KEDUDUKAN TANAH ARAB DAN KAUMNYA

PADA dasarnya, perbincangan berkaitan sirah nabawiyyah adalah pernyataan yang mengisahkan mengenai risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia. Dengan risalah ini, Baginda SAW mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari memperhambakan diri sesama manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah semata-mata.

Oleh kerana itu, adalah tidak mungkin untuk menunjukkan suatu gambaran yang menarik serta menyeluruh mengenai sirah nabawiyyah melainkan dengan melakukan perbandingan antara latar belakang risalah yang dibawa ini serta kesan dan pengaruhnya. Berdasarkan fakta ini, maka penulis terlebih dahulu akan membentangkan suatu fasal berkaitan kaum-kaum Arab serta proses perkembangannya sebelum Islam dan mengenai suasana persekitaran perutusan Nabi Muhammad SAW.

Kedudukan Tanah Arab

Perkataan ‘Arab’ dari segi bahasa bermaksud, ‘padang pasir dan belantara serta tanah gersang yang tidak mempunyai sumber air serta tumbuh-tumbuhan’. Perkataan ini diguna pakai sejak zaman-berzaman di Semenanjung Tanah Arab. Begitu juga bangsa yang meneroka dan menjadikan tempat tersebut sebagai penempatan, mereka dikenali dengan panggilan bangsa Arab.

Semenanjung Arab di sebelah barat disempadani oleh Laut Merah dan Semenanjung Sinai. Di sebelah timur, ia disempadani oleh Teluk Arab dan sebahagian besar negara Iraq Selatan. Di sebelah selatannya ialah Laut Arab yang berhubung dengan Lautan Hindi. Di sebelah utaranya ialah negara Syam (Syria) dan sebahagian dari negara Iraq. Bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan pandangan mengenai sebahagian dari persempadanan ini. Keluasan Tanah Arab dianggarkan antara sejuta batu persegi hingga sejuta tiga ratus ribu batu persegi.

Kedudukan semula jadi dan geografi Tanah Arab mempunyai kepentingan yang besar. Ditinjau dari sudut kedudukan dalamannya, ia dikelilingi oleh gurun dan padang pasir dari segenap arah. Faktor ini menjadikan Semenanjung Arab seumpama kubu yang menghalang orang asing yang ingin menjajah dan melebarkan pengaruh mereka ke atasnya. Oleh sebab itu, didapati bahawa penduduk di Semenanjung Arab adalah bangsa yang merdeka dalam segenap aspek sejak zaman-berzaman walaupun mereka berjiran dengan dua empayar besar. Pastinya mereka tidak akan berupaya mempertahankan diri dari serangan dua empayar ini andai kata tidak terdapat kubu pertahanan semula jadi yang kukuh.

Ditinjau dari sudut luaran, didapati Semenanjung Arab terletak di antara beberapa benua yang terkenal pada masa dahulu. Benua-benua ini berhubung dengan Tanah Arab dari darat dan laut. Kawasan barat laut Tanah Arab adalah pintu masuk ke benua Afrika, sementara kawasan barat dayanya ialah pintu masuk ke benua Eropah. Kawasannya di sebelah timur adalah laluan masuk ke negara-negara Ajam, Timur Tengah dan Timur Jauh, membawa ke India dan China. Begitu juga, semua benua yang bersempadan dengan Semenanjung Arab dari jalan laut; semua benua tersebut menjadikan pelabuhan Arab sebagai  tempat utama untuk melabuhkan kapal-kapal mereka.

Disebabkan kedudukan geografi ini, maka kawasan utara Semenanjung Arab serta selatannya merupakan tempat persinggahan semua bangsa serta pusat pertukaran perdagangan, kebudayaan, agama dan kesenian.

Bangsa Arab

Para sejarawan telah membahagikan bangsa Arab kepada tiga kumpulan mengikut salasilah asal kelahiran bangsa tersebut, iaitu:

  1. Arab Baidah: Mereka ialah bangsa Arab kuno; maklumat berkaitan sejarah mereka tidak dapat diperolehi dengan lengkap. Contoh mereka ialah bangsa Ad, Thamud, Tism, Judais, Umlaq dan selainnya.
  1. Arab Aribah: Mereka ialah bangsa Arab yang berasal dari keturunan Yarab bin Yashjab bin Qahtan. Mereka dikenali dengan panggilan Arab Qahtan.
  1. Arab Mustaribah: Mereka ialah bangsa Arab yang berasal dari keturunan Nabi Allah, Ismail a.s dan mereka dikenali sebagai Arab Adnan.

Bangsa Arab Aribah, iaitu bangsa Qahtan berasal dari negara Yaman. Kabilah-kabilah dan keturunan mereka telah terpecah-pecah kepada beberapa puak tetapi yang terkenal daripada kalangan mereka ialah dua kabilah, iaitu:

  1. Himyar – suku Arab yang paling terkenal dalam kalangan kabilah ini ialah Zayd al-Jumhur, Qudaah dan Sakasik.
  1. Kahlan – suku Arab yang paling terkenal dalam kalangan kabilah ini ialah Hamdan, Anmar, Tayyi, Mudhhaj, Kindah, Lakhm, Judham, Al-Azd, Al-Aus, Al-Khazraj serta keturunan Jafnah dari golongan raja-raja Syam.

Suku Kahlan telah berhijrah meninggalkan Yaman dan mereka tersebar di  segenap pelosok Tanah Arab. Penghijrahan mereka secara besar-besaran berlaku ketika hampir berlaku banjir Arim. Perpindahan ini berpunca dari kegagalan mereka dalam lapangan perdagangan akibat tekanan Empayar Rom yang menguasai laluan perdagangan laut. Empayar Rom juga telah merosakkan laluan perdagangan darat setelah mereka berjaya menjajah negara Mesir dan Syam.

Tidak menghairankan, persaingan antara suku-suku Kahlan dan suku-suku Himyar telah mengakibatkan pengusiran suku Kahlan. Ini dapat dibuktikan dengan kekalnya suku Himyar di Yaman serta terusirnya suku Kahlan.

Golongan imigran dari suku-suku Kahlan boleh dibahagikan kepada empat kumpulan:

  1. Al-Azd: Penghijrahan mereka diketuai oleh ketua mereka iaitu Imran bin Amru Muzayquba. Mereka telah berpindah-randah ke merata tempat dalam negeri Yaman di samping mengutuskan perintis-perintis keluar. Setelah itu, mereka bergerak menuju ke arah utara. Secara terperinci, tempat-tempat yang mereka diami selepas perpindahan terakhir ialah:

Thalabah bin Amru dari suku Al-Azd memilih untuk berpindah ke Hijaz lalu menetap antara Thalabiyyah dan Dhi Qar. Setelah anak lelakinya dewasa, dia pun mula bergerak menuju ke Madinah. Di sana, dia menjadikan Madinah sebagai tempat kediaman dan bermastautin. Antara keturunan Thalabah ialah Al-Aus dan Al-Khazraj, iaitu anak lelaki Haithah bin Thalabah.

Dari keturunan mereka kemudiannya, berpindah pula Harithah bin Amru (dikenali dengan nama Khuzaah) serta anak-anaknya ke kawasan-kawasan perkampungan Hijaz sehingga akhirnya mereka singgah di Mar al-Zahran. Setelah itu, mereka membuka penempatan di Tanah Haram dan meneroka pembukaan Makkah serta mengusir penduduk peribuminya iaitu kabilah-kabilah Jurhum.

Imran bin Amru singgah di Oman serta bermastautin di sana bersama-sama anak-anaknya. Mereka inilah yang membentuk suku Azd Oman. Kabilah-kabilah Lafr bin al-Azd pula menetap di Tihamah di mana mereka membentuk suku Azd Syanuah.

Jafnah bin Amru bergerak menuju ke Syam lalu menetap di sana bersama-sama anak-anaknya. Beliau merupakan nenek moyang kepada raja-raja Ghassan. Nama Ghassan diambil dari nama lembah di Hijaz yang dikenali dengan nama Lembah Ghassan, di mana di situlah tempat yang mereka singgahi terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Syam.

  1. Lakh dan Judham: Antara yang terkenal daripada kalangan suku Lakham ialah Nasr bin Rabiah, iaitu asal keturunan raja-raja di Hirah.
  1. Bani Tayyi: Setelah suku Azd bergerak menuju ke sebelah utara, Bani Tayyi bergerak dan singgah di antara dua bukit iaitu Aja dan Salma lalu menetap di sana. Akhirnya kedua-dua bukit ini dikenali sebagai Bukit Tayyi.
  1. Kindah: Suku ini bergerak ke Bahrain tetapi kemudiannya terpaksa meninggalkan Bahrain lalu pergi ke Hadramaut. Di sana mereka mengalami nasib yang sama seperti di Bahrain. Setelah itu, mereka pergi ke Najd. Di sanalah mereka membentuk sebuah kerajaan yang besar, akan tetapi tidak lama kemudian, kerajaan itu lenyap bersama-sama kesan-kesan sejarahnya sekali.

Di sana terdapat satu kabilah dari Himyar di samping terdapat percanggahan mengenai bagaimana mereka dinisbahkan kepada Himyar. Kabilah itu ialah Qudaah yang berhijrah meninggalkan Yaman serta bermastautin di Badiyah al-Samawah yang termasuk dalam senarai tempat-tempat terkenal di Iraq.

Orang Arab Mustaribah pula adalah nenek moyang mereka yang berasal dari Sayidina Ibrahim a.s yang berasal dari negara Iraq, iaitu dari sebuah kampung yang dikenali sebagai Ar. Kampung ini terletak di persisiran barat Sungai Furat berhampiran dengan Kufah. Hasil penemuan dan cari gali sejarah menunjukkan banyak penjelasan mengenai perkampungan ini serta mengenai keluarga Nabi Ibrahim a.s. Penemuan itu juga turut menyingkap mengenai hal ehwal keagamaan dan sosial negara tersebut.

Seperti yang diketahui, Nabi Ibrahim a.s telah berhijrah meninggalkan Iraq untuk menuju ke Haran atau Hirran. Dari Hirran, Nabi Ibrahim a.s bertolak ke Palestin lalu menjadikan tempat itu sebagai pusat dakwahnya. Nabi Ibrahim a.s banyak mengembara ke segenap pelosok negara tersebut dan negara-negara lain. Suatu ketika, baginda a.s telah sampai ke Mesir. Di sana, Firaun Mesir ketika itu cuba melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap isteri Nabi Ibrahim a.s, Sarah. Akan tetapi Allah telah menggagalkan cubaan Firaun. Firaun akhirnya mengetahui bahawa Sarah ialah seorang yang mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah. Sebagai mengiktiraf kemuliaan Sarah, Firaun telah menghadiahkan anak perempuannya, Hajar, untuk menjadi pelayan Sarah.  Kemudian, Sarah mengahwinkan Hajar dengan Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ibrahim a.s kembali ke Palestin. Allah mengurniakan cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Hajar, iaitu Ismail a.s. Kelahiran Ismail a.s menimbulkan rasa cemburu Sarah, lalu Sarah mendesak Nabi Ibrahim a.s mengeluarkan Hajar bersama puteranya (Ismail) yang masih kecil. Nabi Ibrahim a.s membawa Hajar dan Ismail a.s ke Hijaz lalu meninggalkan mereka di sebuah lembah yang kering-kontang dan tiada tumbuh-tumbuhan berdekatan dengan Baitullah al-Muharram yang ketika itu masih merupakan kawasan tanah tinggi seperti busut. Apabila air bah melanda, kawasan itu akan dikelilingi air di kiri dan kanannya.

Nabi Ibrahim a.s telah meninggalkan mereka berdua di sisi sebatang pohon besar di kawasan telaga Zamzam, iaitu kawasan Masjidilharam yang teratas. Pada masa itu Makkah belum lagi berpenghuni dan tidak terdapat sumber air. Nabi Ibrahim a.s meninggalkan bersama-sama mereka kantung berisi buah kurma dan bekas air. Kemudian baginda a.s kembali ke Palestin. Hanya beberapa hari kemudian, habislah bekalan air minuman yang baginda a.s tinggalkan. Lalu di situ, terpancarlah mata air Zamzam dengan kurnia Allah. Telaga Zamzam telah menjadi sumber kehidupan kedua-dua beranak Nabi Ibrahim a.s itu. Kisah mengenainya sangat terkenal.

Kemudian datanglah kabilah dari negeri Yaman, iaitu generasi Jurhum yang ketiga, lalu mereka mendiami Makkah dengan kebenaran ibu Ismail a.s. Dikatakan bahawa kabilah tersebut sebelum itu hidup berpindah-randah di sekitar lembah-lembah Makkah. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, menyebutkan secara jelas bahawa kabilah Jurhum sampai ke Makkah setelah Ismail a.s terlebih dahulu sampai ke sana dan sebelum Ismail a.s dewasa, tetapi sebelum itu mereka pernah melalui kawasan lembah tersebut.

Nabi Ibrahim a.s berangkat menuju ke Makkah dari semasa ke semasa untuk mengunjungi anak dan isteri baginda. Namun, tidak dapat diketahui berapa kali baginda a.s berulang-alik ke sana, akan tetapi sumber-sumber sejarah hanya merakamkan empat kali baginda a.s berkunjung ke tempat itu.

Di dalam al-Quran, Allah menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s telah bermimpi menyembelih anaknya, Ismail a.s. Lantas baginda a.s segera menyahut perintah tersebut. Akan tetapi, tatkala baginda a.s telah bersedia untuk menyembelih puteranya itu, Allah menebus korbannya dengan seekor kambing kibas yang besar, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan (Nabi) Ibrahim merebahkan anaknya atas pelipisnya. Lalu, Kami menyerunya, ‘Wahai Ibrahim! Engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berbuat baik. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (Al-Saffat: 103-107)

Dalam Taurat, iaitu Kitab Kejadian (Book Of Genesis) ada menyebut bahawa umur Ismail a.s adalah 13 tahun lebih tua daripada Ishaq a.s. Menurut rentetan kisah penyembelihan ini, ternyata bahawa ia berlaku sebelum kelahiran Ishaq a.s kerana berita mengenai kelahiran Ishaq a.s hanya disebut setelah menyebut keseluruhan kisah penyembelihan ini.

Peristiwa penyembelihan ini termasuk dalam salah satu siri pengembaraan Nabi Ibrahim a.s sebelum Ismail a.s dewasa. Tiga pengembaraan yang lain telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan panjang lebar secara marfu’ daripada Ibn Abbas.

Secara ringkasnya, kisah tersebut menyatakan bahawa apabila Ismail a.s dewasa dan mempelajari bahasa Arab daripada kabilah Jurhum, serta peribadi baginda a.s yang menarik perhatian mereka, maka mereka telah mengahwinkannya dengan salah seorang wanita kabilah mereka. Setelah ibu Nabi Ismail a.s meninggal dunia, terlintaslah di hati Nabi Ibrahim a.s untuk mengunjungi anaknya itu. Lalu, baginda a.s pun datang setelah Ismail a.s berkahwin. Sesampainya Nabi Ibrahim a.s, Ismail a.s tidak ada di rumah, lalu Nabi Ibrahim a.s bertanyakan isteri Ismail a.s mengenai Ismail a.s dan keadaan hidup mereka berdua. Isteri Ismail a.s mengadu kepada Nabi Ibrahim mengenai kesempitan hidup mereka. Kemudian, Nabi Ibrahim berpesan supaya menantunya memberitahu Ismail a.s agar menukar ambang pintu rumahnya. Ismail a.s mengerti apa yang dimaksudkan oleh bapanya, lalu baginda a.s pun menceraikan isterinya itu, dan berkahwin dengan wanita yang lain pula. Isteri Ismail a.s yang kedua ialah puteri kepada Mudad bin Amru, ketua kabilah Jurhum.

Pada waktu yang lain, Nabi Ibrahim a.s datang semula selepas perkahwinan kedua anaknya tetapi sekali lagi, tidak menemui Ismail a.s. Lalu baginda a.s pulang ke Palestin setelah bertanyakan isteri Ismail a.s mengenai Ismail a.s dan kehidupan mereka berdua, di mana isteri yang kedua ini telah memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Lantaran itu, Nabi Ibrahim a.s berpesan kepada Ismail a.s agar menetapkan ambang pintu rumahnya.

Pada kali ketiga Nabi Ibrahim a.s datang dan dapat bertemu Ismail a.s yang ketika itu sedang berlatih memanah di bawah pohon besar berdekatan telaga Zamzam. Apabila melihat Nabi Ibrahim a.s, Ismail a.s bingkas bangun menyambutnya lalu melayani Nabi Ibrahim a.s sebagaimana seharusnya perlakuan seorang anak terhadap bapanya. Pertemuan mereka kali ini terjadi setelah berlalu masa yang lama. Pastinya pertemuan ini bagi seorang bapa yang telah tua dan pengasih, serta anak yang baik dan soleh, sangat besar ertinya. Dalam pertemuan inilah kedua-dua beranak itu membina Kaabah dan mengangkat tapak asasnya. Dalam pertemuan ini juga Nabi Ibrahim a.s menyeru manusia menunaikan ibadat haji sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.

Allah telah mengurniakan kepada Ismail a.s 12 orang anak lelaki hasil perkahwinan baginda dengan puteri Mudad. Mereka ialah Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadad, Yatma, Yatur, Nafis dan Qayduman. Daripada kesemua anak Ismail a.s ini, lahir 12 kabilah yang kesemuanya dalam satu masa pernah mendiami Makkah. Sumber kehidupan mereka yang utama ialah berdagang dari negeri Yaman ke negeri Syam dan Mesir. Setelah itu, kabilah-kabilah ini bertebaran di seluruh Semenanjung Arab. Malah, ada yang sampai ke kawasan luarnya. Dengan berlalunya masa, berita mengenai keturunan mereka pupus sedikit demi sedikit, melainkan anak-pinak Nabit dan Qaydar.

Tamadun orang Nubti (Nabaten) di utara Hijaz mula gemilang. Mereka telah berjaya membentuk kerajaan yang kuat sehingga kawasan-kawasan yang berdekatan semuanya tunduk kepadanya. Mereka menjadikan Batra sebagai ibu negeri. Kekuatan mereka tidak dapat ditewaskan oleh sesiapa pun sehinggalah angkatan tentera Rom datang dan berjaya mengalahkan mereka. Al-Sayyid Sulayman al-Nadawi setelah melakukan kajian yang mendalam serta analisis yang terperinci merumuskan bahawa raja-raja Dinasti Ghassan dan orang Ansar yang terdiri dari kaum Aus dan Khazraj bukanlah berasal dari keturunan Qahtan. Sebaliknya, mereka berasal daripada keturunan Nabit bin Ismail serta anak cucu mereka yang masih ada di tempat tersebut.

Anak-pinak Qaydar bin Ismail pula masih terus menetap di Makkah meneruskan kesinambungan zuriat mereka di sana. Di antara mereka yang berasal dari keturuan Qaydar ialah Adnan dan anaknya Maad. Daripada Adnan inilah orang Arab Adnan mendapat nasab mereka. Adnan ialah datuk yang ke-20 dalam salasilah nasab Rasulullah SAW. Ada disebutkan di dalam hadis bahawa apabila Rasulullah SAW disebutkan mengenai nasabnya dan apabila sampai kepada nama Adnan, Baginda SAW menahannya sambil berkata, “Para ahli nasab itu berbohong. Maka, janganlah kamu melepasinya (Adnan)”. Sekumpulan ulama berpendapat bahawa hadis yang disebutkan berkaitan larangan itu adalah hadis yang daif (lemah). Mereka mengatakan bahawa zaman antara Adnan dan Nabi Ibrahim a.s diselangi oleh 40 orang bapa menurut satu analisis terperinci.

Keturunan Maad daripada anaknya Nizar telah berpecah ke merata tempat (dikatakan bahawa Maad hanya mempunyai seorang anak sahaja iaitu Nizar). Nizar mempunyai empat orang anak. Daripada empat orang anak ini lahirlah empat kabilah yang besar iaitu Iyad, Anmar, Rabiah dan Mudar. Rabiah dan Mudar mempunyai anak yang ramai dan keturunan mereka pun bercambah dengan banyaknya. Anak-anak Rabiah ialah Asad bin Rabiah, Anzah, Abdul Qays, dua orang anak Waail iaitu Bakr dan Taghlib, Hanifah dan selainnya.

Kabilah-kabilah Mudar pula telah berpecah kepada dua rumpun yang besar iaitu Qays Aylan bin Mudar dan anak cucu Ilyas bin Mudar. Kabilah-kabilah yang lahir daripada Qays Aylan ialah Bani Sulaym, Bani Hawazin dan Bani Ghatfan. Di antara keturunan Ghatfan ialah Abas, Dhibyan, Asyja dan Ghaniy bin Asar.

Mereka yang daripada keturunan Ilyas bin Mudar ialah Tamim bin Murrah, Hudhayl bin Mudrikah, Bani Asad bin Khuzaymah dan anak cucu Kinanah bin Khuzaymah. Daripada Kinanah inilah lahirnya Bani Quraisy. Bani Quraisy merupakan anak cucu Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah.

Bani Quraisy pula terbahagi kepada banyak kabilah. Antara yang paling dikenali ialah Jumah, Sahm, Adiy, Makhzum, Tayyim, Zuhrah, anak cucu Qusay bin Kilab iaitu Abdul Dar bin Qusay, Asad bin Abdul Uzza bin Qusay, dan Abdul Manaf bin Qusay. Abdul Manaf mempunyai empat orang anak iaitu Abd Shams, Nawfal, al-Muttalib dan Hashim. Daripada keluarga Hashim inilah Allah memilih Nabi-Nya, Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Muttalib bin Hashim.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memilih daripada anak Ibrahim akan Ismail dan daripada anak Ismail akan Kinanah. Daripada anak-anak Kinanah, Allah memilih Quraisy. Dan daripada Quraisy, dipilih-Nya anak-pinak Hashim, dan aku dipilih daripada anak-pinak Hashim.”

Diriwayatkan daripada al-Abbas bin Abd al-Muttalib, katanya, “Rasulullah bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya lalu dijadikan aku yang terbaik antara kumpulan-kumpulan makhluk dan yang terbaik antara dua kumpulan. Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah lalu dijadikan aku daripada kabilah yang terbaik; kemudian Allah memilih keluarga-keluarga lalu dijadikan aku daripada keluarga yang terbaik, maka akulah yang terbaik jiwanya dan keluarganya di kalangan mereka.”

Apabila anak-pinak Adnan semakin ramai, mereka berpecah ke merata tempat di seluruh pelosok negara Arab, asalkan ada tempat sumber air dan tanam-tanaman. Lantaran itu, Abdul Qays, anak-pinak Bakr bin Waail dan anak-pinak Tamim berhijrah ke Bahrain dan menetap di sana.

Bani Hanifah bin Saab bin Ali bin Bakr keluar ke Yamamah dan tiba di Hijr, iaitu sebuah kampung di Yamamah. Seluruh keturunan Bakr bin Waail menetap di sepanjang bumi Yamamah sehingga ke Bahrain, Sayf Kazimah, al-Bahr dan kemudiannya ke merata tempat di Iraq, Ublah dan Hayt.

Bani Taghlib pula menetap di Semenanjung Furat. Dari situlah lahirnya anak cucu yang bercampur dengan keturunan Bakr. Sementara itu, Bani Tamim pula menetap di kawasan pedalaman Basrah. Bani Sulaym mengambil tempat kediaman mereka berdekatan dengan Madinah, bermula dari Wadi al-Qura sehingga ke Khaibar, seterusnya ke timur Madinah berdekatan sempadan antara dua bukit dan berakhir di al-Jarrah. Bani Thaqif pula menetap di Taif; Bani Hawazin di timur Makkah, iaitu di pinggiran Awtas – di antara Makkah dan Basrah.

Bani Asad menetap di timur Tayma dan di barat Kufah. Antara dua tempat itu diselangi oleh perkampungan Buhtar daripada Bani Tayyi, dan jarak antara tempat mereka dengan Kufah ialah lima hari perjalanan. Bani Dhibyan pula menetap berhampiran dengan Tayma, iaitu arah yang menuju ke Hawran.

Yang tinggal di Tihamah ialah anak cucu Kinanah. Daripada anak cucu Kinanah itu, keturunan Quraisy menetap di Makkah dan kawasan pinggirannya. Kehidupan mereka berpecah-pecah tanpa disatukan oleh suatu kesatuan sehinggalah muncul Qusay bin Kilab yang berusaha menyatupadukan mereka sehingga keturunan ini mendapat kedudukan yang mulia dan terhormat.

Oleh: Safiyyu al-Rahman al-Mubarak

Bersambung—> PEMERINTAHAN DAN AMIRIAH DI TANAH ARAB

No Comments

    Leave a reply