KAKISTOKRASI MALAYSIA BAHARU

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagi Tan Sri Rafidah Aziz, prinsip dan pendiriannya lebih cenderung kepada berat mata memandang. Beliau tidak perlu memikul bebanan hidup kerana aset yang dimilikinya lebih daripada cukup untuk membiayai kehidupan untuk lima tahun lagi.

Bagi peneroka dan pekebun kecil getah, berat bahu yang memikul hasil tuaiannya saperti tidak berbaloi apabila harga komoditi itu menjunam jatuh sejak Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 setahun lalu.

Pengguna jalan raya yang terpaksa meredah jalan bertol mula bertanya, sudah dua kali Aidilftri nampaknya belum ada tanda-tanda mereka dibebaskan daripad membawa kad ‘touch n go’. Teknologi kad pra bayar itu semakin maju, tetapi tambah nilai di kedai-kedai serbanika dan sebahagian besar stesen minyak perlu ditolak komisyen sebanyak RM 0.50 setiap kali melakukannya.

Hadiah terbesar yang rakyat semua dapat sejak PH memerintah ialah peluasan larangan penggunaan beg plastik yang terpaksa dibayar setiap hari. Sebelumnya dihadkan kepada hari-hari tertentu. Sebelumnya beg-beg plastik boleh didapati pelbagai saiz, tetapi kini, kalau berbelanja di TESCO hanya satu saiznya beg plastik disediakan dengan bayaran RM 0.20 setiap satu. Tidak ada saiz L atau XL. Beg plastik pula bukan sahaja terlalu nipis, sehingga tidak mampu dibimbit sekiranya bebanannya mencapai tahap dua atau tiga kilogram.

Janji sebelum menang, bayaran balik pinjaman PTPTN akan dikaji semula dan ditangguhkan bagi mereka yang tidak mencecah pendapatan bulanan RM 4,000. Wah! Hati peminjam sedikit berbunga-bunga apabila senarai hitam dipadamkan tetapi dipaksa membayar dan majikan hendaklah memotong gaji walaupun gaji dibawah had yang dijanjikan. Diancam lagi, jika enggan akan disenarai hitam kembali.

10 bulan yanggagal

Sederap langkah memasuki pintu pagar sekolah, warna kasut dan stoking sudah berubah. Katanya kerana menerima banyak aduan, kasut warna putih yang digunakan sejak berpuluh tahun lalu tidak lagi sesuai sebab mudah kotor. Kasut hitam mungkin lebih manusiawi, kerana para pelajar tidak lagi perlu membasuhnya setiap minggu dan kos dapat dijimatkan tidak perlu kepada kapur.

Berdentum guru di langit, hujan sesekali turun dengan lebatnya. Tetapi, untuk mendapat bekalan air bersih, perlu membayar lebih sebabnya kos penyediaan semakin meningkat. Maka sibuklah berunding ke sana ke mari untuk mengetahui kesediaan Kerajaan Negeri untuk menaikkan tariff air. Rakyat sedang menunggu keputusannya dengan cemas.

Bagi menteri ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat membebankan. Semuanya dibayar oleh kerajaan untuk kediaman rasmi. Bukan rakyat biasa, yang makan gaji pun terasa untuk hidup selesa pada zaman serba mahal ini begitu menyiksakan. Sebab, ada menteri mendabik dada kerana berjaya mengira stok ikan kembong yang masih ada dalam laut, tetapi kebingungan bila harganya terus meningkat. Harga tersangat mahal kalau dibeli di pasar tani.

Untuk membeli daging rakyat terpaksa berfikir berkali-kali. Setahun lalu harganya sekitar RM 36 sekilogram. Mukriz pun terkejut dengan harga yang mahal itu, tetapi bulan Ramadhan tahun ini harganya sudah mencecah RM 40 sekilo untuk daging pejal manakala batang pinang mencapai harga lebih RM 46 sekilogram. Nampaknya dalam bulan puasa ini untuk menikmati sop tulang lembu perlu ditangguhnya kerana tulang sudah mencecah RM 34 sekilogram.

Kisah pemandu teksi juga mengganggu fikiran. Sebelumnya dijanjikan perkhidmatan e-hailing akan dihapuskan dan pemandu teksi berasa lega. Grab bukan sahaja bertambah, bahkan muncul satu lagi syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing yang lebih murah, iaitu MyCar.

Beberapa hari lalu diumumkan bahawa peraturan cermin gelap untuk kereta sudah dibolehkan dengan syarat membuat permohonan dan membayar sehingga RM 5000. Tentunya, selepas ini bertambahlah kereta bercermin gelap di atas jalan raya terutama bagi mereka yang tidak pernah kisah berapa bayarannya. Bahkan kereta mereka pun berkali ganda daripada kereta orang kebanyakan, yang hanya mampu beli MyVi, Saga ataupun kereta-kereta terpakai.

Tahun lalu sistem insuran kereta turut berubah. Tidak lagi berdasarkan kaedah sebelumnya. Kereta yang mempunyai kesalahan lalu lintas terpaksa membayar insuran lebih tinggi. Sistem saman berkamera juga telah dipertingkatkan, bayaran saman tidak ada lagi diskaun. Janji sebelumnya, AES akan dihapuskan. Memang dihapuskan untuk tempoh tertentu, tetapi dikembalikan secara meluas (diperbanyakkan kamera) yang dijenamakan AWAS.

19cc15b9ea3e3aaa2d6d2d25750f2f4b

Orang ramai masih terngiang-ngiang. Komen seorang wanita di Sungai Koyan menarik untuk direnungkan. Sebagai suri rumah yang sentiasa ke pasar, dia tidak lagi mampu membeli, tetapi hanya mampu ‘bercinta’ kerana harga belacan lebih mahal daripada harga kelapa sawit. Aduh! Siksanya hidup. Kais pagi tidak lagi boleh makan petang. Kais pagi pun tak mampu berbelanja untuk makan pagi kerana harga roti canai juga mahal.

Harga petrol ditetapkan pada siling RM 2.08 seliter bagi RON 95. RON 97 tidak ada harga ambang. Rakyat masih melihat ia masih lagi mahal kerana ada kedengaran, sekiranya PH berjaya memerintah, harga tertinggi RON 95 adalah RM 1.50 seliter. Dah setahun berlalu, belum ada tanda-tanda harga semurah itu. Pakar-pakar propaganda sudah tidak bersuara lagi dengan teori untuk merendahkan harga minyak.

Tak perlu mereka buka mulut dan berguling-guling atas jalan raya minta subsidi dikembalikan. Sebab sebahagian daripada pejuang-pejuangnya sudah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri yang mendapat fleetcard, penggunaan minyak kereta rasmi dibayar oleh kerajaan.

Timbul pula kerajaan PH sukar melaksanakan janji-janjinya kerana terdapat penjawat awam yang tidak bersedia memberikan kerjasama. Ada dakwaan, pegawai tinggi kerajaan yang masih setia dengan BN sabotaj. Apakah benar? Nampaknya kenyataan Tun Daim Zainudin saperti menafikan penjawat awam sabotaj. Sebenarnya menteri dan sekutunya yang dibawa masuk ke kementerian memperlihatkan rasa benci dengan penjawat awam.

Kemahiran pengurusan penjawat awam diketepikan, sebaliknya juak-juak politik hidup dalam dunianya yang tersendiri. Sikap ini memang merugikan, bahkan kata Tun Daim, sepatutnya juak-juak politik itu menjalin hubungan baik dengan penjawat awam, bukannya mencurigai. Rugi dan memang bermasalah.

Penjawat awam ada etikanya, mereka diikat dengan peraturan tertentu dan tentunya mereka tidak mudah melaksanakan apa yang diarahkan oleh juak-juak politik. Mereka tidak mahu terjerat, sebab apabila dikerumun oleh SPRM, merekalah yang akan diasak dan dibicarakan. Tidak semua dakwaan rasuah penjawat awam ada kaitan dengan arahan tidak bertulis juak-juak politik, tetapi, untuk mengelakkan daripada terjerumus terpaksa berhati-hati.

Memang ada penjawat awam melakukan rasuah, tetapi, apakah penjawat awam sahaja yang akan dihadapkan ke mahkamah. Patutnya, SPRM perlu menyeret sama mereka yang memberikan rasuah. Kedua-dua sama licik. Yang memberi memerlukan projek manakala yang menerima mengharapkan sogokan itu boleh mempertingkatkan gaya hidup. Mereka juga teringin untuk guna Velfire atau kereta mewah.

Mereka juga teringin untuk tinggal di rumah besar dan memiliki hobi yang mahal. Mereka juga sesekali terasa ingin melancong ke luar negara. Semuanya itu dipercepatkan dengan sikap gelojoh para peniaga untuk memperoleh kontrak, dan kerana itu menyisihkan sebahagian keuntungan untuk melobi. Apa pun sistem yang dicipta, kawalan yang dilakukan, kebocoran akan tetap ada.

Lama kelamaan kawalan turut dapat dirempuh, sebab setiap daripada penjawat awam dan pelobi saling berhubungan. Ia bukan dunia tertutup dan seringkali disarankan agar lebih mesra peniaga. Bahkan Perdana Menteri ke-7 turut menasihatkan penjawat awam agar menjadi pemudah cara dan tidak menolak kapitalisma.

Ada pula crony-capitalisma. Tak tahulah daripada mana isu itu bermula dan pintu perangkap yang mana benar-benar kebal daripada kebocoran. Kisahnya semakin berbelit-belit dan sebahagiannya memerlukan kepakaran dalam bidang forensik untuk melihat di mana kesilapannya.

Suatu ketika ramai juga yang menipu kelulusan akademik untuk memohon jawatan. Tapi, sejak akhir-akhirnya penipuan kelulusan akademik menjadi riuh dalam kalangan ahli politik. Sayangnya, jika dalam sektor awam mereka yang menipu kelulusan akademik sebagai syarat kemasukan, dikenakan tindakan termasuk ada yang dibuang kerja atau tidak disambung kontrak.

Ia tidak berlaku dalam kalangan orang politik. Walaupun kesahihan kelulusan akademik tidak jelas, mereka masih berpeluang memegang jawatan menteri sebab, menteri dilantik bukan kerana faktor kelulusan akademik. Ia saperti dualism dalam dua profesyen. Ironinya, menteri-menteri yang terpalit dengan kelulusan akademik palsu, sentiasa membuat seruan agar kakitangannya jujur dan melaksanakan tanggungjawab dengan nilai amanah.

Orang ramai mula mempersendakan, siakap senohong gelama ikan duri, menteri dan orang politiklah sepatutnya lebih jujur dan tidak berbohong. Sayangnya, bagi orang politik semuanya dibolehkan walaupun masih ada kes dalam mahkamah, tetap boleh dilantik sebagai menteri kerana ‘belum dibuktikan bersalah’.

belacan

Setelah dilantik sebagai menteri, ada pula tindakan untuk tidak meneruskan dakwaan yang sebelumnya sudah berjalan. Dilepas dan dibebaskan. Waduh! Saperti apa ya? Sepatutnya, biarlah kes itu selesai dahulu, baharulah boleh dilantik dan ‘benar-benar bersih’ bukan hanya sekadar perjuangan bersih berbaju kuning.

Asal pernah memakai baju kuning dan berdemonstrasi sudah dianggap bersih dan boleh jadi menteri atau timbalan menteri. Kalau salah sekalipun, dendanya kurang sedikit daripada had yang tidak membolehkan dirinya bergelar wakil rakyat. Tak salah, sebab ia bukan kes jenayah. Tak kisah sebab Aiman memang tak kisah, yang Aiman kisah ialah ahli politik yang dibenci dan mesti dirantai dengan pelbagai dakwaan. Aiman cari musuh politik, mestilah dalam kalangan orang BN atau orang-orang Najib.

Salah tetap salah. Orang ramai tidak mempertikaikan kesalahan. Yang dipersoalkan ialah bagaimana proses menggelidah atau mencari maklumat itu dilakukan. Orang ramai terasa bahawa proses mencari bukti itu terlal sakarstik dan melampau hingga cokelat dalam peti sejuk pun dirampas. Mendera orang yang dikatakan ada kaitan itu sehingga tengah malam, tidak hanya setakat menggelidah waktu siang.

Selepas menggelidah, barangan rampasan didedahkan begitu banyak dan tidak cukup diangkut dengan sebuah lori. Proses mengaudit dan menyenaraikannya didedah untuk pengetahuan umum, walhal pada peringkat tersebut ia boleh dianggap rahsia. Sidang media pihak berkuasa, proses mencari bukti semuanya menimbulkan pelbagai spekulasi. Akhirnya, data awal dan data akhir terlalu jauh berbeza.

Awalnya lebih besar dan apabila sampai tindakan (selepas tempoh dibenarkan), data yang didedahkan menjadi lebih kecil. Berbeza sekitar 30 hingga 45 peratus, menyebabkan ramai yang bertanya: mungkinkah ia hilang ketika dalam perjalanan kedua, ketiga ataupun seterusnya. Tiada penjelasan mencukupi.

Kalau dahulu seorang CEO dikritik hebat dalam proses ‘turning point’ syarikat. Mengurangkan kerugian dengan menjual beberapa aset. Selepas aset-aset besar berpindah milik, maka diisytiharkan syarikat berkenaan mula mendapat untung. Kini, kerajaan PH mengambil langkah ‘turn around’ atau kisah pemulihan yang sama. Aset-aset yang dikumpulkan oleh GLC dijual satu persatu. Dari saham IHH hinggalah yang terbaharu saham Axiata, Hotel Royale Chulan.

Pemilik baharu adalah orang asing, walhal pada suatu ketika Perdana Menteri ke-4 amat patriotik, tidak sanggup memindahkannya kepada orang asing. Maka dilakukan proses ‘bail-out’. Dikritiknya penjualan saham Lotus dan pembuat motosikal. Kononnya, pembelian awal adalah untuk mengukuhkan research and development, membabitkan jurutera tempatan dalam teknologi pembuatan enjin yang termaju.  Kini ada alasan lain, untuk mendapatkan tunai bagi membolehkan syarikat-syarikat berkenaan terus survival. Untungnya, bukan rakyat tempatan.

dansa menteri

Kisah ‘land swap’ juga menarik. Khabarnya beribu-ribu ekar tanah diberikan kepada orang tertentu untuk dibangunkan dengan pelbagai projek. Salahnya ialah harga tanah lebih murah daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan menanggung kerugian. Sedangkan ada di antara yang diberikan pemilikan tersebut ialah syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan kebajikan anggota tentera dan keuntungannya dipulangkan sebahagiannya ke tabung kebajikan. Bukan untuk individu tertentu, yang kemudiannya ‘menggigit tuan’ apabila sudah merasakan dirinya banyak wang dan boleh mempengaruhi pihak berkuasa, kerana ada di antaranya adalah proksi.

Kisah lama itu sedang dihidupkan semula. Ada nama-nama tertentu yang pada suatu ketika saperti tenggelam mula mengeluarkan kenyataan saperti baharu mendapat semangat muda selepas mengambil ‘viagra’.

Meleleh air liur, berahinya sudah mula membusung, walaupun kadangkala disembunyikan dengan tarian ‘zumba’ ataupun saperti gilakan permainan video berkomputer atau telefon pintar Play Unkown Battleground (PUBG) yang cenderung ganas. Melihat perjalanan politik ‘kesatuan Melayu-Islam’ saperti isytihar perang kepada bukan Melayu dan penyatuan tersebut umpama Taliban.

Semua perlakuan ini menyebabkan rakyat mula tersiksa dengan permainan politik. Rakyat menjadi semakin muak dan hilang kepercayaan. Hasil tinjauan pendapat jelas membuktikan Kerajaan PH bukan sahaja gagal, bahkan mempersendakan harapan rakyat untuk melihat Malaysia Baharu menjadi lebih baik. Setahun diberikan peluang untuk melakukan proses permulaan, tetapi tidak digunakan dengan baik. Seolah-olah antara menteri melebarkan idealisme politik untuk mencurigai menteri lain yang berbeza aspirasi.

Kereta terbang menjadi bualan yang awalnya menarik, kemudian menjengkelkan. Saranan untuk gunakan lebih banyak minyak sawit sebagai ukuran ‘Saya Sayang Minyak Sawit’ akhirnya menerawang tidak tentu hala sebab FELDA sudah bercadang menukarkan tanaman kepada Musang King ataupun buluh.

Harga Musang King yang mahal kerana jatuhan buah setiap tahun tidaklah banyak. Bila pengeluaran melambak, harganya tetap jatuh. Sektor hiliran Musang King belum ada, hanya mengharapkan China membeli durian beku. Huh! Musang benar-benar mahu diangkat menjadi King, manakala kelapa sawit beransur diturunkan sumbangannya kepada ekonomi negara sebab Kerajaan PH tidak mampu berhadapan kempen memburuk-burukkan minyak sawit dan gagal menambahkan jumlah eksport.

HARAPAN

Harga minyak sawit Malaysia lebih mahal kerana kualitinya lebih baik. Tahniah kalau itu adalah petunjuk yang betul. Gagalnya minyak sawit Malaysia kerana Kerajaan PH asyik buat perangai, mengancam negara-negara tertentu kerana melihat sukar untuk berdiplomasi dan takut digelar ‘buruk siku’ dan ‘mengetuk paku dulang serpih’.

Strategi politik dendam dan menuding jari, yang ruginya adalah rakyat dan orang kebanyakan, termasuklah kumpulan masyarakat pertengahan, segala-galanya melepas sebab yang ditumpukan ialah B40.

Kerajaan PH, menurut Dr Mahathir sudah mencapai prestasi 39.01 peratus untuk tempoh setahun manakala data lain memberikan penilaian peringkat E, iaitu 35 peratus. Ertinya, kalau dalam penilaian prestasi, penjawat awam yang memperoleh penilaian 40 peratus ke bawah dikatakan ‘under performed’. Tiga tiga tahun berturut-turut, ia wajar dirujuk kepada jawatan kuasa tertentu sama ada perlu dilanjutkan tempoh perkhidamatan atau mencari ‘exit point’.

Tentunya, penjawat awam tersebut tidak dapat disahkan jawatannya. Ertinya, Kerajaan PH masih belum boleh berbangga dengan kejayaan mereka kecualilah setakat berjaya menumbangkan BN. Inilah yang terpaksa dipikul bersama oleh menteri kabinet bukan membiarkan Dr Mahathir terkial-kial mencari formula dan memperbetulkan keadaan sedangkan menteri-menteri lain, hanya menyuarakan pandangan berdasarkan apa yang dilihat, tidak sama-sama menanggungnya.

Kakistokrasi, tidak akan mampu membaiki kerosakan, sebaliknya semakin menyebabkan negara longgar ikatan kemasyarakatannya, kesepaduan sosial menuju ke sinkretisme. Ekonomi, nampak baik selagi ada aset yang boleh dijual, bukan menambahkan kemakmuran negara. Kemakmuran bersama, apakah maknanya kalau 20 peratus penduduk tetap menguasai lebih 80 peratus kekayaan negara, bahkan 80 peratus kekayaan itu milik bukan Melayu.

Inilah yang patut diperbetulkan, bukan menerjah penyatuan politik orang Melayu (PAS dan UMNO) sebagai ‘mengislamkan orang kafir’, menuju pemerintahan ala Taliban, mengisytiharkan perang terhadap bukan Melayu dan sebagainya. Eloklah mereka yang bercakap itu diberikan amaran keras, termasuklah menyingkirkan kedudukannya sebagai menteri dan sebagainya, kerana tidak membantu menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama. Menambahkan lagi rasa marah dan benci yang memungkinkan kesepaduan sosial terbarai dan terburai.

Inilah wajah Malaysia Baharu dalam tempoh setahun.

 

Mahanor Saleha

 

 

 

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply