai 87 wakil rakyat di mana dua daripadanya tidak lagi mewakili UMNO. Gabungan wakil rakyat UMNO 85 (setelah ditolak Pagoh dan Semporna) dan PAS yang tinggal 16 (setelah ditolak enam menyertai PAN) masih belum mencapai majoriti mudah (112 kerusi). Untuk mencapai dua pertiga (148 kerusi) ia memerlukan sokongan daripada lain-lain wakil rakyat daripada BN. Ia sesuatu yang boleh jadi sukar disebabkan MCA dan Gerakan tidak bersetuju kerana melihat pindaan tersebut sebagai ‘permulaan Hudud.’

Inilah yang menjadi pokok persoalan dalam rencana saya sebelumnya, bukan bermakna saya tidak menyokong pindaan RUU 355. Seorang pengamal undang-undang turut mempersoalkan kewajarannya kerana sepatutnya hal ihwal Islam dirujuk kepada Yang Di Pertuan Agong terlebih dahulu, dan kerana itulah pindaan tersebut dilihat bakal membawa kepada percanggahan dengan perlembagaan walaupun seorang lagi pengamal undang-undang menulis “di manakah ia tidak berperlembagaan’.

Catatan: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply