Sambutan Maulidur Rasul bukanlah semata-mata berarak dengan sepanduk dan pakaian yang indah. Meskipun aktiviti sedemikian dapat menaikkan syiar Islam, namun apa yang lebih utama adalah suburnya ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW sehingga menguatkan kembali iltizam untuk benar-benar menghayati ajaran Islam yang disampaikan oleh baginda.

Ingatan terhadap kesungguhan dan pengorbanan Nabi SAW yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan umat dapat mendorong ke arah melaksanakan syariat dan menghayati akhlak Islam secara sempurna.

Di Nusantara, salah satu cara para ulama menyemarakkan rasa kecintaan kepada baginda adalah menerusi seni barzanji.

Barzanji adalah satu amalan membaca teks sastera Arab yang mengandungi riwayat, sejarah Nabi SAW serta doa secara berlagu.

Masyarakat Melayu lazimnya menyebut “berzanji.” Namun, jika diambil kira dari nama penulis karya tersebut iaitu Imam Jaafar Al-Barzanji bin Hasan bin Abdul Karim, istilah yang lebih tepat adalah barzanji.

Keberkatan karya Imam Jaafar ini dapat dinilai berdasarkan penerusan amalan barzanji dalam kalangan umat Islam sehingga ke hari ini. Amalan tersebut mengalir dari Asa Barat sehinggalah ke Kepulauan Melayu. Kata-kata pujian dan gambaran terhadap kebaikan Nabi SAW mencetuskan rasa rindu dan kesyukuran menjadi umat baginda.

Imam Jaafar membawa pembaca untuk mengenali Rasulullah SAW, bukan sahaja dari aspek fizikal nabi, tetapi juga aspek susur galur nenek moyang Nabi SAW. Selain itu peristiwa utama dalam hidup Nabi SAW turut diadun dengan bahasa dan kata-kata yang menyentuh perasaan. Antaranya peristiwa semasa kelahiran, peletakan Hajarul Aswad, Nabi SAW diangkat sebagai Rasul, peristiwa hijrah, hakikat kesempurnaan serta akhlak baginda.

Melalui seni dan kuasa kata-kata yang terkandung dalam teks tersebut, Imam Jaafar membawa para pembaca untuk menghalusi perasaan kerinduan dan kecintaan kepada baginda. Dari rindu maka tercetuslah rasa takzim iaitu perasaan ingin memuliakan Nabi SAW dan mengikut sunnah baginda.

Perasaan mencintai Rasulullah SAW yang menjadi nilai utama yang ingin disemai dalam jiwa umat Islam, menjadikan amalan barzanji bukan sahaja diadakan pada hari kelahiran Nabi SAW, tetapi juga dalam pelbagai majlis keraian.

Masyarakat Melayu di Malaysia turut mengalunkan barzanji dalam majlis menyambut kelahiran bayi atau akikah, majlis berkhatan, majlis perkahwinan, ketika masuk rumah baru, menyambut kepulangan jemaah haji dan sebelum menghantar rombongan meminang.

Terdapat juga keadaan yang mana barzanji dilakukan untuk mengumpulkan orang ramai bagi menyampaikan satu berita atau pengumuman penting.

Di pondok pengajian di Nusantara, barzanji ini berfungsi untuk mengelakkan bosan dan letih dalam pelajaran. Guru pondok lazimnya akan berhenti seketika dan membuat alunan barzanji seperti bertaranum. Alunan tersebut diikuti oleh murid mereka secara beramai-ramai. Dengan itu, para pelajar beroleh kerehatan minda dan dalam masa yang sama mendapat pengisian yang bermanfaat.

Seni barzanji mengajak umat Islam mengamati peribadi Nabi SAW. Nabi SAW adalah manusia, tetapi bukan manusia biasa. Nabi SAW adalah seorang guru yang agung. Baginda SAW tidak hanya mengajar manusia berakhlak mulia, tetapi baginda sendiri merealisasikan akhlak Al-Quran dalam kehidupan seharian baginda. Lantaran itu baginda turut digelar Al-Quran yang berjalan.

Dengan mengambil rawi kelapan belas yakni rawi yang terakhir sebagai contoh, kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW digambarkan dengan terperinci.

Imam Jaafar menukilkan nabi sebagai seorang yang pemalu dan sering merendah diri meskipun kedudukan baginda sangat mulia di sisi Allah SWT.

Baginda sering melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan hal ehwal keluarga tanpa mengharapkan kepada isteri atau pembantu. Baginda menjahit sendiri pakaian yang koyak, membaiki sandal yang rosak dan memerah sendiri susu kambing.

Dalam pergaulan, Nabi SAW sangat berlemah lembut kepada orang miskin. Pada kesempatan yang ada, baginda akan meluangkan masa bersama-sama golongan ini demi memberi perhatian dan bantuan kepada mereka. Baginda tidak pernah memandang hina kepada golongan yang miskin dan lemah.

Selain itu, baginda sering menziarahi golongan yang sakit dengan memberikan kata-kata semangat dan mengingatkan mereka untuk bersangka baik kepada Allah SWT.

Baginda sangat mengambil berat kebajikan dan bersungguh-sungguh membela anak yatim, hamba, wanita dan orang tua dari sebarang penindasan dan pengabaian.

Riak wajah, perkataan dan gerak tingkah laku baginda tidak pernah menampakkan membenci atau tidak menyukai sesiapa.

Jika berjumpa dengan para sahabat, baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam. Wajah yang manis dan kata-kata yang baik akan diberikan kepada sesiapa yang bertemu dengan baginda.

Baginda sering memaafkan dan berlapang dada terhadap golongan yang sering menyakiti baginda atau yang tidak beradab dengan baginda.

Baginda juga tidak berasa gentar kepada mana-mana raja atau penguasa.

Kemuliaan akhlak baginda yang luar biasa menyebabkan baginda mendapat penghormatan daripada sahabat yang beriman serta para malaikat.

Nabi SAW sentiasa mendahulukan para sahabat berjalan di hadapan baginda, dan memberikan ruang kosong kepada malaikat untuk berada di belakang baginda.

Kehidupan baginda sangat sederhana meskipun baginda pernah ditawarkan kekayaan dunia.

Baginda jarang sekali berada dalam keadaan kekenyangan, malah pernah mengikat batu di perut baginda kerana kelaparan.

Sekiranya baginda bergurau, hanya kebenaran dan perkara yang diredai Allah yang dinyatakan oleh baginda.

Demikianlah antara kandungan rawi dalam teks barzanji yang memberi gambaran terperinci mengenai sikap dan akhlak Rasulullah SAW. Gambaran ini memudahkan orang mukmin mengamalkan nilai-nilai mulia tersebut dalam kehidupan seharian.

Akhir sekali, dapat dirumuskan bahawa amalan barzanji adalah salah satu medium yang dapat memperkenalkan umat kepada Nabi SAW. Amalan dan tradisi ini wajar diteruskan dan difahamkan pula kepada generasi muda Muslim.

Dari pengenalan terhadap baginda, maka lahirlah rasa cinta yang mendalam yang seterusnya membawa cinta kepada Allah SWT dan saling menghargai sesama insan.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW mendorong seseorang untuk mencintai ahli keluarganya, anak-anak, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat serta alam yang diciptakan oleh Allah SWT secara benar. Maka segala penindasan, kezaliman, dendam dan kebencian dalam kalangan masyarakat akan terkubur.

Kesatuan pemikiran dan keyakinan orang Melayu terhadap elemen cinta kepada Rasulullah SAW menjadikan barzanji sebagai satu seni Islam yang dapat menyatukan hati umat Islam, mengeratkan silaturahim, menjadikan majlis ceria dan lebih bermakna serta memupuk penghayatan kepada kasih sayang dan pengorbanan Rasulullah SAW.

Dengan penghayatan terhadap makna dan falsafah barzanji ini, umat Islam dapat memaknai sambutan Maulidur Rasul dengan kecintaan yang jujur kepada baginda. Baginda adalah pintu segala kebaikan dan kunci pengenalan setiap hamba kepada Allah, Tuhan sekalian alam!

DR. MAHFUZAH MOHAMMED ZABIDI ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.