KEANGKUHAN YANG MEMBINASAKAN

Misi bantuan dan menyantumi mereka yang terpinggir oleh pendakwah bebas Ebit Liew ke Kelantan mendapat reaksi kurang baik daripada kerajaan Kelantan. Menariknya ialah bila menteri besar yang dikatakan baharu sahaja memberikan keselesaan kepada seluruh EXCO dengan pembelian Mercedes terbaharu mengeluarkan komen boleh menimbulkan ‘fitnah berantai’.

Sebelum ini, juga dalam bulan Ramadhan, kerajaan Kedah mempertikaikan keikhlasan Ebiet menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga besar dengan 10 orang anak beranak di kawasan kotor dan berbau. Ebiet sebak dan menawarkan rumah yang lebih selesa. Ebiet memohon agar ada yang boleh membantu menyewakan rumah untuk keluarga tersebut dan ‘selagi saya masih hidup, saya akan membayar sewanya’.

Pegawai-pegawai di pejabat menteri besar Kedah tersinggung malu. Majlis Agama Islam Kedah turut terpukul dengan misi bantuan Ebit Liew. Menteri Besar kesipuan maka salah seorang pegawainya ‘menyerang’ Ebit dengan dakwaan, penjelasan yang kurang menyenangkan masyarakat awam.

Polemik muncul dan Ebit seakan-akan ‘kecewa’ dengan reaksi daripada pihak berkuasa. Ebit dikatakan bakal berhenti seketika, sekurang-kurangnya tidak akan meneruskan usaha menyantumi golongan terpinggir sepanjang PKP.

Ketika isu Mukhriz sedang berhadapan dengan ‘kehilangan jawatan’, Ebit Liew muncul pula di Kelantan, iaitu melaksanakan tugas dakwahnya di Rantau Panjang. Polemik muncul sekali lagi apabila tindakan Ebit Liew dilihat boleh menimbulkan ‘fitnah berantai’ oleh elit politik di Kelantan.

Maka, keluarlah beberapa tafsiran, ada yang kesat da nada yang mempersoalkan keikhlasan pendakwah keturunan Cina itu. Nasib baik kali ini Ebit tidak diserang dengan hukuman ‘kafir’ oleh ustaz-ustaz yang ada di Kelantan seperti pernah diterimanya ketika menyantumi keluarga miskin di Langgar, Kedah.

Bagi saya, apa pun yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Liew adalah khidmat masyarakat yang patut dipuji bukan dicaci. Soal ikhlas atau tidak misi bantuannya, itu adalah hakikat yang tidak perlu kita persoalkan, kecuali kita mempunyai bukti niat jahatnya.

misi ebit

Kita sebagai orang Islam sentiasa diberitahu, setiap rezeki yang kita terima, ada bahagian di dalamnya adalah untuk orang miskin. Kita digalakkan bersedekah. Itulah juga falsafah kenapa kita diwajibkan berzakat dan membayar fitrah.

Apabila Ebit turun menyantumi golongan yang diabaikan, sepatutnya kita boleh menerima kehadirannya sebagai suatu petunjuk. Kita terima sebagai maklum balas, dan berterima kasih kerana sebelumnya kita mungkin gagal menyantumi mereka. Kalaupun sudah menyantuminya, ia bukan bermakna hanya sekali atau cukup sekadar menyampaikan bantuan –beras, pakaian dan sebagainya—secara bermusim. Apa yang perlu kita lakukan, terutama daripada pihak berkuasa ialah membantu mereka yang bermasalah itu keluar daripada himpitan hidup sebegitu.

Ironinya, ada pihak tertentu, sama ada bercakap bagi pihak berkuasa atau elit politik mahu pun sekadar ‘nak cover isu’, keluarga yang bermasalah itu ‘degil dan tidak mudah dipujuk untuk berpindah’ sekurang-kurangnya dengan kehadiran Ebit, ia telah membuka ‘pintu hati’. Itu yang berlaku di Kedah dan diharapkan ia akan juga berlaku di Kelantan.

Mungkin kehadiran Ebit berjaya melembutkan hati dan menyegarkan fikiran untuk menerima perubahan yang ditawarkan. Saya melihat itulah sepatutnya berlaku dan boleh dikatakan suatu tindakan secara proaktif oleh pihak berkuasa atau elit politik yang perlu dilakukan. Ini kerana merekalah yang sentiasa bercakap perjuangan atas nama rakyat.

kisah air di kelantan 3

Jangan hanya ketika merayu undi sahaja kata-kata itu menjadi siulan dan selepasnya, bersantailah politikus dengan keselesaan sendiri dan kesibukan mencari ‘habuan’. Saya turut teringat kumpulan cerpen penulis Thailand, Khamsing Srinawk, Politician and Other Stories (1973) yang menyindir perangai orang politik hanya tahu dan pandai berjanji ketika menagih undi.

Saya juga pernah membaca karya Allahyarham Shahnon Ahmad (Cik Gu Shahnon) yang menyindir perangai orang politik dalam Menteri (1991) mahupun novelnya yang kontroversi, Shit (1999) dan juga Muntah (2000).

Kalau zaman Khalifah Umar al-Khattab dan cucunya, Khalifah Umar Abdul Aziz, kededuanya sanggup melakukan walkabout tanpa protokol untuk menyantumi dan melihat sendiri kedaifan golongan fakir-miskin untuk dibantu apa yang perlu, maka atas prinsip Membangun Bersama Islam atau mencari keadilan untuk rakyat, ia tidak patut berhenti walaupun ada PKP.

Masa inilah paling banyak menyedarkan kita tentang erti kesusahan dan keperitan, kerana semua aktiviti dan pergerakan terhenti, masing-masing ‘duduk diam-diam di rumah’. Namun wakil rakyat ada sedikit kelonggaran, mereka boleh bergerak untuk menyampaikan bantuan dan meninjau permasalahan rakyat. Jangan hanya sekadar menunggu laporan yang muluk-muluk sahaja seperti ‘soap opera’ atau ‘sugar coating’. Itulah sebahagian sebab kenapa ada kerajaan tumbang, jasanya yang banyak dipertikaikan hanya kerana sedikit kesilapan yang berlaku.

Belajarlah daripada peribahasa Melayu, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Turun ke bawah menjengok masalah rakyat dan mencari golongan yang terpinggir tidak akan menjejaskan panggilan Yang Berhormat,malah akan mendapat penghormatan yang lebih besar di mata rakyat. Saya teringat kepada sebuah cerpen yang pernah saya baca ketika masih bersekolah (1970-an).

kisah air di Kelantan

Kisahnya seorang lelaki tua bertahun-tahun menanti surat daripada anaknya yang bekerja di bandar. Dia sangat merindukan anaknya, walaupun dia masih mampu untuk hidup dan membeli makanan untuk dirinya. Bertahun dinanti sehingga laluan setiap hari itu menjadi jalan yang jelas dan tidak lagi bersemak-samun.

Surat daripada anaknya tiba di hari kematiannya, dan posmen yang menghantar surat itu kehairanan, ada jalan yang begitu jelas untuk tiba ke pondok orang tua berkenaan. Akhirnya, posmen itu sedar, mungkin kerana orang tua setiap hari melalui kawasan itu untuk ke pejabat pos bertanyakan ada surat dari anaknya, maka telapak kaki itulah yang ‘membina jalan’ tersebut.

Apa kaitannya dengan kisah Ebit Liew dan misi bantuannya? Tidak ada kaitan secara jelas, tetapi ia menunjukkan betapa rindunya kedua orang berkenaan. Orang tua rindu untuk mendapat perkhabaran daripada anaknya yang bekerja di bandar. Ebit Liew rindu kepada ‘jiwa murni’nya untuk membantu mereka yang susah. Kededuanya sanggup lakukannya dengan dedikasi demi menyempurnakan misi dan kerinduan masing-masing. Cuma latar dan pengakhiran naratif itu berbeza.

Orang tua itu pernah dianggap gila kerana berhari-hari dan bertahun lamanya melakukan perjalanan untuk ke pejabat pos hanya kerana sekeping surat. Kejian, makian dan umpatan tidak dipedulikan. Akhirnya penduduk kaki bukit di sebuah perkampungan di India itu (latar cerpen tersebut) merasa berdosa, orang tua berkenaan benar-benar mempunyai anak bila posmen ke rumahnya untuk menyampaikan surat.

Biarpun tidak dapat membaca surat itu, posmen membuka dan membacanya di sisi tubuhnya yang kaku. Posmen tersebut merasa berdosa, akibat salah sangka sebelumnya, akhirnya meminta penduduk kaki bukit mendaki ke puncak bukit (tempat di mana orang tua itu menginap) bagi menyempurnakan jenazahnya.

Perjalanan ‘mencari surat’ adalah perjalanan penuh dedikasi. Sayangnya, saya tidak mengingati siapakah penulis dan nama watak orang dalam cerpen itu, saya masih ingat tajuknya “Surat”. Saya ingat kerana ia mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan sangat menyentuh perasaan ketika itu.

Begitu juga dengan apa berlaku ketika Ebit Liew menyantumi golongan fakir dan miskin. Saya lebih tersentuh kerana pendekatannya. Setiap kali bertemu dengan keluarga terhimpitnya, bibirnya tidak lekang dengan kata-kata semangat dan lafaz kesyukuran kerana berjaya menemui atau sampai ke situ.

Ia bukan seperti ‘projek mengada-ngada politikus’ ketika bersembang sahur, membawa anak-anak yatim membeli pakaian hari raya, menampak gambar sendiri ketika memberikan bantuan beg sekolah, ataupun bersedekah di bulan Ramadhan. Nasib baik Ramadhan kali ini disambut ketika PKP. Kalau tidak jenuh jemu menonton adegan ‘menunjuk-nunjuk dan mencari laba politik’ itu.

IMG-20200515-WA0013

Sebagai kerajaan yang memerintah, terutama kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai ‘kuasa terhadap tanah’ adalah wajar mereka memikirkan bagaimana untuk menyediakan perumahan rakyat termiskin menurut acuan masing-masing, bukan mengharapkan perancangan daripada kerajaan pusat semata-mata.

Bahkan, ada ketikanya ada perselisihan politik antara kerajaan negeri dan pusat mengenai perancangan perumahan rakyat termiskin. Kerajaan negeri enggan menyediakan tanah yang sesuai, kerana tanah itu boleh menghasilkan nilai yang cukup besar jika dijual kepada pemaju perumahan mewah dan kelas menengah. Itulah berlaku dalam negeri-negeri yang tidak sehaluan politiknya, seperti berlaku di Pulau Pinang.

Pernah ada laporan, EXCOnya bukan sahaja tidak ada cadangan untuk membangunkan rumah murah, bahkan berjaya menukarkan status tanah kepada perumahan komersial berharga mewah dan ‘mampu tengok’. Akhirnya, rumah tersebut tidak dapat dijual dan dimohon pula kelulusan khas, agar boleh dijual kepada rakyat asing.

Nilai minimum diturunkan lagi, dari berharga RM 1 juta ke atas kepada setengah juta. Atas kepentingan politik, cadangan itu diluluskan. Atas kemahuan kapitalis, sanggup melenturkan syarat asal, itulah hebatnya politik yang ‘dikawal oleh kapitalis’.

Ia tidak berlaku di negara-negara Arab dan Afrika Utara. Bagi negara-negara Arab yang kaya minyak, kerajaannya menggunakan hasil minyak untuk membina rumah-rumah untuk rakyat. Bahkan ada sebuah negara Arab berjaya menyediakan sebuah rumah bagi setiap pasangan yang berkahwin. Tidak ada masalah tempat tinggal, dan spekulasi gila-gila tentang harga rumah. Di Libya, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan, Muammar Gadafi bertekad untuk menyediakan rumah bagi setiap rakyatnya.

Gadafi melakukannya bertahun-tahun, dan beliau sendiri sanggup tinggal di dalam khemah sebelum rakyatnya kecukupan rumah. Kediamannya di Aleppo dibina selepas hampir semua keluarga di Libya mempunyai rumah. Dasar sosialismenya juga berjaya menukarkan padang pasir menjadi kawasan pertanian yang subur menggunakan duit hasil minyak. Libya tidak bergantung kepada import bijirin untuk makanan rakyatnya.

Kini, rakyat Libya mula sesal dengan apa yang berlaku. Ada yang merasa berdosa kerana menuduh Gadafi ‘menipu’ dan menyokong pemberontak yang ditaja oleh Amerika Syarikat membunuhnya. Sesal yang tidak berguna lagi.

Libya kacau bilau dan politiknya belum stabil. Belum hadir seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, yang ada ialah mereka yang bersekongkol dengan projek Amerikanisasi atau mengamerikankan Libya atau dunia Arab keseluruhannya.

Di Malaysia, kalaupun tidak bersedia melaksanakan perancangan rumah rakyat seperti dilakukan oleh Muammar Gadafi, elit politik tidaklah wajar menunjukkan ‘istiqamah’ dengan bermewah sendirian.

Menghabiskan wang kerajaan dengan menukarkan kereta rasmi setiap penggal.  Cukuplah dengan kereta yang berjenama sederhana, kerana wakil rakyat bukanlah terancam dengan peluru hidup dan perlu memecut laju. Ingatlah, untuk apa AES dipasang.

Kereta wakil rakyat atau EXCO atau MB perlu juga mematuhi peraturan jalan raya. Jangan jadi ketam, bila disaman, minta dikecualikan. Bayar, bayar guna duit sendiri bukan duit kerajaan. Kini, rakyat memerhatikan jalan-jalan yang dilalui oleh ‘gerombolan Mercedes’ dan kesombongan wakil rakyat di dalamnya.kisah air di kelantan 2

Kini, rakyat Kelantan kembali mempersoalkan berkenaan bekalan air bersih sudah berpuluh tahun tidak selesai. Difahamkan sejak zaman Alllahyarham Nik Aziz isu itu timbul tapi jawapan oleh politikus begitu dangkal ‘tidak ada rakyat yang tidak dapat dimandikan jenazahnya sebelum dikebumikan’. Khabarnya, dulu dikaitkan dengan tidak wang.

Namun ada yang melaporkan kerajaan persekutuan sudah memberikan pinjaman untuk membantu melaksanakan projek air bersih dan menukarkan paip yang usang sepanjang 3,000 kilometer.

Beberapa hari lalu timbul pula bayaran royalti minyak dan gas sebanyak RM 400 juta. Sebahagiannya digunakan untuk membeli Mercedes dan lain-lainnya. Air paip tidak juga keluar, yang keluar ialah angina. Bil kena bayar setiap bulan.

Di zaman Perdana Menteri ke-4 lagi kedengaran projek baiki paip air tetapi sampai sekarang tidak juga selesai apabila paip dibuka, yang keluarnya angin. Nasiblah tidak keluar asap seperti asap kereta Mercedes baharu harga ratusan ribu sebuah.

Kelantan sebenarnya mempunyai bekalan air mentah yang cukup (dan taburan hujan yang tinggi) malah kalau diuruskan dengan berkesan, ia boleh dieksport sebagaimana Pahang eksport air mentah ke Lembah Klang.

Tetapi banyak sumber air mentah berkeladak dan bertoksid akibat tidak pandai mengurus sumber alam. Ikan pun boleh mati kerananya. Lagun Sg Semerak semakin bertoksid selepas muara asal tertutup, air bagaikan termenung kerana tidak dapat mengalir ke muara.

laguna semerak

Aliran keladak terhimpun dan membantu menyimpan keladak, lama kelamaan menjadi toksik apabila bercampur dengan serbanika partikel yang dibawa bersama. Mendap di dasar dan menutupi permukaan tanah berlumpur.

Di kawasan tadahan air, kawasannya digondolkan atas nama hasil hutan sama ada pembalakan haram atau halal dan projek penghutanan semula atas nama Ladang Rakyat dan perlombongan.

Di hilir sungai, airnya mengalir seperti warna teh tarik kalaupun tidak seperti teh o pekat atau nescafee bila paip dibuka. Tidak peka dengan apa yang terjadi, tidak belajar daripada Bah Air Kuning (2014), maka hingga kini air Sungai Kelantan mengalir bersama lumpur.

Jengoklah, fahamilah apa yang perlu dilakukan. Fikirkanlah, alam ini sudah banyak terganggu dan bakal musnahkan seluruh kehidupan jika tidak ditangani dengan baik dan sesuai dengan sifat alaminya.

Nafas boleh jadi sesak dan hidup menjadi kacau sebagaimana jiwa kacau bila hanya angin mengalir keluar dari pili, bukannya air. Rakyat dipaksa membayar angin bukan harga air sedangkan angin dan udara adalah percuma untuk disedut.

Udara dan angin belum mampu ditapkan lagi, kecuali oksijen sebagai alat bantuan pernafasan ketika sesak nafas atau di kiosk rawatan rapi di klinik atau hospital.

Bulan Ramadhan tahun ini, kejadian air paip mengalir angin kemvali mewarnai sambutan bulan puasa dan dijangka berlanjutan hingga Syawal. Tidak ada masalah, rakyat mesti ‘istiqomah’ dan bersyukur kerana Membangun Bersama Islam.

Islam meletakkan kebajikan rakyat adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT apabila meninggalnya seorang pemimpin. Ketika itu, rakyat tidak dipanggil menjadi saksi, tetapi pemimpin tidak mampu lagi berdalih. Suatu peringatan, bukan permainan kata-kata atau kata main-main.

Semasa hidup dah berkuasa, rakyat akan mempersoalkan apa yang dilakukan. Jawablah secara jujur bukan menunjukkan kebodohan, Kelantan sengaja memperlambatkan pembangunan kerana….rakyat sudah lama mengharapkan atau tidak mahu orang lain mengambil peluang.

Benar, nilai kehidupan beragama penting tetapi nilai kehidupan yang lebih baik dan sempurna mampu menjadikan manusia lebih bersyukur di atas nikmat-Nya. Bukan bermakna kehidupan yang terhimpit akan melupakan manusia kepada Khaliknya, dengan rezeki yang baik dan kecukupan infrastruktur (termasuk air bersih) ia akan meningkatkan rasa syukur di atas rahmat-Nya.

Bukan hanya berdendang, lagu keroncong ketika rakyat terhimpit pelbagai kesukaran untuk hidup sederhana dan kepanasan bila air sepatutnya menyejukkan bertukar menjadi angin panas.

Bila Ebit Liew menyantumi rakyat yang hidup dalam kawasan perkumuhan, di tepi longgokan sampah maka dituduh pula sebagai tindakan baik yang bodoh dan sebagainya.

download

Sebenarnya jawapan atau komen itu kembali menjadi milik elit politik yang berkuasa, yang mengeluarkan kata-kata itu atas refleksi kegagalannya sendiri.

Kenyataan sombong yang boleh digantikan dengan kemarahan awam dan kebencian melata yang lebih besar atau mengjengkelkan.

Tahniah Ustaz Ebit Liew, biarpun tindakan itu dikeji oleh elit politik, Ustaz telah menghantar satu isyarat yang lebih besar kepada mereka untuk lebih prihatin dan memahami apa itu berkhidmat untuk rakyat, termasuklah ketika dalam persekitaran yang sukar ini.

Biarpun dicaci atas alasan mencari publisiti, Ustaz tetap mulia dihati mereka yang terhimpit oleh percaturan politik gila kuasa dan mabuk sanjungan.

Saya kembali membaca The Beautytiful One Are Not Yet Born (1968) tulisan Ayi Kwei Armah (lahir di Ghana pada 28 Oktober 1939) beberapa hari lalu bukan kerana kisah Ebit Liew tidak dapat diterima oleh pembesar di Kedah dan Kelantan.

Saya mencari semula apa yang menarik dilontarkan oleh penulis dari Afrika. Ayi Kwei Armah menceritakan tentang  kebobrokan politikus di negaranya, tidak mempedulikan nasib rakyat, rasuah dan salah guna kuasa, elit politik mencari keselesaan dengan mengatasnamakan retorik demi rakyat.

Itu tidak bermakna saya menuduh elit politik di Kedah dan Kelantan sebagaimana ditulis oleh Ayi Kwei Armah, apa yang saya musykilkan ialah bagaimana mereka mendefinisikan ‘berkhidmat untuk rakyat’ dan memahami erti pembangunan. Bagi saya, pembangunan itu ialah tidak ada rakyat yang terpinggir dan kesempitan hidupnya.

EBIET e lIEW

Jika berlaku akibat sesuatu musibah, atau berpunca daripada sikap sendiri, maka tanggungjawab politikus untuk ‘mengubah’nya menerusi mekanisma yang ada. Ia perlu dilakukan tanpa jemu dan bukan hanya seumpama ‘touch n go’ atau smarttag dan RFID, tanpa sentuh.

Kalaupun takutkan COVID-19 berjangkit akibat sentuhan, tidak bermakna ‘duduk diam-diam di rumah’ tanpa keluar rumah langsung. Sebagai wakil rakyat, apa yang dilakukan sebelum ini? COVID-19 hanya baru dua bulan dikenakan PKP, dua tahun lalu selepas menang PRU ke-14 apa YAB atau YB buat?  Sebab YAB atau YB tidak lakukan bersungguh-sungguh itulah Ebit cuba membantu ‘sekadar yang termampu’ bukan memburuk-burukkan mana kerajaan atau pembesar negeri yang dikunjunginya.

Keangkuhan Memang Membinasakan, termasuk kerajaan ataupun pemimpin itu sendiri. Karma tetap hadir dan Allah SWT sentiasa membuka ruang kepada setiap orang untuk memperbaiki naratif dirinya agar tidak menampakkan keangkuhan dan sikap yang melampau. Itulah hakikatnya, siapa pun kita, kita tetap hamba di sisi-Nya. Politikus adalah ‘hamba’ kepada rakyat dan bukan memperhambakan rakyat.

 

MONOSIN SOBRI

 

No Comments

    Leave a reply