Jika sebelum ini ‘kecenderungan mengutuk Melayu’ dilakukan oleh puak-puak asing yang memang anti-Melayu secara berselindung atau berkias, sekarang puak-puak tersebut mengutuk Melayu secara terbuka dengan menggunakan bahasa yang kasar dan biadab.

Jika dahulu kecenderungan ‘mengutuk dan memperlekeh’ Melayu itu dilakukan oleh puak-puak tertentu bukan Melayu, sekarang segelintir orang Melayu sendiri sudah tidak segan-silu melakukannya.

Kita dapat memahami jika yang menjadi sasaran kutukan itu segelintir tokoh atau individu Melayu korap dan menyalahgunakan kuasa atau yang bersifat ibarat pepatah ‘harap pegar, pegar makan padi’

Tetapi yang mendukacitakan ialah kutukan itu secara langsung atau tidak langsung dihalakan terhadap individu-individu dan institusi-institusi Melayu secara menyeluruh. Kata pepatah: seekor kerbau yang berkubang semua terpalit lumpur.

Dengan perkataan lain, kesalahan segelintir individu Melayu sekarang digunakan sebagai alasan untuk mengutuk dan mencaci seluruh bangsa Melayu.

Memang benar dalam masyarakat Melayu sekarang terdapat individu-individu yang khianat dan berlaku serong mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Juga terdapat institusi-institusi yang gagal berfungsi sebagaimana semestinya atau menyeleweng daripada matlamat asalnya.

‘Keserongan’ idividu-individu dan ‘kekhilafan’ institusi berkenaan menyebabkan berlakunya kutukan bertubi-tubi dengan bahasa kesat dan kasar yang secara langsung atau tidak langsung ‘menghukum’ bangsa Melayu secara keseluruhan.

Perbuatan mengutuk dan memperlekeh Melayu itu sejak akhir-akhir ini digawatkan pula dengan pelbagai provokasi yang menyakitkan hati bangsa Melayu, seperti tuduhan kononnya masyarakat Melayu di Malaysia ini adalah ‘pendatang’.

Tuduhan ini adalah satu percubaan mempertikaikan status bumiputera bangsa Melayu untuk menafikan hak warisan mereka.

Perbuatan yang bersifat provokasi juga dirasakan oleh bangsa Melayu bila bahasa Melayu yang sudah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diabaikan penggunaannya dan diperlekeh dengan berbagai-bagai cara. Individu-individu yang tidak fasih berbahasa Melayu dilantik memegang jawatan strategik.

Begitu juga jawatan-jawatan penting dan strategik yang secara tradisi disandang oleh orang Melayu sekarang diserahkan kepada orang lain. Beberapa orang tokoh politik yang pada masa lalu begitu celupar mengutuk dan mencaci bangsa Melayu, sekarang diberi kesempatan menduduki tempat-tempat strategik dalam struktur pemerintahan.

Dengan jawatan rasmi dalam pemerintahan yang dipegangnya, mungkin individu-individu berkenaan akan ‘mengawal diri’ atau menahan nafsunya untuk mengutuk dan memperlekeh Melayu secara terbuka.

Tetapi keceluparan masa lalu sukar dilupakan dan dari semasa ke semasa akan menjadi duri dalam daging bagi bangsa Melayu. Selain itu institusi dan organisasi yang selama ini menjaga dan memperjuangkan kepentingan Melayu dituduh bersikap racist dan diperlekeh dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan. Ini termasuklah institusi pendidikan dan organisasi media tertentu, terutama UiTM dan Utusan Melayu.

Sepanjang minggu lalu, organisasi media yang menjadi sasaran cemuhan dan diperlekeh ialah akhbar Utusan Malaysia yang berasal daripada akhbar Utusan Melayu dan dimiliki oleh syarikat induk Kumpulan Utusan.

Cemuhan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada Utusan Malaysia bermula dengan berita Kementerian Pendidikan mengarahkan supaya sekolah, kolej dan universiti di bawah Kementerian Pendidikan berhenti melanggani akhbar harian Utusan Malaysia dengan serta-merta.

Alasan yang digunakan, selain pemberitaan Utusan Malaysia dikatakan terlalu memihak kepada UMNO disebut juga sebab-sebab kewangan “untuk mengurangkan belanja”.

Berikutan dengan pemberitaan perkara tersebut, akhbar maya Malaysiakini telah menyiarkan lebih 200 reaksi dan komentar pembaca mengalu-alukan tindakan Kementerian Pendidikan itu.

Tetapi lebih daripada sekadar memuji tindakan kementerian tersebut, sebahagian besar daripada pembaca Malaysiakini yang memberi komentar itu, telah melemparkan kata-kata kesat yang bukan sahaja menghina Utusan Malaysia tetapi menyakitkan hati pembaca Melayu yang tidak semestinya ahli UMNO.

Antara perkataan yang sering diulang-ulang dalam lebih 200 komentar itu ialah racist, racist dan racist yang bukan sahaja merupakan tuduhan terhadap Utusan Malaysia malah juga terhadap pembaca Melayu yang bukan semuanya ahli UMNO.

Bukan sahaja melemparkan tuduhan racist secara berleluasa, penghinaan yang lebih menyakitkan hati ialah menyamakan Utusan dengan kertas jamban seperti dalam ayat: The schools still need toilet paper so please bring Utusan back (Sekolah-sekolah masih memerlukan kertas pengesat najis, oleh kerana itu tolonglah kekalkan Utusan).

Tidakkah itu satu ayat yang sangat racist dan menghina untuk mengibaratkan sebuah akhbar kebangsaan Melayu sebagai kertas jamban.

Bukan sahaja akhbar Utusan disamakan dengan kertas jamban (toilet paper), malah ada yang menyamakannya dengan tahi lembu, dengan ayat “Finally dung being removed from school” (Akhirnya tahi lembu itu akan dialihkan dari sekolah).

Satu lagi contoh ayat yang biadab yang disiarkan oleh Malaysiakini: “To hell with Utusan Malaysia. No body gives a damn if this paper bankrupt” (Pergi jahanamlah Utusan Malaysia. Tidak ada siapa yang peduli jika suratkhabar ini bangkrap.

Satu lagi komen yang menyakitkan hati: “Utusan is a newspaper full of thrash. Not worth the paper that it is.” (Utusan adalah akhbar yang penuh dengan sampah. Tidak ada nilai langsung sebagai akhbar.)

Yang tak kurang menghinanya: “Tak malu idiot it is a hopeless paper fit for dustbin”.

(Heh goblok yang tak tahu malu. Ini adalah akhbar yang boleh diharap sama sekali yang hanya layak untuk tong sampah.)

Ayat-ayat menghina dan mengutuk Utusan Malaysia yang dikutip itu hanyalah sebahagian kecil daripada penghinaan dan kutukan yang dilemparkan kepada Utusan Malaysia seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini berikutan dengan arahan Kementerian Pendidikan supaya sekolah-sekolah dan universiti berhenti melanggan Utusan Malaysia.

Berikutan dengan tindakan itu, beberapa soalan perlu ditanyakan. Berapa orangkah daripada lebih 200 orang pembaca Malaysiakini yang memberi komentar tersebut, pernah membaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia?

Tidakkah keghairahan melemparkan tuduhan dan cemuhan mereka semata-mata didorong oleh naluri dan nafsu hendak memperlekeh dan mengutuk Melayu?

Kepada Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malek dan Pegawai Khasnya, Wan Saiful Wan Jan, kita ingin bertanya: Berapa peratuskah kandungan akhbar Utusan Malaysia dalam satu-satu jangka masa tertentu yang berkaitan dengan politik kepartian?

Adakah sumbangan Kumpulan Utusan dalam bidang-bidang yang lain seperti bahasa dan sastera, sukan dan seni, ekonomi dan perdagangan dan lain-lain sudah dinilai semasak-masaknya secara objektif?

Tidakkah tindakan “membunuh” Kumpulan Utusan yang secara tersirat hendak dilakukan akibat arahan Kementerian Pendidikan itu, adalah ibarat “membakar kelambu kerana marahkan nyamuk?

Sudahkah difikirkan cara yang lebih berhemah dan konstruktif bagaimana untuk menyelamatkan institusi media komunikasi yang selama tiga suku abad telah memberi sumbangan yang sangat bernilai terhadap perkembangan sosiopolitik dan sosiobudaya bangsa Melayu?

Mungkin masing-masing kita mempunyai jawapan yang berbeza terhadap rentetan soalan di atas. Bagi pihak diri saya sendiri, saya ingin menjawabnya melalui penghujung puisi yang pernah saya tulis berjudul Dirgahayu Utusan Melayu.

Dirgahayu Utusan Melayu

Masa silam 75 tahun yang lalu

Dunia kewartawanan Melayu

Mengorak satu langkah baharu

Melahirkan akhbar Utusan Melayu

Utusan Melayu lahir

Untuk melanjutkan tanggungjawab sejarah

Mengadun dan menyebar berita

Dengan segala tanggungjawab moral

Dan kemairan profesional

Serta kecanggihan teknologi

Utusan Melayu muncul menyambung tanggungjawab

Menjunjung erti kebenaran dan martabat kebebasan

Membawa obor kebangsaan

Menyambung kesaktian lidah rakyat

Membina perpaduan, integrasi dan integriti

Ke arah kemantapan sebuah Negara Bangsa

Yang mewah dan bermaruah

Yang bertamadun dan berwibawa

DIRGAHAYU UTUSAN MELAYU

Di belakang duri di hadapan api

Di tengah-tengah naga menganga

Demikian cabaran yang dihadapi

UTUSAN MELAYU tidak akan undur, walau selangkah.

Penulis ialah mantan Ahli Dewan Negara dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.