KEBEBASAN YANG MENJERAT

Bulan Oktober 2016, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat untuk memperkenalkan Modul Pendidikan Reproduktif dan Seksual Remaja Lelaki (MPR-SRL) secara rintis di lima buah negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah — sebagai usaha menangani masalah salah laku seks dalam kalangan remaja.

Kurikulum modul MPR-SRL itu merangkumi isu seks sebelum kahwin, variasi seks, kehamilan remaja, penderaan seksual dan penyakit kelamin.

Menurut Ketua Setiausaha KPWKM, Dr. Rose Lena Lazemi akibat kekurangan pengetahuan mengenai seksual reproduktif menyebabkan berlakunya peningkatan kehamilan remaja luar nikah, kejadian rogol, penderaan seksual dan penyakit kelamin yang sebenarnya lebih merupakan langkah untuk “mengurus kerosakan” dan bukannya berusaha untuk mengatasi fenomena sosial remaja di Malaysia.

Sebagai seorang yang mempunyai data dan maklumat mengenai kajian tabiat seksual remaja di Malaysia, Dr Rose Lena bercadang melaksanakan MPR-SRL tetapi sayangnya fokus penyertaan adalah remaja lelaki dan mungkin beliau mempunyai modul yang lain untuk remaja perempuan.

Kehamilan remaja tidak mungkin terjadi sekiranya masyarakat mengambil inisiatif secara menyeluruh membendung kebebasan dalam pergaulan. Tetapi, hal itu mungkin menjadi suatu tindakan yang sukar disebabkan berubahnya persekitaran dan keperluan kehidupan masyarakat Malaysia.

Pergaulan bebas menjadi punca utama kepada perilaku kehamilan remaja dan usaha memperkenalkan MPR (Modul Pendidikan Reproduktif) dianggap hanya sekadar mampu memberikan amaran kepada remaja Malaysia untuk melakukan “seks selamat” dan bukannya mengekang aktiviti seks sebelum berkahwin dalam kalangan remaja.

Berdasarkan beberapa kesan positif pendidikan seks yang dilaksanakan oleh banyak negara, meningkatkan pengetahuan seks selamat dalam kalangan remaja, aliran pemikiran sedemikian telah membangkitkan lebih banyak desakan untuk memperkenalkan pendidikan seks sebagai kurikulum pendidikan kebangsaan. Kumpulan pakar kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan mengenai pendidikan dan kesihatan (NGO-PK), aktivis masyarakat semakin lantang bersuara mendesak agar larangan selama ini dihapuskan demi kepentingan remaja.

Persoalannya, desakan tersebut bukan sahaja mendapat tentangan daripada sebahagian besar kumpulan dan organisasi masyarakat yang merasakan “pendedahan seks selamat dalam kalangan remaja” akan membangkitkan lebih kecenderungan seks luar nikah di mana ada dalam kalangan remaja mula melakukan hubungan seks pertama dalam umur yang rendah.

Misalnya, Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global kendalian Kementerian Kesihatan pada 2012 membabitkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, mendapati 50.4 peratus yang ditemui mengaku mengadakan hubungan seks kali pertama sebelum usia 14 tahun. Mereka khuatir, jika pendidikan seks dilaksanakan bermula di sekolah rendah, hubungan seks kali pertama mungkin akan bermula di awal usia akil baligh (puberty).

Ada dalam kalangan remaja di Malaysia sudah berada di usia “cukup umur” atau akil baligh ketika berusia sembilan tahun bagi perempuan manakala sepuluh tahun bagi lelaki. Kohort umur di bawah 12 tahun masih dianggap berada di peringkat kanak-kanak berdasarkan takrifan psikologi dan sosiologi. Bagaimanapun, dari perspektif Islam, seseorang kanak-kanak mencapai tahap remaja ialah sebaik sahaja mereka didatangi oleh tanda-tanda akhil baligh, seperti bermimpi melakukan hubungan kelamin bagi lelaki dan mengalami haid bagi perempuan.

Disebabkan oleh corak pemakanan yang dilalui oleh kanak-kanak di Malaysia, yang membantu mempercepatkan perubahan hormon  telah dikenal pasti sebagai faktor berlakunya perubahan umur minimum mencapai tahap akil baligh. Ertinya, apa yang dimakan oleh kanak-kanak menyumbang kepada penurunan umur minimum akil baligh selain menentukan pengembangan pembangunan kognitif dan emosi.

Dalam satu kajian lain, jenis makanan yang diambil dan menjadi kegemaran kanak-kanak turut menyumbang kepada peningkatan hormon yang berkaitan dengan seks manakala pendedahan kepada pelbagai kandungan mesej dan visual meningkatkan fantasi seks dalam kalangan remaja.

Kecepatan mencapai umur akil baligh, peningkatan fantasi seks dan kawalan sosial yang lemah menjadi punca kepada peningkatan kehamilan remaja, bukannya penyebab kepada pengetahuan seks selamat. Inilah persoalan yang perlu dirungkaikan secara jelas dalam kalangan aktivis yang lantang bersuara dan mendesak agar pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah, termasuk keinginan KPWKM untuk memperkenal dan memperluaskan MPR, yakni penjenamaan semula pendidikan seks.

Rekod di beberapa negara yang sudah memperkenalkan pendidikan seks secara terbuka hanya berjaya membuktikan kes-kes pembuangan bayi kurang berlaku kerana mereka memperoleh sokongan masyarakat dan ibu bapa berbanding masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu.

Dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, remaja hamil boleh diterima dengan baik dalam kalangan keluarga disebabkan perubahan pandangan hidup yang semakin mendekati konsep humanism, di mana nilai-nilai agama diketepikan. Masyarakat Melayu sukar menerima remaja hamil di luar pernikahan, kerana ia membawa aib keluarga dan sebab itulah jumlah pembuangan bayi dalam kalangan remaja Melayu adalah lebih tinggi berbanding dalam kalangan bukan Melayu.

Bukan Melayu lebih menyanjungi persoalan budaya berbanding agama. Bagi bukan Melayu, nilai-nilai agama sudah berubah menjadi konsep budaya. Bagi masyarakat Islam, nilai-nilai agamalah yang menentukan perspektif budaya kerana budaya hanyalah sebahagian daripada makna Islam. Islam sebagaimana sifat dan bentuknya, diturunkan sebagai ajaran yang lengkap dan panduan hidup, sebab itulah Islam bukan sekadar agama, ia adalah tatacara kehidupan.

Pergaulan bebas menjadi larangan yang wajib dipatuhi oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Islam meletakkan landasan dan batas pergaulan, dan kerana itulah Islam seringkali dianggap tidak sesuai dengan kehidupan moden. Kehidupan moden, sekurang-kurangnya daripada aspek pergaulan, tidak dilihat sebagai sesuatu yang dilarang antara lelaki dan wanita asalkan antara mereka mempunyai persefahaman dan tidak dipaksa. Konsep yang dibawa oleh kehidupan moden, yang bersandarkan nilai kebebasan individu telah membantu meningkatkan kehamilan remaja sebelum bernikah.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNFPA (United Nations Fund for Population Activities),  Filipina menjadi satu-satunya negara di Asia-Pasifik yang mengalami peningkatan kes kehamilan remaja dalam tempoh dua dekad. Filipina juga berhadapan dengan penurunan tingkat kesuburan yang drastik dan boleh memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi di mana beban tanggungan keluarga semakin meningkat.

Menurut wakil UNFPA, Klaus Beck, remaja perempuan berusia antara 15 hingga 19 tahun merupakan 10 peratus daripada 100 juta penduduk Filipina manakala tahap kesuburan kumpulan umur ini telah meningkat kepada 57 kelahiran bagi setiap 1,000 perempuan pada tahun 2013. Ia merupakan dapatan yang tertinggi sejak tahun 1998. (http://www.rri.co.id/post/berita/289521/luar_negeri/filipina_satusatunya_di_asia_dengan_kehamilan_remaja_meningkat.html diakses pada 30 Oktober 2016).

Purata tahap kesuburan setiap wanita di Filipina ialah 3 bagi setiap perempuan (2013), iaitu turun dengan kadar 1.6 kelahiran setiap tahun daripada 7 kelahiran pada tahun 1960. Akibatnya, Filipina tidak dapat memanfaat sepenuhnya “bonus demografi.”

Dalam siaran perangkaan yang lain, sepuluh negara yang mempunyai jumlah kehamilan remaja tertinggi ialah  (2011) : (1) Amerika Syarikat 494,357 (7.6 peratus); (2) Poland 30,413 (4.3 peratus); (3)  Jerman  29,000 (4.1 peratus); (4) Kanada  19.920 (2.8 peratus); (5) Perancis 17,985 (2.6 peratus); (6) Jepun 17,501 (2,5 peratus); (7) Australia 11,894 ( 1.7 peratus) ; (8) Sepanyol 11,264 (1,6 peratus); (9) Itali 11,153 ( 1.6 peratus); dan (10) Hungari 9,175 (1.3 peratus). (Rujuk : http://forum.detik.com/10-negara-dengan-tingkat-kehamilan-remaja-tertinggi-di-dunia-t553453.html diakses 30 Oktober 2016)

Perangkaan ini menggambarkan bahawa modul pendidikan seks yang diperkenalkan di negara-negara yang mempunyai sikap liberal terhadap seks sebelum berkahwin tidak menunjukkan penurunan. Ertinya, pendidikan seks tidak mampu mengurangkan fenomena kehamilan remaja sebelum perkahwinan atau kehamilan di peringkat usia muda.

Di Malaysia, kehamilan remaja berada pada tahap 18,000 setahun dan menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, 25 peratus daripada jumlah kehamilan remaja adalah di luar nikah, iaitu sebanyak 4,500 kes setahun. Perangkaan ini semakin meningkat di mana “purata 1,500 kes remaja hamil sebulan atau 50  kes setiap hari di seluruh negara.”

Dan, fenomena ini harus ditangani dengan berkesan bagi mengelakkan kesan negatif membelenggu masyarakat, termasuk kes pembuangan bayi dan kelahiran tidak sah taraf. (rujuk http://www.sinarharian.com.my/semasa/4-500-remaja-hamil-luar-nikah-setiap-tahun-1.445721 29 Oktober 2015 dan diakses pada 20 Oktober 2016). Risiko lain ialah kematian bayi dalam kandungan, kesihatan ibu muda, tekanan psikologi dan trauma sosial.

Dalam laporan lain, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan pada tahun lalu (2015) sejumlah 3,980 atau 28.8 peratus daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun didapati hamil di luar perkahwinan. Lima negeri yang mencatatkan kehamilan remaja tertinggi di Malaysia ialah Sabah (3,084), Sarawak (2,910), Selangor (1,461), Johor (1,319) dan Pahang (940). (rujuk Utusan Malaysia, 10 September 2016).

Berdasarkan beberapa kajian, kebanyakan remaja hamil sebelum bernikah berasal dari latarbelakang keluarga yang bermasalah (bercerai dan dikategorikan sebagai keluarga tunggal) dan menurut Anita (bukan nama sebenar 15 tahun), “saya mengalami emosi yang tidak tenteram. Setiap kali pulang dari sekolah, saya kesunyian kerana ibu akan pulang waktu malam bekerja sebagai pembantu restoran.”

Akibat itu, jelas Anita “saya memerlukan seseorang sebagai rakan, bukan sahaja untuk mengulangkaji pelajaran. Juga untuk berbual-bual. Sebab itulah saya berkenalan dengan seorang remaja lelaki sejak setahun lalu. Saya percayakan boyfriend, akhirnya kami tidak segan melakukan hubungan seks. Akhirnya, saya mengandung.

“Ibu malu dengan apa yang berlaku. Saya diusir keluar dan ketika itu, saya tinggal beberapa minggu untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tidak tahan dengan leteran ibu, saya mengambil keputusan meninggalkan rumah dan saya bernasib baik kerana keluarga boyfriend boleh menerima saya.

“Mereka menasihatkan saya tinggal di sebuah rumah kebajikan berhampiran. Selepas menduduki PMR dan hujung Disember 2012, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Saya tidak meneruskan pendidikan ke tingkatan empat walaupun keputusan PMR saya adalah baik.

Saya dinasihatkan oleh keluarga boyfriend agar menjalani latihan kemahiran, dan mereka sanggup menanggung perbelanjaan. Akhirnya, saya memilih untuk belajar kulinari. Dua tahun kemudian, saya selesai belajar dan mula bekerja di sebuah kedai kek.

Akhir tahun 2015, saya dan teman lelaki membuat keputusan untuk bertunang. Bagaimanapun, sebagai “ibu”, Anita merasakan kehilangan kerana anak yang saya lahirkan telah dijaga oleh keluarga angkat. Anita cuba menjejaki “keluarga angkat” dan akhirnya mereka berjaya menemuinya.

Anita masih berhadapan dengan gangguan perasaan, sekiranya anak kecil itu mengetahui bahawa “dirinya anak zina”, ia akan berhadapan dengan pelbagai kutukan sosial. Sebab masyarakat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Islam tidak boleh menerima kehadiran apa yang dipanggilnya sebagai “anak zina” atau “anak haram.” Sedangkan, anak kecil tidak melakukan apa-apa kesalahan; kedua “ibu dan ayah” yang terlanjur dalam memenuhi keinginan “mengatasi kesunyian.”

Setelah berbincang panjang, Anita sentiasa menemui anaknya dan berjumpa “keluarga angkat”. Peluang itu dilakukan apabila ada kelapangan, dan beberapa tahun lagi, Anita bercadang untuk memulakan perniagaan menjual kek dan biskut, dengan sokongan keluarga tunang dan juga teman lelaki yang sama-sama terbabit dalam “mengatasi kesunyian.”

Anita mempunyai sokongan sosial yang baik walaupun ibu sendiri tidak boleh menerima. Anita bernasib baik kerana mendapat sokongan dan pertolongan, tetapi tidak semua remaja bermasalah “hamil sebelum kahwin” mampu berhadapan dengan trauma dan cercaan masyarakat. Sebab itulah, kecenderungan remaja hamil “melarikan diri” dan seterusnya menggugurkan kandungan atau membuang bayi selepas dilahirkan masih tinggi di Malaysia.

Apa yang perlu difikirkan oleh setiap anggota masyarakat ialah untuk menghidupkan semula “sokongan dan kawalan sosial” bagi membendung kehamilan remaja terutamanya di luar pernikahan. Di kawasan-kawasan perumahan padat, termasuk perumahan kawasan bandar, anak-anak tidak wajar dibiarkan bebas dalam pergaulan, termasuklah ketika bersama melaksanakan aktiviti di luar sekolah. Sekembalinya ke sekolah, komuniti wajar menyediakan tempat untuk kanak-kanak melaksanakan aktiviti sosial mereka dengan diawasi oleh komuniti sendiri.

Komuniti boleh menyediakan “khidmat sokongan” bersama, termasuklah mengumpul dana untuk melengkapkan premis tertentu dengan bahan bacaan, sagu hati kepada pembimbing rohani (bukan penceramah agama, kerana penceramah lebih bersikap mencela dan bukan mendidik), manakala ahli masyarakat bergotong royong menyediakan juadah. Suasana ini boleh membentuk persekitaran sosial yang kondusif dan mampu mengelakkan penyimpangan tingkahlaku.

Dengan meningkatnya “sokongan dan kawalan sosial”, pergaulan bebas (tanpa kawalan) dapat difahami secara berkesan dan mampu mengekang salah laku remaja. Tentunya untuk memulakan “sokongan dan kawalan sosial” bukanlah satu perkara mudah, kerana ibu bapa zaman moden berkecamuk dengan pegangan “tidak mahu jaga tepi kain orang lain”, sebalik besikap bebas.

Faham kebebasan tidak diterjemahkan secara bermakna, hanya diukur berdasarkan pemahaman fizikal, bukannya dari perspektif yang lebih luas. Kebebasan, seharusnya meliputi kebebasan untuk tidak terbabit dengan apa-apa perkara yang boleh mengakibatkan negatif, termasuk terdedah dengan kandungan media dan media sosial yang menjengkelkan.

Seperti Anita, keterlanjuran “mengatasi kesunyian” telah menyebabkan ibu kandung mengalami “luka emosi.” Luka emosi itu membawa Anita “kehilangan sokongan keluarga” tetapi beliau bernasib baik kerana memperoleh sokongan sokongan keluarga boyfriend, yang sanggup memberikannya peluang kedua dan membaiki kesilapan. Pertimbangan rasional itu, walaupun bukan faktor kepada terhapusnya kehamilan remaja di luar pernikahan, ia membantu meminimumkan tragedi psikologi yang terpaksa dihadapi dan dilalui oleh Anita.

Menurut American Academy of Child and Adolescent Psychiatry, luka emosi seringkali dilihat berdasarkan “tindakan yang lahir daripada kemarahan, rasa bersalah dan penafian”, bukannya membawa kepada proses perhubungan menolong. Misalnya, jika anak terjeremus dalam perkara negatif, ibu bapa sering membuat pernyataan marah dan lebih parah lagi membuat keputusan menghalau zuriatnya sendiri. Sering kita dengar, bunga yang diberikan dicampakkan tahi ke dalam keluarga.

Pernyataan itu menggambarkan proses penafian yang membahayakan, bukan suatu bentuk sokongan untuk memperbetulkan kesilapan. Inilah trauma masyarakat dan keputusan biasa yang diambil menyebabkan semakin membuak-buak “luka emosi” dan penyingkiran diri.

Kuncinya, ibu bapa juga merupakan pendorong kepada pergaulan bebas; ibu bapa juga mempunyai saham atas pelakuan negatif, kerana tidak mempraktikkan kemahiran keibubapaan dan gagal mendidik anak-anak. Ibu bapa merupakan agen sosialisasi, kerana ibu bapa adalah berperanan menyemai nilai moral dan adab, di samping menjadi pelindung dan pembimbing, bukan hanya membiarkan anak-anak larut dengan persekitaran dan mencari kaedah sendiri “mengatasi kesunyian.”

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply