Kecelaruan Pakatan Harapan Bakal Menjerat Diri

GENDANG Pilihan Raya Umum ke-14 sudah terpasang di mana-mana walaupun belum dipalu. Masing-masing parti yang dijangka bertanding sudah memperhebatkan kempen mereka demi meraih sokongan pengundi dengan pelbagai janji dan strategi penggelonsoran imej parti lawan.

Bagi parti yang memerintah, persoalan siapakah yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ia tidak mempunyai masalah kerana yang sedia memegang tampok pemerintahan tetap dikekalkan. Kemungkinan yang bertentangan mungkin berlaku ialah calon berkenaan kalah digelanggang selepas gendang dipalu, tetapi ia bukanlah masalah besar kerana orang yang kedua boleh mengambil alih baton tersebut, sekiranya parti yang dimaksudkan itu mencapai kemenangan majoriti.

Resah sekarang ialah dalam kalangan parti-parti pembangkang yang menganggotai Pakatan Harapan (DAP, PKR, PAN dan PPBM). Setakat ini kedengaran desas-desus bahawa calon Perdana Menteri mungkin dari PKR dan PPBM. Siapakah sebenarnya calon yang bakal dilantik belum ada keputusan muktamad, tetapi ramai pihak membayangkan calon berkenaan adalah orang yang boleh merealisasikan perjuangan politik DAP.

DAP tidak akan mencalonkan tokohnya untuk jawatan Perdana Menteri secara terbuka kerana tindakan itu akan menyebabkan lebih ramai pengundi Melayu akan melakukan swing. Pengundi Melayu sudah merasakan betapa peritnya nasib mereka setelah dua penggal berada dalam penguasaan pengaruh DAP di Pulau Pinang.

Pemimpin Melayu dalam PKR di Pulau Pinang sudah merasakan peritnya ‘kerjasama politik dengan DAP’ tetapi mereka tidak berhasrat meluahkanya secara terbuka atas kepentingan tertentu, termasuklah takut kehilangan kerusi di konstituensi masing-masing. Walaupun wakil rakyat PKR dipilih menduduki jawatan EXCO Pulau Pinang, mereka sebenarnya perlu patuh kepada apa yang ditentukan oleh Ketua Menteri dari DAP.

Ketika ini, Ketua Menteri Pulau Pinang seperti ‘telur di hujung tanduk’ atas dakwaan salah guna kuasa dan pengakuan terbaharunya menjual tanah kerajaan kepada syarikat tertentu tidak melalui ‘tender terbuka’, pemimpin PKR diam membisu. Diam pemimpin PKR bukannya bermakna setuju seratus peratus dengan Ketua Menteri, tetapi dalam situasi ‘diluah mati emak’ dan terus diam akan menyebabkan kehilangan ‘bapak’.

MENGUNDI

Rakyat Pulau Pinang masih ingat ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang melabelkan Ketua Menteri ‘seperti tokong’ akhirnya terpaksa dipindahkan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Apabila Dr Mansur Osman menggelarkan Lim Guan Eng sebagai ‘bongkak dan sombong’ , PKR terpaksa mencari ‘jalan selamat’ untuk memadamkan isu takut pergeseran menjadi lebih parah dan boleh menamatkan hayat Pakatan Rakyat.

Dalam krisis politik di Selangor, walaupun berlaku secara seriusnya dalam PKR, DAP sebenarnya menjadi dalang kepada perubahan jawatan Menteri Besar Selangor. DAP merupakan parti yang paling dominan di Selangor berbanding sekutunya yang lain, PKR dan PAS. Sebab itulah, ketika krisis yang menjadi asas kepada pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin DAP dilihat banyak berhati-hati mengeluarkan kenyataan. DAP lebih banyak menjadi pemerhati, kerana mereka sedar apabila PAS dan PKR bertelagah, ia adalah suatu kejayaan besar untuk memecahbelahkan kepimpinan politik Melayu dalam Pakatan Rakyat.

Kini, kepimpinan politik Melayu dalam pakatan pembangkang tidak menampakkan persetujuan dan penyatuan yang jelas. PAS telah lama menyedari hakikat itu, maka keputusan PAS untuk tidak meneruskan kerjasama politik dalam Pakatan Harapan yang ditubuhkan selepas Pakatan Rakyat terbubar adalah natijah daripada langkah membendung kemaraan DAP ke tahap hagemoni.

Walaupun Menteri Besar Selangor adalah dari PKR, DAP terus menguasai beberapa jawatan strategik dan pernah menjadi katalis kepada kemunculan lebih banyak ‘premis hiburan, maksiat dan judi’ dan pengoperasian hingga di luar masa yang dibenarkan, penjualan minuman keras di kedai serbanika dalam taman-taman perumahan majoriti Melayu-Islam, kini dakwaan terbaharu ialah matlamat sebenar DAP untuk mengkristiankan lebih ramai anak-anak Melayu.

pH

Disebabkan Speaker DUN Selangor diberikan kepada wakil rakyat DAP, tidak banyak hal ehwal masyarakat Islam dibincangkan secara terbuka dan ia dikawal secara ketat. Begitu juga di Pulau Pinang, sebarang cadangan untuk memperkasakan akidah umat Islam akan disekat secara halus manakala beberapa larangan terhadap sambutan tradisi umat Islam dilarang, termasuk sambutan Kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Atas alasan menganggu ‘tidur nyenyak’ penduduk, laungan azan tidak lagi dibenarkan menggunakan pembesar suara walaupun sebelumnya, ia adalah suatu seruan kesedaran untuk segera bangun mengerjakan sholat Subuh oleh umat Islam. Ia turut menerima kesannya di Selangor, selain keengganan menggunakan tulisan Jawi.

Bukan Islam melihat tulisan Jawi adalah Islam kerana menyamai aksara bahasa Arab. Sebaliknya, orang Melayu tidak pernah menganggap aksara tulisan Cina ada kaitannya dengan proses pembuddhaan. Begitu juga dengan aksara bahasa Tamil, ia bukan proses penghinduaan orang Melayu.

Kebimbangan usaha mengkristiankan orang Melayu telah lama disuarakan oleh ramai pihak termasuklah oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang semakin mesra dengan DAP seperti Khalid Samad, Salehudin Ayub dan Mat Sabu. Kini, pemimpin-pemimpin berkenaan semakin ‘membisu’ setelah berjaya memperoleh naungan politik DAP apabila parti yang mereka terajui bekerjasama membentuk Pakatan Harapan.

Lebih menarik ialah laporan yang dibuat oleh seorang ahli akademik terhadap tulisan Speaker DUN Selangor dalam bukunya, Becoming Hannah, yang antara lain mengesahkan penyertaan politiknya adalah untuk mengembangkan pengaruh Kristian. Dalam hal tersebut, power broker DAP, Lim Kit Siang menyangkal ulasan itu dengan berkata, rakyat Malaysia sebenarnya tidak pernah hidup secara harmoni sejak merdeka, yang tentunya menjurus kepada kesimpulan untuk menyalahkan UMNO secara khusus dan BN secara amnya (rujuk: http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/rakyat-malaysia-tidak-pernah-harmoni-sejak-merdeka-dap/).

Persoalan tersebut turut disangkal oleh Lim Lip Seng, Ahli Parlimen Segambut (DAP); ADUN Damansara Utama, Yee Bee Yin; kolumnis Malaysiakini, Stephen Ng; Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok; dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen. Mereka turut mempersoalkan kualiti akademik Dr Kamaruzaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia sebagai ‘sempit’, ‘bodoh’, ‘ekstremis’ dan ‘memalukan dunia akademik.

Dr Kamaruzaman tetap mempertahankan komennya dengan berkata “Yang sebenarnya bodoh dan yang sebenarnya ekstremis adalah mereka yang tidak berhujah berdasarkan kepada fakta dan yang tidak mahu mengikut undang-undang, termasuklah juga mereka yang sanggup memperlekehkan semua perkara yang berbau keMelayuan atau keIslaman semata-mata untuk undi.” Dan, dalam hal itu beliau tetap mempertahankan komennya menerusi facebook (10 Mei) dan laporan polis (17 Mei) sebagai pandangan peribadi berdasarkan fakta, bukan kebodohan akademik dan memalukan UUM sebagaimana didakwa (rujuk: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2017/05/20/saya-bukan-bodoh-uum-juga-bukan-universiti-kelas-rendah/)

Perkembangan selanjutnya ialah desakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai penerajui PPBM disebabkan kegagalannya untuk mencorakkan parti sehingga cengkaman Tun Dr Mahathir terus kukuh dan jelas terbukti, agenda sebenar parti adalah untuk menyediakan ‘tapak’ untuk Mukriz diangkat sebagai Perdana Menteri, suatu ketika nanti. Malangnya, PPBM semakin lesu dengan idealisme politiknya kerana semakin ramai yang memahami bahawa zaman silam Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun penuh paradok dan ‘tidak bersih’. Hingga kini, Dr Mahathir gagal menjawab kaitannya dalam usaha menjamin ‘kekayaan yang dimiliki oleh anak-anaknya’ dan dakwaan menggunakan strategi ‘bail out’ untuk menyelamatkan kerugian RM 2 bilion anaknya akibat kalah judi.

Akibat suka menyerang, dari zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak, Dr Mahathir seperti sedang terperangkap dengan masa silamnya. Seperti peribahasa Melayu, alang-alang celup pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Dr Mahatjhir akan tetap mahukan UMNO/BN ditumbangkan dan bersedia menjatuhkannya bersama DAP yang pernah dicemuh, dibenci dan dilaknatnya, hanya kerana dendam. Bagaimanapun, setelah melihat lebih banyak kelemahan perjuangannya, beliau cuba menimbuskannya dengan berkata adalah sukar untuk mengalahkan UMNO/BN dalam PRU ke-14 dan dalam masa pentadbirannya (sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun) tidak ada mereka yang ditampar, ia suatu hujah penafian yang jelek.

Sejarah telah mencatatkan, pada tahun 1982 berlaku pembunuhan politik di Negeri Sembilan, mata lebam (kena tumbuk sewaktu dalam siasatan oleh Ketua Polis Negara pada tahun 1998), pembunuhan seorang pekerja kilang di Pulau Pinang yang dikaitkan dengan ‘orang kanannya’, memfaraidkan syarikat-syarikat kerajaan kepada individu tertentu, kerugian mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia, dan yang paling memilukan ialah kebencian dua orang bekas Perdana Menteri mengenai tindakan politik ketika menerajui UMNO (Tun Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman) sehingga mendorong Tengku Razaleigh Hamzah bertanding merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987, yang akhirnya menyebabkan UMNO diharamkan pada bulan April 1988.

Dr Mahathir sebenarnya ‘lebih teruk’ sebagaimana didakwa oleh bekas timbalannya, Tun Musa Hitam (Frankly Speaking, 2016) berhubung tindakannya melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain dalam kes Memali (1985), Operasi Lalang (1997) dan serangan spekulator (George Soros) apabila berlakunya penurunan nilai matawang negara pada tahun 1997, membayar US$ 1.2 juta kepada pelobi (Jack Abromoff) untuk bertemu George Walker Bush, Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2002 . Jawapan beliau adalah mudah, tidak menggunakan wang kerajaan, walaupun didesak untuk mendedahkan siapakah yang bersedia menaja , dijawabnya, “saya tidak tahu” . Dr Mahathir memang terkenal dengan alasan “mengelak diri” dan berdiam diri kerana takut lebih banyak ‘tembelangnya terdedah  (http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2006/2/941/wang-siapa-bayar-abramoff-dr-mahathir.html.)

Sebenarnya, persoalan siapakah yang boleh dipercayai untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU-14 terus menjadi ‘nyawa politik’ antara PKR dan PPBM. Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahukan Dr Wan Azizah dilantik ‘sementara menunggu pembebasan Anwar’ manakala andaian lain ialah Tan Sri Muhyiddin secara sementara. Sekiranya Muhyiddin enggan memberikan laluan kepada Mukriz, Mahathir dijangka akan menyerang Muhyiddin pula sebagaimana dilakukannya ke atas Najib selepas Mukriz gagal memperoleh tempat dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO 2014 (Rujuk: http://www.tv14.my/2016/12/11/mukhriz-gagal-jadi-naib-presiden-umno-punca-segala-ketempangan/).

PKR turut mengalami perpecahan dalam selain mempunyai dua kem yang menunggu pecah. Kem Wan Azizah dan kem Azmin Ali. Kem Azmin masih boleh bertahan, tetapi kini, kurang selesa setelah Datuk Adam Rosly didakwa atas kes rasuah, kaitannya dengan pendedahan Rafizi Ramli dan lebih terdesak ialah untuk menyingkirkan tiga orang EXCO dari PAS yang telah memutuskan kerjasama dengan PKR kerana PKR tetap bekerjasama dengan DAP. PAS begitu tertekan dengan DAP sehingga melihat tingkahlaku pemimpin DAP jijik dan menghalang perjuangan Islam PAS, di mana ada yang menyifatkan perjuangan PAS sebagai “Islam sesat’.

DAP menerima Parti Amanah Negara (PAN) yang bagi PAS adalah parti tak tentu arah, yang tujuannya untuk menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang. Penerimaan itu merupakan ‘duri dalam daging’ manakala tindakan DAP yang sering menyanggah matlamat politik PAS sebagai “sembilu tajam’ akhirnya membantu penolakan kerjasama dengan PPBM walaupun didakwa pernah dipersetujui oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Sebelumnya, Presiden PAS menyifatkan PPBM adalah parti caca merba dan tidak mempunyai pendirian yang jelas.

Seorang bekas pemimpin PKR sedang menunggu kelulusan mendaftarkan Parti Harapan Malaysia, yang jika tidak aral melintang akan ikut bertanding dalam PRU ke-14. PHM ditubuhkan kerana kecewa dengan Pakatan Harapan, yang semakin dilihat terlalu kuat kongkong DAP manakala PKR semakin hanyut dengan skandal. Sekiranya PHM diluluskan dan benar-benar masuk ke gelanggang dalam PRU ke-14 ia menampakkan ‘kemeriahan calon” kerana bukan sahaja terpaksa bertembung dengan BN, bahkan dengan PH, PAS, dan beberapa parti lagi (termasuk yang ‘dicuri’ oleh Ezzam dan Khairudin).

Senario ini memang menakutkan PH, kerana pertandingan pelbagai penjuru hanya akan menguntungkan BN dan DAP. DAP dijangka akan kekal menguasai kawasan majoriti Cina, tetapi majoriti pengundi Melayu akan dilihat semakin berpecah.

Atas desakan itulah maka parti-parti pembangkang bimbang yang boleh dikategorikan terdesak, bakal kehilangan lebih banyak kerusi dan memungkinan penguasaannya di Selangor berakhir. Sabah dan Sarawak, setakat hari ini masih kekal menjadi ‘deposit’ kepada BN. DAP seperti ‘putus harapan’ untuk kembali kukuh di Sarawak, apabila wakil rakyat (Dr Ting Tiong Choon) telah disahkan mempunyai dua kerakyatan dan berhadapan pilihan raya kecil DUN Pujut pada 4 Julai 2017 nanti.

Perkembangan –perpecahan dalaman parti-parti pembangkang-dan imej pemimpin politik turut menjadi faktor dalam menentukan kemenangan calon yang mewakili sesuatu parti, tetapi harapan kepada BN tetap ada apabila Pakatan Harapan semakin ‘hilang harapan’ untuk bekerjasama dengan PAS (PAS-PPBM dan PAS-PH). Sebabnya ialah kerana DAP, PAS bukan sahaja terasa perit dan marah, bahkan mencabar prinsip tidak campur dalam parti masing-masing. Pemimpin DAP terus berkomentar sinis, jelek dan mengecam apa sahaja tindakan PAS untuk memperjuangkan Islam, maka di situlah PAS merasakan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasam dengan DAP.

Maka, bertempiaranlah pemimpin-pemimpin DAP, PKR dan PPBM mengecam PAS, di samping menuduh bakal bekerjasama dengan UMNO/BN, dan disitulah letaknya kematangan sebenar amalan politik rakyat Malaysia. Walaupun ada pendapat mengatakan, golongan muda (40 peratus daripada keseluruhan pengundi) lebih mengutamakan ideologi daripada reality, secara jelasnya mereka sedang menukarkan idealismanya. Jika boleh menjanjikan reality  semasa yang munasabah dan memadai, parti itulah yang akan menang. Mereka mula memahami, ideology bukanlah jaminan selamat dan kesenangan, ia hanyalah angan-angan yang tidak sudah sebagaimana janji pakatan pembangkang, bukan sahaja terkandas tetapi sebaliknya dilakukan apabila berkuasa.

Kutuk pelaksanaan GST, dan kini, tidak lagi kerana sedar ia boleh membantu meningkatkan pendapatan negara. Tanpa pendapatan bertambah, sukar untuk memenuhi program rakyat dan menanggung kos pengurusan. Bahkan, DAP sudah mula menggunakan alasan ‘tidak masuk akal’ menaikkan tariff air sebagai ‘mengelak pembaziran’ begitu juga penjualan tanah milik kerajaan kepada pemaju dan pemilik individu. Tender terbuka pernah dicadangkan sebagai prinsip cekap, telus dan akauntabiliti, banyak pula yang dilanggarinya dan kini, DAP sedang terjerat dalam permainan kata-kata cekap dan berintegriti.

PH sedang mengalami imej yang buruk, dan keruntuhannya semakin jelas apabila konflik dalaman telah menyebabkan lebih banyak parti kecil muncul, yang kemudiannya bakal mendedahkan keburukan-keburukan dari dalam apabila parti induknya mengecam. DAP juga tidak terkecuali, namun UMNO semakin mengemaskan upayanya untuk menang dengan lebih besar atas kekalutan PH dan kegelisahan PAS yang kembali bersendirian.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply