‘KECAMARAN’ NIK AMAR

Benarkah ‘bahasa politik’ Nik Amar melangit sehingga memerlukan pentafsiran untuk mencari makna dalam konteks semantik atau ada kecelaruan dalam fikiran?

Saya tidak memerlukan pemahaman semula teori semantik, sebab ‘bahasa politik’ Nik Amar bukanlah ‘bahasa budaya tinggi’ yang diksinya sangat mendalam. Bahasa ego seorang ahli politik yang merasakan dirinya bagus, baik dan ‘besar kepala’.

Bahasa politik Nik Amar memang ‘bahasa politik’ seorang manusia ego yang suka menolak tanggungjawab. Bukan hanya sekali beliau berkata seumpama itu, bahkan pada suatu ketika belum lagi boleh dimasukkan period prasejarah kejatuhannya, Nik Amar pernah berkata, belum ada ‘orang mati yang tidak dapat disempurnakan’ kerana masalah air. Maknanya, dikebumikan tanpa dimandikan buat kali terakhir.

Beberapa hari lalu, bodoh sombong Nik Amar kedengaran lagi apabila rakyat Kelantan mengeluh paip tidak berair sejak dua menjak ini, khususnya mereka yang melanggan perkhidmatan air bersih AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd).

Saya anggap beliau seorang yang sombong apabila berkata: tugas saya sebagai EXCO bukan untuk menyelesaikan masalah air. Air kotor kerana paip zaman BN dan kena tukar paip PAS baharulah air hijau. Apa masalahnya, saya pun guna air telaga, boleh lawan BN dan jadi EXCO.

nik amar nik amar 1

Untuk menyahut cabaran tersebut, saya cabar Nik Amar dengan lojik yang sama. Generalisasi yang dibuat, guna air telaga mampu lawan BN dan jadi EXCO: Jangan gunakan kereta Mercedes, Gunakan Kapcai.  Gunakanlah ‘kapcai’ untuk ke pejabat dan tidak ada apa-apa dosa memakai lounge suite ke pejabat dengan menunggang kapcai.

Pun, dalam setiap tugas, tungganglah kapcai.  Dan,  kepada Menteri Besar, kita nasihatkan berhentilah menanggung kos penyelenggaraan kereta rasmi untuk Nik Amar. Jangan berikan kemudahan fleet-card untuk petrol sebab beliau telah menunjukkan sikap ‘biadap’ kepada rakyat Kelantan.

Jika paip lama dijadikan alasan, eloklah rakyat Kelantan bertanya, siapakah sebenarnya yang wajib menggantikan paip-paip zaman BN itu? Rakyatkah atau AKSB yang mengendalikan perkhidmatan itu bagi pihak kerajaan negeri. Jika itu adalah kewajipan kerajaan negeri, tunaikan kewajipan itu. PAS sebenarnya yang berkuasa di Kelantan sejak tahun 1990. Dah 30 tahun BN berusaha untuk berkuasa, tetapi gagal atas doktrin politik PAS Membangun Bersama Islam.

Apakah ertinya membangun? Ia berasal daripada istilah ‘bangun’. Bangun berlawanan dengan istilah ‘tidur’ atau ‘baring’. Tidak ada perkataan ‘menidur’ kecuali ‘menidurkan’ yang merujuk kepada perbuatan. Ia adalah satu proses, dan bila proses itu tamat ia mungkin terhenti di terminal ‘pembangunan’. Ertinya, proses menukarkan paip BN tidak pernah selesai ataupun belum dimulai kalau digunakan lojik Nik Amar. Lama benar kerajaan PAS ‘tidur’ atau ‘menidurkan paip BN’? Sudah 30 tahun.

Isu menggantikan paip air sudah lama diperkatakan bahkan dijadikan isu oleh BN dalam beberapa kempen PRU. BN berjanji akan melajukan pembangunan yang lebih terancang dan dapat memenuhi keperluan rakyat sekiranya kuasa politik itu berubah. Tetapi ia tidak berlaku. Tok Pa disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar BN sejak 2004, dah 15 tahun kecewa sehingga akhirnya jadi katak masuk PPBM.

Nik Amar juga pernah menyembunyikan ketidakmampuan PAS dengan berkata: Kelantan sengaja memperlahankan pembangunan. Sengaja atau tidak mampu? Tidak ada istilah “sengaja”, yang ada ialah ketidakmampuan.

Kedengaran juga desakan, kerajaan pusat hendaklah membayar royalti minyak dan gas bagi membolehkan kerajaan Kelantan berbelanja kepada rakyat. Apakah setelah wang itu dibayar, sudah dibelanjakan kepada rakyat? Siapa mendapat apa, bila dan apa pembangunan yang dilakukan? Apakah menukarkan kenderaab para EXCO dan MB itu menepati makna istilah pembangunan?

nik amar 2

Ada juga istilah lain digunakan. Penggantian kereta lama adalah demi keselesaan dan keselamatan. Senget betul pemikiran politik begitu? Apakah tujuan berebut kerusi wakil rakyat? Untuk keselesaan atau ‘berkhidmat untuk rakyat’?

Kalau mahu selesa, jangan pilih kerjaya wakil rakyat. WakiL rakyat adalah pemimpin, seorang pemimpin ialah mereka yang bekerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Tidak ada syarat, seorang pemimpin itu wajib mencari keselesaan sebelum boleh menunaikan tanggungawab dan bekerja dengan amanah. Akibat mencari ‘keselesaan’ itulah tanggungjawab dan amanah terpinggir.

Saya petik sedikit tulisan Numani, penulis biografi Khalifah Umar al-Khattab sebagaimana dikutip oleh John Adair, Kepemimpinan Muhammad (ITBM, 2014:58-59):

Beliau [Umar al-Khattab] tidak mempunyai sebarang kelebihan istimewa atau pengecualian sebagai khalifah. Sebaliknya, beliau mengisytiharkan bahawa kuasanya adalah terhad dan penggunaan kuasa itu olehnya tertakluk pada penilaian dan kritikan.

“Berkenaan dengan wang awam, Umar berkata:”Aku tidak mempunyai hak yang lebih ke atas wangmu (iaitu dana awam) berbanding dengan hak penjaga anak yatim ke atas harta anak yatim itu. Jika saya kaya, saya tidak akan ambil apa-apa. Jika saya miskin, saya akan ambil perbelanjaan mengikut keperluan.

Kamu semua—kamu mempunyai banyak hak terhadap aku yang harus kamu minta daripada aku. Salah satu daripada hak itu ialah menuntut supaya aku tidak mengutip cukai dan mengambil rampasan perang secara tidak sah; keduanya, cukai pendapatan dan rampasan perang yang diserahkan kepadaku tidak boleh dibelanjakan secara tidak sah dari segi undang-undang; satu lagi ialah perlunya aku menaikkan gajimu dan mempertahankan perbatasan,  dan aku tidak harus mendedahkan kamu kepada bahaya yang tidak sepatutnya kamu hadapi.”

Ya! Itulah kemuliaan Umar al-Khattab. Ia jauh berbeza dengan Nik Mohamad Amar Nik Abdullah yang sangat besar kepala dengan kedudukannya sebagai wakil rakyat, EXCO dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, yang juga turut dikategorikan sebagai ulama, Ahli Majlis Syura Ulama dan Naib Presiden PAS. Kini, selain Timbalan Menteri Besar, Nik Amar adalah EXCO Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli Kelantan.

Jika dilihat daripada peranan tersebut, Nik Amar tidak sepatutnya membuat komen sedemikian, pengurusan bekalan air bersih adalah sebahagian tanggungjawabnya, yakni dibawah istilah Sumber Asli. Saya tidak pasti, apakah air bersih itu tidak termasuk dalam kategori ‘sumber asli’?

Ia mungkin ‘sumber palsu’ atau ‘sumber tiruan’ kerana air itu perlu dibersihkan daripada segala kekotoran, keladak atau toksik sebelum disalurkan kepada rakyat sebagai ‘air bersih’. Malang sekali, Nik Amar berkata, apa masalahnya air Sungai Kelantan yang keruh!!!Air Sungai Pahang lagi keruh.

Persoalan yang dibangkitkan ialah air bersih yang disalurkan oleh AKSB, bukan masalah tidak ada air secara umum. Namun Nik Amar terus menggunakan sindiran dan kesombongan tidak perlu berhimpun atau berdemonstrasi mengenai bekalan air bersih yang tidak cukup atau terganggu itu. Ini kerana air ada ‘penuh di Sungai Kelantan.” yang terletak di belakang TESCO. tempat di mana berlakunya demosntrasi (belarak).  Di suruhnya terjun dan minumlah puas-puasnya sehingga ‘kenyang’.

Harap, Nik Amar ‘terjun dan minum’ sebagai teladan kepada rakyat sebagaimana beliau teladankan dirinya yang berjaya menjadi seorang EXCO menggunakan air telaga, mandi, minum, basuh berak, kencing dan sebagainya.

Naratif ‘air bersih’ Nik Amar menunjukkan kerajaan PAS benar-benar gagal. Ia gagal kerana tidak ada keserasian antara paip dan air, makna antara kerajaan negeri (PAS) dan  kerajaan pusat (BN). Kerajaan negeri membekalkan air manakala paip perlu ditukar agar ‘sama warna’.

Ia mungkin video lama (tapi, pokok persoalannya ialah begitu simplistiknya kerajaan negeri menolak tanggungjawab dan meregangkan amanah yang dipegang). Ia berdasarkan, selepas Mei 2018, BN bukan lagi pentadbir di peringkat pusat. Ia ditadbirkan PH sebelum bertukar kepada Perikatan Nasional, yang turut dianggotai oleh PAS. Kini, PAS perlu memenuhi cabaran tersebut.

PAS sudah ada menteri di peringkat pusat. Timbalan Presiden PAS, Menteri Alam Sekitar (harap dapat bersihkan Sungai Kelantan dan limpahan toksid Sungai Semerak akibat pembentukan lagun). At-Takiri yang pernah kontroversi ‘hadiah dari cik somi’ dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Saya panggil lojik Nik Amar adalah ‘lojik bodoh’. Ini kerana PAS sudah kembali memerintah Kelantan sejak tahun 1990. PAS tidak dapat menukarkan ‘paip biru’ kepada ‘paip hijau’ untuk mencari keserasian. Kenapa ia tidak dapat dilakukan? Suatu persoalan seumpama menolak tanggungjawab. Suatu kaedah pemesongan tanggungjawab dan kegagalan itu sudah, sedang dan akan terus dipersoalkan oleh rakyat.

Ia bukan perkara kecil dalam sistem pemerintahan, termasuklah Kelantan yang berslogankan Membangun Bersama Islam. Sebab itulah rakyat mula mempersoalkan dan saya petik apa yang pernah ditulis oleh Nazman Che Ibrahim yang kemudiannya dikutip  admin  facebook Kelantan State 28 Julai 2016 (https://www.facebook.com/404709143002379/posts/isu-air-di-kelantan-y/743224475817509/):Bekalan air bersih ialah masalah lama, yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Ya, kerajaan terdahulu. Siapakah kerajaan terdahulu itu? PAS memerintah Kelantan dari tahun 1959 hingga 1973 (14 tahun). BN dari tahun 1974 hingga 1977 dan seterusnya kalah dalam PRU 1990 (16 tahun).

kisah air di kelantan 3

Sejak tahun 1990, PAS kembali mentadbir Kelantan hingga kini (30 tahun).  Ertinya, masalah ini sudah pun ada ketika PAS memerintah Kelantan dalam pusingan pertama.

Pusingan pertama tidak selesai (14 tahun) dan hingga kini (2020) juga belum selesai. Tempoh 44 tahun tidak juga selesai. Ertinya, tanggungjawab dan amanah tidak dilaksanakan dengan betul.

Menurut Ir Haji Mohd Zamri Wan Ismail, Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal AKSB (kini dipangku oleh Encik Izani Ismail, https://airkelantan.com.my/info-korporat/kumpulan-pengurusan/#/) tahun 2003, Kelantan dapat membina loji air di Chicha setelah 13 tahun tersekat (membangun dan meningkatkan keupayaan loji air).

Kelantan diberikan pinjaman sebanyak RM 600 juta bagi melaksanakan projek bekalan air dalam tempoh 15 tahun sejak 2003. Ini bermakna, sepatutnya tempoh tersebut sudah selesai (2018), tidak lagi timbul persoalan ‘paip biru, air hijau’ yang menyebabkan ‘air tidak keluar’.

Apa yang dipersoalkan oleh penduduk sekitar Kota Bahru dan Kubang Kerian dalam bulan Ramadhan ini ialah paip tidak mengeluarkan air dari lojinya di Chicha. Ia bukan masalah air Sungai Kelantan sebagaimana dijadikan alasan oleh Nik Amar dan cadangan agar mereka berdemonstrasi (belarak) ‘terjun sungai dan minum sepuas-puasnya’.

Menurut unjuran keperluan kerajaan negeri Kelantan bagi menyempurnakan bekalan air bersih kepada 1.5 juta penduduknya, ia memerlukan lebih RM 2 bilion, termasuk RM 1.1 bilion ‘menukarkan paip biru’ untuk diserasikan dengan ‘air hijau’.

Apakah air yang disalurkan itu ‘air hijau’? Dari manakah ‘air hijau’ itu diperoleh? Bagaimana kerajaan PAS berjaya ‘menghijaukan’ air yang tidak berwarna itu? Itulah ‘kecerdikan’ Nik Amar yang ‘bodoh’. Pernah beberapa tahun lalu, Nik Amar turut memberikan jaminan, bersedia membeli air dari Terengganu untuk atasi masalah ‘tiada air’. Maknanya, Nik Amar ‘berbohong’ bahawa Kelantan tidak ada masalah ‘tidak ada air’.

Beberapa hari lalu, beliau turut diserang oleh netizen kerana menempelak kehadiran seorang pendakwah bebas. Ebit Liew menyampaikan bantuan di sebuah kampong dalam DUN yang dimenangi oleh Nik Mohamad Amar, Kg Ketapang.

Nik Amar rasa ‘tercedera’ dengan kehadiran Ebit Liew membantu satu keluarga miskin, yang sepatutnya sudah dapat diselesaikan oleh beliau sebagai wakil rakyat DUN Panchor masuk empat penggal. Begitu lama Nik Amar tidak mampu sedangkan Ebit berjaya lakukan dalam tempoh begitu singkat. Sepatutnya Nik Amar boleh belajar daripada ‘keistimewaan’ yang ada pada Ebit, bukan mengecamnya.

Sikap ‘bodoh sombong’ Nik Amar begitu terserlah. Komen beliau terhadap apa yang dilakukan oleh Ebit Liew: “kebaikan yang tidak berakal akan mencetuskan fitnah yang berangkai”. Apa yang dilakukan oleh Ebit (14 Mei 2020), dianggap oleh ADUN Panchor seperti ‘mencemar imejnya’ sebagai wakil rakyat.

misi ebit kelantan

Rakyat membentuk persepsi, Nik Amar tidak mempedulikan rakyat, apatah lagi ia berlaku dalam kawasan yang diwakilinya sejak 2004. Dah 16 tahun,  beliau adalah ADUN Panchor. Juga dah 7 tahun timbalan Menteri Besar yang tidak prihatin dan ‘besar ke diri’.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Pensyarah UIAM (1985-1995), Nik Amar bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa (1995 dan 1999) sebelum kekal di DUN Panchor. Mula dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar pada tahun 2013 selepas Dato’ Ahmad Yaacob dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Dato’ Nik Aziz Nik Mat (1931-2015).

Selama 23 tahun (1990-2013) Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan, dan sedikit sebanyak masalah bekalan air bersih itu turut menjadi kegagalan kerajaan PAS yang dipimpin oleh Nik Aziz, yang kini diwarisi oleh Dato Ahmad Yaacob.

Persoalannya sekarang, isu bekalan air bersih sekurang-kurangnya tidak lagi boleh dijadikan senjata politik. Sebelumnya, Barisan Nasional menggunakan isu tersebut untuk ‘menjatuhkan PAS’ sejak tahun 1995, namun ia gagal. Ia gagal kerana ‘doktrin PAS’ yang begitu kuat memukau minda pengundi Kelantan, termasuk perantau yang setiap kali pilihan raya akan pulang mengundi di kampong halaman masing-masing.

Kisah sedih ‘paip keluar angin’ dan ‘air keruh seumpama teh o pekat’ tidak pernah selesai. Namun, di tengah-tengah kepayahan itu, rakyat Kelantan masih boleh bersabar dan mampu bertahan. Kesabaran rakyat Kelantan mungkin akan ada batasnya.

Untuk PRU ke-15, disebabkan PAS tidak ada lagi saingan, Nik Amar boleh menang lagi. UMNO dan PAS sudah berada dalam Muafakat Nasional, di mana mereka saling mencari ruang untuk mengelakkan pertindihan dan berperang sesama sendiri.

PKR, PAN atau Bersatu di Kelantan tidak begitu bermaya apatah lagi dengan ketiadaan barisan pemimpin yang berkaliber. Tokoh kepimpinan politik dari PKR, PAN dan Bersatu adalah tokoh ‘recycled’ sama ada dari PAS atau UMNO. Itulah sebabnya, Nik Amar makin ‘sombong’ dan giat ‘membodohkan’ rakyat Kelantan.

Telitikan apa yang diucapkan Nik Amar (transkrip) di bawah untuk menilai kaedah ‘pembodohan politik’ beliau. Maka, rakyat wajar mendesak untuk Nik Amar tidak gunakan Mercedes baharu, dan untuk ke sana ke mari gunakanlah ‘kapcai’ kerana ‘tidak ada lagi yang mati di Kelantan kerana minum air’ [Maksudnya, belum ada lagi yang mati di Kelantan akibat minum air (telaga)]

Belum ada lagi wakil rakyat mati kerana menunggang kapcai berkhidmat kepada rakyat. Yang mati tunggang kapcai ialah kerana kemalangan jalan raya.

Transkrip Nik Mohamad Amar: viral menerusi facebook dan WhatsApp.:

Ni dok geger belarak di Kelantan. Tak dak lagi oghe mati kes minum air di Kelantan.Ambo besar dengan air telaga air cemar tu boleh jadi EXCO molek-molek…ambo jak bbudak dok minum air telaga tu, besar ni baru temu air paip nya. Daripada budak besar kampong dengan air telaga tu, ha tepi kubur dok kecing pun tepi telaga tu, basuh berak tepi telaga tu, basuh kain pun tepi telaga tu. Hum mmolek-mmolek ada boleh jadi EXCO, boleh lawan UMNO mmolek-mmolek ada. Huh, alahnya buat kalut gitu mo lalu. Huh, nya buat kalut gitu mo lalu. Kalau bo keruh air tu gak air Sungai Pahang keruh lebih daripada Sungai Kelate lagi heh. Hok tubik ghumoh kita tidak dok keruh cuci mmolek dah.

Ada setengah dia kata tak tubek air, nak tubek guano muga paip lamo. Tukarlah paip tu, paip karat zaman Barisan lagi paip tu. Ho, tukar paip dan boh paip baru tubeklah, moga la ni air zaman PAS, paip zaman BN, dia tak belago angin. Ha, air zaman PAS air hijau, paip zaman BN biru, nak belago angin kot mano? Sebab tu nak suruh tubek, tukar paip. Tukar paip tubek la, air hijau paip hijau sedang mmolek. Tidak gitu eh. Ni gak dok belarak di Tesco. Geger di Tesco tidak ada air. Alik belakangmu tidak air dale sungai, mu gila ke? Geger belarak di Tesco, tak air Kelantan tak cukup air, alik belakang dia dale sungai penuh weh. Terjun dale sungai tu minum sampai kenye.”

 Nota Kaki:

Kecamaran = singkatan “kecaman” dan “amaran”. “Camar” pula bererti “sejenis burung” laut atau dalam bahasa Inggeris ialah seagull, dan “sangat gemar (makan), lahap.” (Kamus Dewan, 2007:240). Selain bermaksud ‘kecaman dan amaran’, kecamaran juga bertujuan menjelaskan tabiat Nik Amar yang ‘gemar’ atau menjadi ‘pelahap’ memberikan reaksi bodoh dan sombong bila dirinya dikritik, dipertikai dan disentuh. Ia berbeza dengan wajah kepimpinan Islam sebenar, yang boleh dikritik, ditegur dan dinasihat oleh ‘orang dibawah’ kerana kepimpinan itu adalah teladan dan ‘gembala yang baik’. (John Adair, Kepemimpinan Muhammad, 2014:13-20). Boleh juga disebut ‘kecemare’ yang bermaksud ‘kekotoran’.

 

MONOSIN SOBRI

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply