KEMATANGAN POLITIK DALAM TRANSFORMASI 2050

Tulisan Tan Sri Dr Rais Yatim “TN50 jangan seperti Wawasan 2020”, Mingguan Malaysia, 26 Februari 2017 menarik untuk diulas dan diberikan perhatian oleh semua pihak, dari pembuat dasar hinggalah pihak yang melaksanakannya. Ini kerana semasa Wawasan 2020 dicetuskan pada 28 Februari 1991, iaitu dalam tempoh 26 tahun yang terlalu banyak perubahan yang dialami oleh Malaysia, sama ada dari aspek budaya, ekonomi, perhubungan serantau dan juga budaya politik.

Ketika Wawasan 2020 diumumkan, ramai rakyat Malaysia terpinga-pinga mengenai bentuk dan matlamatnya kerana Tun Dr Mahathir membiarkan ‘ruang kosong’ itu diisi oleh pelbagai perdebatan dan tafsiran. Antara tafsiran popular ialah apakah bentuk Bangsa Malaysia yang hendak dilahirkan; mungkin menggalakkan kahwin campur antara pelbagai etnik kerana penduduk Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama, asal-usul keturunan dan budaya.

Jolokan sinis mula kedengaran, bila perkahwinan campur berlaku maka apakah kategori anak-anak yang dilahirkan. Dari situ pula timbul istilah yang pelbagai, termasuk Cipun (campuran Cina dan Punjabi), Cindia (campuran Cina dan India), Cisli (campuran Cina dan Orang Asal), Yuna (campuran Melayu dan Cina), Melinda (campuran Melayu dan India), dan seterusnya berlaku lagi perkahwinan campur bersilang sehingga benar-benar berjiwa Bangsa Malaysia.

Asas etnik sudah menipis manakala asas agama menjadi semakin bersifat peribadi. Setiap orang boleh memilih agama yang difikirkan sesuai dengan pendirian masing-masing, maka faktor agama dan keturunan semakin tertakluk kepada pilihan. Setelah isu ini menjadi sesuatu yang bersifat ‘kemarahan dan penentangan’ maka dijelaskan bahawa Bangsa Malaysia bukanlah suatu defines bersifat etnik, ia adalah bersifat psikologi. Bangsa Malaysia adalah rakyat Malaysia yang mempunyai jiwa dan nuansa Malaysia, yang tetap menghargai prinsip ‘kebersamaan dalam kepelbagaian’ dengan berusaha mengetepikan ‘perbezaan’.

Formula tersebut bererti suatu kerangka strategik untuk tujuan perpaduan dan penyatuan, dan menjadi cabaran pertama Wawasan 2020. Penegasan itu dilihat daripada perspektif pendidikan sehingga mata pelajaran Bahasa Melayu diubah menjadi Bahasa Malaysia manakala penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar diperluaskan. Ketika itu, kedudukan sekolah-sekolah kebangsaan mendapat perhatian semua kaum sehinggalah timbul satu persepsi menolaknya, sekolah kebangsaan disamakan sebagai langkah untuk ‘mengislamkan bukan Melayu’ ekoran peluasan pendidikan Islam dengan memasukkan elemen JQaf –Jawi, al-Qur’an dan fardhu Ain.

Pertengahan tahun 1990-an, Kementerian Pendidikan Malaysia mula mencadangkan satu bentuk sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan ialah perkongsian kemudahan asas, seperti padang permainan, perpustakaan (pusat sumber), kantin dan sebagainya manakala pentadbirannya dibuat secara berasingan oleh ketiga-tiga buah sekolah vernakular (Melayu, Cina dan India). Ketika itu masing-masing sibuk untuk melihat model yang sedia ada dengan melawat sebuah sekolah di Pahang dan Johor. Peringkat awalnya, sebuah sekolah mula dirancang untuk dibangunkan di Subang Jaya, iaitu di USJ 15.

Bagaimanapun, idea yang bernas itu mengalami ‘pergeseran politik’ apabila MCA tidak bersedia melaksanakan dikhuatiri akan menyebabkan ahli lembaga pengelola sekolah-sekolah Cina akan kehilangan kuasa dan boleh menyebabkan ‘kepupusan tradisi termasuk bahasa, budaya dan aspirasi’. Ia menjadi polemik menjelang Pilihan Raya Umum pada tahun 1999 sehingga menyebabkan prestasi Menteri Pendidikan ketika itu, Dato’ Sri Najib Tun Razak menang tipis, iaitu sekitar 241 undi. Beliau hampir tewas dengan calon PAS, Ustaz Haji Ramle Mohamed.

Pilihanraya 1999 turut menunjukkan penuruan prestasi UMNO dan MCA. UMNO kehilangan tujuh kerusi dan MCA hilang dua kerusi parlimen. Walau bagaimanapun, BN terus berkuasa di peringkat persekutuan walaupun kehilangan negeri Terengganu kepada PAS. Kelantan terus kekal di bawah pentadbiran PAS walaupun Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan dan sebahagian besar ahlinya kembali ke pangkuan UMNO, termasuk Tan Sri Dr Rais Yatim sendiri.

Dua orang tokoh akademik yang mengkaji mengenai budaya dan transformasi politik di Malaysia memberikan rumusan yang menarik mengenai Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir. Bagi Cheah Boon Keng (1939-2015), Wawasan 2020 bukanlah idea yang boleh dianggap baharu, ia hanyalah sekadar penjenamaan semula kepada konsep lama yang diperkenalkan oleh Tun Haji Abdul Razak (1922-1976) untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia setelah negara mengalami peristiwa 13 Mei 1969. Asas itu juga membentuk Dasar Ekonomi Baharu (1970) dan Rukunegara (1971). (Cheah Boon Keng, Malaysia: The Making of a Nation, ISEAS, 2002).

Wawasan 2020 menjadi senjata utama peningkatan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir yang berhadapan dengan ‘krisis keyakinan’ dalam pilihan raya umum 1990. Pada tahun 1990, pembangkang mula membentuk Barisan Alternatif untuk bertanding melawan Barisan Nasional di mana sebahagian pemimpin UMNO yang merasakan kepimpinan Dr Mahathir ‘autokrtik’ telah meninggalkan parti selepas perebutan jawatan dalam UMNO pada tahun 1987. Tahun 1988, UMNO diharamkan dan seterusnya tertubuhnya UMNO (Baru) dan Parti Melayu Semangat 46.

Pilihan Raya Umum 1990, BN menang 127 daripada 180 kerusi parlimen, iaitu merosot sebanyak 21 kerusi walapun berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya. Pilihan Raya 1986, BN memenangi 148 daripada 177 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Atas usaha untuk memperbaiki kedudukan politik, ekoran perpecahan dalam UMNO menyebabkan satu gerakan telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamad Rahmat untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir. Gerakan itu dikenali sebagai Semarak—Setia Bersama Rakyat—yang tujuannya untuk membolehkan Dr Mahathir kelihatan sehat, mampu mentadbir Malaysia dan turun bersama-sama rakyat melaksanakan aktiviti.

Dr Mahathir bukanlah merupakan seorang pemimpin yang gemar melaksanakan aktiviti bersama rakyat, sebaliknya terlalu banyak mencabar minda rakyat Malaysia sehingga membangkitkan kemarahan dan ‘kecelaruan pemikiran’. Beberapa dasar yang dibuat menimbulkan ‘kritikan besar’ tetapi, sebagai seorang yang mempunyai kecerdasan politik, beliau berselindung dalam kerangka ‘mengangkat maruah orang Melayu dan Malaysia’ dasar-dasar yang dilaksanakan berjaya mempertahankan kedudukan politiknya selama 22 tahun.

Seorang pengkaji berketuruan Korea Selatan telah melihat fenomena itu sebagai persoalized politics yang berjaya menjamin kemenangan peribadi Dr Mahathir. Dalam kajian untuk melengkapkan tesis ijazah kedoktoran, In-Wong Hwang merumuskan kejayaan memerintah selama 22 tahun adalah kepintaran mengeksploitasi ‘cabaran’ untuk meningkatkan maruah, kalaupun tidak melebihi negara-negara lain yang lebih maju, boleh berada sebaris dengannya. (In-Won Hwang, Personalized Politics: The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS/Silkworm, 2003).

Tentunya ramai rakyat Malaysia masih ingat mengenai hakikat sebenar Wawasan 2020 dilancarkan kerana Dr Mahathir berusaha untuk mengubah perspektif politik yang dikesankan oleh Dasar Ekonomi Baru. Setelah dua puluh tahun dilaksanakan, kedudukan ekonomi dan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak mencapai sasaran. Bagi mengelakkan rasa bersalah, Dr Mahathir yang sudah sepuluh tahun menerajui pentadbiran Malaysia (sejak 1981), perlu mencari suatu kerangka bagi mengkambinghitamkan orang Melayu sendiri. Secara mudahnya, disebabkan Dr Mahathir bukanlah seorang pemimpin yang bersedia mengakui kesilapan dan kelemahan, mengepam sembilan strategi untuk membolehkan Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Wawasan 2020 adalah ‘strategi Dr Mahathir’ untuk menutupi kelemahannya dalam mewujudkan golongan peniaga Bumiputera dengan menyalahkan bahawa untuk maju dalam apa bidang, orang Melayu perlu dibebaskan daripada ‘budaya tongkat’, maka tumpuan beliau adalah untuk membina lebih banyak projek mega yang boleh menaikkan ‘maruah negara’.

Selepas Wawasan 2020, Dr Mahathir melaksanakan banyak projek mega, yang tidak banyak boleh diambil bahagian oleh Bumiputera. Antaranya, Kuala Lumpur City Centre (kontraktornya ialah Tan Sri Ananda Krishnan), projek pembentungan (Tan Sri Vincent Tan, Berjaya Group dan akhirnya diserahkan semula kepada kerajaan Indah Water Consortium), menyusun perkhidmatan pengangkutan (bas kepada DRB-HICOM), perkhidmatan berel (YTL bagi ERL), MAS kepada Tan Sri Tajudin Ramli dan sebagainya.

Percubaan ini tidak memberikan kejayaan besar kepada Bumiputera, sebaliknya, lebih ramai bukan Melayu muncul sebagai usahawan yang berjaya. Tentunya, kesalahan besar ialah kerana kegagalan Dr Mahathir sendiri dalam melaksanakan dasar yang dibentuknya selepas tahun 1990-an. Sebab itulah, pada suatu ketika, Dr Lim Kheng Yaik, mengingatkan orang Melayu untuk melihat ke dalam dirinya sebelum menyalahkan kaum-kaum lain menguasai kekayaan negara. Sedikit tercetus ‘ketegangan politik’ dari penilaian berkenaan, tetapi Dr Mahathir terus memperkatakan bahawa orang Melayu sebenarnya ‘tidak cukup bersungguh-sungguh’ dan lebih gemar ‘mengambil jalan pintas’ untuk berjaya.

Kini, semua rakyat Malaysia muka mempersoalkan apakah Wawasan 2020 mencapai matlamatnya selepas 26 tahun dilaksanakan? Pertumbuhan ekonomi dijangka ketika itu akan berkembang dengan kadar tujuh peratus manakala pendapatan purata rakyat ialah lapan kali ganda daripada tahun 1990. Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia ke-11 (2011-2015), Institut Rakyat menjelaskan:Dalam aspek ekonomi, sasaran kadar pertumbuhan 6.0% setahun dalam tempoh RMK-10 telah gagal dicapai: 5.1% (2011), 5.6% (2012), 4.7% (2013), dan 6.0% (2014). Bank Negara menjangkakan kadar pertumbuhan pada tahun 2015 sekitar 4.5-5.5%. Ekoran daripada kadar pertumbuhan yang tersasar daripada sasaran, sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita RM38,845 pada tahun 2015 dijangka menemui kegagalan memandangkan PNK per kapita hanya pada RM34,079 pada tahun 2014. (Rujuk: http://www.institutrakyat.org/dari-rmk10-ke-rmk11-di-mana-apirasi-rakyat/)

Asas ekonomi yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir tidak menggambarkan bahawa pada tahun 2003, iaitu selepas 12 tahun Wawasan diperkenalkan belum mencapai separuh daripada apa yang disasarkan. Ini bererti, Dr Mahathir turut menjadi faktor yang boleh dikaitkan dengan kegagalan Wawasan 2020 walaupun Najib terus menegaskan bahawa Malaysia berusaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, iaitu melepaskan diri daripada kedudukan negara yang berpendapatan sederhana. Kaedah yang diambil ialah meliberalisasikan beberapa sektor ekonomi dan perundangan dan transformasi sedemikian dilihat oleh Dr Mahathir sebagai kaedah yang merugikan negara, kerana memberi peluang kepada pelaburan asing yang lebih besar, yang akhirnya boleh menyebabkan negara “terjual’ atau ‘terjajah’.

Kalau dahulunya Dr Mahathir berusaha mengurangkan stigma DEB, maka Najib pula dilihat untuk membangunkan stigma baharu dalam transformasi negara kerana Wawasan 2020 dianggap tersasar dari sasarannya. Atas sebab itulah pendekatan Najib dilihat lebih menarik berbanding Dr Mahathir ketika ‘memaksakan rakyat’ bergerak dan bermimpikan Wawasan 2020. Najib menyerahkan kepada rakyat untuk memberikan input bagi membolehkan kerajaan merangkakan bentuknya sedangkan Wawasan 2020 hampir mengetepikan ‘aspirasi rakyat’. Dalam istilah Tan Sri Dr Rais Yatim, pendekatan ‘dari bawah ke atas’ diharapkan tidak mensia-siakan kehendak rakyat.

Semoga kisah perancangan dalam negara demokrasi akan menjadi begitu ‘popular will’ dan bukan lagi dalam bentuk ‘political will.’ Political will, walaupun amat diperlukan, ia membabitkan proses penyelarasan dan pemantauan agensi pelaksana, kerana rakyat tetap merupakan khalayak besar dalam proses pembangunan. Tentunya, Dr Mahathir akan sinis berjenaka, kerana semasa pentadbirannya beliau pernah menjelaskan, adalah sukar untuk membuat sesuatu sekiranya ‘suara rakyat’ didengar, ia akan membuang masa dan tenaga. Sebab itulah banyak dasar yang dibuat Dr Mahathir ‘bercanggah dengan keperluan rakyat’ manakala Najib berusaha untuk menjadikan ‘hasrat rakyat’ terangkum dalam TN 50.

Bagaimanapun, Najib tetap dilihat sedang mencari strategi untuk mendapat kepercayaan umum menerusi TN 50, termasuklah generasi muda. Generasi muda akan menjadi ‘kuasa politik’ yang besar dalam pilihan raya, dan jika aspirasi mereka tidak diambil kira, ia bakal menimbulkan ‘masalah besar’ pada masa hadapan. Golongan remaja sekarang (yang masih dibangku sekolah) akan menjadi golongan yang ‘menggerakkan ekonomi’ kerana mereka yang dewasa ketika ini kemungkinan besar sudah tiada pada tahun 2050. Kalau ada pun, sebahagiannya menjadi ‘warga tua’ sebagaimana generasi saya pada tahun 2020. Ketika Wawasan 2020 dilancarkan, saya berumur 34 tahun dan pada tahun 2020, sudah menjadi ‘warga emas’.

Ketika Wawasan pertama kali disebut, generasi saya seperti khuatir boleh sampai ke tahun 2020. Tetapi, atas perubahan gaya hidup dan peningkatan kesedaran kesihatan, purata jangka hayat penduduk telah meningkat dari 68.7 tahun kepada 74.7 tahun pada tahun 2016. Ini bermakna, pada tahun 2020, purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah antara 75 hingga 77 tahun. Secara lojiknya, saya masih boleh merasai kegagalan ataupun kejayaan Wawasan 2020 dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pada tahun 2035, Malaysia bakal mencapai status ‘negara tua’ di mana 15 peratus penduduknya adalah ‘warga mas’. Diramalkan penduduk tua berjumlah 5.1 juta orang daripada 33 juta populasi. Biarpun pada tahun 2050, Malaysia belum mencapai jumlah 70 juta penduduk sebagaimana diidamkan oleh Dr Mahathir, banyak perkara yang perlu difikirkan dari sekarang, kerana pengurusan infrastruktur dan kemudahan lebih banyan bercorak ‘outsourcing’ dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

Hakikatnya, pada tahun 2050, penduduk Malaysia mencapai angka 50 juta. Ia memerlukan makanan yang lebih besar, manakala pertumbuhan ekonomi menjadi lebih pelbagai dan tentunya, budaya politik juga akan berbeza. Pada ketika ini, kita semakin dikelirukan dengan ‘kesan media sosial’ maka pada tahun-tahun akan datang, kita mungkin dilanda fenomena hologram, yang kini sedang dirintis untuk menggantikan revolusi digital yang baharu bermula. Sektor perniagaan tidak lagi menggunakan wang dalam bentuk nyata, ia banyak bergantung kepada ‘pembayaran online’ menerusi telefon pintar. Di Malaysia, kaedah ini sedang dirintis dan beberapa premis perniagaan di China sudah mula menggunakannya.

TN 50 perlu memahami dengan jelas perubahan ini, dan tentunya, menyedari bahawa kemungkinan sistem politik pada masa akan datang lebih banyak bercorak ‘pakatan’. Di Malaysia, politik gabungan bermula sebelum pilihan raya manakala di negara lain, pembentukan kerajaan campuran berlaku selepas pilihan raya. Mungkin keadaan ini akan berkembang di Malaysia, kerana pada suatu ketika, ada kemungkinan lenyapnya sebuah parti yang dominan secara berterusan sebagaimana transformasi social yang sedang kita alaminya. Sistem keluarga besar sudah berubah kepada keluarga yang lebih kecil, kerana inilah kesan sebenar yang berlangsung oleh globalisasi. Ia membentuk apa yang dinamakan sebagai ‘groundswell’ ataupun ‘open leadership.’

Kepimpinan terbuka akan menjadi semakin meluas dan diperlukan. Dan, dalam usaha membentuk kerangka TN 50, pemimpin di peringkat atas bukan lagi ‘semuanya benar’ sebagaimana Najib pernah memberikan penjelasan, era kerajaan semua tahu sudah pun berakhir.

Era masa kini ialah ‘rakyat lebih tahu’ daripada kerajaan, maka itulah Najib perlukan ‘input daripada rakyat’ untuk merangka sesuatu dasar dan perubahan, kerana akhirnya rakyatlah yang akan merasai dan melakukannya. Inilah yang dianggap suatu proses kematangan dalam ‘demokrasi’ dan ‘pembabitan awam’. TN 50 sedang meneroka transformasi sosial dan budaya dalam menuju kematangan politik.

No Comments

    Leave a reply