KE MANAKAH HALUAN BERSATU?

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih bertelingkah sesama sendiri sehingga ada warga maya melihatnya saperti ‘kanak-kanak prasekolah’. Bezanya, kanak-kanak prasekolah mungkin ‘menangis’ apabila diejek atau gagal mendapat apa yang direbuti antara mereka.

Seminggu selepas Perhimpunan Agung Tahun (PAT) Bersatu, pemimpin parti yang ditubuhkan pada tahun 2016 untuk menggantikan UMNO masih ejek mengejek antara mereka. Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Reformasi Pilihan Raya disindir, dikritik dan seterusnya disahkan sebagai seorang yang sangat cenderung mencari laba apabila berpolitik.

Cadangannya agar ketua-ketua bahagian atau pemimpin akar umbi diberikan ‘kontrak’ kerajaan bagi sebahagiannya dianggap munasabah manakala kumpulan yang menyanjung Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan idealisma mencebuti politik adalah untuk memperbaiki budaya politik.

Secara teorinya, Tan Sri Rashid Abdul Rahman mempunyai jalan pemikiran ‘budaya politik lama’ dan jalan itu mesti diakui sebagai langkah yang boleh diambil untuk memperkuatkan parti dan meraih sokongan yang lebih besar. Bagi beliau, Bersatu mesti kekal dan berupaya untuk memerintah untuk tempoh selanjutnya, bukan hanya cukup sepenggal.

Untuk melaksanakan aktiviti parti, setiap penggerak dan pemimpin peringkat akar umbi memerlukan biaya. Ia bukan sekadar ‘belanja minum di warung’ tetapi turut melibatkan pelbagai ‘projek kecil’ untuk menawan hati pengundi. Kisahnya sudah pun berlaku, dalam tempoh kurang setahun Bersatu menerajui PH dari segi kuasa, pemimpin akar umbi bertanya bagaimana kami boleh mengembangkan aktiviti parti jika tidak berwang.

Itulah sebabnya kepulangan Tan Sri Rashid ke Kelantan disambut dengan kehadiran lebih 100 orang pemimpin Bersatu termasuk Datuk Kamarudin Mohd Noor, Pengerusi Bersatu Kelantan. Ini menguatkan ‘stamina’ Naib Presiden Bersatu untuk bercakap selanjutnya.

Bagi Tan Sri Rashid, “kita berpijaklah di bumi nyata. Kalau kita tidak ada duit, (maka) tidak adalah. Dalam memberi khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh berjimat. Takkan kita nak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita nak rakyat sokong kita secara berterusan, bukan sepenggal sahaja.” (Mingguan Malaysia, 6 Januari 2019).

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan tidak berganjak dengan pendiriannya dan dalam wawancara yang tersiar dalam Mingguan Malaysia pada hari yang sama menjelaskan: “saya selalu ingat balik kenapa saya masuk politik, adakah hendak menjadi menteri atau mendapatkan kontrak? Jawapannya tidak, saya masuk untuk membersihkan politik, menang atau kalah itu adat.”

Pendirian tegasnya untuk mencari laba peribadi ketika berpolitik tidak disenangi oleh sebahagian aktivis Bersatu sehingga ada gerakan untuk menyingkirkan Syed Saddiq dari dalam. Bersatu dijangka akan memulakan proses pemilihan ketua-ketua bahagian dalam tahun ini, tetapi bagi Syed Saddiq beliau sedikit pun tidak gentar terhadap ancaman dan ugutan terhadapnya.

Ketegasan Syed Saddiq itu menampakkan beliau benar-benar ingin membebaskan parti daripada politik wang, dan amalan crony-capitalisme. Bagaimanpun, dalam perkembangan terbaharu, Setiausaha Bersatu Negeri Perlis, Wan Saiful Wan Jan telah digugurkan setelah enggan menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas pemalsuan dokumen tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis.

Wan Saiful juga menegaskan beliau tetap tidak ingin campur tangan dalam urusan mengaturkan pemberian kontrak bernilai ratusan ribu ringgit kepada syarikat yang membabitkan anak pemimpin Bersatu Perlis. Beliau enggan melakukan salah guna kuasa walaupun ditawarkan imbuhan yang juga boleh dianggap berbaloi .

Heboh itu sebenarnya sudah menjelaskan apa sebenarnya motif dan tujuan seseorang itu memasuki politik. Sebelum sesebuah parti mempunyai kuasa, ramai penggerak parti boleh menyesuaikan diri dan berkorban untuk membolehkan parti berdepan dengan pelbagai kemungkinan, termasuk menerima kekalahan.

Keadaan itu akan berubah apabila parti yang didokong, disokong dan diberikan ‘sedikit pengorbanan awal’ itu berkuasa, iaitu mencapai kejayaan menumbangkan parti yang telah lama berkuasa. Apabila Bersatu membentuk ‘pemuafakatan’ dan berjaya membentuk kerajaan, maka mereka yang berkorban itu mula mencari ruang dan peluang. Sekurang-kurangnya merasa sedikit ‘habuan’ setelah berkorban. Bodohlah kalau tidak ‘mencari peluang’ apabila parti yang didokongi berjaya membentuk kerajaan.

Sebagai parti yang berjaya membentuk kerajaan, tentunya mempunyai pelbagai program sesuai dengan manifesto yang dikemukakan sebelum pilihan raya. Sebab itulah ramai yang menantikan ‘buah itu gugur’ dan dari itulah parti akan menjadi lebih kuat dan berkembang. Tanpa biaya, tidak adalah usaha untuk mempertahankan kejayaan itu. Sebab itulah ada yang berpendapat, mempertahankan kejayaan itu adalah lebih sukar daripada merangkul kejayaan pertama.

Bersatu, walaupun sebuah parti yang kecil dan kurang tersusun, dalam Pakatan Harapan ia mempunyai kedudukan yang lebih besar berbanding DAP dan  PKR. Pengerusi Bersatu adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri mempunyai kuasa pemutus dan prerogative yang tidak boleh diperkecilkan oleh DAP dan PKR.

Meskipun Bersatu hanya memiliki 13 kerusi parlimen, 4 daripadanya menganggotai kabinet, iaitu Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Menteri Dalam Negeri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Dr Mazlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. Ini bererti, Bersatu menguasai empat daripada 26 buah kementerian. Walaupun dilihat kecil, kuasanya adalah lebih besar berbanding DAP dan PKR kerana Perdana Menteri adalah dari Bersatu.

Walaupun Tun Dr Mahathir dianggap sebagai Perdana Menteri sementara, dari enam bulan hingga dua tahun, ia mungkin akan menjawat jawatan itu dalam tempoh yang lebih lama lagi, atau sepenggal, percaturannya dianggap licik dan sukar digugat oleh Anwar Ibrahim. Anwar yang dijanjikan sebagai pengganti, bukanlah boleh menganggap bahawa jawatan Perdana Menteri adalah mutlak selagi Dr Mahathir tidak benar-benar mengotakan janjinya.

Ramai pihak amat berhati-hati dengan kenyataan Dr Mahathir berhubung ‘tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selepas PH menang PRU ke-14. Resolusi PAT yang berakhir pada 30 Disember 2018 telah sepakat untuk meraikan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal.

Anwar perlu berhati-hati dalam ‘permainan politik’ kali ini. Anwar tidak boleh tergopoh-gopoh untuk ‘menuntut janji’ dari Dr Mahathir. Jika beliau gopoh, ia akan menyebabkan peluang yang dijanjikan itu mungkin terbatal. Dr Mahathir akan mendapat sokongan yang kuat dari ahli Bersatu dan tentunya, dalam masa terdekat, Anwar perlu menyelesaikan ‘hubungan retak’ dengan kem Azmin Ali. Azmin dilihat cenderung menyokong Dr Mahathir.

Anwar yang sedang menyusun kedudukannya dalam parti terasa kurang selesa apabila kem Azmin lantang mempertikaikan pelantikan pengerusi PKR Negeri. Anwar juga masih belum memahami dengan jelas sebab-sebab peletakan jawatan anaknya, Nurul Izzah sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang. Nurul Izzah yang mendapat jolokan Puteri Reformasi mungkin terkilan dengan apa yang berlaku, termasuklah penentuan dalam pemilihan pemimpin PKR di peringkat negeri dan membawa masuk Rafizi sebagai Naib Presiden yang dilantik.

Nurul Izzah mempunyai prinsip dan keyakinannya sendiri. Beliau mungkin percaya, kem Azmin patut diberikan juga kedudukan sebagai pemimpin di peringkat negeri bagi mengimbangi semula semangat reformasi dan menghargai perjuangan mereka ketika PKR bergelut dengan pelbagai masalah. PKR yang ditubuhkan untuk membebaskan Anwar dilihat sudah terkeluar daripada tujuan asalnya apabila Anwar tidak lagi menghargai sebahagian penyokong Azmin. Kemelut ini menyebabkan ‘rasa tidak selesa’ sedang membesar dalam parti.

Rasa tidak selesa dalam PKR dan seterusnya dalam Bersatu boleh menyebabkan ruang kerjasama yang lebih kuat antara keduanya boleh tercabar. Ada spekulasi kononnya kumpulan Azmin akan keluar dari PKR dan menyertai Bersatu. Spekulasi ini akan memperkuatkan kedudukan Bersatu, dan tentunya, kem Azmin yang menduduki jawatan dalam kabinet Malaysia Baru akan kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya sepenggal. Dr Mahathir akan terus menjadi Perdana Menteri.

Kebimbangan juga mula dirasakan oleh PKR, terutamanya dari kelompok pro Anwar dan Rafizi mengenai kesanggupan Bersatu menerima keanggotan bekas wakil rakyat UMNO dan BN. Setakat ini, dua ahli parlimen bebas (bekas wakil rakyat UMNO) telah diterima menganggotai Bersatu, iaitu Datuk Mustapha Mohamed dan Datuk Mas Emeryati. Sejumlah lapan lagi bekas wakil rakyat UMNO masih kekal sebagai wakil rakyat bebas. Ramai pemerhati politik yakin, mereka ini akan diterima menganggotai Bersatu selepas ‘tempoh bertenang’ atau ‘pemulihan’.

Sekiranya semua wakil rakyat bebas yang berasal dari UMNO diterima menyertai Bersatu, ia sudah cukup untuk memperlihatkan ‘kejayaan Dr Mahathir’ untuk mencabar PKR yang kembali dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Nurul Izzah juga pernah merasai kebimbangan tersebut, jika perpecahan dalam PKR tidak dapat dibendung, kedudukannya akan memberikan kelebihan kepada Bersatu setelah semua wakil rakyat bebas dan sebahagian wakil rakyat PKR menyokong Dr Mahathir.

Ia akan menjadikan keadaan lebih gawat lagi. Peluang Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 semakin tipis dan Dr Mahathir dianggap mampu menggapai impiannya agar parti pimpinannya menjadi ‘rumah baru’ bagi orang Melayu-Islam. Dengan kekuatan itu, Dr Mahathir boleh mencetuskan semula perseteruan politiknya dengan DAP dan PKR sekiranya kedua-dua parti itu menyerangnya. Sebagai parti yang bersifat nasionalisme Melayu (dan Pribumi), ia mungkin boleh membina kekuatan dengan menerima seramai mungkin ahli UMNO dan sebahagian kecil penyokong PAS.

PAS sudah kehilangan sebahagian aura politiknya setelah dilihat begitu mesra dengan UMNO. UMNO yang diselubungi pelbagai masalah dan tekanan semakin dilihat kurang mampu untuk bangkit semula kerana kehilangan pemimpin-pemimpin besarnya. Hilang disambar ‘salah guna kuasa’ dan ‘penggubahan wang haram’. Walaupun pengakhirannya belum pasti, semakin lama UMNO diikatkan dengan ‘imej buruk’ tersebut semakin mengecillah jumlah keahliannya.

Generasi muda yang bakal mendominasi PRU ke-15 sedang melihat parti manakah yang boleh ‘menawan hati dan perasaan’ mereka walaupun harapan kepada PH sedikit terjejas. Tetapi, PH masih mempunyai peluang sekiranya lebih fokus kepada tindakan afirmatif dan merealisasikan apa yang dijanjikan, bukannya mencari alasan untuk tidak melaksanakannya.

Kini masanya untuk PH menterjemahkan ‘janji’ itu kepada tindakan. Tidak perlu takut disindir atau dikecam kerana mengambil apa yang baik dari kerajaan terdahulu dan memperkemaskannya, dan tidak juga menjadi janggal untuk mengubah budaya politik ‘naungan’ menjadi budaya politik progresif dan dinamik.

Syaratnya, jangan terlalu cepat memperlekeh atau mencela kerana Allah SWT pernah mengingatkan belum tentu orang yang diperolok-olokkan itu begitu buruk sekali sifatnya. Mungkin apa yang diperolok-olokkan itu mencerminkan wajah sebenar mereka yang memperolok-olokkan orang lain.

Bersatu wajar memahami budaya murni itu jika ingin menampakkan sisi politik mulia dalam tubuh parti. Pemimpin Bersatu janganlah mencelarukan keadaan hanya kerana ingin memenuhi keinginan politik dan habuan berpolitik, termasuklah mendapat ‘ganjaran kontrak’ secara ‘rundingan terus’. Mereka perlu bersaing secara terbuka dan professional, kerana itulah yang diingati oleh Dr Mahathir agar tidak mengulangi nasib yang menimpa UMNO.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply