KEKUASAAN ITU SATU GODAAN

Seorang pemimpin yang ideal ialah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya. Selagi mandat atau amanah yang diletakkan di bahu pemimpin itu tidak ditarik balik oleh rakyat, selagi itu lah pemimpin dituntut melangsaikan segala kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seorang pemimpin juga perlu mempunyai kekentalan jiwa dan kecekalan semangat untuk menggalas segala cabaran dan dugaan yang timbul.

Hakikatnya, menjadi pemimpin itu tidak mudah. Seorang pemimpin tidak hanya bermodalkan populariti atau berjawatan tinggi. Pemimpin yang hebat juga tidak hanya mendapat mandat daripada orang-orang yang berada di dalam lingkaran kekuasaannya. Seorang pemimpin juga tidak semata-mata memperolehi kepercayaan daripada orang ramai yang diperolehinya melalui mekanisme demokrasi sebagaimana yang diamalkan di dunia moden hari ini.

Memperhatikan carut-marutnya keadaan politik negara dewasa ini di mana perasaan ego dan prestij adalah segala-galanya, ada baiknya kita mengambil iktibar yang dicontohkan Sayyidina Ali pada masa menjadi khalifah. Suatu hari, Ali kehilangan baju perangnya dan setelah puas mencari ke merata tempat, akhirnya baju tersebut dijumpai dipakai oleh penduduk yang beragama Nasrani.

Ali segera memfailkan kes ini ke muka pengadilan dan menuntut orang Nasrani itu dihukum atas kesalahan mencuri baju. Dalam perbicaraan kes, Ali di hadapan hakim mengatakan “baju itu tidak pernah aku jual atau beri kepada sesiapa”. Hakim kemudian bertanya ke orang Nasrani “ Khalifah mendakwamu telah mencuri baju perang itu.” Orang Nasrani itu menjawab “baju ini kepunyaanku. Ini tidak bermakna aku mengingkari kekhalifahannya, tetapi tidak mustahil ia (Ali) melakukan kesalahan”.

Hakim berkata kepada Ali “ orang yang anda tuduh membantah dakwaan anda. Sesuai dengan ketentuan hukum, anda perlu mendatangkan saksi bagi membuktikan dakwaan anda”. Ali dengan tenang berkata, “malangnya, saya tidak mempunyai saksi”. Atas pengakuan jujur Ali itu, Hakim menolak dakwaan Ali dan memutuskan memenangkan orang Nasrani. Baju perang itupun dinyatakan milik orang Nasrani.

Dalam perjalanan balik setelah perbicaraan di mahkamah, orang Nasrani itu termenung dan hati nuraninya berkata bahawa baju perang itu bukan miliknya. Fitrah kemanusiaannya terusik sehingga ia memutuskan untuk menjumpai balik hakim dan mengakui bahawa baju perang itu bukan miliknya. Di hadapan hakim ia berkata “sikap khalifah Ali dalam menghadapi sesi perbicaraan dan cara hakim mengendalikan kes mahkamah ini bukanla cara pemerintahan manusia biasa. Ini pasti cara pemerintahan yang mendapatkan bimbingan Allah dan Nabi”.

Tidak lama setelah itu, tersebar berita bahawa beliau telah mengucapkan kalimat syahadat dengan penuh keyakinan. Orang Nasrani tersebut amat terkesan dengan kejujuran dan ketaatan Al terhadap undang-undang. Meskipun Ali merupakan seorang ketua negara, akan tetapi beliau tidak menyalahgunakan kekuasaannya. Sebaliknya, tunduk dan patuh kepada kedaulatan perundangan sehingga hati dan nuraninya mengakui kebenaran ajaran Islam yang dianut Ali. Si Nasrani akhirnya memutuskan masuk Islam dan menjadi rakyat yang taat bukan kerana takut kepada kekuasaan Ali, akan tetapi kerana kebenaran yang dibawa oleh khalifah.

Iktibar daripada peristiwa itu yang dapat kita petik ialah bahawa kejujuran dan integriti pemimpin sebagaimana yang dicontohkan Ali amat menentukan sikap dan pandangan masyarakat terhadap kewibawaan pemimpin kerajaan. Kesediaan pemimpin untuk mengakui kelemahan dirinya sendiri bermakna menunjukkan ia bertindak jujur. Kejujuran dan mengakui kelemahan seorang pemimpin dalam konteks ini akan memberi tindak balas yang positif daripada rakyat. Nurani masyarakat akan mengatakan ciri-ciri pemimpin seperti ini lah yang sepatutnya disokong. Bukan seorang pemimpin yang berani berbohong kerana takut sokongan akan terjejas.

Dalam hal ini, hujjatul Islam Imam al-Ghazali menegaskan bahawa kekuasaan dan kekuataan yang ada dalam diri seorang pemimpin mestilah berteraskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seorang pemimpin mestilah mengakhirkan kepentingan dirinya sendiri atau keluarganya dan mendahulukan keperluan rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu rakyatnya demi kekuasaan atau jawatan yang digenggamnya, maka sesungguhnya ia mempertaruhkan institusi negara menuju kemusnahan dan kerosakan yang bakal menimpa.

Al Ghazali memberi amaran bahawa kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan rosaknya pemimpin. Sehebat dan semaju manapun keadaan negara itu, bila dipimpin oleh seorang individu yang rosak, maka negara itu akan terdedah kepada kerosakan dan kehancuran. Begitu juga dengan rakyatnya yang meskipun mempunyai kepakaran dan kecemerlangan, akan mengalami kerosakan jiwa jika dipimpin oleh penguasa yang rosak. Punca pemimpin rosak ialah kerana dikuasai oleh duniawi (harta dan wang) yang membutakan mata hatinya sehingga tidak akan mampu melayan dan mendekati rakyat kecil.

Seorang pemimpin atau setiap orang Islam berhak untuk mengumpulkan kekayaan. Menurut al Ghazali lagi, seorang yang zuhud, bukanlah seorang yang sama sekali tidak mengharapkan kekayaan dunia, akan tetapi orang zuhud ialah orang yang boleh menguasai kekayaan yang dimilikinya dan bukan dikuasai oleh kekayaannya. Bukan diperhamba oleh harta duniawi meskipun ia ditakdirkan sebagai orang terkaya di dunia. Justeru ia memerlukan syariat Islam sebagai garis panduan untuk mengawal dan menguasai kecenderungan membolot harta dunia.

Pelajaran lain yang dapat diambil dalam keteladanan pemimpin ialah sebagaimana yang dicontohkan khalifah lain iaitu Abu Bakar dan Umar bin Khattab. Sejarah mencatat bahawa selama dua tahun tiga bulan menjadi khalifah, Abu Bakar hanya menghabiskan perbelanjaan sebanyak 800 dinar. Begitu pun Umar bin Khattab yang kerap membuat pinjaman kepada Baitulmal bagi memenuhi keperluan hariannya. Sebagai satu negara yang membentang dari tanah Jazirah Arab sehingga ke Parsi, corak kepimpinan yang berintegriti dan amanah ini sebagai satu contoh yang luar biasa. Sukar untuk membayangkan keteladanan khalifah ini boleh dicontohi oleh pemimpin negara manapun pada hari ini.

Salah satu faktor penting dalam kejatuhan kuasa atau tamadun dunia ialah berpunca daripada harta (wang). Ibnu Khaldun, bapa sosiologi dan sejarahwan tersohor berpendapat, kekuasaan berkait rapat dengan godaan, kemegahan, harta dan wanita. Makin tinggi pencapaian atau posisi seseorang, baik sebagai pemimpin di sektor pemerintahan mahupun pemimpin masyarakat, bertambah banyak godaan. Justeru, sejarah banyak merakam jatuh bangun pelbagai bangsa seiring dengan kemampuan dan ketidakmampuan pemimpin dalam menghadapi sebarang godaan kekuasaan.

Perkara ini turut disentuh oleh pakar sejarah Islam terkemuka Dr Raghib al-Sirjani dalam karyanya Qishatu al-Andalus min al Fath ila al Suquth yang menyatakan bahawa keruntuhan tamadun Andalusia disebabkan silau dengan harta. Para penguasa ini tenggelam dalam kemewahan, cintakan nafsu duniawi dan bergelimang dengan kemaksiatan. Akibatnya, mereka menjadi leka dan mula melupakan tugas. Mereka juga mula meninggalkan ruh jihad fi sabilillah yang sesungguhnya menjadi kekuatan pasukan tentera Islam dalam menaklukkan Andalusia.

Hakikatnya, menurut Dr Raghib kemenangan pasukan muslim yang kemudian berjaya menubuhkan tamadun Islam di bumi Eropah selama emat ratus tahun itu bukan terletak di dalam kekuatan ketenteraan, banyaknya jumlah tentera dan hebatnya senjata yang mereka miliki, akan tetapi kemenangan itu diperolehi kerana faktor ketakwaan. Jika kaum muslim dan khasnya penguasa berani melanggar perintah agama, menjauh dari Tuhannya dan meninggalkan manhaj Rasulullah, maka mereka akan ditimpa kebinasaan, kehinaan dan kenistaan.

Apa yang diluahkan oleh Ibnu Khaldun ternyata berlaku dalam masyarakat hari ini. Ibnu Khaldun menyaran kepada penguasa atau pemimpin yang berkuasa agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Beliau yang juga pernah dilantik sebagai elit pemerintahan, memperhatikan fenomena ini berlaku sejak zaman-zaman sebelumnya, iaitu kekuasaan secara automatik mengandungi godaan.

Menurut Ibn Khaldun ada tiga jenis godaan; pertama, kekuasaan itu secara langsung boleh menimbulkan godaan terhadap kemegahan diri apabila sering disanjung dan dipuja. Ia sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan. Justeru pemimpin seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kekuasaan yang ada padanya.

Kedua, godaan itu berkaitan dengan harta dan wang. Entah kenapa, jika seseorang itu memiliki kekuasaan, harta dan wang itu bagaikan datang ke rumahnya secara benar atau tidak benar. Soal agama bukan lagi menjadi sandaran, sebaliknya harta dan wang itu merupakan jaminan untuk dia mempertahankan kekuasaan itu.

Ketiga, kekuasaan itu menggoda seorang pemimpin dalam bentuk lain. Wanita turut serta menggoda dalam rangka kekuasaan itu. Apakah diberikan oleh orang lain ataupun dicari sendiri, namun ada saja wanita yang turut dalam godaan ini.

Ramai juga pemimpin jatuh angkara pembodek yang mempunyai hubungan dengan penguasa tanpa sekatan dan kawalan. Para pembodek ini, tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap keselematan negara, memberi masukan dan makulmat yang salah kepada pemimpin. Malangnya, ramai pemimpin menerima bulat-bulat segala maklumat yang diberikan oleh pembodek tanpa proses pengesahan dan kaji selidik terlebih dahulu sehingga dasar dan keputusan yang dibuatpun belum tentu dilandasi oleh kebenaran.

Justeru politik tidak boleh dipisahkan dengan moral(agama).Politik,kata Al-Marwadi adalah cara untuk mengatur dunia,sementara agama adalah alat untuk mengawal perjalanan politik.Ketika politik dilepaskan dari agama,maka ketika itu nafsu dan keserakahan sosial ahli politik itu akan bermaharajalela.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply