KE MANA MELAYU-ISLAM HENDAK BERHIJRAH?

Umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Maal Hijrah pada 2 Oktober 2017/1 Muharram 1438 ini. Apakah keistimewaan sambutan kali ini? Mesti sesuatu yang baru, segar, inovatif, maju ke depan dan tentunya dapat menghilangkan atau meredakan Islamafobia dan keganasan Daesh. Rasanya boleh juga di sebut di sini persoalan yang dikemukakan kepada bekas PM, Tun Mahathir : Jika Israel itu Yahudi, maka Islam itu Daesh. Dilaporkan soalan ini tidak dijawab oleh beliau.

Agaknya umat Melayu-Islam Malaysia hendak berhijrah ke mana? Soalan ini agak sinis dan melecehkan, sedangkan kita hendak mencari sesuatu yang baru, segar dan innovatif. Namun, jika dipadankan dengan situasi yang ada dan sedang berlaku, atau pun bakal berlaku, persoalan ini perlu direnungi sedalam-dalamnya. Ini kerana ada umat Melayu-Islam yang sanggup bersekongkol dengan kafir harbi, kumpulan LGBT, serta sanggup menaja bangsa Malaysia. Dengan kata lain, umat Melayu-Islam, khususnya di Semenanjung, telah pun dihanyutkan secara politiknya.

Atau apakah yang hendak dihijrahkan oleh umat Melayu-Islam bermula hari kebesaran tersebut? Transformasi dalam kerajaan telah pun dijalankan, perancangan pembangunan yang berasaskan wilayah telah pun dimulakan, dan paling penting pembaharuan dalam tata keIslaman telah pun dirancakkan, terutamanya bila Indeks Syariah Islam digubal dan diterima oleh seluruh dunia Islam, malah negara bukan Islam seperti Jepun, yang turut berminat untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam lagi.

Apa pun, persoalan sama dan teras-asasi tetap muncul: Apakah ini bakal menjamin kesinambungan ketuanan Melayu-Islam, sekurang-kurangnya di Semenanjung. Jika kita tidak mengatur jejak-jejak langkah yang selari dengan sunnahtullah, maka jawapannya adalah bakal menghala ke arah negatif.

Saya kira, sudah sampai masanya umat Melayu-Islam hijrah dari sekadar sebuah ras-bangsa atau pun bangsa bernegara ala negara-bangsa. Setentunya kita masih segar dalam ingatan, betapa penjajah British menyifatkan orang Melayu sebagai pemalas, cendekiawan Melayu pula, Munshi Abdullah, menyifatkan sebagai susah untuk berubah, bekas PM pula menyifatkan orang Melayu mudah lupa dan macam-macam lagi.

Hakikatnya, kita perlu sedar bahawa BANGSA ADALAH CIPTAAN ILLAHI, yang seharusnya kita berbangga, terasa istimewanya dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Ini bukannya bererti kita hendak menafikan cemuhan, cacian, dan pelbagai nista. Ini adalah cabaran-cabaran yang perlu kita hadapi. Begitu juga dengan kajian-kajian ilmiah serta saintifik yang bertebaran di luar sana. Sebagai umat Islam, kita perlu merujuk kepada al-Quran sebagai sumber kajian dan pegangan dan membandingkannya agar memperoleh kebenaran dan keadilan.

Pada masa yang sama kita perlu senantiasa yakin  berada dalam lindunganNya. Ini kerana di luar sana, pelbagai perancangan, taktikal sulit dan berteknologi, dan pastinya dana ratusan juta ringgit disediakan untuk mempengaruhi rakyat tempatan, umat Melayu-Islam istimewanya, juga masyarakat global. Semua ini dilakukan dalam nada-usaha meruntuh dan menjatuhkan kepimpinan Islam di Malaysia. AWAS dan berpeganglah pada tali-tali Allah.

Malah dalam hal sebegini pun, Allah telah memberikan peringatan, supaya terus menerus bertaqwa kepadaNya, agar perlindungan yang dijanjikan dapat diterima dengan selamatnya. Selamat menyambut hari Maal Hijrah, dengan bertahkikkan keluhuran tata Islam dalam segala pancaroba kehidupan.

Oleh : Mohd Khairi Wan Ali

No Comments

    Leave a reply