“KEBERAHIAN” ANWAR DAN “KEHINAAN” MAHATHIR

SUDAH lama kita dengar, baca dan ikut bercakap mengenai nasib Anwar Ibrahim hanya ditentukan oleh keputusan Dr Mahathir. Anwar Ibrahim teramat ‘berahi’ dengan jawatan Perdana Menteri perlu bijak ‘mencandat emosi’ ahli PKR dan juga bukan pemimpin PKR. Jika projek ‘mencandat’ itu tidak menjadi akibat ‘laut bergelora’, Anwar akan ‘pulang’ dalam kehampaan dan tidak tahu lagi ke mana akan disorokkan  keaiban itu untuk kali ini.

Kali pertama Anwar mendapat aib bila usaha ‘mencandat’  dapat dihidu oleh konco-konco Dr Mahathir sehingga tersebar rakaman kaset mengenainya. Beberapa orang menteri yang tidak bersetuju dengan ‘keberahian Anwar’ itu mula mencari kaedah bagaimana untuk menyekatnya. Mungkin juga ada kebetulannya, permulaan ‘mencandat’ itu berjaya dipatahkan dalam naratif moral, Anwar   tidak layak menjadi pemimpin. Ada surat terbuka disebarkan, ada tujahan pendapat dikumandangkan dan ada rangka kerja untuk menggelupurkan aktiviti Anwar dari terus ‘mencandat’.

Akhirnya keberahian Anwar ‘terpenjara’ dan bermulalah saga krisis politik yang besar di Malaysia pada tahun 1998. Saga politik itu turut memberikan kesan kepada imej negara dan juga prestasi ekonomi, yang sebelum itu sudah menggeliat untuk mengekang kejatuhan nilai matawang.

Selepas ‘keberahian’ itu disuntik ‘arsenik’ dan ‘virus HIV/AIDS’ (dakwaan Dr Wan Azizah), Anwar akan ‘mati perlahan-lahan’, tapi Anwar tidak mati. Anwar menjadikan dirinya sebagai ‘pusat kendalian remote control’ untuk meneruskan gerakan reformasi sehinggalah beliau kembali dengan aktiviti ‘mencandat’ sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-12 (2008).

Perhimpunan ‘lepas edah’ dibuat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur setelah Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) menggunakan budi bicaranya menyusun dan mengerahkan penyokong-penyokong Anwar berhimpun. Pada malam itu, 15 April 2008, Anwar memberitahu strategi ‘mencandat’ yang akan berlaku seterusnya sehingga ‘kerajaan baharu’ berjaya dibentuk pada 16 September 2008. Kalaupun dirinya tidak dapat memimpin, ‘ada calon pengganti sementera’, dan rakyat percaya ianya boleh berlaku atas semangat ‘reformasi’.

26 Ogos 2008, PRK Permatang Pauh diadakan. Sepanjang kempen kedengaran slogan “Road to Putrajaya’ dan Najib sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dihadapkan dengan pelbagai dakwaan,  tetapi lebih menarik ialah Anwar cukup berani untuk membawa Roslan Porangi, pembanu imam masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bakhari Azlan agar akuan itu dapat dipatahkan atau benar-benar boleh dikaitkan dengan ‘konspirasi politik’.

Tahun 1998, Anwar dan penyokongnya menggunakan istilah yang sama, pemecatannya adalah ‘konspirasi politik’ dan sepuluh tahun kemudian (2008), teori konspirasi kedengaran sekali lagi. Biarpun Anwar menang PRK Permatang Pauh, keghairahan ‘mencandat’ menerusi tekanan agar kerajaan yang memerintah dipandang lemah dan perlu diganti terus menerus dilakukan, sehingga ada usaha untuk melaksanakan seberapa banyak PRK, kerana dalam setiap PRK itu imej dan sokongan BN tersungkur. PRU ke-13, BN masih berkuasa walaupun imejnya terherot oleh desakan undi popular yang dimainkan oleh sekutu Anwar dalam Pakatan Rakyat.

Najib dilihat gagal memperbetulkan lanskap politik walaupun mempunyai masa. Najib tidak mampu mengulangi kejayaan pemimpin-pemimpin UMNO sebelumnya untuk memperoleh mandat rakyat yang lebih baik untuk pertama kali. Prestasi BN semakin menurun, dari 140 kerusi tinggal hanya 133 kerusi, namun prestasi UMNO menunjukkan peningkatan berbanding PRU ke-12. BN kembali berkuasa di Kedah, manakala BN kekal mempertahankan Perak selepas berjaya mengambil alih daripada Pakatan Rakyat (Februari 2009) melalui ‘jalan belakang’.

Pembulian itu menjadi sedikit reda apabila peraturan menetapkan bahawa selepas setengah penggal, walaupun ada kekosongan berlaku, PRK tidak boleh dilakukan lagi. Ia terhenti dan keberahian Anwar juga ‘terhenti’ selepas kerana Langkah Kajang yang kecundang. Tapi, penyokong-penyokong Anwar terus mengumandangkan ‘irama sumbang’ bahawa dirinya adalah lebih layak berbanding Najib sebagai Perdana Menteri. Sedikit kebingungan alasan, kelayakan Najib dipersoalkan kerana Anwar lupa bahawa dalam iklim politik Malaysia, orang yang sudah ‘dibuang’ sukar untuk mendaki semula, yang bagi Prof Dr Rahman Shaari, umpama kisah mitos Sisyphus.

Dr Mahathir boleh menjadi ‘orang yang berkuasa’ kerana beliau diterima semula dalam UMNO. Di dalam UMNO, Dr Mahathir diberikan kepercayaan sehinggalah Tun Hussein Onn bersedia meletakkan jawatan dengan alasan kesihatan, walhal ia hanya sekadar rasional semata-mata bagi menyembunyikan desakan dari dalam. Mulai tahun 1981, Dr Mahathir membina reputasi dirinya sehingga berjaya digelar sebagai Bapa Pembangunan Malaysia dan mengubah struktur ekonomi negara ke arah masyarakat Industri yang bersifat monetised society.

Bila era kegemilangan Dr Mahathir berakhir, beliau mula menjadi ‘pencabar’ dalam perubahan corak politik Malaysia dengan mengkhianati parti yang banyak memberi ruang kepadanya. Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, orang yang dipilihnya sebagai pengganti dikecam hebat sehinggalah keputusan PRU ke-12 menjadi sedikit herotan sokongan dan Pakatan Rakyat memperoleh semangat baharu.

Dr Mahathir keluar UMNO dan seterusnya kembali semula ke dalam UMNO apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri ke-16 (April 2009). Tahun 2016, Dr Mahathir kembali bermusuh dengan UMNO apabila Najib dikatkan tidak ‘mendengar nasihat’ sebaliknya lebih menjurus pendekatan ekonominya dalam kaedah institutional, yakni mula mengurangkan crony-capitalism yang diamalkan oleh Dr Mahathir menerusi dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia.

Tahun 2017, Pakatan Harapan ditubuhkan selepas PAS enggan bersama mempertahankan Pakatan Rakyat. Bagi PAS, penyertaannya dalam Pakatan Rakyat membawa keuntungan besar kepada DAP, maka sikap DAP seolah-olah ‘mengongkong’ apa yang hendak dilaksanakan oleh parti itu, termasuklah tindakan Kelantan melaksanakan peraturan tidak membenarkan pelanggan lelaki menggunting rambut di salon yang dikendalikan oleh tukang gunting rambut wanita.

Perselisihan antara Mursyidul Am PAS dan Pengerusi DAP turut menjadi punca di samping tindakan DAP menyokong ahli-ahlinya yang digelar ‘parasit’ atau ‘erdogan’. Kumpulan ini tewas dalam pemilihan parti (2015) dan juga menjadi faktor kejatuhan PAS di Kedah dalam PRU ke-13. Kumpulan ini kemudiannya menubuhkan sebuah parti baharu, yang berhasrat untuk mengambil peranan PAS setelah meninggalkan Pakatan Rakyat.

Anwar yang masih meringkok dalam penjara Sungai Buloh ekoran rayuannya ditolak, terpaksa menerima pelawaan Dr Mahathir agar merestui gabungan baharu, Pakatan Rakyat. Sebagai dua orang yang pernah bermusuh, dan keluarga Anwar tidak dapat melupakan ‘kekejaman’ itu, akhirnya bersetuju memberikan ruang kepada Dr Mahathir untuk memimpin Pakatan Harapan bagi menjatuhkan BN dan menyingkirkan Najib.

PRU ke-14 menunjukkan kejayaan itu. Kejayaan itu telah menaikkan semula semangat Anwar dengan menjaja harapan baharu bahawa dirinya adalah Perdana Menteri ke-8 dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara. Kisahnya berkisar dalam jangka masa enam bulan, kerajaan Malaysia Baharu akan dipimpin oleh Anwar. Enam bulan berlaku, Dr Mahathir memberikan pandangan bahawa dia memerlukan masa lebih lama untuk memperbetulkan ‘kerosakan’, yakni sekurang-kurangnya dua tahun. Selepas setahun memimpin, timbul pula perubahan baharu, memerlukan masa sehingga tamatnya Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan berlangsung bulan November nanti.

Namun, Anwar tidak pernah berhenti melakukan desakan dan menghidupkan proses peralihan kuasa walaupun, secara terbuka mengatakan dirinya tidak terdesak. Anwar gunakan orang-orang yang dilantiknya, atau istilah Yahya Ismail, juak-juak politik untuk Dr Mahathir memberikan tarikh yang tepat. Beberapa hari lalu, Dr Mahathir bersuara, ‘tidak lama lagi 95. Mana boleh tahan. Saya janji akan letak jawatan selepas APEC, itu saya pegang kepada janji saya.

Ia tidak meredakan ‘juak-juak Anwar’. Juak-juak Anwar terus memperkatakan pelan B, kerana mereka tahap kesangsian masih tinggi. Mereka tidak ‘percaya’ Dr Mahathir akan melepaskan jawatan itu lebih awal, kerana Dr Mahathir ada agenda lain yang ‘belum selesai’ dan masa baginya ‘semakin hampir’. Juak-juak Anwar bimbang, usul undi percaya yang bakal dilaksanakan oleh PAS boleh ‘menyekat keberahian’nya untuk ‘mencandat’ lebih kuat.

Keberahian Anwar boleh tersekat jika undi percaya itu benar-benar terjadi. Apatah lagi dalam PKR sendiri telah muncul dua kumpulan yang ‘tidak mungkin bersatu’; titik temu antara mereka semakin menjarak. Kelompok yang mahukan Dr Mahathir menghabiskan tempoh Perdana Menteri ke-7 selama sepenggal kekal dengan azamnya, dan rasa bimbang, apabila Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, kedudukan mereka terancam atau tersingkir dalam permainan kuasa ‘keberahian’ Anwar.

Itulah sebabnya PAS berusaha mengemukakan usul ‘undi percaya’ kepada Dr Mahathir kerana merasakan bahawa ‘peralihan kuasa’ yang menjadi kontroversi itu adalah satu permainan politik dalam Pakatan Harapan. Permainan politik itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia mengkhianati ‘mandat rakyat’ dalam PRU ke-14, walaupun “mandat  rakyat’ itu semakin dilihat gagal dan memuakkan.

Sudah ada desakan, peralihan kuasa sepatutnya tidak berlaku antara Anwar dan Dr Mahathir. Dr Mahathir sepatutnya membubarkan Dewan Negara, bukannya menyerahkan baton itu kepada Anwar kalau dirasakan ‘tidak tahan’ lagi akibat dihambat oleh faktor usia. Biar rakyat menentukan lanskap politik negara, bukannya antara Dr Mahathir dan Anwar. Dua tokoh politik sudah banyak ‘menyusahkan rakyat’ dan bermain dengan sentimen, bukannya berusaha menyegarkan semula situasi ekonomi yang rosak akibat ‘permainan politik’ antara kededuanya.

Shahbudin Hussin, (https://shahbudindotcom.net/2020/02/16/pengampu2-mahathir-sepertinya-mahu-beliau-mati-dalam-kehinaan.html) pengampu kuat Anwar menulis, Mahathir sendiri tidak berterus-terang. Dalam kesamaran itu, ada usaha untuk tidak menunaikan perjanjian ‘peralihan kuasa’ dan bagi Lim Kit Siang, cadangan PAS untuk mengadakan usul ‘undi percaya’ bagi ‘menyelamatkan Malaysia’ seumpama cerita dongeng (https://www.malaysiakini.com/news/510928). Lim Kit Siang bimbang, jika kedudukan Dr Mahathir menjadi lebih dominan daripada Anwar, dan percubaan bergabung tanpa DAP dan PAN dalam gagasan baharu akan menyebabkan agenda politik DAP umpama ‘terkandas di rerumputan’.

Anwar memang terkenal dalam aktiviti ‘demontrasi jalanan’ maka, apakah yang dikatakan oleh bekas bendahari PKR, William Leong bakal menyusul sekiranya Mahathir enggan melepaskan jawatan (https://www.malaysiakini.com/news/511049) sebaik sahaja APEC 2020 berakhir? Kalau tahun 1998, APEC digunakan sebagai platform ‘politik kemarahan’ para pemimpin asing kepada Anwar, apakah kali ini APEC akan membuat ‘campur tangan’ semula untuk mendesak Dr Mahathir berundur? (

Mungkin juga APEC ini menjadi ‘paltform ujian’ buat Dr Mahathir sekali lagi. Kali ini, Dr Mahathir menggunakan APEC untuk menyatakan kesediaannya ‘berundur’ dengan harapan, kesediaannya ditarik balik atau ditangguhkan setahun lagi seperti ‘luahan’ beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO yang menyaksikan Rafidah Aziz menerpa-memujuk menarik balik hasrat itu?

Segala-galanya boleh berlaku. Tetapi, kenapa Dr Mahathir perlu menunggu APEC untuk ‘berundur’? Kenapa tidak pada tarikh Mei 2020 sebagaimana dicanangkan oleh juak-juak Anwar? Apakah pada ketika itu Dr Mahathir akan menceritakan ‘keberahian Anwar’ kepada para delegasi sebagaimana beliau lakukan untuk mengecam Najib di pentas antarabangsa?

Memang kita tahu perangai Dr Mahathir. Bila keadaan menjadi semakin terperangkap, beliau semakin ‘licik’ mencari ruang untuk membenarkan dirinya, kerana beliau adalah politikus yang tidak mudah menyerah kalah. Beliau adalah politikus yang amat cekap bertindak apabila keadaan memaksa, termasuklah berkata ia kepada usul ‘undi percaya’ walaupun PAS dituduh ‘bermuka-muka’ dan kerana parti itu sebenarnya tidak selesa dengan Anwar.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply