Kanser penunggu surau, masjid Pencawang telekomunikasi, elektrik datangkan kesan buruk kesihatan

KENAPA pencawang ini tidak didirikan dalam kuil dan rumah ibadat lain? Kenapa surau masjid jadi sasaran? Apakah kita fikir akan kesan buruk radiasi yang dikeluarkan?

Ramai yang mungkin tidak perasan melihat tiang pencawang telekomunikasi yang didirikan di kawasan surau masjid. Ada surau yang mempunyai empat dan lebih pencawang. Berapa sewaan yang diperoleh, elok tanyakan kepada AJK surau, masjid dan jabatan agama negeri masing-masing.

Mengikut sumber jabatan agama yang saya hubungi, pembinaan pencawang di surau dan masjid bermula sekitar tahun 2000 oleh syarikat telekomunikasi yang bersaing bagi menempatkan stesen pemancarnya.

Alasan kenapa surau masjid dipilih, pertama, lokaliti atau status tanah, tidak ada komplikasi undang-undang. Justeru, surau adalah tempat yang terbaik bagi syarikat komunikasi ini menempatkan pencawangnya.

Kedua, sebagai sumber pendapatan kepada surau masjid dan jabatan agama di bawah program penjanaan hasil. Ramai berfahaman, jika ada sewaan tetap sedemikian, surau masjid boleh bergerak kerana sudah ada dana tetap.

Tidak perlu pening kepala fikir bagaimana nak cari duit. Tunggu tiap-tiap bulan duit masuk dan dibelanjakan. Ini tidak termasuk kutipan yang turut dibuat kepada ahli kariah.

Apakah selama ini surau atau masjid hanya boleh bergerak disebabkan oleh sumber dana daripada penyewaan pencawang. Bagaimana dengan surau dan masjid yang tidak mendapat sewa pencawang?

Bandingkan dengan di Singapura, bagaimana surau dan masjid di sana hidup tanpa bantuan kerajaan, tanpa sewaan pencawang?

Lebih malang sekali, ada pengerusi surau atau masjid begitu berbangga kerana berjaya mendapat penjanaan hasil tetap. Mereka menganggap itu hasil kerja mereka yang memberikan sokongan penuh pembinaan pencawang itu, sebelum dibawa ke jabatan agama untuk mendapat kelulusan.

Terkadang saya menjadi musykil, begitu banyak wang zakat dikutip, apakah ia tidak boleh diberikan secukupnya kepada surau atau masjid yang tidak ada sumber pendapatan. Ramai kalangan kita yang melawat surau dan masjid di Singapura, kenapa tidak belajar daripada mereka?

Begitu juga dengan rumah ibadat bukan Islam, seperti kuil, tokong dan gereja. Tidak pernah pula saya dengar rumah ibadat ini menjadi bankrap kerana tidak ada dana sewa pencawang. Rumah ibadat mereka terus segar, mantap dan semakin besar.

Kenapa syarikat telekomunikasi tidak membina pencawang di kawasan rumah ibadat bukan Islam? Saya yakin, mereka mengutamakan nyawa anak kariah mereka. Saya juga amat yakin konsep ‘infaq dan zakat’ mereka berjalan dengan baik, walaupun tidak ada disebut dengan istilah Arab itu.

Negara kita pula amat istimewa, kedudukan Islam dalam Perlembagaan, daripada Perkara 3 hingga 12, begitu jelas memberikan kelebihan kepada Islam termasuk menggunakan wang negara bagi pembangunan syiar Islam.

Justeru, kita tidak perlu begitu kedekut memberikannya kepada surau atau masjid bagi membantu aktiviti mereka sehingga terpaksa bergantung kepada pencawang.

Apakah kita boleh berbangga dengan menjana pendapatan sedemian rupa dengan menggadaikan nyawa dan kesihatan kariah surau dan masjid. Sudah terlalu banyak kajian dibuat mengenai kesan radiasi kepada manusia, kenapa masih tidak ambil pengajaran?

Kajian dan bukti baharu daripada penyelidik Universiti Bristol, Britain, menunjukkan betapa talian kuasa elektrik voltan tinggi dan radiasi pencawang penyebab kepada kanser. Butiran pencemaran radiasi itu boleh melekat ke dalam paru-paru manusia.

Kajian itu juga menunjukkan asap kereta menjana elektrik daripada talian kuasa elektrik yang menjadikan ia ‘melekit’. Ini boleh menyebabkan mereka yang tinggal berhampiran talian itu terdedah kepada dua atau tiga kali dos harian bahan cemar yang berpotensi merosakkan paru-paru mereka.

Kajian itu turut mendedahkan bagaimana talian kuasa boleh menyebabkan kejadian kanser secara berkelompok. Penduduk yang tinggal 500 meter di bawah tiupan angin talian kuasa mempunyai 29 peratus peluang menghidap penyakit kanser paru-paru.

Kajian mereka turut memberi amaran pembinaan rumah baru berhampiran talian kuasa atau membenarkan pembinaan talian kuasa elektrik baru berhampiran rumah wajar dihentikan. Larangan sedemikian telah pun wujud di Amerika Syarikat dan Sweden.

Dapatan pasukan penyelidik ini turut disokong oleh ramai penyelidik Barat yang lain, meskipun ada pendapat sebaliknya, mengatakan kabel elektrik dan pencawang telekomunikasi tidak memberi kesan kepada kesihatan manusia.

[Research examined by the expert group came from Professor Denis Henshaw of Bristol University in 1999. After carrying out tests near 2,000 power lines, he found that the magnetic fields around cables attracted particles linked with cancer, such as benzene and radon.]

Dalam kes surau di tempat tinggal saya, tidak cukup dengan tiga pencawang, sekarang dibina pula satu lagi pencawang yang keempat. Pihak surau berkata, pembinaan itu mendapat kelulusan jabatan agama. Jabatan agama katanya lebih arif sama ada ia bahaya atau tidak.

Saya telah bertanyakan kepada bahagian pembangunan, jabatan agama terbabit. Bagaimana pencawang sebegitu banyak didirikan di kawasan surau.

Maka jawapannya, pihak jabatan agama tidak akan memberikan kelulusan pembinaan jika pihak surau tidak bersetuju dengan pembinaan itu. Keputusan pihak surau amat penting sebelum jabatan agama meluluskannya.

Sebagai anak kariah yang tinggal di kawasan ini, saya ingin menyampaikan kepada jabatan agama itu bahawa pembinaan pencawang tidak pernah dibawa kepada pengetahuan kariah. Hanya seorang dua sahaja dalam kalangan AJK surau yang membuat keputusan. Apakah mereka fikir surau dan kawasan sekitar surau ini kepunyaan bapak mereka?

Satu lagi perkara yang perlu difikirkan kenapa pencawang tidak dibina di kawasan rumah ibadat orang bukan Islam seperti kuil, tokong dan gereja. Saya amat yakin, mereka tahu akan kesan radiasi pencawang terhadap penganut mereka. Mereka amat sayang kepada penganut mereka.

Bukan macam kita, begitu berbangga kerana dapat menjana pendapatan, tanpa memikirkan nyawa dan masa depan anak-anak kariah. Lebih-lebih lagi pengerusi surau seolah-olah tidak boleh ditegur dalam isu pencawang surau dan masjid ini.

Benarlah seperti mana rakan saya kata, kita ingatkan semakin banyak ceramah dan aktiviti surau masjid, sepatutnya semakin bersihlah hati-hati kita. Tetapi nampaknya sebaliknya berlaku. Semakin banyak aktiviti surau dan masjid, semakin banyak ceramah diikuti, semakin busuk dan buruk hatinya. Apakah ini bermakna, bukan salah ibu mengandung?

Saya juga turut berharap pihak berkuasa jabatan agama dapat melihat perkara ini secara serius dan turut dapat menyiasat pendapatan dan perbelanjaan surau masjid yang diperoleh hasil sewaan pencawang itu. Apakah ianya dibuat secara telus dan berhemah?

Saya amat bimbang kerana ego pemimpin yang meluap-luap tidak mahu mendengar nasihat, bukan hanya pencawang yang membawa maut, tetapi lebih ramai maut kerana ego manusia itu sendiri.

Oleh Prof Dr Ridhuan Tee

Sumber : Ismaweb.net

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply