KE ARAH PENGINSTITUSIAN PEMIKIRAN AL-GHAZZALI

Era pasca-kebenaran atau pasca-fakta ketika ini yang menyaksikan betapa meluasnya fenomena kebenaran dan fakta dimanipulasikan sesuka-hati tanpa rasa segan-silu bagi memenuhi kepentingan tertentu adalah manifestasi pemikiran Pascamodenisme yang menyanjung kenisbian / relativisme dan keporak perandaan / anarkisme sebagai pegangan hidup.

Pemikiran Pascamodenisme yang berpaksikan kepada ontologi yang menafikan hakikat kewujudan yang mutlak; kepada epistemologi yang menolak hakikat kebenaran yang mutlak; dan kepada aksiologi yang menentang hakikat nilai-nilai mulia yang mutlak kini menyerap dalam segenap lapisan kehidupan popular dan elit, remaja dan dewasa, juga politik dan agama.

Penyebarluasan teknologi media sosial dan kepesatan agenda globalisasi kapitalis menjadi dua saluran utama yang mengikis sedikit demi sedikit kepekaan/sensitiviti akal-budi dan jiwa-nurani terhadap hakikat kewujudan, kebenaran dan nilai-nilai mulia.

Kehilangan perasaan peka, insaf dan sedar terhadap hakikat kewujudan, kebenaran dan nilai-nilai mulia menandakan akal-budi dan jiwa-nurani insan menuju ke dunia kegelapan sekaligus menempatkan martabat keinsanan mereka ke jurang kebinatangan seperti yang boleh disaksikan pada gambaran dan paparan semasa pada kehendak dan tuntutan kehidupan yang penuh dengan cita-cita materialistik dan hedonistik. Tanpa disedari penghakisan kepekaan terhadap hakikat kewujudan, kebenaran dan nilai-nilai mulia ini sebenarnya juga adalah penghakisan pegangan akidah, tauhid dan keimanan terhadap hakikat-hakikat utama Agama Islam itu sendiri. Hakikat-hakikat asasi yang memandu kefahaman ontologi, epistemologi dan aksiologi umat Islam selama ini dalam menstruktur dan mensistemisasikan kehidupan beragama mereka semakin hari semakin lenyap dari pemikiran dan hilang dalan tindak-tanduk mereka.

Dalam menghadapi kancah krisis dan kemelut anti-kewujudan, anti-kebenaran dan anti-nilai semasa, umat Islam masih beruntung kerana memiliki tradisi para ulama pewaris anbia yang telah memformulasi dan mengartikulasikan naratif akidah, tauhid dan keimanan Islam secara bersepadu lagi menyeluruh dalam menghadapi serangan pemikiran yang dahsyat ketika ini. Hujjatul Islam Imam Al-Ghazzali Rahimallahu Anhu adalah tokoh ulama mujaddid Islam terbukti mewariskan pula kepada umat Islam satu struktur dan sistem pemikiran yang ampuh lagi mapan bagi umat Islam mempertahankan akidah, tauhid dan keimanan mereka dalam menghadapi badai dan gelora pemikiran mutakahir ini. Sukar sekali untuk mencari tokoh ulama yang bukan sahaja berupaya membongkar kesalahan aliran pemikiran yang pelbagai tetapi merubah dan membina semula aliran pemikiran baru yang boleh diguna-pakai dengan selamat oleh umat Islam.
Tidak seperti setengah tokoh-tokoh ulama yang lebih bersifat destruktif tanpa meninggalkan sebarang panduan struktur dan sistem pemikiran akidah, tauhid dan keimanan yang boleh menghadapi dan menangkis segala cabaran mendatang, Imam Al-Ghazzali jelas adalah tokoh ulama konstruktif, pendidik par excellence yang mengemukakan strategi, objektif malah modus-operandi untuk ditekuni dan dihayati oleh umat Islam selepas beliau seperti yang nyata terbentang melalui karya agung beliau Ihya Ulumuddin. Malah banyak lagi kitab-kitab beliau yang kesemuanya menjurus ke arah memandu umat bagi meluruskan struktur dan sistem pemikiran keagamaan mereka dalam menjalani dan menghadapi cabaran kehidupan. Justeru usaha-usaha Penginstitusian Pemikiran Al-Ghazzali dipelbagai peringkat perlu dimulakan dari sekarang dalam kita menghadapi cabaran pemikiran Pacamodenisme yang dicirikan dengan fenomena pasca-kebenaran atau pasca-fakta yang mengenepikan peranan dan hakikat kewujudan, kebenaran dan nilai-nilai mulia dalam kehidupan manusia.

Penginstitusian Pemikiran Imam Al-Ghazzali dalam kehidupan umat ini secara praktikalnya boleh dilaksanakan melalui tiga strategi utama.

PERTAMA, Al-GHAZZALI PUBLIK/MASSA – iaitu dengan mempopular atau merakyatkan pemikiran Imam Al-Ghazzali melalui kelas dan kuliah pengajian kitab-kitab yang sering dibaca oleh umat Islam Melayu sebelum ini seperti Ayyuhal Walad, Bidayatul Hidayah, Minhajul Abidin dan Ihya Ulumuddin itu sendiri. Sangat perlu diusahakan di masjid-masjid, surau-surau, atau pejabat-pejabat juga sekolah-sekolah, pengajian umum membahaskan intipati dan tunjuk-ajar Imam Al-Ghazzali mengenai kefahaman dan penghayatan Iman, Islam dan Ihsan sepertimana yang sering dijelaskan dalam kitab-kitab tersebut.

Penyebarluasan pemikiran Imam Al-Ghazzali ini sekurang-kurangnya akan memperingatkan umat tentang hakikat dan makna sebenar kewujudan, kebenaran dan nilai-nilai mulia dalam kehidupan mereka.

KEDUA, AL-GHAZZALI STRATEGIK/POLITIK – iaitu dengan membina dan mengembangkan naratif nasional malah global berdasarkan pemikiran Psikologi, Etika dan Politik yang banyak dihasilkan oleh Imam Al-Ghazzali untuk dihadamkan oleh para mahasiswa institusi pengajian tinggi, penjawat-penjawat awam, para ahli politik dan pimpinan komuniti dan NGO.

Melalui kefahaman Psikologi tentang hakikat dan sifat insan, makna dan peranan hati, pembersihan jiwa;

kefahamanEtika tentang penghayatan sifat-sifat mahmudah dan pembuangan sifat-sifat mazmumah; kefahaman Politik tentang kepentingan iman, ilmu dan amanah kepada para pemimpin; kesemuanyanya ini akan membina satu kefahaman terhadap naratif politik yang lebih sihat, bertangggungjawab dan bertakwa sepertimana yang didambakan umat selama ini.

KETIGA, AL-GHAZZALI ANALITIK/AKADEMIK – iaitu dengan melaksanakan kajian dan penyelidikan ilmiah berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa mengenai peranan dan sumbangan Imam Al-Ghazzali dalam bidang ontologi – hakikat kewujudan, bidang epistemology- hakikat kebenaran, dan aksiologi – hakikat nilai-nilai mulia yang sangat diperlukan bagi menangani dominasi Pascamodenisme yang anti-kewujudan, anti-kebenaran dan anti-nilai-nilai mulia yang sedang meresap masuk dalam pelbagai disiplin ilmu semasa.

Dunia keilmuan dan disiplin-disiplin ilmu semasa termasuk bidang sains fizikal, bidang sains sosial malah bidang agama juga sedang menghadapi krisis epistemologi yang teruk. Dengan dominasi era positivism modenisme yang anti-metafizik, anti-agama dan anti-nilai yang masih berleluasa ditambah pula dengan kemunculan era pascamodenisme serba relatif dan anarkis ini maka sudah tiba masanya penghasilan ilmiah Imam Al-Ghazzali dikemukan bagi menjawab sebahagian besar dari krisis keilmuan semasa.

Usaha-usaha Penginstitusian Pemikiran Imam Al-Ghazzali bukanlah inisiatif syok sendiri, nostalgik, romantik yang tiada asas ilmiah dan amaliyyahnya.

Sekiranya kita mendapati terdapat alternatif lain penstrukturan dan sistemsasi kefahaman dan penghayatan agama Islam yang lebih baik maka boleh sahaja umat Islam menurutinya. Akan tetapi sehingga ke hari ini disebalik pelbagai kritikan, tohmahan dan fitnah terhadap Imam Al-Ghazzali, hasil ijtihad dan jihad ilmu beliau membina struktur dan sistem kefahaman dan penghayatan agama Islam dari dimensi Iman, Islam dan Ihsan masih belum boleh ditandingin oleh mana-mana sarjana Islam dahulu apatah lagi sekarang.

Justeru mengapa tidak ulama dan umat Islam semasa akur dan merendahkan diri serta berusaha untuk menawarkan khidmat menginstitusikan pemikiran Hujjatul Islam Imam Al-Ghazzali RA demi ketahanan, kelangsungan dan keterlestarian Islam pada Abad ke 21 ini.

DR AMRAN MUHAMMAD ialah Ketua Eksekutif Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI)

No Comments

    Leave a reply