Seorang daripada pendaki, Siti Hidayah Zainuddin, 38, berkata, mereka sepatutnya memulakan pendakian pada pukul 7 pagi, tetapi gegaran berukuran 6.4 skala Richter berlaku pukul 6.57 pagi sekali gus membuatkan niat itu terbatal.

“Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba gegaran berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit dan menyebabkan masing-masing pa­nik kerana ini merupakan pe­ngalaman pertama kami.

“Kami bersyukur kerana sekiranya gegaran berlaku ketika mendaki, tidak tahu apa nasib yang akan berlaku kepada kami,” katanya ketika ditemui di KLIA2 di sini hari ini.

Mereka merupakan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang tiba ke tanah air hari ini menerusi penerbangan AirAsia AK305.

Tambahnya, lebih 40 gegaran berlaku hingga menyebabkan batu memenuhi jambatan iaitu jalan keluar ke bandar utama sekali gus sukar menyelamatkan diri.

“Namun dengan pertolongan para penduduk tempatan yang menghulurkan pelbagai bantuan, kami akhirnya berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat sebelum menuju ke bandar utama Lombok.

“Malah mereka juga mendirikan khemah dan memberikan makanan kepada kami sebelum pasukan kecemasan tiba memberi bantuan,” katanya.

Seorang lagi pendaki, Nur Sakinah Hasman, 38, berkata, pihak­nya mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan khususnya penduduk tempatan kerana memberikan pertolongan meskipun tidak mengenali antara satu sama lain.

Dia juga mengesa pihak Kerajaan Malaysia dan pasukan bantuan antarabangsa menghulurkan pertolongan segera kepada mangsa terjejas.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.

Sumber : Utusan Online