KEBAHAGIAAN DAN KESEJAHTERAAN YANG DICARI

Kondisi hidup bahagia dan sejahtera (al-sa‘adah/happiness) menjadi sesuatu yang sentiasa diidam-idamkan dan dikejar oleh setiap manusia. Ia merupakan sesuatu yang relatif bergantung kepada tujuan hidup seseorang. Oleh sebab itu, indikator kebahagiaan bagi setiap manusia itu tidak sama antara satu sama lain.

Apabila seseorang itu meletakkan tujuan hidupnya untuk mengumpul harta kekayaan, mereka akan mengejar kebahagiaan dengan bekerja keras untuk mengumpulkan harta kekayaan walau dengan apa jua cara sekalipun kerana mereka beranggapan dengan harta yang melimpah ruah itu dapat memberi kebahagiaan hidup. Bagi seseorang yang meletakkan kekuasaan sebagai matlamat hidupnya, mereka akan berebut-rebut untuk memiliki kedudukan dan pangkat. Dengan itu mereka akan merasa bahagia kerana dapat melakukan apa sahaja yang dikehendaki.

Sebaliknya, apabila tujuan dalam kehidupan ini untuk berpegang teguh dengan tali keimanan, takwa, dan amal kebaikan agar dapat memperoleh kebahagiaan di akhirat kelak, maka itulah yang menjadi indikator kebahagiaannya. Bagi mereka, orang yang tidak mempunyai iman dan takwa tidak dapat merasai kebahagiaan walaupun mereka dikelilingi oleh kemewahan dunia. Mereka sentiasa mencari kebahagiaan, namun tidak dapat mengecapi nikmat kebahagiaan itu.

Jika dilihat kepada Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, ia dikatakan bersifat inklusif demi mensejahterakan dan membahagiakan kehidupan rakyat. Persoalannya, apakah indikator kesejahteraan dan kebahagiaan ini? Apakah ia merujuk kepada memenuhi segala keperluan hidup manusia yang bersifat eksternal seperti bantuan kewangan, kemudahan pinjaman perumahan dan kenderaan, kenaikan elaun, pemberian diskaun terhadap hutang yang berjaya diselesaikan, peluang memiliki rumah, kemudahan pendidikan yang merangkumi peluang penyelidikan, penyelenggaraan sekolah, pembinaan sekolah baru, biasiswa, pemberian tablet bantuan mengajar kepada guru, menyelaras pendidik tahfiz dan program Permata, pembangunan sektor pertanian, dan sebagainya? Jika benar semua ini merupakan indikator kebahagiaannya, apakah Bajet 2017 mampu menghasilkan kebahagiaan dan kesejahteraan manusia yang hakiki?

Sebenarnya sudah sekian lama para pemikir membincangkan tentang konsep kebahagian ini. Ia merupakan satu topik yang tidak pernah-pernah habis diperbincangkan orang, iaitu bermula daripada hakikat kebahagiaan, hingga usaha-usaha yang patut dilakukan untuk mendapatkan kebahagiaan tersebut.

Plato (429-347 SM) misalnya, menyatakan hidup seseorang manusia itu akan menjadi bahagia sekiranya dia mampu menyeimbangkan antara aspek nafsu, kehendak dan akal. Kehendak membuatkan manusia mampu mengendalikan nafsu, sedangkan akal pula membantu manusia dalam menentukan masa yang sepatutnya mereka mematuhi dan menahan nafsu.

Aristotle (384-322 SM) pula menegaskan kebahagiaan merupakan sesuatu yang mendasari kehidupan seseorang. Dalam Bahasa Yunani ia dikenali dengan istilah eudaimonia (eUScauovia) yang bererti kebahagiaan. Istilah ini terdiri daripada dua suku kata “en” (baik atau bagus) dan “daimon” (roh, dewa, dan kekuatan batin). Bagi bangsa Yunani, eudaimonia berarti kesempurnaan, atau lebih tepat lagi, eudaimonia berarti “mempunyai daimon yang baik”. Dimaksudkan dengan daimon adalah jiwa. Sementara itu, terdapat sebuah pandangan yang berakar dari istilah ini, iaitu eudaimonisme. Ia merupakan pandangan hidup yang menganggap kebahagiaan sebagai tujuan segala tindak-tanduk manusia. Kebahagiaan yang dimaksudkan bukanlah hanya terbatas kepada perasaan subjektif seperti senang atau gembira sebagai aspek emosional, malah Ia terkait dengan pengembangan seluruh aspek kemanusiaan seseorang individu iaitu aspek moral, sosial, emosional, dan rohani. Secara lebih jelas lagi, untuk mencapai kebahagiaan ini, Aristotle menyatakan seseorang harus mencapai harta yang secukupnya, membina persahabatan dan menegakkan keadilan.

Selain itu, Epikuros (341-270 SM) menyatakan kebahagiaan merupakan sesuatu yang tinggi nilainya. Kebahagiaan hidup tidak bererti memiliki harta kekayaan yang sebanyak-banyaknya, melainkan wujud keseimbangan antara kebahagiaan fizikal dan spiritual. Tubuh badan manusia akan merasai kenikmatan kesihatan. Lebih penting daripada itu adalah kebahagiaan jiwa kerana ia meliputi masa sekarang, masa lampau, dan masa akan datang. Menurut Epikuros, manusia hendaklah mempunyai emosi yang stabil, baik dalam keadaan suka mahupun duka, iaitu tetap tenang jiwanya dan pandai memelihara ikatan persahabatan.

Selain itu, ramai lagi ahli sarjana Barat yang membincangkan tentang kebahagiaan ini. Misalnya, Alex Linley dan Stephen Joseph dalam Positive Psychology in Practice menyatakan kebahagiaan merujuk kepada kepuasan hidup, pengalaman perasaan, hubungan baik dengan orang lain, dan perasaan bermakna. Carol D. Ryff. dalam Journal of Persoality and Social Psychology menyatakan kebahagiaan merupakan penerimaan diri, kebebasan, penguasaan persekitaran, tujuan hidup, dan pengembangan diri.

Pandangan tentang konsep kebahagiaan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Falsafah Yunani dan Sarjana Barat ini hanya tertumpu kepada sesuatu yang boleh diamati dengan pancaindera dan boleh diukur. Mereka tidak menekankan aspek kerohanian dalam memahami personaliti manusia dan konsep kebahagiaan yang abadi. Meskipun mereka ada menyentuh tentang aspek spiritual atau rohani, namun ia tidak berasaskan iman dan takwa. Lagipun, mereka menjadikan kebahagiaan dunia sebagai tujuan akhir yang ingin dicapai.

Hal ini berbeza dengan konsep kebahagiaan menurut pandangan tokoh-tokoh Falsafah Islam. Misalnya, Dr. Muhammad ‘Uthman al-Najati dalam Dirasah al-Nafsiyyah ‘ind al-‘Ulama al-Muslimin ada mengemukakan padangan Ibn Sina (980-1037 M), al-Farabi (879-950 M), dan Ibn Tufayl (1105-1185 M) berhubung konsep kebahagiaan. Menurut Ibn Sina (980-1037 M), kebahagiaan yang hakiki akan diperoleh pada hari akhirat kelak. Begitu juga dengan al-Farabi (879-950 M), yang menyatakan kebahagiaan yang sebenar adalah apabila manusia sampai pada tahap kesempurnaan yang ada di akhirat.  Ibn Tufayl (1105-1185 M) pula menyatakan kebahagiaan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat ketika saat bertemu dengan Allah SWT dan melihat wajah-Nya.

Selain itu, konsep kebahagiaan ini telah dibincangkan secara mendalam oleh al-Ghazali menerusi karya-karyanya yang tersohor seperti Kimiya al-Sa‘adah dan  Ihya’ ‘Ulum al-Din. Menurut al-Ghazali, kebahagiaan merupakan kunci utama konsep keperibadian yang diterapkan apabila wujud sesuatu yang dicari di dunia ini, tetapi mungkin hasilnya akan diperoleh pada hari akhirat dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Menurut al-Ghazali, kebahagiaan yang hakiki hanya diberikan kepada roh yang sedar pada hari akhirat kelak. Kesedaran di sini merujuk kepada roh yang disertakan bersama nafsu, akal dan hati ketika berada di alam dunia, berjaya mengenal Allah SWT (ma‘rifat Allah) dan mengabdikan diri kepada-Nya (‘ubudiyyah), iaitu kembali kepada fitrah penciptaan manusia. Oleh itu, keseimbangan dalam personaliti seseorang individu akan mendorong perasaan gembira sebagai punca daripada keadaan dirinya sendiri dan bukan daripada perkara yang di luar jangkaannya.

Al-Ghazali membahagikan konsep kebahagiaan kepada dua aspek, iaitu aspek negatif dan aspek positif. Aspek negatif berhubung dengan kepuasan manusia di dunia. Kepuasan yang timbul ini turut didorong oleh nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa akan menyesatkan manusia. Pada pandangan al-Ghazali, dunia hanyalah sebuah tempat yang dilalui oleh pengunjung dalam laluan perjalanan mereka menuju akhirat. Manusia kadangkala terlupa akan tujuan hidupnya di dunia ini dan mudah tertipu dengan godaan dunia. Mereka hanya mencari kenikmatan dan keseronokan dunia. Dalam hal ini, jiwa akan terus berada dalam kehinaan selepas kematian dan menderita sekiranya rasa cinta yang melampau kepada hal-hal keduniaan

Sungguhpun al-Ghazali banyak menekankan kebahagiaan di akhirat yang merupakan kebahagiaan yang positif, namun hal ini bukan bererti beliau menolak adanya kebahagiaan di dunia. Misalnya, kegembiraan hasil daripada perkahwinan; kegembiraan kerana memperoleh makanan dan pakaian. Perkara-perkara ini mendatangkan manfaat kepada manusia itu sendiri yang akhirnya boleh menambahkan keimanan seseorang itu kepada Allah SWT. Tambahan pula, kebahagiaan dunia ini hanya bersifat majazi (sementara), manakala kegembiraan akhirat bersifat hakiki.

Hal ini dapat dibuktikan dengan kata-kata al-Ghazali dalam Kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din yang bermaksud, “Setiap kebajikan, kelazatan dan kebahagiaan, bahkan setiap yang dicari dan diutamakan itu dinamakan sebagai nikmat. Tetapi, nikmat  yang hakiki adalah kebahagiaan akhirat”.

Sebagaimana dijelaskan dalam Kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din bahawa kehidupan akhirat adalah amat jauh berbeza dengan kehidupan di dunia ini kerana ia bersifat kekal abadi, gembira yang berpanjangan, tiada lagi kejahilan, dan kaya yang tidak ada kemiskinan sesudahnya. Selain itu, manusia tidak lagi dibebani dengan tanggungjawab ke atas segala perbuatannya kerana pada ketika itu tiada lagi kejahatan dan kebaikan. Perkara yang akan mereka hadapi adalah sebagai akibat daripada tindakan yang dilakukannya semasa hayatnya di dunia, sama ada kebahagiaan yang abadi atau dibelenggu penderitaan.

Menurut al-Ghazali, kebahagiaan yang paling tinggi pada waktu itu adalah keupayaan manusia bertemu dan melihat Allah SWT. Hal ini akan menyebabkan manusia lupa tentang kenikmatan-kenikmatan lain yang terdapat di dalam syurga kerana ia merupakan kurniaan yang tertinggi. Dalam Kitab Kimiya al-Sa‘adah, kebahagiaan bertemu dengan Allah SWT ini dianalogikan dengan seorang rakyat yang dapat bertemu dengan raja yang dihormati dan dikaguminya. Hal ini pasti akan wujud rasa bahagia dalam hatinya. Begitu juga bagi insan yang dapat bertemu dengan Penciptanya, maka kebahagiaan itu pasti akan dihargai dengan sepenuh hatinya.

Semua kebahagiaan akhirat ini dapat dicapai apabila seseorang manusia itu mengenali dirinya sendiri; mengetahui fungsi dan tujuan dia diciptakan; mengenal Allah SWT (ma‘rifat Allah) yang menciptakannya; tahu mengenai dunia ini dan akhirat yang bakal dihuni kelak. Dalam Kitab Kimiyya al-Sa‘adah, al-Ghazali menekankan peri pentingnya ma‘rifat Allah dalam usaha mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Tidak mungkin lahir cinta kepada Allah SWT jika manusia tidak mengenal Allah SWT.

Kesimpulannya, kebahagiaan yang hakiki merupakan kebahagiaan di akhirat. Kebahagiaan dunia pada dasarnya merupakan kebahagiaan awal untuk mencapai kebahagiaan akhirat. Meskipun akhirat itu sebagai tujuan akhir, manusia tidak boleh mengesampingkan kebahagiaan dunia. Kebahagiaan dunia patut dicari, tetapi janganlah sampai dijadikan sebagai tujuan utama kerana ia penuh dengan penipuan dan dibimbangi akan melupakan kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Oleh yang demikian, jadikan kebahagiaan dunia sebagai wasilah untuk mencapai kebahagiaan akhirat kerana kebahagiaan akhirat merupakan tujuan akhir yang ingin dicapai.

Dalam erti kata lain, meskipun seseorang itu memiliki kemewahan harta benda yang banyak, dia tidak dapat merasai kebahagiaan jika jiwanya tidak terisi dengan iman dan takwa kerana bahagia itu datang dari dalam diri manusia, bukannya bergantung kepada perkara luaran. Oleh sebab itu, para Sarjana Islam meletakkan kebahagiaan akhirat sebagai kebahagiaan yang hakiki kerana ia tidak tertipu lagi dengan godaan dunia dan syaitan.

Dengan itu dapatlah dikatakan Bajet 2017 mampu menghasilkan kebahagiaan dan kesejahteraan jika manusia yang menerima habuan-habuan dunia itu didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Hal ini bagi mengelakkan mereka daripada mencintai dunia (hubb al-dunya), terlupa tujuan hidupnya di dunia, dan tertipu dengan kemewahan dunia yang bersifat sementara. Pencarian kebahagiaan hidup di dunia yang didasari dengan iman dan takwa ini dapat membantu seseorang manusia untuk mencapai kejayaan yang hakiki di akhirat kelak.

Oleh Dr. Mohd Shukri Hanapi,

No Comments

    Leave a reply