‘KEBOHONGAN’ PENAKLUK DUNIA

Jika Tom Nichols mempersoalkan sikap masyarakat menolak nasihat para pakar, James Ball cuba memberikan ingatan kepada masyarakat bahawa ‘pembohongan’ semakin menguasai pelbagai aspek kehidupan manusia akibat memperlekehkan ‘kebenaran’.

Saya pernah membuat sedikit perbincangan mengenai kebimbangan Tom Nichols dalam ulasan buku setahun lalu dengan tajuk “Setelah Matinya Kepakaran, Pak Pandir Adalah Raja!” (rujuk: http://tanwir.my/setelah-matinya-kepakaran-pak-pandir-adalah-raja/) dan kisah penipuan menerusi kehebatan data raya (big data), data baharu (new data) dan internet hasil penyelidikan Seth Stephen-Davidolwitz, “Internet Jadikan Semua Orang Cenderung Bohong” (rujuk: http://tanwir.my/internet-jadikan-semua-orang-cenderung-bohong/) maka kali ini, saya berusaha untuk membedah sebuah buku yang cukup menarik mengenai kebohongan dalam era post-truth.

Meskipun buku tulisan James Ball ini  diterbitkan pada tahun 2017, iaitu selepas Oxford Dictionary memasukkan istilah post-truth sebagai entri terbaharu pada tahun 2016 dan dipilih sebagai  word of the year  berdasarkan popularitinya, konsep yang dibahaskan masih relevan dan boleh dipertimbangkan sebagai acuan berfikir pada masa kini, yang dikenali sebagai era post-truth. Judul buku berkenaan ialah Post-Truth: How Bullshit Conquered the World,  atau bermaksud,  Langkau Kebenaran: Bagaimana Kebohongan Menakluki Dunia  (terjemahan bebas).

Ada orang menterjemahkan istilah post-truth itu sebagai pascakebenaran dengan tidak ada tanda sempang bagi memisahkan dua perkataan yang digabungkan menjadi satu istilah, iaitu pasca dan kebenaran. Saya lebih gemar menggunakan terjemahan post-truth sebagai langkau kebenaran berdasarkan kata sifat itu yang merujuk kepada tindakan memperlekehkan ‘fakta atau kebenaran’.

Langkau kebenaran bermakna acuh-tidak acuh terhadap pencarian maklumat bagi menyemak kebenaran, sebaliknya lebih bergantung kepada persepsi, pendapat dan perasaan sendiri. Dan, inilah makna sebenar post-truth sebagaimana ditakrifkan oleh Oxford Dictionary: “Relating to or denoting circumstances in which objective facts are less influential in shaping public opinion than appeals to emotion and personal belief.”

James Ball pernah dilantik sebagai Editor Global Biro Kewartawanan Siasatan, editor khas akhbar The Guardian, BuzzFeed UK, dan WikiLeaks. Semasa di WikiLeaks, James Ball terlibat dalam analisis maklumat kabel diplomatik –Cablegate—yang menggemparkan seluruh dunia perihal 250,000 classified cable yang disimpan oleh Kedutaan Amerika Syarikat pada tahun 2010. Beliau pernah memenangi Pulitzer Prize untuk perkhidmatan awam,  Scripp Howard Prize, Hadiah Kewartawanan British, Royal Statistical Award dan Laurence Stern Fellowship.

Buku setebal 320 halaman (cetakan 2018) dimulakan dengan “Kuasa Kebohongan”  dengan mengambil dua contoh besar yang berlaku pada tahun 2016,  kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat  dan cadangan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah, Britain Exit atau Brexit.

Semasa kempen, Donald Trump  telah melakukan banyak ‘kebohongan’ , termasuk ketika beliau berjaya mendapat tempat sebagai calon presiden (mewakili Parti Republikan). Antara yang dibahas dan direkod oleh James Ball ialah dakwaan  kadar pengangguran di Amerika Syarikat telah meningkat kepada 42 peratus, sedangkan berdasarkan perangkaan rasmi ialah 5 peratus.

Ketika serangan ke atas World Trade Center (11 September 2001), Trump mendakwa dirinya melihat kegembiraan Muslim Amerika bertepuk sorak menonton tragedi tersebut. Sedangkan, apa yang berlaku ialah semua masyarakat berduka  termasuk umat Islam kerana beberapa meter daripada bangunan tersebut adalah tempat di mana umat Islam melakukan sembahyang Jumaat di Lower Manhattan.

Trump berusaha untuk menjadikan America Great Again.  Beliau mendakwa kaum imigran telah menyebabkan peluang pekerjaan bagi rakyat semakin mengecil. Perancangan pertama ialah membina tembok di sempadan  Mexico sepanjang 2,000 kilometer dengan perbelanjaan sebanyak 8 bilion dolar.

Cadangan itu dipertikaikan.  Menurut anggaran ramai, ia membabitkan  perbelanjaan sebanyak 21 bilion dolar, hampir tiga kali ganda daripada apa yang dijangkakan oleh Trump. Dalam masa yang sama, dakwaan bahawa kebanjiran kaum imigran Mexico memasuki ke Amerika, walhal sebenarnya ramai kaum imigran Mexico meninggalkan Amerika Syarikat akibat konflik perkauman dan prejudis kulit puteh.

Menurut James Ball, daripada 373 kenyataan yang dibuat oleh Donald Trump, dikutip dari data Politifact, hanya 15 kenyataan diverikasikan sebagai ‘kebenaran’. Ertinya, Donald Trump melakukan ‘kebohongan’ dalam skala yang besar, iaitu hampir 95 peratus.

Bagaimanapun, oleh kerana dakwaan Trump dilihat ‘menyentuh perasaan’ golongan pekerja, beliau akhirnya menguasai 304 daripada 538 Kolej Elektoral. Ia sekali gus berjaya menyingkirkan Hillary Clinton yang diramalkan akan menang berdasarkan pengalaman sebagai seorang diplomat dan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (isteri kepada Bill Clinton, Presiden Amerika Syarikat ke-42).

Bukan hanya ketika berkempen Trump dilaporkan membuat kelentong (pembohongan), bahkan ketika upacara mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45, dianggarkan bahawa sambutan adalah melebihi apa yang pernah berlaku semasa Barrack H Obama mula memasuki Rumah Putih.

Anggaran tersebut mendapat pelbagai bantahan terutama media, termasuk Washington Post yang pro kepada Hillary Clinton. Bagi ‘merasionalkan’ kelentong tersebut, salah seorang penasihat beliau, Kellyanne Conway menjelaskan pihaknya tidak berbohong dan apa yang diucapkan oleh Trump itu adalah ‘fakta alternatif’, alternative facts.

Brexit menurut James Ball merupakan satu lagi peristiwa ‘kebohongan’ yang akhirnya menguasai dunia. Dakwaan bahawa Britain terpaksa membayar wang sebanyak 350 juta pound sterling seminggu kepada Kesatuan Eropah. Kemasukan pekerja-pekerja asing di beberapa sektor di Britain juga dikatakan menjadi masalah besar kepada negara itu, terutama dalam kalangan buruh-buruh daripada negara bekas komunis, seperti Hungary, Poland, Slovakia dan Republik Czech.

Mereka bukan sahaja merampas peluang pekerjaan penduduk tempatan bahkan menyebabkan lebih banyak menghantar balik wang ke negara masing-masing. Dari segi ekonomi, ia merugikan Britain, apatah lagi Britain merupakan negara yang banyak bergantung kepada hasil cukai.

Akibatnya, para pendokong Brexit memulakan kempen agar Britain membuat keputusan keluar daripada Kesatuan Eropah dengan menaikkan billboards Britain Stronger in Europe, Britain Perkasa di Eropah, maknanya negara tersebut tidak memerlukan Kesatuan Eropah. Aktivis Brexit turut berkempen bahawa wang yang terpaksa dibayar kepada Kesatuan Eropah adalah lebih baik digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam.

Sumbangan Britain kepada Kesatuan Eropah dikatakan akan terus meningkat, dan ia bergantung kepada prestasi ekonominya. Maka, Britain melakukan kesilapan besar walaupun memperoleh subsidi pertanian dan pembangunan infrastruktur daripada Kesatuan Eropah sebagai balasannya.

Hasil referendum (23 Jun 2016) seramai lebih 17 juta (51.9 peratus) pengundi Britain memilih bersetuju dengan Brexit manakala yang menyatakan pendirian kekal dalam Kesatuan Eropah ialah sekitar 16 juta (48.1 peratus). 29 Mac 2017, Britain membuat ketetapan akan keluar Kesatuan Eropah dalam tempoh dua tahun (29 Mac 2019). Perundingan kemudiannya dilanjutkan pada 31 Oktober 2019 dan sekali lagi sehingga 31 Januari 2020.

Tanggal 30 Januari 2020, Britain dengan rasminya mengumumkan keluar daripada Kesatuan Eropah, yang kemudiannya dikenali British Out. Kesannya, Britain tidak ada hak mengundi dan mempunyai perwakilan dalam Parlimen Eropah. Tempoh peralihan itu akan tamat pada 31 Disember 2020. (Rujuk: https://www.nytimes.com/interactive/2019/world/europe/what-is-brexit.html).

Dua peristiwa besar itu telah membentuk ekosistem ‘kebohongan’ atau ‘kelentong’; Ekosisten kelentong hadir secara bersepadu dengan kempen, media, teknologi sehingga ia tular. Dalam keadaan itulah persepsi awam mula ‘melekat’ sehingga tidak lagi berusaha mencari ‘kebenaran’ fakta atau pengesahan maklumat. Ia membentuk propaganda berasaskan fakta atau maklumat ‘kelentong’ yang sengaja dilakukan seolah-olah benar dan menakutkan.

Atas sifatnya yang global, post-truth bukan sahaja berlaku di dunia barat, bahkan semarak atau contagious *merebak seperti virus corona* melalui sentuhan emosi dalam ruang maya. Dalam hal ini, saya setuju dengan pandangan Tom Nichols bahawa :90 peratus adalah sampah (dunia maya) sebagaimana dirumuskan oleh Hukum Sturgeon ( Matinya Kepakaran, 2018:130).

Dalam dunia maya, tulis Nichols lagi, “informasi yang baik akan selalu dirubung informasi yang buruk dan aneh….untuk menemukan semua informasi itu kita harus berjalan di tengah terpaan badai informasi tidak berguna, yang dipasang oleh semua orang, mulai dari nenek-nenek yang bermaksud baik hingga teroris kejam. Beberapa orang terpandai di dunia hadir di internet. Sementara itu, orang-orang yang paling bodoh juga ada di sana, terpisah beberapa klik saja.”

Di Asia Tenggara, menurut Ross Tappsell juga berkembang dengan mengambil dua contoh iaitu kemenangan Rodrigo Duterte (Filipina) dan insiden Bela Islam di Jakarta, ekoran kemarahan terhadap Ahok (Basuki Tjahaya Purnama), Gabenor Jakarta yang dilaporkan menghina Islam. (Rujuk: https://insidestory.org.au/post-truth-politics-in-southeast-asia/). Duterte misalnya pernah menyifatkan Filipina sebagai ‘narco state’.

Narco ialah singkatan dari perkataan narcotic, bermakna Filipina adalah ‘negara narkotik atau dadah’. Menurut Tapsell, sebagaimana diberitahu oleh jurucakap Duterte, Martin Andanar, “A narco state is where your politicians, your mayors, your councilmen, your barangay captains [the lowest level of elected official], your policemen, your judges are part of the value chain of selling drugs”

Jika ianya tidak dikawal, jelas seorang pegawai kerajaan, Pompee La Vina kepada CNN, “If we don’t control it or stop it, we’ll be controlled by drug lords… All the other things [we do as a government] won’t matter’ dan tanpa Duterte, jelas seorang lagi penjawat awam, “all of society’s undertakings will have been under the influence of illegal drugs.”

Filipina juga digelar sebagai ‘Facebook nation’ di mana setiap orang menghabiskan masa selama dua jam dan dua puluh lima minit sehari. Kehebatan itu telah memenangkan Duterte dalam Pilihan Raya Presiden kerana ‘Social media now plays a crucial role in winning the hearts and minds of voters,” dan “truth has been stretched to breaking point online” di mana “news site Rappler uncovered what it described as a “machine” of “paid trolls, fallacious reasoning and propaganda techniques” that had helped shift attitudes towards the candidates. Duterte’s “narco state” message had been reinforced again and again by official statements, by social media commentators and by the “machine” itself.”

James Ball memberikan lima pelaku utama dalam penyebaran “kebohongan’ atau diistilahkan sebagai ‘bahan buangan atau najis (shit)’ iaitu  ahli politik, media konvensional (old media), media baharu (new media atau media sosial), media palsu dan pelanggan berita itu sendiri. Daripada kelima pelaku itu, media palsu dan media baharu adalah pelaku utama dalam mencetuskan fenomena post-truth.

Media palsu ialah media yang sengaja digunakan untuk menyebarkan berita palsu bagi tujuan tertentu, misalnya bagaimana kem kempen Trump menggunakannya untuk menyebarkan berita-berita negatif mengenai Hillary Clinton dan dalam masa yang sama melaporkan berita-berita positif mengenai Trump.

Ball memberikan contoh bagaimana Vales, sebuah bandar yang hanya mempunyai penduduk sekitar 45,000 orang berjaya membangunkan tidak kurang 140 laman berita palsu bagi membantu Trump dan memperlekehkan Clinton. Ini bermakna pembentukan media palsu adalah jelas untuk meraih sokongan atau membantu Trump meningkatkan imejnya agar diyakini oleh pengundi sebagai calon presiden pilihan. Berita-berita mengenai keburukan Hillary Clinton sama ada semasa menjadi gandingan Barrack Obama pada penggal pertama turut dibentuk bagi mempengaruhi sikap pengundi setelah akhbar-akhbar utama terus meramalkan kemenangan bekas Wanita Pertama itu sekitar 1-6 peratus.

Tinjauan pendapat umum, baik daripada firma perhubungan awam mahupun badan-badan politik dan organisasi terus menyatakan peluang Clinton adalah lebih baik berbanding Trump atas dasar sokongan masyarakat perniagaan, ahli akademik, pengumpulan dana kempen dan gerak kerja pasukan kempen. Bagaimanapun, Trump berjaya menyingkirkan Clinton menerusi pendekatan kempen dalam kalangan pekerja dan golongan yang merasakan Demokrat tidak serius melaksanakan dasar perlindungan kepada warganegara Amerika Syarikat. Trump memperkenalkan slogan “America for American”. Ia seumpama slogan yang bersifat rasis dan xenophobia.

Selain media palsu, media sosial begitu cepat menyebarkan maklumat atau berita palsu mengenai Clinton. Kemenangan Barrack H Obama turut dikaitkan dengan kecekapan pasukan kempen beliau untuk menguasai persepsi pengundi Amerika Syarikat. Dalam kajian  Andy Smith dan Jennifer Aaker,  kesan media sosial, terutama facebook yang memenangkan Obama dikenali sebagai Dragonfly Effect, atau Kesan Pepatung. (Andy Smith & Jennifer Aaker,  The Dragonfly Effect: Quick, Effective, and Powerful Ways To Use Social Media to Drive Social Change, 2010). Meskipun dilihat atau dianggap kecil, kesannya adalah besar dan meluas . Ia bergerak dan mempengaruhi emosi pengundi seumpama ‘arus bawah’ serta membentuk gelombang kecil atau riffle effect.

Apa yang jelas, penyebaran ‘kebohongan’ telah berjaya membentuk ‘bias confirmation’ di mana seseorang itu hanya akan mencari bukti bagi memperkuatkan sesuatu dugaan yang terjadi sebelumnya, dan istilah komunikasi ia dikenali sebagai ‘predisposition’. Sebab itu untuk memenangi sesuatu ‘pertarungan maklumat’ dalam posisi kebebasan bersuara dan membuat keputusan memilih, ia mestilah bermula dengan memahami sikap pengundi sebelum membangunkan sesuatu mesej kempen.

Tentunya, mesej yang dibina itu bukan sahaja mampu menimbulkan emosi marah dan kebencian, ia juga menawarkan solusi terbaik untuk mengatasinya. Inilah yang berjaya dilakukan oleh pasukan kempen Pakatan Harapan ketika berusaha ‘menjatuhkan penguasaan BN’ selama enam dekad dengan membawa naratif 1MDB dan budaya kleptokrasi.

Soal ‘kebenaran’ bukanlah sesuatu yang difikirkan, tetapi yang lebih penting ialah menjadikan ianya sebagai ‘suatu kebimbangan’ dan penjulukan (labelling) imej sehingga boleh menimbulkan ‘emosi marah dan benci’.  Bila ‘emosi marah dan benci’ menguasai pengundi, track-record kebaikan yang telah dilaksanakan oleh BN selama 60 tahun ‘lenyap’ dan tidak lagi dipersepsikan sebagai ‘budi dan jasa’ yang perlu dipertahankan. Situasi ini dipanggil bubble filter atau ‘penapis buih’, iaitu pola berfikir berdasarkan ‘dugaan awal’ yang dimotivasikan oleh kecenderungan mencari, mengumpul dan menyebarkan maklumat sesuai dengan fikiran dan pendirian sendiri.

Dari situlah post-truth bekerja dan ‘dikilangkan’ sebelum disebarkan sebagai ‘produk politik’ yang boleh menggugat emosi, yang akhirnya, mengubah lanskap politik Malaysia pada 9 Mei 2018. Inilah yang digarapkan oleh James Ball dengan menarik mengenai ‘masyarakat’ yang dilahirkan dalam post-truth yang berjaya ‘menakluki’ dunia berdasarkan persepsi dan ‘kebohongan’. Model politik semakin berubah, kecenderungan emosi dan kepercayaan peribadi akan terus dipentaskan dalam media sosial dan media palsu setelah media konvensional semakin kehilangan sentuhannya.

Nama Buku      : Post-Truth: How Bullshit Conquerred the World.

Nama Penulis   : James Ball

Nama Penerbit  : BiteBack Publishing, 2018

Nama Pengulas : Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply