KARYA HAMKA

Oleh: Shaharom TM Sulaiman

“Sekiranya Hamka masih hidup. Beliaulah penulis paling kaya di Asia Tenggara”, begitulah catatan Buku Rekod Malaysia (1997). Apa tidaknya hampir sebahagian besar karyanya telah diulang cetak melebihi sepuluh kali oleh pelbagai penerbit di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Sehingga ke hari ini, karya-karyanya berupa novel, buku agama, falsafah masih terus dicetak dan diterbitkan kembali dalam wajah baru.

Karya-karya Hamka cukup segar, berinspirasi dan menyentuh kalbu. Kita akan merasa kelainannya dan mendapati ‘sesuatu yang baru’ walau telah beberapa kali membacanya. Bahasanya cukup memikat, halus, bersopan tetapi penuh dengan sindiran dan kritikan sosial. Bacalah Falsafah Hidup, Dibawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Tasawuf Moden misalnya, maka kita akan mengerti akan pengamatan Hamka yang tajam dan kritis terhadap adat, budaya, kehidupan Bergama, masalah sosial, politik. Perjalanan intelektualnya membawa ia ke Timur Tengah, belahan Asia, dan Amerika. Kesemuanya memperkayakan nuansa pemikirannya dan tertuang dalam pelbagai genre penulisanya yang melebihi 110 buah karya.

Antara sekian banyak karya Hamka yang diterbitkan kembali adalah roman cinta antara dua darjat iaitu Merantau ke Deli. Novel ini asalnya adalah tulisan-tulisan bersiri yang dimuatkan dalam majalah Pedoman Masyarakat antara tahun 1939 hingga 1940, kemudian diterbitkan dalam bentuk buku pada 1941 oleh penerbit  Cerdas di Medan. Novel ini versi Malaysia (2016) diterbitkan oleh PTS Publishing dengan mengekalkan keaslian bahasa asal yang digunakan Hamka tanpa sebarang perubahan untuk menjadi rujukan pada masa akan datang. Pihak penerbit turut menyediakan glosari di bahagian  belakang buku pada perkataan yang mungkin tidak difahami oleh pembaca di Malaysia.

Novel ini berkisar tiga tokoh utama iaitu Leman, Poniem dan Mariatun yang melalui pahit manis kehidupan bermadu  yang terikat  dengan adat. Novel ini  menceritakan bagaimana pengaruh adat, terutama pada adat Minang Kabau yang kuat cuba untuk menyatu dengan adat lain iaitu adat  Jawa melalui perkahwinan yang memang sukar pada zaman itu. Perkahwinan  yang dialami oleh tokoh-tokoh dalam cerita ini banyak mengalami cubaan sehingga pada akhir cerita kembali pada adat masing-masing. Inilah yang dialami oleh Leman yang pada mulanya bernikah dengan Poniem kemudian pengaruh adat dan darjat berkahwin pula dengan Mariatun. Dan disinilah bermula konflik rumahtangga hingga berlaku perceraian antara Leman dan Poniem.

Bagi Hamka novel atau roman ini amat memuaskan hatinya kerana beliau menyaksikan sendiri  situasi itu. Menurut Hamka dalam kata pengantar novel versi asalnya, “Pada perasaan saya, diantara buku-buku roman yang saya tulis, Merantau ke Deli inilah yang lebih memuaskan hati. Sebab bahannya semata-mata saya dapati dalam masyarakat sendiri yang saya lihat saya saksikan. Sebalik saya pulang dari Mekah di tahun 1928, berbulan-bulan saya menjadi guru agama di satu pekan kecil, tempat hidup pedagang-pedagang kecil, bernama pekan Bajalingai dekat Tebing Tinggi, Deli. Saya saksikan dan saya pergauli kehidupan pedagang kecil dan saya lihat kehidupan kuli-kuli kontrak yang diikat oleh “Poenale Sanctie” yang terkenal dahulu itu.Maka daripada kehidupan yang demikianlah saya mendapatkan pokok bahan dari ceritera Merantau ke Deli”.

Memang tanah Deli khusunya Sumatera Timur amat terbuka kepada penerokaan dari luar, terbuka pada pengusaha-penguasaha besar bangsa asing khususnya Belanda yang menanam kelapa sawit, tembakau, nenas. Maka berduyuduyunlah orang dari pelosok Indonesia datang ke sana untuk mencuba nasib. Maka terbentuklah komuniti ‘kuli-kuli kontrak’. Setelah menempuh berbagai kesulitan, timbullah suatu asimilasi bangsa. Akhirnya lahir satu keturunan yakni generasi baru yang dinamakan “Anak Deli”.

Novel ini merupakan antara novel-novel terawal Hamka sekaligus membuktikan Hamka seoarag sasterawan yang memahami hati nurani bangsanya. Dalam diri Hamka bukan saja tergambar seorang ulamak tetapi seorang sosok multi-dimensi;- sasterawan, budayawan, politikus, reformis sekaligus” pencerita” yang bijaksana. Bayangkan menulis novel cinta pada ketika itu di Indonesia adalah “tabu” bagi seorang ulamak. Hamka pernah dikritik hebat ketika menulis novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk.  Setelah beberapa tahun novel itu diterbitkan, Hamka berkata..”…dengan sendirinya heninglah serangan dan tentangan itu, dan kian lama kian mengertilah orang betapa perlunya kesenian dan keindahan dalam hidup manusia”. Dan  Hamka melakukannya dengan penuh adab dan sopan sebagai satu kritikan sosial pada masyarakat.

No Comments

    Leave a reply