KARENA POLITIK JANGAN KITA DIPENGAPKAN.

 Jumaat, 6 April 2018.

Perdana Menteri telah mendapat perkenan Yang di Pertuan Agung untuk membubarkan Dewan Rakyat. Dewan Rakyat dibubarkan pada 7 April 2018, hari Sabtu pertama bulan April.

Beberapa hari lalu, dua menteri memberikan petunjuk bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan pada minggu ini setelah dua perkara mustahak siap mendapat kelulusan, iaitu Rang Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar 2018 dan Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya 2018.

Hari terakhir Sidang Dewan Rakyat Penggal ke-13, Presiden PAS tidak mendapat ruang untuk kembali memperkatakan RUU 355 berhubung pemerkasaan Mahkamah Syariah yang pada tahun lalu berjaya dibentangkan menerusi peruntukan Undang-Undang Peribadi. Bagaimana pun, ramai yang memberikan pandangan, kegagalan pembentangan kali ini memberi tahu kepada awam bahawa PAS sebenarnya gagal ‘memujuk BN’ untuk berkompromi.

Ia bukan sebab BN takut berhadapan dengan ‘serangan bukan Islam’ ataupun ‘kumpulan pemikir atau aktivis Islam liberal’ tetapi ia adalah sesuatu tindakan untuk ‘mengajar PAS’ yang masih ‘jinak-jinak merpati.’ PAS tidak memberikan komitmen yang jitu untuk membentuk kerjasama dengan BN bagi menghadapi kebangkitan gabungan PKR-DAP-PAN.

PAS yang mahukan ‘kerusi yang bakal dimenangi’ sebagai ‘penentu’ terbentuknya kerajaan campuran selepas PRU ke-14. PAS akan bertanding di 130 kerusi Dewan Rakyat dan menjangkakan akan meraih sekurang-kurang 40 kerusi.

Banyak juga diperkatakan bahawa BN tidak mampu mencapai kemenangan ‘majoriti mudah’ dan penggabungan dengan PAS itulah bakal menjadikan PAS meletakkan ‘harga yang tinggi’ bagi membentuk kerajaan campuran. Hatta dengan PKR-DAP-PAN.

Enaknya pertimbangan PAS itu. ELok juga pandangan lain yang menyatakan PAS sebenarnya tidak mampu untuk menang lebih banyak walaupun tahun 1999 dianggap menduduki prestasi terbaik. PAS bukan sahaja terpaksa bersaing dengan UMNO, dengan PAN yang dianggap sebagai ‘parti kecamuk’ juga perlu bijak menangkis. PAN sekarang menyerang PAS, hinggakan ‘rahsia’ yang selama ini tersimpan kemas dibongkarkan secara terbuka oleh pemimpin PAN. Pemimpin PAN adalah bekas penggerak PAS sendiri.

Penggerak PAN kecewa. Penggerak PAN marahkan PAS kerana berhasrat kembali memayungi parti dengan kepimpinan ulama. Penggerak PAS sebenarnya ‘parasit dalam PAS’ yang pada suatu ketika bergerak untuk mengetengahkan anwarisme dalam parti yang sememangnya diketahui sentiasa bermusuh dengan UMNO.

Sehari sebelum pengumuman Perdana Menteri, gempita seluruh negara apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan bahawa kegagalan PPBM untuk mengemukakan dokumen yang dikehendaki, maka parti itu melanggar Akta Pertubuhan. Pelanggarannya menyebabkan PPBM ‘dibatkalkan sementara’ dan dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh tiga puluh hari.

Pembatalan sementara itu membawa kepada ‘kedukaan’ buat seluruh pendokong PPBM, yang sebelumnya telah membayangkan tidak akan dapat bertanding menggunakan logo sendiri. PPBM tidak lagi dibenarkan menggunakan apa pun yang boleh dikaitkan dengannya. Maka, pendokong parti ‘bunga yang kelayuan’ bakal menggunakan logo PKR kerana logo Pakatan Harapan juga tidak dibenarkan. Apabila PPBM ‘diharamkan’ maka Pakatan Harapan juga terkena ‘tengkujuh besar’ dan tidak dapat diluluskan.

Tarikh sebenar bilakah PRU ke-14 belum ditetapkan.

Tapi, beberapa jangkaan sudah boleh dibuat. Sama ada minggu pertama atau minggu kedua bulan Mei, iaitu bermulanya bulan Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan dijangka mula disambut pada 17 Mei 2018.

Minggu depan mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. Semuanya akan ditentukan oleh SPR, bukan lagi Perdana Menteri atau menteri-menteri kabinet. Kesemua menteri hanya sekadar ‘caretaker government’ sehinggalah barisan kabinet baharu dilantik selepas PRU nanti.

PRU ke-14 dijangka menjadi medan pertempuran siber. PRU ke-14 dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. PRU ke-14 dilihat sangat krtitikal untuk BN. Ada yang membayangkan bahawa BN akan tumbang. Tetapi, bayangan bahawa BN akan tumbang sebenarnya bukan perkara baharu. Bahkan pada akhir tahun 1990-an, PAS dengan bangganya mengatakan parti itu akan menguasai politik Malaysia sebaik sahaja melangkah tahun 2000.

PRU ke-12, ada yang melihat BN sudah ada di persimpangan jalan dan bakal tersungkur dalam PRU ke-13. Ramalan itu tidak menjadi. PRU ke-12, BN masih terkedepan apabila berjaya menguasai 140 dari 222 kerusi Dewan Rakyat. PRU ke-13, BN masih menguasai 133 dari 222 kerusi Dewan Rakyat. Walaupun ‘kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat’ berjaya dinafikan, BN tetap boleh membentuk kerajaan secara sah.

PRU ke-13, walaupun BN semakin kehilangan ‘undi popular’, secara sahnya tetap boleh membentuk kerajaan.  Usaha menafikan kemenangan BN juga gagal. Tetapi, usaha menjatuhkan penguasaan BN belum lagi selesai. Kini, pakatan pembangkang berusaha untuk menyelesaikan cita-cita itu dalam PRU ke-14. Sama ada boleh berjaya atau kecundang, ia tidak boleh ditentukan oleh cakap-cakap sesiapa pun, ia adalah hak mutlak pengundi berdaftar yang jumlahnya sekitar 14.9 juta.

Pembatalan sementara PPBM tidak banyak menjejaskan BN. Pengundi semakin rasional dan boleh membuat keputusan, ia bukanlah campur tangan Perdana Menteri. PPBM dibatalkan kerana kepimpinan parti itu tidak dapat menguruskan perjalanan parti dengan baik dan sempurna. Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, PPBM yang menceduk Perlembagaan UMNO tidak melakukan proses penubuhan cawangan dan bahagian. Kegagalan tersebut telah menjadi faktor terbesar kepada PPBM ‘diharamkan sementara’.

Meskipun aktivis PPBM terus menyebarkan ‘kepalsuan alasan’, ia bukanlah boleh membantu parti itu yang bakal bertanding menggunakan logo PKR. Ramai ahli-ahlinya merasakan kepimpinan politik yang cuba direncamkan oleh bekas Perdana Menteri saperti ‘menadah nasib malang’ apabila setiap kenyataan yang dikeluarkan semakin kecamuk dan kontradiksi.

Usaha untuk menghapuskan banyak peraturan dan undang-undang tidak akan memberikan kesan besar. Sebab, ramai yang pernah merasai bahawa bekas Perdana Menteri itu hanyalah pandai berjanji tapi sukar melaksanakan janjinya, banyak alasan yang akan dicari. Keyakinan rakyat tidak terjejas, sebab rakyat pernah hidup dalam suasana tertekan dan gelisah. Tidak bersedia hidup dalam trauma dan sekatan kebebasan.

Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan, penjawat awam telah diberikan beberapa ‘suntikan semangat’ yang berupa kenaikan gaji satu KGT pada bulan Julai 2018, ditambahkan gred 56 bagi Pegawai Pendidikan, sumbangan 1 peratus secara one-off bagi pesara (Julai hingga Disember 2018), kouta haji untuk pesara, singkatan tempoh kenaikan pangkat secara timebase, kemudahan rawatan perubatan untuk ibu bapa pegawai kontrak dan dana untuk persatuan pesara.

Pesawah turut diberikan imbuhan bagi membolehkan mereka menarik nafas lega.

Tetapi, yang paling menakutkan ialah kuatkuasa peraturan terhadap ‘berita tidak benar’ yang tentunya akan menyekat kempen tidak berhemah yang akan dilakukan. Kalau PRU ke-13, didakwa kemasukan 40,000 rakyat Bangladesh untuk menjamin kemenangan BN, maka kali ini, awal-awal lagi mereka menuduh, pertambahan pengundi awal.

Kalau PRU ke-13 mereka menuduh berlakunya ‘black-out’ ketika proses pengiraan undi, maka dalam PRU ke-14, mereka mungkin akan terkedu untuk membuat tuduhan kerana Akta Anti-Berita Tidak Benar meletakkan kadar denda RM 500,000 dan penjara selama enam tahun jika apa yang didakwa itu ‘tidak benar’. Mahkamah akan menentukan.

PRU ke-14 menjadi ujian pertama Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018. Tapi, aktivis politik tertentu mula ‘mengaitkan’nya dengan ‘kematian demokrasi’. Ia juga satu tuduhan melampau, kerana demokrasi digunakan secara tidak beretika dan menyalahi prinsipnya. Setiap orang bebas bercakap, tetapi, percakapannya hendak betul dan benar. Demokrasi tidak membenarkan seseorang itu menuduh, berbohong dan menipu.

Itulah hakikat sebenar kehidupan, bukannya menjadikan iklim politik semakin pengap. Kita tidak mahu setiap dari kita lemas dalam bingkai demokrasi tanpa had dan etika.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply