Kebebasan beragama di Turki dilindungi di bawah perlembagaan, kata Duta

Kebebasan beragama di Turki adalah dilindungi di bawah perlembagaan negara itu, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Duta Turki ke Vatican pada Khamis.

Lutfullah Goktas berkata demikian ketika berucap pada sesi ‘Peranan duta-duta dalam hubungan dengan Vatican’ sebagai sebahagian daripada satu simposium antarabangsa yang berlangsung di Universiti Napoli Federico II di Naples bertajuk ‘1929-2019: Sembilan puluh tahun hubungan antara negara dan kumpulan-kumpulan agama.’

Goktas berkata Turki adalah sebuah negara sekular dan majoriti penduduknya beragama Islam.

“Hubungan antara Papacy (Vatican) bermula semasa era (Empayar) Uthmaniah. Kewujudan hubungan diplomatik antara Turki dan Vatican, bagaimanapun berlaku pada 1960 semasa pemerintahan Paus John XXIII.

“Kami berharap untuk mengukuhkan lagi hubungan sesama kita berdasarkan prinsip saling menghormati perbezaan.”

Menurut Goktas, sejak awal tahun 2000-an, Turki telah membuat kemajuan yang besar berkaitan kebebasan beragama dalam wilayahnya seperti memulihkan gereja dan saumaah, menyelesaikan isu harta tak alih dan mendaftarkan entiti perundangan.

Lawatan sulung seorang presiden Turki ke Vatican sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara diwujudkan adalah dilakukan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, kata Goktas.

Beliau merujuk lawatan bersejarah Erdogan ke Vatican dan bertemu dengan Paus Francis pada 5 Feb 2018.

Goktas berkata Turki adalah sebuah negara yang penting bagi Vatican dalam memastikan komunikasinya dengan Katolik.– BERNAMA

Sumber : malaysiadateline.com

Tags:

No Comments

    Leave a reply