KEMAKMURAN EKONOMI MASYARAKAT MAJMUK

Kemakmuran dan pembangunan luar biasa yang terhasil daripada pengorbanan, inovasi dan bakat mereka ini sepatutnya memberi ilham kepada generasi semasa rakyat Malaysia dan generasi akan datang serta dijadikan iktibar oleh masyarakat pelbagai budaya lain”, Sultan Nazrin Shah, 17 Januari 2017.

Petikan itu menggambarkan bahawa masyarakat majmuk bukanlah penghalang kepada kemajuan ekonomi Malaysia, sebaliknya ia adalah gambaran kekuatan yang perlu dipertahankan dan digalakkan untuk menjana pelbagai transformasi pada masa hadapan. Malaysia, dari sudut sejarah mewarisi budaya majmuk yang tidak bercanggah dengan keperluan agama. Sebelum kedatangan penjajah–Portugis 1511- 1624, Belanda 1624-1824, Inggeris 1824-1945, Jepun dan Inggeris (1945-1511)–Melaka telah muncul sebagai sebuah pelabuhan perdagangan entreport termaju pada abad 15 dan 16.

Perbezaan  ketara ialah ketika Melaka muncul sebagai pusat perdagangan terpenting , yang mempertemukan para pedagang dari timur dan barat, ia berkembang sebagai pusat ‘pertukaran barangan’ dan bukannya sebuah koloni kuasa-kuasa asing. Apabila berkembangnya fahaman ‘penaklukan’,   barat berusaha untuk memperluaskan kuasanya menerusi proses penjelajahan ke pelosok dunia berasaskan doktrin agama dan ekonomi. Kedatangan penjajah ke Tanah Melayu dimulai dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka dan kemudiannya diikuti oleh Belanda. Dua kuasa penjajah Eropah ini tidak berusaha untuk meneroka ke kawasan yang lebih luas di Tanah Melayu, hanya sekadar mengawal, mengurus dan mempertahankan Melaka sebagai pusat perdagangan di samping pengembangan agama Kristian.

Berbeza dengan Inggeris, selepas berjaya mendapatkan Pulau Pinang dari Kedah pada tahun 1786, Inggeris berusaha mengeksploitasi kekayaan sumber alam dan berusaha menempatkan sistem pentadbiran dengan menukarkan dasar yang sedia dilaksanakan oleh pemerintah setempat.  Inggeris juga berhasrat  menguasai dan menyekat pengaruh kuasa penjajah  lain (terutama Belanda dan Perancis), dengan memulakan langkah ‘membahagikan kawasan takluk’ menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda (1824). Perjanjian ini membolehkan Inggeris menguasai keseluruhan Tanah Melayu dan Borneo manakala Belanda menguasai Indonesia.

Permulaan itu menyebabkan ekonomi Malaysia bertukar corak secara drastiknya. Sebelumnya, kegiatan ekonomi adalah secara ‘sara diri’ dan ‘pertukaran barangan’ di samping perubahan dasar di Britain bercorak merkantalisma telah menyebabkan kemasukan kapitalis untuk menerokai sumber alam menerusi penubuhan Syarikat Hindia Timur.  Pada tahun 1750, telah berlaku  perubahan pesat dalam peningkatan keluaran makanan di Britain dan perubahan ini membawa kepada peningkatan penduduk.  Tahun 1701, England dan Wales mempunyai jumlah penduduk seramai 5.5 juta orang dan dalam tempoh 50 tahun kemudian  meningkat kepada 6.2 juta orang. Teknologi mula memainkan peranan dalam mempengaruhi proses pengeluaran secara besar-besaran. Akibatnya, Britain amat memerlukan bahan mentah dan juga pasaran baharu.

Perusahaan tekstil menjadi kemuncak kepada Revolusi Industri di mana hasil perdagangan kapas memunculkan kelompok kapitalis yang kaya raya. Kekayaan itu menyebabkan para kapitalis berusaha untuk mengembangkan perniagaan dengan meneroka bidang-bidang baharu termasuklah  sektor perlombongan dan pertanian, terutama di koloninya.

Percubaan Inggeris membawa biji benih getah ke Kuala Kangsar pada tahun 1877 telah mendorong kepada pembangunan ladang getah pertama di Melaka pada tahun 1902. HN Ridley yang dilantik sebagai Pengarah Taman Botani Singapura pada tahun 1888 dianggap sebagai Bapa Perusahaan Getah Asli apabila  berjaya memperkenalkan sistem torehan bagi mendapatkan hasil susu getah untuk dijadikan latek.

Latek merupakan bahan yang amat diperlukan dalam pembuatan kasut dan tayar. Kasut getah pertama mula dicipta pada tahun 1768 dan tahun 1770, seorang ahli kimia, Priestly berjaya menghasilkan getah pemadam. Tahun 1823, Solomon Mcintosh berjaya menghasilkan kain kalis air dengan campuran getah dan diikuti oleh kejayaan Charles Goodyear yang merintis kepada penciptaan tayar oleh Thomas Hancook (1846) dan John Dunlop pada tahun 1888.

Perkembangan ini menyebabkan Inggeris semakin terdesak untuk menanam lebih banyak pokok getah untuk membolehkan Revolusi Industri di England berkembang maju. Berikutan dengan perkembangan dan penciptaan teknologi turut menyebabkan permintaan terhadap logam bertambah, termasuklah penggunaan timah. Dua komoditi ini merupakan asas ekonomi yang penting kepada Tanah Melayu, dan ianya berjaya dikembangkan oleh British. Sorotan kepada perkembangan ekonomi pada permulaan abad ke-20 selama empat dekad telah membuka minat  Sultan Nazrin Shah  menulis buku  Charting the Economy: Early 2oth Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrasts. Buku tersebut dilancarkan oleh baginda sendiri pada 17 Januari 2017 di sebuah hotel ternama dan baharu dibuka di Kuala Lumpur (Mei 2016).

Menurut baginda, minat untuk menulis buku ini bermula ketika melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran (lulus tahun 1984) di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (dalam bidang Ekonomi Politik dan Kerajaan). Buku ini diterbitkan oleh Oxford University Press tahun lalu. Di samping menyorot perkembangan ekonomi dalam tempoh 40 tahun (1930-1939) , Sultan Nazrin turut meneroka kepada perkembangan model ekonomi selepasnya merdeka yang memunculkan Malaysia  sebagai sebuah negara yang amat bergantung kepada hasil eksport komoditi.

Pemahaman baginda tentang sejarah perkembangan ekonomi negara  membabitkan perbincangan   mendalam dan proses pengumpulan maklumat yang serius telah menjadikan buku ini mudah difahami walaupun pada awalnya saya menganggap ia sebagai sesuatu yang sukar. Andaian ini berdasarkan  latar belakang pendidikan saya. Saya tidak terdidik dalam bidang ekonomi. Bagaimanapun,  kekurangan itu turut membuka minat saya untuk ‘menambah pengetahuan’ kerana  isu-isu ekonomi turut mempengaruhi pemikiran dan cara hidup, yang banyak juga dijadikan bahan eksploitasi politik. Misalnya, kedengaran dakwaan bahawa  ekonomi Malaysia sedang ‘merudum’ dan ‘diramalkan muflis pada bulan September 2016’. Realitinya tidak menjadi dan ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.

Ekonomi Malaysia  berkembang.  Menurut perangkaan,  aktiviti perdagangan negara sepanjang tahun 2016  telah mencatatkan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 1.5 peratus kepada RM 1.49 trilion berbanding sebelumnya RM 1.46 trilion. Nilai eksport (RM 785.93 bilion) melebihi nilai import (RM 698.66 bilion) sebanyak RM 87.27 bilion. Ia secara jelasnya berjaya menolak  pandangan negatif  kerana   Malaysia bukanlah ‘negara bangkrap’ dan tidak terperangkap dengan ‘kegagalan ekonomi’.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, peningkatan jumlah dagangan pada 2016 disumbangkan oleh dagangan lebih tinggi dengan China (RM10.09 bilion), Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Korea Selatan (RM3.56 bilion), Taiwan (RM3.29 bilion) dan Arab Saudi (RM3.04 bilion). Peningkatan juga dicapai dengan Turki (RM2.81 bilion), Hong Kong (RM1.93 bilion), India (RM1.85 bilion), Mexico (RM1.64 bilion), Brazil (RM1.52 bilion), Bangladesh (RM1.48 bilion), ASEAN (RM1.41 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (RM549.6 juta). Peyumbang utama pertumbuhan eksport ialah barangan pembuatan (3.2 peratus) dan pertanian (4.7 peratus). Kedua bidang itu telah berjaya mengimbangi eksport barangan perlombongan.(Rujuk: https://www.utusanborneo.com.my/2017/02/09/dagangan-malaysia-meningkat-kepada-rm149-trilion ).

Ertinya, ekonomi Malaysia yang awalnya bergantung kepada eksport komoditi telah bertukar kepada sektor lain, terutamanya pembuatan dan hasil-hasil pertanian. Bijih Timah, yang suatu ketika merupakan hasil eksport utama tidak lagi menjadi komoditi utama sejak kejatuhan harganya pada tahun 1970-an, pengeluaran bijih timah semakin tidak aktif dan mula digantikan dengan eksport bahan perkilangan (1990-an). (Rujuk: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/9495/bab7.pdf).

Walaupun pengeluaran bijih timah   merosot dengan ketara, getah masih merupakan komoditi eksport Malaysia yang penting. Malaysia pernah menjadi pengeluar getah terbesar di dunia sehingga 1990 dengan mengeksport sebanyak 1.5 juta tan metrik setahun. Selepas tahun 1990, Thailand dan Indonesia menerajui dalam pengeluaran getah dan pada tahun 2014, Vietnam mengambil alih kedudukan Malaysia sebagai pengeluar ketiga terbesar getah antarabangsa. (Rujuk: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140107/ek_03/Vietnam-rampas-kedudukan-Malaysia).

Sejarah kegemilangan awal ekonomi berasaskan komoditi menurut Sultan Nazrin Shah adalah era yang mempunyai kaitan dengan struktur masyarakat majmuk. Kemasukan buruh asing (China dan India)  telah mencerminkan arah aliran ekonomi sehingga kini. Era 40 tahun pertama (awal Abad ke-20) telah mempengaruhi ruang lingkup ekonomi dan nilai-nilai sejarah itu membawa kepada ketidakseimbangan kepemilikan ekonomi (dari aspek kaum dan wilayah) walaupun ianya dilihat pesat berkembang.

Bagaimanapun, buku setebal 234 halaman ini tidak memfokuskan perbincangan mengenai ‘ketidakseimbangan kaum dalam kek ekonomi’, hanya sekadar memberikan tumpuan mengenai asas dan nilai-nilai sejarah yang terbina daripada dasar kolonial itu. Ia membuka ruang pemikiran dan kajian yang lebih besar mengenai kapitalisma, yang hingga kini terus dipersoalkan sebagai kelangsungan kebijaksanaan politik orang Melayu sendiri.

Buku ini mengandungi lima fokus utama iaitu permulaan ekonomi Malaya dan kaitannya dengan penduduk, sejarah jumlah pendapatan negara, peralihan kolonialisma dan pengurusan ekonomi moden selepas merdeka. Tidak banyak dibincangkan mengenai permasalahan ekonomi  selepas merdeka, tetapi sekurang-kurangnya buku ini berjaya memberikan kita suatu gambaran menarik mengenai asas ekonomi yang telah dibina oleh  kolonial,  yang tentunya boleh dijadikan iktibar  seluruh warganegara Malaysia untuk berusaha gigih bagi melepasi sentimen ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi  berpendapatan tinggi.

Salah seorang yang terbabit menyelia pengajian Sultan Nazrin di Universiti Harvard ialah Profesor Dwight H Perkins yang turut hadir dan menulis kata pengantar  buku ini. Menurut Prof H Perkins, “Malaysia adalah antara negara yang ekonominya berkembang pesat pada hari ini untuk mencapai status berpendapatan tinggi. Proses ke arah itu telah bermula seabad yang lalu. Buku ini merupakan peneraju bagi menerangkan secara mendalam daripada aspek asas ekonominya yang asal, berasaskan eksport getah dan bijih timah kepada produk pembuatan.”

Buku ini menarik pembacaan saya sepanjang perjalanan pergi dan balik ke Pulau Pinang sempena cuti Thaipusam yang lalu dalam koc ETS  (9 Januari dan pulang  11 Januari 2017). Saya habiskannya pada hari minggu  (12 Januari 2017). Buku ini memberikan saya ‘pengetahuan baharu’ dan paling menarik ialah  tidak menyebabkan saya tertidur dalam kenyamanan hawa dingin perjalanan pergi dan balik.

Syabas buat Sultan Nazrin kerana berjaya menghubungkaitkan nilai-nilai sejarah dengan asas pembentukan  ekonomi Malaysia, yang bukan suatu hal yang mudah jika tidak membabitkan penyelidikan yang meluas dan mendalam.  Saya ‘terpancing ‘ oleh  gaya bahasa, penggunaan geraf dan perangkaan yang meyakinkan, yang tentunya membantu memahaminya. Lebih berkesan ialah  penerokaan baginda untuk menerangkan kaedah penggunaan  anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai input penting bagi pengukuran pertumbuhan atau kejayaan ekonomi sesebuah negara pada sesuatu masa yang dikaji.

Empat dekad pertama Abad ke-20 bukan sahaja melambangkan kejayaan ekonomi Tanah Melayu dari segi pertumbuhan bahkan  menunjukkan  integrasi antara kaum adalah ramuan terbaik yang wajar dijadikan ‘falsafah bertindak dan kenegaraan’. Mahu tidak mahu kita tidak boleh menolak kepentingan itu kerana Malaysia mewarisi legasi ‘masyarakat majmuk’ daripada penjajah. Dan, kini, mereka (bukan Melayu) adalah sebahagian daripada kita dan  telah memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara.

Tentunya, selepas ini mungkin ada perbincangan lain yang boleh dikembangkan. Dan, tentunya, Transformasi Nasional 2050 boleh mengambil sedikit iktibar daripada perjalanan sejarah ekonomi Malaysia empat dekad awal Abad ke-20 ini untuk mencari formula yang lebih baik dan berkesan, bukannya ‘menebang pokok perpaduan’ yang sudah ‘ditanam dan hidup’ .

Diulas oleh Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply