Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar Al Agha bagaima­napun menasihati mereka supa­ya lebih berhati-hati berikutan kejadian pembunuhan yang membabitkan seorang rakyat negara berkena­an kelmarin.

Dalam masa sa­ma katanya, semua rakyat Pa­lestin yang mene­tap di negara ini diminta supaya meningkatkan soal keselamatan diri masing-ma­sing dan segera berhubung de­ngan pihak berkuasa jika merasakan nyawa mereka terancam.

“Tidak dinafikan mereka kini perlu berhati-hati walaupun negara yang didiami ini (Malaysia) sebenarnya begitu stabil, aman dan bebas bergerak tanpa perlu berasa bimbang.

“Saya percaya tiada rakyat Palestin di sini yang mempunyai sebarang perancangan buruk kepada mana-mana pihak namun kejadian pembunuhan Dr. Fadi Mohammed Al Batsh kelmarin benar-benar sukar untuk diperjelaskan.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, Fadi, 35, yang juga bapa kepada tiga orang anak maut di hadapan kediamannya di Kondominium Idaman Puteri di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak akibat ditembak oleh dua lelaki bermotosikal dipercayai warga asing.

Allahyarham merupakan seorang imam dan Pensyarah Kanan Kejuruteraan Elektrik di salah sebuah universiti swasta di ibu kota.

Pihak Israel dalam reaksinya menafikan agensi perisikan negara itu, Mossad terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau percaya polis negara ini mampu mengheret pembunuh terbabit ke muka pengadilan.

“Biarlah Israel dengan dakwaan mereka, kita semua mengenali mereka kerana yang pen­ting bagi mewakili seluruh rakyat Palestin kita berharap kerajaan Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa yang lain, pembunuh sebenar dapat dikenal pasti.

“Justeru saya merayu kepada mana-mana pihak termasuk rakyat Palestin yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini segera menghubungi polis bagi membantu siasatan.

“Mereka tidak perlu bimbang kerana polis pasti menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat,” katanya.

Menurut Anwar, pihaknya kini giat berusaha bagi membawa pulang jenazah Fadi serta ahli keluarganya di sini ke Gaza.

“Kita berharap ia tidak akan memakan masa yang lama terutama bagi mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa Mesir membawa pulang jenazah melalui pintu masuk Rafah di sempadan Mesir dan Gaza,” katanya.

Sementara itu katanya, ahli keluarga terutama isteri Allahyarham, Enaaz Al Batsh masih dalam keadaan terkejut dan bersedih namun mendapat kekuatan melalui doa dan sokongan dari seluruh rakan warga Palestin serta rakyat negara ini.

“Lebih-lebih kita semakin hampir untuk menyambut bulan Ramadan, kehilangannya tentu sangat dirasai tidak sahaja oleh ahli ke­luarga, malah seluruh rakyat negara ini terutamanya yang mengenali Allahyarham,” katanya.