KEADILAN BUKAN BERMAKSUD KESAMARATAAN

Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak suara-suara sumbang yang cuba mempertikaikan hak keistimewaan bumiputera. Semacam keistimewaan yang dipertahankan oleh Perlembagaan Negara sejak lebih lima dekad lalu kini tidak lagi relevan dan perlu dimansuhkan. Seolah-olah hak bumiputera yang sudah dijamin dan dipersetujui oleh pelbagai kaum melalui kontrak sosial menjelang kemerdekaan dulu kini menjadi bahan dagangan yang boleh dijual beli bergantung kepada keputusan satu-satu pilihanraya.

Kita tertanya-tanya kenapa  baru sekarang hendak dipertikaikan mengenai dasar pemberian hak keistimewaan bumiputera? Apakah dasar afirmatif yang selama ini terbukti menjamin keharmonian kaum perlu diubah hanya untuk memenuhi tuntutan segelintir kecil manusia berkepentingan? Atau benarkah peruntukan yang menjamin kestabilan negara selama lebih lima dekad ini bersifat menindas yang tidak menepati prinsip keadilan?

Sememangnya isu-isu berbau perkauman seperti ini cukup mudah merangsang keghairahan masyarakat untuk berdebat dan berpolemik. Tambahan pula apabila menyentuh isu-isu sensitif berbau perkauman yang mampu mencetuskan pertikaian emosi hingga merebak kepada perbalahan jika tidak ditangani secara bijaksana.

Lebih meresahkan apabila ada dikalangan pemimpin Melayu bumiputera sendiri yang cuba berlagak hero di kalangan kaum bukan bumiputera dengan mencetuskan cadangan yang hanya mengundang kemarahan rakyat.

Seringkali apabila isu-isu yang menyentuh hak bumiputera ini ditimbulkan maka gambaran yang cuba dicorak dan dicanang oleh segelintir ahli politik berkepentingan seolah-olah ia merupakan satu dasar zalim dan bersifat menindas. Peruntukan yang memberi keistimewaan kepada masyarakat peribumi dikatakan tidak adil kerana rakyat tidak diperlakukan serupa. Bagi mereka keadilan hanya akan tercapai sekiranya semua pihak diperlakukan secara sama rata.

Pandangan Islam mengenai prinsip keadilan adalah jelas. Keadilan tidak bermaksud kesamarataan. Umpamanya dalam kontek pengagihan kekayaan, keadilan tidak sekali-kali bermakna semua pihak berhak mendapat agihan secara sama rata. Sebaliknya ketidakadilan pasti wujud apabila mereka yang tidak setanding diperlakukan secara sama. Ini kerana keadilan hanya mampu tercapai apabila sesuatu pengagihan mengambil kira status dan keupayaan sebenar satu-satu pihak.

Berasaskan prinsip keadilan inilah maka ketidak-seimbangan sosioekonomi di antara pelbagai kaum dan kelompok masyarakat dalam sesebuah negara perlu ditangani secara bijaksana melalui pendekatan berupa afirmatif dengan menyediakan ruang dan peluang yang lebih utama kepada kelompok yang masih ketinggalan.

Tindakan afirmatif yang memberikan kelebihan kepada sesuatu kelompok berbanding kelompok yang lain bukanlah asing dari perspektif Islam. Bahkan ia merupakan sebahagian daripada perencanaan politik atau siyasah syari`yyah yang dibenarkan syarak untuk menjamin kemaslahatan umat dan keharmonian negara.

Jika dikaji sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menggunakan dasar afirmatif iaitu memberikan keistimewaan kepada golongan kurang bernasib baik bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta fai’ yang dirampas daripada kaum Yahudi Bani Nadhir.

Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dengan membahagikan harta tersebut kepada kaum Muhajirin dan bukan kepada kaum Ansar kecuali kepada dua orang di antara mereka yang miskin iaitu Sahal ibn Hanif dan Abu Dajanah. Selaku ketua negara, baginda membuat percaturan sebegitu demi menegakkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat Madinah.

Nabi s.a.w. telah menjadikan harta rampasan (fai’) tersebut sebagai satu peluang untuk bertindak secara afirmatif bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum Muhajirin dan merapatkan jurang perbezaan antara mereka dengan saudara-saudara mereka dari kalangan Ansar. Tujuannya bagi memastikan keadilan dan kestabilan mampu dikecap dalam suasana Madinah yang dilatari dengan struktur masyarakat dari pelbagai kaum dan kabilah.

Peristiwa ini kemudiannya dinukilkan Allah dalam al-Quran: Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk bandar maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja (Al-Hashr:7).

Demikianlah, dasar afirmatif yang pada hakikatnya memenuhi aspirasi keadilan dalam Islam. Islam sebagai sistem akidah dan falsafah hidup sememangnya menekankan prinsip keadilan dalam setiap perkara. Keadilan dalam Islam tidak pernah mendiskriminasi kaum mahupun masyarakat yang berlainan agama. Malah Islamlah satu-satunya agama yang merumuskan secara jelas prinsip penerimaan terhadap golongan bukan Islam, asal saja mereka tidak memusuhi masyarakat Islam.

Apa yang pasti prinsip keadilan bukanlah bermakna semua orang harus diperlakukan sama-rata. Sebaliknya kezaliman pula yang akan menjelma apabila rakyat yang berlainan taraf sosial dan ekonomi diperlakukan secara sama. Sebab itulah keadilan yang hakiki wajar mengambil kira pelbagai faktor termasuk latar situasi dan realiti setiap orang sebelum melaksanakan sesuatu tindakan demi menjamin kelangsungan kebaikan dan kesejahteraan.

Namun dasar mengutamakan kaum peribumi tidaklah sekali-kali menafikan hak kaum lain. Memang kerajaan selama inipun tidak pernah mengenyampingkan kaum-kaum lain dalam agenda pembangunan negara. Malah fakta ekonomi semasa jelas membuktikan bagaimana kaum bukan bumiputera masih berada pada tahap yang lebih baik dalam pelbagai aspek termasuklah ekonomi, pendidikan mahupun sosial.

Jadi tidak perlulah lagi suara-suara sumbang yang mempertikaikan hak keistimewaan kaum bumiputera sama ada berkaitan agama, ekonomi mahupun pendidikan seperti mana yang diperakui perlembagaan negara.

Janganlah kerana kepentingan politik sempit kita sanggup menggadaikan keharmonian kaum yang terbina di atas dasar-dasar afirmatif yang telahpun dipersetujui sekian lama. Janganlah cuba bermain api dengan pelbagai tuntutan yang tidak wajar demi kepentingan politik yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Sesungguhnya kesejahteraan negara menuntut ketelusan dan ketulusan semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman antara kaum terus segar dalam kerangka masyarakat Malaysia hari ini. Hanya melalui semangat inilah masyarakat Malaysia mampu terus hidup dalam suasana negara yang aman dan harmonis.

Catatan : Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply