KEKUASAAN CENDERUNG UNTUK MENYELEWENG

Hari ini untuk memilih seorang pemimpin yang benar-benar kuat dan amanah agar sukar kerana tidak mudah terhimpun dalam diri seorang kedua sifat tersebut secara sempurna. Tetapi Kalaupun harus memilih, maka pilihlah yang paling sedikit kekurangannya, dan lakukan pilihan setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik. 

Ketika Imam Ahmad Ibnu Hanbal ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan yang pertama kuat tetapi bergelumang dalam dosa dan yang kedua baik keberagamaannya namun lemah beliau menjawab: Orang pertama, dosanya dipikulnya sendiri sedangkan kekuatannya mendukung kepentingan umat; dan orang kedua keberagamaannya untuk dirinya sedangkan kelemahannya menjadi petaka bagi yang dipimpin. Inilah pertimbangan dalam menetapkan pilihan.

Keinginan untuk menjadi pemimpin politik bukan kerana kemewahan yang dijanjikan. Teladan dari Muhammad s.a.w. sebagai seorang suami kepada seorang pedagang kaya yang bernama Khadijah, namun segala harta kekayan itu habis digunakan untuk perjuangan menegakkan agama Islam.

Kehadiran Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin politik jika yang dingini itu sekadar harta kekayaan atau inginkan kehormatan dan kemuliaan, hatta untuk jadi raja, adalah tidak sulit semua itu. Namun hakikat bukan serendah itu cita-citanya dan keinginan Nabi s.a.w. kerana itu semua akan menghalang misi dakwahnya. Ingatlah dalam ilmu politik ada istilah power tends to corrupt, yang bermaksud kekuasaan cenderung kepada penyelewengan. Maknanya pengertian kepimpinan itu sendiri adalah kekuasaan di mana ia boleh membawa seseorang itu lupa diri sehingga mengabaikan segala yang dijanjikan dan dicita-citakan. Akhirnya kehancuranlah yang akan diterimanya.

Justeru Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya kepimpinan itu akan menjadi kedudukan yang diperebutkan di antara kamu dan pada hari Kiamat kelak hal itu akan menjadikan kamu penuh penyesalan
(Hadis Riwayat Bukhari)

Kepimpinan yang lahir hasil dari kesulitan dan pengorbanan yang tulus sepertimana Nabi s.a.w. dengan penuh sabar menghadapi para pengikutnya yang disiksa dengan kejam, yang memungkinkan orang lain tidak berdaya untuk menanggung beban kepimpinan seperti itu. Inilah kepimpinan yang lahir dari satu proses yang tersendiri, kental sehingga terbentuk keperibadian tulin dan bukan keperibadian yang terbentuk dari hasil pengaruh kekayaan atau kerana pengaruh dalaman atau kronisma .

Imam Ghazali pernah menyatakan, Apabila suatu tujuan teramat suci dan mulia, sukarlah jalan yang harus ditempuh, dan banyaklah penderitaan yang akan ditemui di tengah jalan. Namun realiti tidak banyak pemimpin yang benar-benar berjiwa besar tapi lebih kepada besar nafsunya. Yang banyak dibicara ialah tentang projek itu dan ini, isteri berapa, dan yang dikira ialah harta kekayaan yang dimilikinya. Jauh sekali untuk mengambil secebis iktibar dari kehidupan Nabi s.a.w. yang sekadar tidur di atas tikar walhal ia adalah pemimpin besar jazirah Arab yang disegani pihak Romawi dan Persia.

Memang tidak dinafikan fitrah manusia sukakan benda-benda cantik dan mewah. Jika ia meninggalkan semua ini bererti ia melawan fitrahnya sendiri.

Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu, wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).
(Maksud surah Ali-Imraan ayat 14)

Tuntutan mencintai ini semua harus berlandaskan ajaran agama bukan hawa nafsu. Tidak sedikit pemimpin hari ini melaksanakan dorongan fitrahnya melalui jalan yang salah kerana niat awalnya lagi telah salah dan bertujuan kepentingan diri daripada membantu orang yang di bawah pimpinannya.

Harta, memang penting tapi kita harus menyedari bahawa harta hanya merupakan kelengkapan hidup, bukan tujuan hidup kerana kehidupan itu sendiri tidak lain adalah untuk mencari keredhaan Allah.

Bagi pemimpin yang hatinya telah dipatrikan Allah s.w.t., kemewahan menjadi matlamat utamanya. Dengan sedikit kekuasaan di tangan itu ia boleh melakukan 1001 tipu daya dengan modus utamanya mengeksploitasi rakyat demi kepentingan diri. Di dalam keadaan seperti ini rakyat bagaikan lembu dicucuk hidungnya, ditarik-tarik lehernya ke sana ke mari semahunya. Segala hajat hidupnya dihitamputihkan oleh sekelompok manusia yang disebut Allah s.w.t. sebagai para penguasa yang melakukan kejahatan, juga kerap disebut dengan orang-orang yang hidup mewah.

Pengaruh golongan ini cukup kuat dalam membentuk watak manusia agar menghormatinya. Jika ada siapa yang berani menentangnya maka orang-orang yang berjaya dibelinya itu akan mempertahankannya dan ikut sama menentang. Bahkan tidak sedikit yang rela mati untuk membela para tuannya, yang tak lain para pemeras keringatnya.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan para pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan para ulama mereka menangani hukum dengan adil, Juga Allah jadikan harta benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum maka Dia menjadikan para pemimpin mereka orang-orang yang berakhlak buruk. Dijadikan-Nya orang-orang bodoh yang menangani hukum dan peradilan, dan harta benda dikuasai orang-orang yang kedekut.
(Hadis riwayat Ad-Dailami)

Lebih ditakuti lagi ialah peringatan Nabi s.a.w. dalam satu sabdanya yang bermaksud:

Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila telah turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk dari bangkai.
(Hadis riwayat Athabrani).

Kepimpinan yang baik ialah yang dapat menunaikan atau melaksanakan keperluan masyarakat. Jangan kita mencemuh orang-orang yang menunggu di depan pintu rumah kita untuk sesuatu keperluan. Waspadalah ktia dari sifat buruk ini. Jika seseorang telah datang kepada anda kerana suatu kepentingan, maka janganlah kita menyibuk diri dengan hal-hal lain seperti buat-buat sibuk dengan ibadah sunnah.

Jika seorang pemimpin tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar, maka para pelaku maksiat dan orang yang durhaka akan berani serta bersemangat untuk berbuat kejahatan dan kerosakan. Oleh kerana itu sifat asasi yang harus dimiliki seorang pemimpin yang direstui Allah dan dikukuhkan kekuasaannya adalah pemimpin melaksanakan amar makruf dan melarang kemungkaran.

Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.
(Surah Al-Hajj ayat 40-41)

Dalam memilih pemimpin yang baik Al-Quran telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan awal manusia, termasuk persoalan menjawab Siapakah yang layak kita pilih. Dalam hal ini Al-Quran membicara dua sifat utama yang harus dimiliki bagi seseorang yang dipertanggungjawab memikul sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal-hal masyarakat.

Contoh yang jelas ialah perlantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kerajaan Mesir oleh rajanya dan diabadikan pula oleh Al-Quran.

Sesungguhnya engkau menurut penilaian Kami adalah seorang yang kuat lagi dipercayai.
(Al-Quran surah Yusuf ayat 54)

Kelalaian melaksanakan kewajipan ini bermakna pemimpin tersebut telah mengkhianati amanah Allah dan mensia-siakan rakyatnya.

Bencana yang paling mengerikan ialah bergelumangnya para penguasa yang menyalahi syariat dan telinga-telinga mereka tertutup bagi setiap pemberi nasihat dan pemberi petunjuk.

Kita harus waspada dan jangan sampai termasuk ke dalam golongan yang disebut Allah dalam firmannya yang bermaksud:

Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke Neraka dan pada hari Kiamat mereka tidak akan ditolong.
(Al-Quran Surah Al-Qasas ayat 41)

Lebih dahsyat lagi Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Pada hari Kiamat di datangkan seorang laki-laki, lalu di lemparkan ke dalam neraka, usus dari perutnya terburai, lalu dia berputar seperti keldai yang berputar di sekitar penggilingan. Para penghuni neraka mengerumuninya dan berkata, wahai Fulan, mengapa kamu seperti ini? Bukankah kamu memerintahkan kepada kebaikan dan melarang kemungkaran? Dia berkata: Ya, saya memerintahkan kebaikan, namun saya sendiri tidak melakukannya dan saya melarang kemungkaran namun saya juga melakukannya.

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply